BELIAU merupakan manusia luar biasa yang pernah wujud di atas muka bumi ini. Beliau berdakwah, menyebarkan agama, mengasaskan sebuah negara, membina sebuah bangsa, menyempurnakan akhlak manusia, memulakan pembaharuan sosio politik dan membina masyarakat yang dinamik dan benar-benar kuat bagi mengamal sekali gus sebagai penterjemahan kepada ajaran Baginda s.a.w.
Baginda berjaya menyempurnakan semua perkara yang mengagumkan ini hanya dengan tempoh yang singkat, iaitu 23 tahun sahaja. Manusia yang dilahirkan pada tahun 570 Masihi ini meninggalkan umatnya pada usia 63 tahun, dalam keadaan Semenanjung Arab telah berubah daripada fahaman jahiliah dan penyembahan berhala kepada tunduk kepada Tuhan Yang Esa; daripada pertelingkahan dan peperangan antara kabilah kepada perpaduan bangsa dan umat; daripada sifat mabuk dan tidak berakhlak kepada sifat yang tegas dan warak; daripada tidak mempunyai undang-undang kepada kehidupan yang berperaturan; dan daripada keruntuhan akhlak kepada akhlak yang sangat cemerlang. Sedangkan sebelum itu belum pernah ada sejarah peradaban manusia yang melalui perubahan dan pembaharuan yang sempurna seperti yang dilakukan oleh makhluk bernama Muhammad.
The Encyclopedia Britannica menyebut Baginda sebagai, “Personaliti beragama yang paling berjaya di dunia.” Thomas Carlysle pula berasa takjub bagaimana seorang makhluk boleh menempa dan menyatukan secara sendirian kabilah-kabilah yang sering berbalah dan kaum Badwi yang berselerakan kepada bangsa yang kuat dan bertamadun dalam tempoh hanya dua dekad.
Napoleon dan Gandhi sepanjang hayat mereka tidak pernah putus harap untuk menjejaki kejayaan Muhammad, membina sebuah bangsa sebagaimana bangsa manusia yang telah dibina oleh Baginda pada 14 kurun yang lampau. Tidak ada seorang pun manusia yang dapat menempa kejayaan seperti Muhammad daripada unsur pembinaan tamadun bangsa.
Muhammad adalah perutusan daripada yang Maha Esa, guru agama yang tabah, pembawa pembaharuan dalam masyarakat, pembimbing akhlak yang sabar, pemikir siasah, pahlawan yang pintar dan berani, bapa pentadbir, usahawan yang berjaya, sahabat yang boleh dipercayai, teman seperjuangan yang mengagumkan, suami yang mengambil berat dan ayah yang penyayang; yang semua sifat itu ada di dalam diri yang satu.
Dan tidak ada dalam sejarah manusia yang dapat menyaingi Muhammad dari segi kehebatan dan keunggulan keperibadian.
Muhammad Rasulullah s.a.w telah merintis kecemerlangan bagi bangsa manusia, kecemerlangan hakiki di dunia dan akhirat. Agama Islam telah dapat dibina dengan Baginda menterjemahkannya dalam bentuk setiap tindakan yang diambil. Umat manusia dapat melihat bahawa agama Islam bukan sahaja indah dari unsur faham semata-mata, bahkan ia sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan sempurna dan bersifat amali.
Keunggulan agama Islam yang diterjemahkan oleh Rasulullah s.a.w tidak terhenti setakat hayat Baginda, malah ia terus hidup dan berkembang subur di seluruh pelosok alam ini. Hari ini dunia menyaksikan bahawa penganut agama Islam mewakili satu per lima jumlah dunia sekali gus membuktikan bahawa agama Islam adalah agama yang menjadi pilihan utama manusia.
Dari satu segi walaupun Muhammad s.a.w telah memberikan bekalan yang secukupnya kepada umat yang ditinggalkannya, namun dugaan yang dihadapi sangat mencabar.
Semakin tua umur dunia ini, semakin hebat cabaran yang perlu ditempuh dan dilalui oleh umat Islam. Cabaran dan musuh-musuh Islam tidak hanya dapat ditangani dengan kekuatan dan keimanan, tetapi juga dengan kebijaksanaan dan kepakaran. Kekhuatiran Baginda terhadap umatnya sangat jelas ketika hembusan-hembusan nafas terakhir dengan Baginda hanya menyebut, “Umatku, umatku, umatku”. Baginda sangat bimbang sama ada umat Baginda dapat melangsungkan kehidupan dengan makmur dan penuh kekuatan. Benarlah sebagaimana yang dinyatakan oleh Bernard Shaw: “Sekiranya Muhammad s.a.w masih hidup pada hari ini, sudah pasti Baginda mampu dan berjaya menyelesaikan pelbagai permasalahan yang boleh memusnahkan peradaban manusia”.
Cabaran yang kita hadapi pada hari ini sememangnya hebat dan menggerunkan, seolah-olah bila-bila sahaja umat Islam dapat ditewaskan oleh musuh-musuh Islam dan kejahilan manusia itu sendiri.
Namun Baginda telah berpesan bahawa kita tidak akan sesat dan tewas sekiranya kita berpegang teguh dengan al-Quran dan sunah yang ditinggalkan. Dan penghayatan kita terhadap inti pati kedua-dua sumber ini adalah teras bagi kecemerlangan insan demi membina ummah yang terbilang.
* SITI SHAMSIAH MD. SUPI ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment