Wednesday, December 12, 2007

93. Hari Raya Aidiladha 2007 - Ikut keputusan rukyah di negara sendiri

MAJLIS al-Quda' al-A'ala Kerajaan Arab Saudi mengumumkan 1 Zulhijah 1428 Hijrah jatuh pada Isnin bersamaan 10 Disember 2007. Pengumuman itu meliputi tarikh wukuf di Arafah pada 18 Disember (Selasa ) dan Aidiladha akan disambut di Makkah pada 19 Disember (Rabu).

Sementara Malaysia menerusi pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu menetapkan tarikh 1 Zulhijah 1428 jatuh pada Selasa bersamaan 11 Disember 2007. Ini bermaksud tarikh wukuf di Arafah jatuh pada 19 Disember (Rabu) dan Aidiladha disambut hari berikutnya iaitu 20 Disember (Khamis).

Perbezaan tarikh ini sememangnya menerima reaksi berbeza daripada umat Islam di Malaysia. Sememangnya tarikh hari raya begitu sensitif di kalangan masyarakat kita. Kaedah penetapan Aidiladha di Malaysia berdasarkan kaedah rukyah anak bulan Zulhijah.

Sebenarnya bermula 16 Jun 1994, Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-167 bersetuju menggunakan kaedah rukyah dan hisab berdasarkan Imkanur rukyah dalam penetapan hari raya haji. Sebelum itu Malaysia cuma berpandukan perisytiharan hari wukuf oleh kerajaan Arab Saudi. Berdasarkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam muzakarah kali-30 pada 20 Ogos 1992 menyatakan: kaedah penetapan Aidiladha di Malaysia berdasarkan tarikh hari wukuf di Arafah dipinda kepada kaedah rukyah anak bulan Zulhijah kerana lebih sesuai diamalkan di negara ini.

Berdasarkan kitab Tuhfatul Ahwazi Imam, al-Hafiz Muhammad Abdul Rahman bin Abd Rahim Bisyarhi Jamiul Tarmizi, Sheikh Izzuddin Abd Salam berkata, ibadah haji sempurna dengan wukuf di Arafah. Imam As-Syaukani pula berkata, bermaksud ibadah haji itu sah bagi sesiapa yang dapat wukuf di Arafah.

Seorang tokoh ulama al-Syafiiyyah, Imam Abi Ashak al-Syirazi berkata, wukuf di Arafah adalah satu rukun daripada beberapa rukun haji, seperti diriwayatkan Abdul Rahman Al-Daili sesungguhnya Rasul SAW berkata: "Haji itu sah dengan Arafah."

Begitu juga al-Sheikh Zainuddin bin Abdul Aziz dalam Ianatul Tolibin li Syarhil Fathul Muin berkata : "Rukun ibadat haji yang kedua ialah wukuf di Arafah iaitu menghadirkan diri di mana-mana bumi Arafah, walaupun cuma sedetik berada di Arafah, sama ada dia dalam keadaan tidur atau berjalan seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi.

Maksud hadis di atas tidak menunjukkan sebarang isyarat yang menunjukkan sambutan Aidiladha itu tertakluk kepada perisytiharan wukuf di Arafah. Hadis di atas cuma menekankan mengenai hukum dan kepentingan wukuf dalam ibadah haji dan masanya.

Hadis di atas dengan sendirinya menunjukkan perisytiharan wukuf di Arafah oleh kerajaan Arab Saudi tiada kaitan dengan penetapan Aidiladha di Malaysia.

Hari Raya Aidiladha juga bersabit dengan rukyah hilal Zulhijah. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ummu Salamah iaitu: Bermaksud: "Apabila kamu melihat Hilal Zulhijjah dan di kalangan kamu yang mahu berkorban, maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan qurban itu ) jangan membuang rambut dan kukunya."

Masa bermulanya ibadat korban ialah pada 10 Zulhijah dan diikuti 11,12 dan 13 Zulhijah seperti disebutkan dalam hadis daripada Abi Hurairah r.a, bermaksud: "Bahawa Nabi SAW bersabda : " Berpuasa pada hari kamu berpuasa (Ramadan), hari raya (Aidilfitri) pada hari kamu berhari raya (Syawal), dan hari raya (Aidiladha) pada hari kamu menyembelih (berkorban)."

Kaedah rukyah untuk mensabitkan hari Aidiladha adalah satu kaedah yang mesti dilakukan di setiap negara. Tentunya bagi negara yang berjauhan dari Tanah Suci perlu menjalankan rukyahnya sendiri dan tidak terikat kepada perisytiharan wukuf di Arafah.

Dalam mazhab Syafie perbezaan jarak di antara negara juga mempengaruhi kenampakan hilal. Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya mengenai perbualan antara Quraib dan Ibnu Abbas. Quraib menceritakan bahawa Ibnu Abbas bertanya kepadanya yang baru kembali ke Madinah selepas menemui Muawiyah di Syam berkenaan kenampakan hilal di sana:

Bermaksud : Ibnu Abbas bertanya : "Bilakah kamu melihat hilal?" Aku pun menjawab: "Kami melihatnya pada malam Jumaat." Ibnu Abbas lantas bertanya lagi: "Adakah engkau sendiri melihatnya?" Aku menjawab: "Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka pun berpuasa, Muawiyah pun berpuasa."

Ibnu Abbas berkata: "Kami di sini melihat hilal Ramadan pada malam Sabtu dan kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat hilal Syawal." Aku bertanya: " Tidakkah memadai bagi kamu hilal itu dilihat Muawiyah dan puasanya?" Ibnu Abbas menjawab: "Tidak! Beginilah Rasul SAW menyuruh kami."

Hadis ini menunjukkan Ibnu Abbas tidak mengambil kira keputusan untuk berpuasa di Syam. Sebaliknya beliau berpegang dengan keputusan rukyah di Madinah tanpa terikat dengan keputusan Muawiyah di Syam.

Kedua-dua sama ada Aidiladha atau puasa sunat Hari Arafah lebih tepat untuk ditetapkan berdasarkan keputusan rukyah di Malaysia. Antara kesimpulannya tiada nas yang jelas menerangkan bahawa Aidiladha dan puasa sunat hari wukuf di Malaysia perlu mengikut pengisytiharan hari wukuf di Arafah.

Perbezaan matlak dan jarak di antara Malaysia dan Arab Saudi menyebabkan umat Islam di negara ini tidak boleh mengikut keputusan rukyah Arab Saudi. Keputusan Hari Raya Aidiladha dan puasa hari wukuf ditentukan berdasar keputusan rukyah awal Zulhijah pada 29 Zulkaedah.

Umat Islam di Malaysia perlulah mengikut keputusan rukyah di Malaysia dalam menentukan hari untuk menyambut Aidiladha dan puasa Hari Arafah.

BH 12/12/07

No comments: