KETIKA di Damsyik awal minggu ini, Perdana Menteri menegaskan bahawa negara Islam tidak wajar hanya menumpukan pada isu-isu politik malah usaha perlu digiatkan untuk meningkatkan kerjasama, terutamanya dalam pembangunan ekonomi dan pelaburan sesama negara Islam.
Tampak kata-kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seperti luahan yang biasa dihamburkan. Namun jika ditelusuri secara objektif, kata-kata tersebut mempunyai maksud yang cukup mendalam.
Ketika ini, umat Islam amat mengimpikan kekuatan zaman lampau apabila mereka pernah menguasai Sepanyol selama 800 tahun dan kebanyakan negara-negara Eropah Timur hampir 400 tahun.
Ketika di kemuncak itulah umat Islam begitu dikagumi dan dihormati termasuklah menjadi kuasa ekonomi dan pelaburan dunia. Dunia Islam atau istilah tradisionalnya ‘Dar al-Islam’ bukan sahaja daerah peribadatan yang subur dengan aktiviti-aktiviti ritualnya tetapi hebat dalam memanifestasikan prinsip ibadah dan akidah dalam segenap aspek kehidupan duniawi termasuklah sistem politik, ekonomi dan sosial.
Walau bagaimanapun kesatuan yang ampuh berpecah menjadi unit-unit kecil. Islam menjadi agama yang mula disalahertikan dengan penumpuan hanya kepada soal-soal spiritual dan ibadah semata-mata. Sebaliknya aspek-aspek kehidupan seperti sistem pemerintahan, ekonomi, perdagangan, sains dan teknologi seolah-olah terpisah daripada kerangka agama.
Mereka mungkin lupa hakikat bahawa kekuatan Islam bukan hanya tergantung kepada kehebatan beribadah. Kalau begitulah formulanya, nescaya Rasulullah s.a.w. tidak perlu bersusah payah membangunkan sistem alternatif dari segi struktur pemerintahan politik, muamalah, pembangunan ekonomi dan sosial di Madinah.
Sejarah membuktikan, tamadun Islam bukan setakat terbina di atas kekuatan akidah. Sebaliknya dinamika tauhid dijelmakan dalam realiti dan tabii manusiawi yang akhirnya menjadi model terbaik bagi manusia menguruskan hal-ehwal keduniaan berpaksikan pengabdian seutuhnya kepada Allah.
Rasulullah menyedari bahawa untuk membina tamadun Islam, tidak cukup hanya berserah dan bertawakal. Allah tidak akan begitu mudah mengubah keadaan hamba-Nya melainkan mereka benar-benar berazam untuk berubah dan membuktikan melalui tindakan dan usaha bersungguh-sunguh sebagaimana terungkai melalui firman-Nya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri. (Ar-Ra’d: 11)
Inilah sebahagian daripada proses tabii yang Allah aturkan untuk hamba-hamba-Nya sebagai salah satu ujian untuk menentukan sama ada mereka tergolong di kalangan orang yang benar atau sebaliknya. Ini dijelaskan lagi dalam ayat berikutnya: Dan pastinya Kami akan menguji kamu sehingga Kami dapat pastikan siapakah yang benar-benar berusaha (atas jalan Allah) dan bersabar. (Muhammad: 31)
Menyedari hakikat inilah Rasulullah sebagai qudwah (model ikutan) berusaha mempersiapkan kekuatan umat dalam pelbagai aspek kehidupan. Sebab itulah kalau disingkap sejarah awal pembentukan Madinah, selain daripada pembangunan akidah dan pemantapan rohani, Rasulullah sebagai ketua negara telah mengambil pelbagai langkah membangunkan sistem politik, ekonomi dan sosial umat Islam.
Dari segi ekonomi umpamanya, Rasulullah membina pasar alternatif yang menjadi pusat pengembangan ekonomi umat berasakan prinsip-prinsip Islam yang bebas daripada eksploitasi, diskriminasi dan penindasan, tidak sebagaimana yang diamalkan oleh peniaga-peniaga Yahudi sebelum kedatangan Islam.
Bagi memastikan masyarakat Islam Madinah sentiasa mendapat sumber makanan yang mencukupi tanpa bergantung kepada kuasa asing, Rasulullah memberi insentif berupa pemilikan tanah bagi yang mengusahakan tanah terbiar untuk pertanian.
Ini merupakan sebahagian kaedah siyasah syar‘iyyah atau pentadbiran politik dan ekonomi umat Islam yang dilakukan bagi memastikan status ekonomi umat berada pada tahap yang mantap tanpa perlu bergantung pada orang lain.
Ternyata usaha memantapkan ekonomi umatlah yang menjadi pemangkin kepada kekuatan kerajaan Islam Madinah bukan sahaja dalam mempertahankan kedaulatannya daripada tekanan musuh-musuh Islam bahkan dengan keperkasaan ekonomi jugalah umat berjaya memperluaskan dakwah Islamiah ke seantero tanah Arab yang lain.
Justeru untuk memungkinkan kebangkitan semula Islam, tidak seharusnya terbatas dalam bentuk fenomena ghairah beribadah semata-mata, tetapi harus menampilkan ‘Islamic economic force’ atau kuasa ekonomi Islam di pentas dunia. Ini hanya boleh direalisasikan melalui kerjasama dan solidariti ekonomi yang mantap di kalangan negara-negara Islam.
Negara-negara Islam harus memanfaatkan 60 peratus sumber galian dunia yang dimiliki mereka untuk pembangunan dan penggemblengan kekuatan ekonomi. Apalah ertinya sorak-sorai kebangkitan Islam yang sering berkumandangan kini, andainya negara-negara Islam tidak mampu bekerjasama dalam aspek perdagangan dan ekonomi sesama mereka
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment