Soalan:
Benarkah menurut mazhab Syafie muka itu dikira termasuk dalam aurat dan wajib ditutup?
Jawapan:
Menurut apa yang dapat kita faham daripada mazhab Syafie, muka dan tangan itu bukan termasuk dalam bahagian aurat dan tidak wajib menutupnya melainkan pada masa tertentu apabila ditakuti berlaku fitnah. Demikianlah menurut riwayat yang masyhur daripada mazhab kita Imam Syafie sesuai dengan pendapat sahabat besar Ibnu Abbas r.a. Imam seluruh ahli tafsir yang telah mentafsirkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan katakanlah kepada wanita yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara yang haram) serta memelihara kehormatan mereka dan jangan mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali apa yang zahir daripadanya sahaja, iaitu muka dan tangan dan perhiasan yang terdapat padanya (surah an-Nur 31).
Inilah aurat yang jelas diarahkan semasa kita beribadat kepada Tuhan, iaitu semasa solat dan haji atau sebagainya kerana itulah aurat yang amat sopan pada pandangan agama. Adapun perbuatan Rasulullah memalingkan muka Fadhli sepupunya dari terus melihat muka wanita khath’amiah itu, yang berada dalam pakaian ihramnya kerana dibimbanginya boleh mendatangkan fitnah. Hakikat ini jelas daripada jawapan baginda sendiri apabila ditanya oleh bapa saudaranya, kenapa engkau palingkan muka anak bapa saudaramu dari melihat wanita khath’amiah itu? Sabdanya: Aku takut syaitan akan menpengaruhi mereka berdua yang masih muda remaja itu. Jadi kalau disuruh dan ada yang menutup mukanya pada pandangan kita ia bukan semestinya kerana aurat malah mungkin juga kerana bimbangkan berlaku fitnah.
Jangan ada mereka yang mudah keliru antara keduanya kerana perbezaannya agak ketara kerana kalau tutup muka itu dituntut kerana aurat, maka ia perlu ditutup selama-lamanya dan tidak dibenarkan membukanya lagi sekalipun semasa melaksanakan ibadat.
Tetapi sekiranya arahan menutup muka tadi kerana mengelak dari fitnah, maka ia diwajibkan semasa kemungkinan berlaku fitnah sahaja. Dan masa-masa tertentu juga mereka tertentu sahaja bukan semua orang tetapi hal ini tidak berlaku, bagi mereka yang berada dalam amalan ibadat dan sebagainya dibenar malah diarahkan supaya membuka muka dan tangannya. Pada pandangan kita Allah sekali-kali tidak mengarahkan sesiapa untuk membuka auratnya lebih-lebih lagi bila melakukan ibadat kepada-Nya. Wallahualam.
Bermasam muka 3 hari
Soalan: Apakah maksud hadis yang mengatakan tidak halal bagi seorang Muslim itu meningggalkan saudaranya lebih daripada tiga hari. Adakah kerana kita tidak berjumpa kawan kita selama tiga hari sudah berdosa dan masuk dalam larangan tersebut atau bagaimana?
– Suraya Sulaiman, Bangsar Kuala Lumpur
Jawapan: Maksud sebenar dari hadis tersebut ialah seorang lslam tidak halal untuk bermasam muka dan tidak bertegur sapa dengan saudaranya yang lsIam atau sengaja meninggalkannya tidak mahu bersahabat dengannya lebih daripada tiga hari, bukan sebagaimana apa yang anda fahamkan. Ini adalah kerana kemungkinan kesibukan dan tidak dapat bertemu saudara kita lebih dari masa tersebut.
Tetapi tidak mengapa sekiranya bukan kerana bermasam muka atau berkelahi. Kerana apa yang dilarang itu ialah amalan berkelahi dan bermusuh, seperti sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Jangan kamu bermusuh-musuh atau kamu berpaling muka dan tidak mahu bertegur sapa antara umat Islam.”
Apa yang sepatutnya umat Islam sentiasa bermesra dan berkasih sayang antara satu sama lain dalam satu ikatan persaudaraan Islam yang padu dan kukuh sebagaimana yang digambarkan oleh hadis Rasul yang bermaksud: Perumpamaan ikatan kasih sayang umat Islam antara mereka samalah dengan sebatang tubuh, bila satu anggotanya sakit maka seluruh anggota tubuh yang lain tidak dapat tidur kerana ikut sama demam dan berjaga malam. Wallahualam.
Isteri panas baran
Soalan: Saya mempunyai seorang isteri yang panas baran, setiap kali kami bertengkar isteri selalu minta saya ceraikannya, tanpa mengira siapa punca pertengkaran itu. Dia tidak segan silu selalu mencabar saya supaya melepaskannya. Saya selalu bersabar mengingatkan akibat dan nasib anak-anak saya yang akan menjadi mangsa nanti. Adakah sikap saya itu dayus dan tidak ada harga diri?
– Mohd Qori Samad,
Jalan padang Temangan
JAWAPAN: Anda adalah lelaki yang sabar, hebat dan dikagumi. Sekali-kali bukan dayus dan bacul kerana dapat melayani kerenah isteri yang panas baran seperti itu. Inilah rahsianya Allah menaruh kuasa talak di tangan kaum lelaki supaya rumah tangga yang dibina itu dapat bertahan dan kekal bahagia, dapat menyelamatkan terutama dirinya dan anak-anaknya. Manakala bilangan talak tersebut dibenarkan sampai dua kali, sekiranya berlaku juga perceraian, masih boleh rujuk kembali untuk pengajaran kepada semua pihak yang mana ada sesetengah orang tidak mahu insaf selagi tidak diberi apa yang dimintanya itu dan setelah mendapat apa yang diminta barulah timbul penyesalan yang tidak habis-habis.
Anda dinasihatkan supaya membimbing isteri anda dan memberinya fahaman agama barulah anda akan beroleh kebaikan sebagaimana sabda Nabi s.a.w., bermaksud: sesiapa yang dikehendaki Allah s.w.t. dengannya akan kebaikan, nescaya akan diberi fahamkannya dalam agamanya (hadis riwayat Muslim). Mafhum mukhalafah hadis ini mereka yang tidak diberi kefahaman dalam agama itu bererti dia akan mendapat kecelakaan dalam hidupnya.
Sebab itu bila Rasulullah dibawa ke neraka pada malam mikraj, baginda lihat ramai kaum wanita yang menjadi penghuni neraka dan bila ditanyakan kenapa? Baginda menjawab kerana tabiat yang ada pada mereka, bersikap kufurkan pergaulan dengan suami, sikit sahaja kesilapan berlaku mudah minta cerai dan ingkarkan jasa dan budi suaminya yang banyak berjasa selama ini, tidak ada satu pun yang dikenangnya.
Sebab itu kita diingatkan dengan firman-Nya bermaksud: Sekiranya kamu membenci sesuatu pada mereka (suami isteri ) maka barangkali kamu benci sesuatu itu, sedangkan Allah jadikan dalamnya (sesuatu yang kamu benci) itu kebajikan yang banyak (surah an-Nisaa' ayat 19). Sikap tidak ada kematangan dan mudah hilang pertimbangan, panas baran, dan tidak sabar inilah menyebabkan ramai mereka yang akan menjadi penghuni neraka. Sebabnya bukan kerana kejadian dirinya lelaki atau wanita malah tanpa mengira siapa yang bersikap panas baran, tidak sabar, mudah radang dan mudah hilang pertimbangan, sama ada dia lelaki atau wanita maka dia akan dimasukkan ke neraka.
Adapun sikap dayus dan bacul itu adalah sifat atau kesalahan yang tidak dapat dimaafkan dalam agama, seperti isteri membawa lelaki lain ke tempat tidurnya atau menduakannya atau ada musuh yang menceroboh rumah tangga dan negaranya tetapi masih juga dia bersabar, sedangkan dia mampu mempertahankan diri dari pencerobohan tersebut. Adapun sikap anda yang sabar dan matang tadi, dapat mengawal diri dan tidak terbawa-bawa dengan sikap panas baran isteri anda itu, amatlah dipuji dan disanjung agama seperti sabda Nabi s.a.w. bermaksud: adakah aku beritahu kamu dengan mereka yang paling handal dan kuat di kalangan kamu, itulah mereka yang dapat mengawal dan menguasai dirinya sendiri, ketika dalam keadaan marah.
Sabdanya lagi bermaksud: Bukanlah kuat itu dengan dapat menjatuhkan lawan tetapi mereka yang benar- benar kuat itu ialah mereka yang dapat mengawal dirinya sendiri ketika dalam keadaan marah (hadis sahih lagi masyhur). Wallahualam.
- SEBARANG kemusykilan bolehlah dialamatkan kepada
Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim,
Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur
atau e-mel mingguan@utusan .com.my.
Pembaca hendaklah menyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.
Wednesday, December 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment