Tuesday, December 4, 2007

36. Jakim siasat segera aduan halal


ZAINAL Abidin Jaffar menunjukkan buku Standard Halal Malaysia keluaran Jakim.

Allah berfirman, Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (Al-Baqarah: 168)

Perintah itu membuktikan kepentingan umat Islam mengawasi bab makan minum untuk mengelak daripada termakan yang haram atau yang berunsur syubhat.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto SAIFUL BAHARI ASHAARI menemu bual Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Zainal Abidin Jaffar untuk mengupas isu ini.

MEGA: Bagaimana status sijil halal Jakim kini dan apakah kesannya kepada keseluruhan masyarakat Malaysia?

ZAINAL ABIDIN: Alhamdulillah setakat ini orang memandang tinggi kepada sijil halal Jakim. Pandangan ini bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara. Kesedaran masyarakat terhadap produk halal juga turut meningkat.

Sebabnya, sijil kita mempunyai standard iaitu MS1500:2004 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Kita juga mempunyai hubungan baik dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia, Sirim Berhad (Sirim), Jabatan Standard, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam meningkatkan mutu dan prestasi sijil halal kita.

Sijil halal Jakim juga mempunyai amalan prosedur standard (SOP) yang menjadikannya rujukan di dalam dan luar negara. Kita juga mempunyai sijil pengiktirafan piawaian (ISO) termasuk Halal Meat Protocol.

Malah Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) pun menjadikan kita sebagai rujukan utama untuk mengeluarkan standard halal mereka.

Pada masa yang sama, Jakim ada melantik 44 pentauliahan halal bagi 22 negara sebagai wakil kita mengeluarkan sijil halal.

Pengiktirafan tinggi ke atas sijil halal Jakim antara lain disebabkan standard yang sedia ada. Selain itu, kita didokong oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang sentiasa mengeluarkan fatwa terkini apabila timbul penemuan baru atau keadaan yang meragukan.

Sebab itu, masyarakat termasuk antarabangsa yakin pada kita. Pendek kata, kalau ada sijil halal Jakim, produk tersebut tidak menghadapi masalah untuk memasuki pasaran mana-mana negara di dunia.

Kelemahan pemantauan sehingga berlakunya beberapa insiden pemalsuan atau tidak mematuhi syarat sijil halal Jakim adalah antara rungutan yang kerap kedengaran. Adakah dakwaan ini berasas?

ZAINAL ABIDIN: Dalam keadaan sekarang, Jakim mempunyai 35 pegawai pemantau berbanding hanya enam orang sebelum ini. Dan pemantauan dilakukan 24 jam sehari.

Mereka ini pula mendapat latihan khusus di Kementerian Kesihatan dan IPPH, UPM.

Jadi dakwaan tersebut kurang tepat. Tambahan pula para pegawai itu adalah berkelulusan teknologi makanan. Mereka akan bergerak secara berpasangan dengan pegawai Jakim untuk memberi bimbingan dalam aspek agama.

Pemantauan kita adalah dalam dua aspek. Pertama, secara berkala di mana pegawai kita akan memantau mana-mana premis yang mempunyai sijil halal dari semasa ke semasa. Pemantauan dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun.

Kedua, pemantauan apabila kita menerima aduan. Dalam kes begini, kita akan menyiasat dalam tempoh 24 jam. Biasanya ia turut melibatkan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Sebabnya, tindakan adalah di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 di bawah kementerian tersebut. Jika sabit kesalahan bagi kali pertama, syarikat boleh didenda maksimum RM250,000 manakala individu pula boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun.

Kebimbangan ini berlaku barangkali kerana 80 peratus pengusaha yang mendapat sijil halal atau bukan Islam. Apakah langkah yang diambil oleh Jakim untuk menamatkan keresahan umat Islam dalam hal ini?

ZAINAL ABIDIN: Jakim akan mengaktifkan Program Pendidikan Masyarakat untuk memberi penerangan tentang aspek halal ini tahun depan. Pada masa yang sama kita mempromosikan slogan halal From Farm to Plate (dari ladang ke pinggan) dan From Farm to Fork (dari ladang ke garpu).

Bagi mendapat sijil halal, ia bermula dari ladang sehinggalah disajikan kepada pengguna. Bermakna jika ayam, sumber makanan, proses sembelihan, penyimpanan dan memasaknya perlu mematuhi prosedur halal.

Setiap aduan yang diterima kita akan mengambil sampel telur ayam, makanan ayam, ayam di pasaran dan juga vitamin yang digunakan untuk pemeriksaan di agensi yang ditetapkan.

Bagi 80 peratus pengusaha bukan Muslim yang terlibat dalam pengeluaran makanan halal ini, kita telah menetapkan SOP tertentu. Bagi syarikat multinasional, mereka mesti mengadakan Jawatankuasa Syariah.

Bagi industri kecil dan sederhana (SME) perlu perlu mempunyai Eksekutif Halal dan bagi syarikat yang lain mereka mesti mempunyai sekurang-kurangnya dua pekerja Islam rakyat tempatan.

Golongan ini akan menjadi penghubung dalam pelaksanaan sijil halal. Pihak yang tidak memenuhi syarat ini tidak akan diberikan sijil halal.

Adakah kelemahan dari segi pendakwaan atau undang-undang antara punca Jakim dilihat seolah-olah tidak ada kuasa dalam kes memalsukan sijil halal?

ZAINAL ABIDIN: Pendakwaan memang dilakukan di bawah Akta Perihal Dagangan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Namun, kita mempunyai mekanisme dalam menangani pihak yang tidak patuh kepada SOP sijil halal ini.

Jakim mempunyai sistem komputer dan pangkalan data yang dapat mengesan mana-mana pemilik sijil yang akan tamat tempoh dalam masa enam bulan. Apabila tamat tempoh pun sistem kita sekali lagi mengesan mereka.

Walaupun kita mempunyai 35 pegawai pemantau tetapi telah wujud kerjasama dengan pegawai agama di Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Ia dalam bab pemantauan halal. Ini memudahkan kita menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan secara lebih berkesan.

Contohnya, apabila kita menerima aduan ayam yang tidak disembelih, maka kita akan segera menyiasat. Jika dakwaan itu benar, dalam tempoh 24 jam kita akan mengeluarkan arahan tarik balik sijil halal.

Ini disusuli dengan makluman kepada semua pasar raya yang kemudiannya akan menghentikan penjualan produk tersebut di premis mereka.

Jakim khabarnya akan memperkenalkan sijil halal bagi kosmetik tahun depan. Setakat mana Jakim bersedia melaksanakannya?

ZAINAL ABIDIN: Persedian ke arah itu sedang giat dilakukan. Jakim bekerjasama dengan Jabatan Kimia dan IPPH, UPM dari segi latihan kepada kakitangan.

Kerajaan juga sudah meluluskan peruntukan RM40 juta untuk membangunkan Kompleks Pengurusan Halal di Enstec, Nilai di atas tanah seluas kira-kira 10 hektar.

Apabila siap, ia akan dilengkapi empat makmal iaitu kosmetik, haiwan, produk ubat-ubatan dan produk biasa.

Ini juga membolehkan kita mendapat keputusan ujian makmal lebih cepat iaitu kira-kira seminggu berbanding tempoh sekarang.

Walaupun isu sijil halal ini sering mendapat perhatian Muslim tetapi tidak ramai yang betul-betul mengambil berat tentangnya terutama bagi yang kerap makan di hotel. Bagaimana membetulkan keadaan ini?

ZAINAL ABIDIN: Dalam hal ini marilah kita menghayati sabda Rasulullah, “setiap daging yang tumbuh daripada benda atau sumber yang haram, maka nerakalah yang lebih layak baginya”.

Untuk itu, masyarakat perlu sentiasa berhati-hati dan menyemak sama ada premis berkenaan mempunyai sijil halal Jakim atau tidak.

Sebagai permulaan, sebanyak 11 hotel telah menerima sijil halal Jakim. Ada beberapa lagi yang bakal menerimanya di mana mereka kini sedang membuat pengubahsuaian di dapur utama masing-masing.

Bagaimanapun, ada juga pengusaha yang mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri tetapi apabila disemak menerusi khidmat pesanan suara (SMS) Jakim, maklumatnya tidak diperolehi.

Ini disebabkan ada di antara senarai itu tidak diserahkan kepada kita. Bagaimanapun, memang ada juga sijil palsu. Isu ini dijangka dapat diatasi apabila mulai tahun 2008, hanya logo tunggal yang dikeluarkan oleh Jakim yang diterima pakai.

No comments: