BERBOHONG KERANA HAJI
SOALAN:
SAYA bercadang berangkat ke Tanah Suci sedangkan saya seorang bujang dan yatim piatu. Jadi mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi, saya tidak boleh bermusafir tanpa ditemani suami atau mahram lainnya.
Dan kalau saya ingin melaksanakan hasrat suci tersebut kenalah saya berbohong mencari sesiapa yang boleh mengaku sebagai mahram saya. Adakah patut kita beribadah dengan berbohong pula?
JAWAPAN: Sudah menjadi peraturan di negara Arab Saudi bahawa seseorang wanita tidak boleh bermusafir melainkan ditemani suami atau sesiapa dari kalangan mahramnya. Ini untuk menjaga keselamatan kaum wanita dari sebarang gangguan dan fitnah. Kerana ada hadis sahih bermaksud: Tidak halal bagi seseorang wanita itu bermusafir lebih dari tiga hari kecuali dengan mahramnya (Riwayat Bukhari dan Muslim). Berdasarkan hadis di atas mereka mewajibkan peraturan tersebut sehingga sekarang. Mereka nampaknya tidak mahu berubah mengikut zaman dan keadaan sedangkan hadis tersebut sesuai dengan wanita yang bermusafir dengan menaiki unta atau keldai yang terdedah kepada berbagai-bagai gangguan saperti penyamun, perompak dan sebagainya. Sedangkan zaman yang serba canggih dengan teknologi hari ini sudah banyak berubah. Kaum wanita boleh ke mana-mana seorang diri dengan selamat dengan menaiki kapal terbang bersama penumpang lain tanpa ada sebarang ketakutan atau kebimbangan. Sepatutnya peraturan itu boleh dilonggarkan atau dihapuskan.
Mereka tahu ramai yang berbohong untuk mengatasi peraturan tersebut. Oleh itu kita harap mereka jangan berpegang sangat dengan lafaz hadis tersebut tetapi lihatlah kepada ilat dan sebabnya adakah kerana tidak ada mahram itu seseorang wanita tidak boleh mengerjakan fardu haji yang menjadi Rukun Islam itu? Apakah pula hukumnya mereka yang melarang sesiapa dari menunaikan ibadat haji tersebut. Jawapannya tentu lebih zalim dan kejam. Justeru inilah, ada juga ulama yang mengharuskan wanita mengerjakan haji tanpa ditemani mahram tetapi dapat bersama wanita yang dipercayai baik dalam satu rombongan tersebut. Kata Qardawi, Ummul mukminin Aisyah pernah melakukan haji tanpa bersama mahram malah bersama ummul mukminin yang lain dengan diiringi Othman dan Abdur Rahman bin ‘Auf sebagai mana tercatat dalam sahih Bukhari.
Malahan kata sesetengah ulama kita as Syafiah apabila keselamatannya terjamin maka dibenarkan seorang wanita bermusafir. Pendapat ini disahkan oleh pengarang kitab muhazzab. Wallahualam.
IKHLAS IBADAT URUSAN TUHAN
SOALAN:
Apabila kita mengikuti sesuatu seminar, selalunya di akhir program itu biasanya diadakan acara Qiamullail secara beramai-ramai. Menurut kawan saya, kalau di rumah kita tidak pernah bertahajud dan solat malam maka katanya Qiamullail yang kita lakukan itu tidak ada sebarang pahala kerana kita sudah tidak ikhlas lagi. Adakah pandangan ini benar?
JAWAPAN:
Perkara ikhlas ini adalah rahsia antara hamba dengan Tuhannya. Allah s.w.t. sahaja yang tahu menilainya. Kita harap amalan kita semasa di rumah atau dalam kumpulan sekiranya dilakukan untuk Allah maka ianya tetap akan beroleh pahala dan ganjarannya di sisi Allah.
Jadi anda tidak perlu bimbang apa-apa asalkan kita melakukan amalan tersebut bukan untuk yang lain. Biasanya secara beramai-ramai itu manusia lebih bersemangat dan seronok untuk melakukan sesuatu aktiviti. Ini seperti juga dalam urusan kebersihan dan kebajikan umum, kita lebih seronok sekiranya tugas tersebut dilakukan secara bergotong royong dan bekerjasama dan dapat melahirkan kemesraan dan mengeratkan hubungan sesama Islam.
Jadi begitu juga amal ibadat yang dilakukan secara berjemaah dan beramai-ramai dalam kumpulan dan sebagainya. Kata hujjatul Islam, syaitan akan mempengaruhi sesiapa melalui saluran keikhlasan ini untuk menghalang kita dari melakukan kebaikan dengan mempertikaikan keikhlasan. Anda juga boleh bertanya kepada kawan tersebut adakah penyakit ria dan tidak ikhlas ini akan hilang dari seseorang yang hatinya memang tidak ikhlas. Tentu jawabnya tidak. Sebab itu tegas Syaikh Ibnu Ataillah sekalipun seseorang itu berseorangan dalam rumahnya tetapi penyakit hati (seperti ria) tadi masih dapat mengganggunya lagi selagi ada perasaannya ingin (seronok) supaya orang lain tahu dengan kesolehannya itu (beribadat malam).
Kata Syaikh lagi perasaan itulah tanda dan buktinya seseorang itu belum benar-benar kehambaannya kepada Allah. Justeru hamba Allah itu akan memadai (berpuas hati) dengan ilmu Allah terhadap kebaikannya (kesolehannya) sama ada orang lain tahu menilainya atau tidak. Allah berfirman bermaksud: Apa saja yang kamu lakukan dari sebarang kebaikan itu Allah s.w.t. tetap mengetahuinya (dan dapat menilaikannya) (surah al-Baqarah ayat 197). Wallahualam.
* ALAMATKAN kemusykilan anda kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan.com.my. Nyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.
Monday, December 17, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment