SOALAN:
Dulu saya sering menangis di kesepian malam mengenangkan nasib malang, tetapi akhirnya hati saya menjadi seumpama keras, memberontak seumpama kehilangan sifat-sifat semula jadi manusia. Walaupun demikian, perasaan sepi, pilu dan merindui ketenangan tetap sebati seperti biasa.
Saya anak yatim piatu. Sering bergelut dengan kehidupan yang tidak menentu. Di awal pengajian di universiti, saya kehabisan belanja. Seorang VIP menyara kehidupan saya di kampus lalu akhirnya menjadi seumpama perempuan simpanannya. Beberapa kali saya bercinta, tetapi berakhir dengan kekecewaan.
Akhirnya saya bertemu dengan seorang insan yang saya yakin terlalu sesuai dengan saya dan saling melafazkan cinta. Malangnya, dia sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.
Isterinya pernah SMS dengan saya dan marah-marah, mengata saya perempuan tidak tahu malu dan perempuan simpanan. Saya rasa mahu berundur, tidak mahu dikata perampas suami orang, tetapi itulah sinar yang saya cari selama ini, kebahagiaan dan ketenangan. Saya menyayanginya dan redha kasih sayang terpaksa dikongsi.
Dalam keadaan seumpama ini, saya seumpama tidak mahu berganjak dan terus bertawakal dengan keputusan yang pasti. Apa perlu saya lakukan?
JAWAPAN:
Masalah yang saudari alami memang rumit. Walaupun demikian, fenomena seumpama ini bukan sesuatu yang nadir apabila seseorang itu berhadapan dengan situasi seperti yang saudari alami. Cuma yang paling dikesalkan dan mengecewakan ialah adanya manusia yang kaya, ternama, memberi wang kepada saudari untuk meneruskan pelajaran demi untuk terus hidup yang terjamin, tetapi sebagai balasan ia sanggup menjadikan saudari tempat mengalas nafsunya. Itulah imbuhan yang saudari bayar.
Untuk menjawab dan menyelesaikan masalah saudari, saya tidak menggalakkan saudari meneruskan tekad atau memberhentikannya kerana kedua-dua jalan keluar itu mempunyai penyokong juga pembangkang.
Jalan terbaik ialah dengan kembali kepada ajaran Islam. Hukum syarak yang tersedia wujud itu mesti difahami benar-benar dan dihayati rahsia-rahsianya.
Allah mengharuskan seseorang lelaki itu berkahwin sehingga empat orang isteri. Allah memerintahkan agar seseorang lelaki mengahwini perempuan yang baik- baik, seorang , dua, tiga atau empat orang isteri.
Sekiranya seorang lelaki itu takut atau bimbang dia tidak berupaya melakukan keadilan maka Allah s.w.t. menyuruh seseorang itu mengahwini seorang sahaja.
Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa seorang perempuan itu dikahwini kerana hartanya, kecantikan, keturunannya juga kerana agamanya. Allah menyuruh agar latar belakang agama itu menjadi sesuatu yang perlu diutamakan, berbanding dengan kecantikan, harta juga keturunan, kerana agama akan memelihara kecantikan yang dimiliki, harta juga keturunan.
Allah mengharuskan seseorang lelaki itu berkahwin sehingga empat isteri dengan syarat lelaki itu berupaya melakukan keadilan. Menyediakan keperluan makan, minum, pakaian, tempat tinggal, persekolahan anak- anak dan sebagainya termasuk giliran yang mesti sama, kecuali sekiranya isteri-isteri yang lain reda dengan giliran yang tidak saksama. Semuanya adalah jelas seperti yang termaktub dalam kitab-kitab fikah.
Adil yang dimaksudkan ialah sesuatu yang bersifat kebendaan. Mengenai kasih sayang ia adalah di luar keupayaan manusia memberi kasih sayang yang sama. Malah Rasulullah sendiri pun tidak berupaya menyamaratakan kasih sayang di antara isteri yang dimiliki.
Allah menjelaskan bahawa poligami itu diharuskan. Syaratnya adalah adil. Sekiranya seorang lelaki itu takut atau tidak yakin yang dirinya boleh bersifat adil, maka Allah menyuruh agar ia berkahwin seorang sahaja.
Sebagai contoh, lelaki yang mempunyai gaji kecil, yang hanya cukup untuk menyara keluarga yang sedia ada, maka baginya adalah tidak wajar untuk berkahwin lagi seorang, apatah lagi tiga atau empat orang.
Perbincangan mengenai poligami tidak ubah seumpama sabut hanyut dibawa air sungai yang mengalir lesu. Sesekali timbul di permukaan air, di waktu yang lain pula ia berada di dasar sungai. Ia menjadi tajuk hangat apabila ditimbulkan oleh orang atau kumpulan tertentu, lalu disambut dan dirancakkan oleh surat khabar, majalah, televisyen juga radio.
Perbincangan menjadi hangat apabila persoalan ini masuk ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, tetapi masalah tidak juga selesai, lalu akhirnya lenyap begitu sahaja, sepi sesepinya tidak ubah seumpama sabut yang diresapi air terbenam dalam dasar sungai.
Dalam masa yang sama, ramai kaum lelaki terus-menerus berkahwin di sempadan seperti yang berlaku sekarang ini. Tidak ada orang yang secara terang-terangan menjelaskan bahawa perkahwinan di sempadan itu salah. Cuma ia mesti didaftarkan di pejabat agama negeri dan didenda. Nampaknya, inilah satu jalan keluar yang paling selamat dan mudah ketika berhadapan dengan masalah berkahwin lebih daripada seorang.
Perbincangan mengenai poligami selalu dikaitkan dengan apa yang diistilahkan sebagai darurat. Contohnya, ketika isteri sakit atau isteri telah berumur di mana si isteri tidak berupaya melayani suami untuk melakukan persetubuhan. Maka ketika itu suami diharuskan berkahwin lagi untuk mengelakkan zina.
Begitu juga dengan suami yang tinggi nafsunya, di mana isteri tidak berupaya melayaninya. Ketika itu, suami diharuskan berkahwin lagi untuk mengelakkan zina. Begitu juga alasan yang diberi ketika berlaku peperangan atau sesuatu keadaan yang menyebabkan bilangan lelaki sedikit.
Ketika itu lelaki digalakkan berkahwin lagi untuk memberi perlindungan isteri yang kehilangan suami, juga anak-anak yang tidak mempunyai bapa.
Begitu juga dengan lelaki yang banyak melakukan perjalanan dan tinggal di satu-satu tempat kerana berniaga contohnya atau lain-lain urusan. Adalah lebih baik bagi mereka mengahwini perempuan di tempat berkenaan, tempat dia ‘berkampung’ dalam tempoh tertentu, daripada ia melanggani pelacur di hotel, di lorong busuk atau menyimpan perempuan simpanan.
Perlu dijelaskan, biarpun syarat-syarat poligami itu jelas seperti yang dihuraikan, namun sekiranya seseorang lelaki itu yang berpendapatan kecil tidak adil kepada isteri yang sedia ada dan dia tetap berkahwin lagi sekiranya syarat-syarat kahwin itu sempurna maka perkahwinan itu tetap sah.
Seorang lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan, atau mempunyai pekerjaan tetapi tidak menentu dan tidak berupaya menyara keluarganya, tetapi mempunyai keinginan untuk berkahwin lagi, lalu ditahan atau ditegah berkahwin, maka dalam situasi seperti ini berkemungkinan lelaki tersebut akan melakukan zina.
Dalam keadaan seperti ini, biarpun dia tidak berlaku adil dan tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi, apabila ia berkahwin maka lelaki berkenaan adalah bertanggungjawab terhadap perempuan yang dikahwini tadi, di dunia dan akhirat.
Perempuan yang dikahwini itu mempunyai hak menurut undang-undang syarak, berbanding dengan perempuan yang terlibat dengan zina yang tidak mempunyai hak langsung.
Untuk mendapatkan ‘konsen’ atau izin berpoligami daripada seorang isteri adalah seumpama sesuatu yang mustahil, biarpun dalam keadaan tertentu, atau kepada orang-orang tertentu ia bukan merupakan sesuatu yang mustahil. Apa yang jelas, itulah tabiat semula jadi manusia, tidak mudah untuk berkongsi suami.
Selain daripada itu, banyak contoh membuktikan bahawa sebahagian daripada lelaki yang berpoligami tidak dapat berlaku adil. Fenomena ini menambah lagi kebimbangan yang sedia wujud, memperkuat tekad seorang isteri itu untuk tidak memberi izin suaminya berkahwin lagi.
Keadaan menjadi lebih gawat apabila kes-kes yang melibatkan suami tidak adil, yang tidak memberi nafkah kepada isteri, tidak mempedulikan persekolahan anak- anak seumpama tidak mendapat pembelaan dari pejabat-pejabat agama kerana kekurangan pengalaman mereka yang mengendalikan kes-kes berkenaan, kekurangan kakitangan dan sebagainya.
Perlu dijelaskan bahawa poligami adalah harus menurut Islam. Namun untuk mendapat izin daripada isteri yang sedia ada adalah mustahil. Perkara biasa. Naluri semula jadi manusia, biarpun di kalangan mereka yang mengerti dan faham bahawa hukumnya harus. Umumnya, masyarakat Melayu Malaysia, menganggap berpoligami seumpama satu ‘rahsia’ yang perlu disimpan jangan diberitahu kepada umum.
Seorang murid mungkin akan kurang kepercayaan kepada gurunya apabila gurunya itu berkahwin lagi, apatah lagi sekiranya yang dikahwini itu seorang pelajarnya. Lebih teruk lagi sekiranya seorang imam mengahwini seorang wanita yang selalu minta nasihat daripadanya, seorang bos mengahwini setiausahanya atau seorang pensyarah mengahwini pelajarnya.
Merujuk masalah saudari, saudari mendapat SMS menyatakan saudari perampas suami orang dan perempuan simpanan. Ditinjau dari satu sudut, sekiranya saudari jadi berkahwin, saudari memang perampas suami orang. Begitu juga apabila dikata yang saudari seorang perempuan simpanan.
Walaupun demikian, sekiranya proses seperti yang ada sekarang ini tidak berlaku, saudari tidak bercinta dengan seorang lelaki yang telah mempunyai isteri dan dua orang anak, maka poligami itu tidak akan berlaku.
Mungkin tidak keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa saudari perampas suami orang di mana amalan tersebut diharuskan oleh syarak. Namun sekiranya ditakdirkan saudari menjadi isteri kepada lelaki yang dikatakan sebagai ‘bahan rampasan’ telah diijabkabulkan dengan menyebut nama Allah, cukup dengan saksi, wali, sighah, ijab dan kabul maka saudari adalah sama tarafnya dengan isteri yang menghantar SMS itu.
Terlintas dalam fikiran saya, adakah saudari akan menghantar SMS kepada seorang perempuan lain, ditakdirkan lelaki yang menjadi idaman sekarang ini hendak berkahwin lagi satu, menyatakan perempuan berkenaan perampas kepada suami saudari?
Memang jodoh di tangan Tuhan. Tidak ada orang yang menafikan, namun Allah tidak akan mengubah nasib seseorang kecuali dia mengubahnya sendiri. Saudari tahu, di lorong hadapan ada harimau, setiap makhluk yang lalu pasti akan diterkam, dipatahkan tengkuknya. Saudari mempunyai dua pilihan. Patah leher kalau terus menapak ke hadapan dan terselamat kalau memilih jalan lain.
Walaupun, tidak dinafikan bahawa manusia hanya berupaya berikhtiar, menurut keupayaan yang diberi. Ketentuan hakiki pada Allah juga. Itulah keagungan Ilahi sebagai Pencipta yang tidak ada tandingannya.
- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment