KITA masih lagi berada di awal Muharam, bulan yang sememangnya mempunyai timbunan khazanah pengajaran buat umat manusia sepanjang zaman. Muharam mencatatkan pelbagai peristiwa sejarah yang mampu dijadikan pengiktibaran khususnya dalam menjelmakan wajah Islam sebenar di tengah-tengah lautan prejudis umat antarabangsa kini.
Dalam bulan inilah bermulanya pembentukan sebuah tamadun yang menekankan prinsip keadilan, kesaksamaan, keterbukaan dan keharmonian dalam urusan pentadbiran kemanusiaan. Malah Islamlah agama terawal yang membicarakan hak-hak asasi manusia termasuklah hak kebebasan beragama yang dijamin Allah dalam al-Quran.
Perlembagaan pertama dalam sejarah peradaban manusia, Piagam Madinah menjadi bukti bagaimana Islamlah agama terawal memperakui hak-hak asasi setiap warga termasuklah kelompok minoriti yang mendiami Madinah. Jaminan kebebasan beragama ini jelas diperuntukkan sebagai salah satu fasal terpenting di antara 47 fasal yang digariskan Rasulullah.
Tidak pernah dalam sejarah peradaban dunia wujud satu agama seperti Islam yang mempunyai pendirian lunak terhadap pelbagai agama dan kepercayaan manusia. Malah tidak ada satu agama yang cukup rasional berbanding Islam dalam memperakui hak dan kebebasan setiap warga memilih agama masing-masing. Hanya selepas lebih 1,400 tahun pembentukan Piagam Madinah itu, barulah dunia menyaksikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berjaya mewujudkan suatu pernyataaan atau deklarasi mengenai hak-hak asasi manusia.
Perbezaan kepercayaan agama tidak pernah menghalang umat Islam zaman-berzaman untuk hidup berdampingan dengan masyarakat bukan Islam secara aman dan penuh terhormat.
Pernah diriwayatkan oleh seorang sahabat Nabi s.a.w., Jabir bin Abdullah: Satu ketika ada jenazah yang sedang diusung melewati kami, maka Rasulullah terus bangkit dari tempat duduknya dan berdiri tegak. Kamipun turut serta berdiri seraya berkata, “Ya Rasulullah, yang diusung itu adalah jenazah seorang Yahudi.” Maka Rasulullah menjawab: “Apakah dia bukan seorang manusia?. Apabila kamu melihat jenazah melewati, maka hendaklah kamu berdiri memberi penghormatan.”
Sikap menghormati hak kemanusiaan golongan berlainan agama turut diamalkan para sahabat selepas kewafatan Rasulullah. Pernah satu ketika Khalifah Umar al-Khattab r.a. didatangi seorang Yahudi fakir miskin. Baginda terus membawanya ke rumah dan diberikan sedekah. Kemudian disuruhnya pergi ke Baitul-Maal lalu berkata: “Sesungguhnya zakat itu adalah untuk kaum fakir dan miskin dan dia adalah seorang yang miskin daripada kalangan Ahli Kitab.”
Khalifah Umar jugalah yang bertanggungjawab membenarkan kaum Yahudi kembali ke bumi Palestin buat sekian kalinya pada tahun 638 Masihi setelah berabad lama dihalau, diseksa dan dipinggirkan ketika berada di bawah taklukan empayar Rom.
Dasar akomodatif yang menerima dan menjamin hak masyarakat bukan Islam ini juga turut dipraktikkan dan diteruskan oleh pemimpin-pemimpin Islam selepas era Rasulullah dan para sahabat.
Sebagai contoh pada tahun 1099, apabila puak Kristian menawan Palestin, disebutkan oleh para sejarawan betapa bumi Palestin ketika itu sentiasa dibasahi darah orang yang tidak berdosa. Sebaliknya, apabila Salahuddin al-Ayubi menakluki kembali Palestin pada 1187, bukan sahaja kaum Yahudi sekali lagi terbela, malah rakyat beragama Kristian turut dijamin hak sebagai rakyat dan diberi kebebasan beragama dan berbudaya seperti kelompok masyarakat lain.
Pemerintahan Islam di Andalusia dari tahun 711 hinggalah kejatuhan Granada pada 1492 turut digambarkan oleh sejarawan bukan Islam seperti Jeffrey Lee, sebagai zaman keemasan di mana masyarakat berbilang agama dapat hidup harmonis tanpa diskriminasi. Ini berbeza sama sekali apabila kerajaan Kristian Katolik mengambil alih di bawah pimpinan Raja Ferdinand dan Isabella yang bukan sahaja menghalau orang Islam dan Yahudi dari Sepanyol malah turut membunuh mereka yang ingkar keluar agama.
Demikianlah sebahagian contoh sejarah bagaimana tingginya sifat toleransi dan akomodatif Islam terhadap kepelbagaian agama. Semuanya berasaskan prinsip keadilan dan nilai tiada paksaan dalam beragama yang menerasi kelunakan dan penghormatan Islam kepada sifat kemajmukan manusia.
Bagi umat Islam, yang menimbulkan batas pemisah dalam pergaulan hidup bermasyarakat dan bernegara bukanlah kerana perbezaan iktikad keyakinan atau perbezaan kulit dan bangsa. Yang menimbulkan batas pemisah hanyalah sikap permusuhan terhadap Islam dan umat Islam oleh musuh-musuhnya.
Inilah yang terungkap dalam al-Quran: Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kami dalam urusan agama, dan orang-orang yang tidak mengusir kamu keluar dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah cintakan orang-orang yang berlaku adil (al-Mumtahanah: 8).
Justeru, bulan Muharam yang sarat dengan peristiwa sejarah dan pengajaran amat wajar dijadikan bulan sambutan bagi menonjolkan sifat-sifat akomodatif dan toleransi Islam. Memang tanggungjawab mencanang imej positif Islam adalah suatu kewajiban setiap individu mukmin tanpa terkecuali. Lebih-lebih lagi dalam realiti dunia hari ini yang amat tebal diselaputi awan prejudis dan sikap sinis terhadap Islam. Akhirnya biarlah keperibadian umat yang menjadi saksi ke atas segala pendustaaan mereka.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment