SOALAN:
Adakah bacaan doa akhir dan awal tahun hijrah itu amalan bidaah yang tidak pernah dilakukan pada masa Rasulullah s.a.w. Sedangkan perkara ini kita amalkan setiap tahun di sini. Bagaimana pandangan tuan?
JAWAPANNYA:
Berapa banyak perkara bidaah yang dikerjakan sejak pada masa para sahabat lagi jika bidaah itu difahami secara sempit dan tertutup hanya kerana ia tidak pernah dikerjakan oleh Rasulullah. Tetapi bukan semua perkara yang tidak pernah dikerjakan pada masa Rasulullah itu bidaah, seperti solat tarawih 20 rakaat dan azan dua kali pada hari Jumaat. Begitu juga kerja kebajikan yang lain seperti membangun sekolah, jalan raya, sistem pembangunan dan pertahanan atau kesihatan yang canggih tidak pernah dibuat pada zaman nabi. Seperti solat tarawih 20 rakaat dan azan dua kali dan lain-lain kebajikan itu ada asasnya dalam agama seperti firman Allah s.w.t. bermaksud: Berlumba-lumbalah mengerjakan kebajikan (al-Baqarah ayat 148). Sedangkan solat tarawih dan azan tersebut pernah dilaksanakan oleh Baginda semasa hidupnya. Baginda sendiri keluar mengimami solat tersebut di masjid sebanyak lapan rakaat dan kembali menyambung solat tadi di rumahnya. Ini dibimbangi hukum solat itu akan menjadi wajib sedangkan ianya ibadah sunat. Baginda juga memerintahkan Bilal mengazankan dua kali pada bulan Ramadan untuk memberitahu waktu bersahur dan solat Subuh. Inilah akibatnya kalau fahaman kita terlalu jumud dan sempit akhirnya maksud al-Quran dan hadis itu disalah tafsir kerana sikap yang terlampau atau ghuluw dalam memahami agama. Jadi dalam masalah ini pun kita boleh jadi keliru sedangkan ianya ada asas daripada agama yang mana Baginda dalam banyak kesempatan atau hari-hari tertentu ada memberi penumpuan dan perhatian sama ada dengan berkhutbah, nasihat dan beribadat atau berdoa dengan doa tertentu yang sesuai dengan keadaan dan situasi tertentu.
Contohnya bila kedatangan nisfu Syaaban, bulan Ramadan, Rejab dan peristiwa tertentu seperti khusuf (gerhana), waktu berhadapan dengan musuh, turun hujan banjir dan sebagainya.Allah berfirman yang bermaksud: Mintalah kepada-Ku akan Aku perkenankan (permohonanmu). Sesungguhnya orang yang takbur dan sombong daripada (berdoa atau) beribadat kepada- Ku akan masuk neraka dalam keadaan hina (surah Ghafir ayat 60).
Amalan tersebut sebenarnya sesuai dengan perintah umum al-Quran. Ayat ini memerintah kita berdoa tanpa dikaitkan dengan sebarang sebab dan waktu. Kerana ayat itu berbentuk mutlak lagi umum tanpa ada sebarang qaid. Sebab itu janganlah mudah membidaah atau menyalahkan sesiapa kerana mungkin kaum yang dicela dan dihina itu lebih baik dan merupakan kumpulan majoriti umat Islam di mana-mana dunia. Sedangkan kumpulan yang menjadi majoriti umat Islam itu diakui Rasulullah sebagai umatnya yang berada atas kebenaran (hak) petunjuk Islam dan tidak terjejas dengan kesilapan kumpulan serpihan yang lain (hadis riwayat Muslim). Wallahualam.
Tahun Hijrah
SOALAN:
Saya jadi keliru apabila tahun baru Hijrah dimulakan dengan bulan Muharam bukan bulan Rabiulawal sebagaimana yang kita tahu bahawa Nabi lahir dan berhijrah pada bulan Rabiulawal bukan Muharam. Bagaimana pandangan tuan dalam perkara ini?
JAWAPANNYA:
Dalam soal ini ramai yang keliru seperti saudara kerana Nabi kita berhijrah bukan pada bulan Muharam sebagai yang disangka. Kita semua tahu bahawa peristiwa Hijrah tersebut berlaku pada bulan Rabiulawal pada tahun itu. Kerana Umar telah memilih tahun berlakunya peristiwa Hijrah itu untuk menetapkan tahun baru Islam dalam satu mesyuaratnya, sebagai titik tolak bermulanya tahun baru Islam. Tahun Hijrah itu dikira mengikut perjalanan bulan bukan seperti tahun Masihi dan lain yang dikira menurut perjalanan matahari. Jadi tahun itu dikira bermula dari bulan Muharam bukan Rabiulawal sebagaimana tahun masihi dikira bermula dari bulan Januari bukan Mac atau lainnya . Jadi peristiwa Hijrah itu jatuh pada hari Isnin 12 Rabiulawal kerana Baginda selamat tiba di Madinah tepat pagi hari tersebut sebelum zuhur, bersamaan dengan bulan September tahun 622 Masihi. Jadi bermula tahun itu dikira sebagai permulaan tahun dalam Islam dan dikenali sebagai tahun Hijrah sempena berlakunya pada tahun itulah satu peristiwa bersejarah dalam Islam iaitu penghijrahan Baginda ke Madinah al-Munawarah (Yathrib namanya pada masa itu) dan berlakunya perubahan besar dalam kemajuan dan perkembangan dakwah Islamiah dan juga tertegaknya sebuah kerajaan yang diredhai Allah di atas muka bumi-Nya ini. Ringkasnya kalau kita kira awal tahun baru Islam mestilah bermula dari awal bulan Muharam dan kalau kita kira tarikh kelahiran Baginda ialah jatuh pada hari Isnin 12 Rabiulawal tahun gajah bersamaan dengan 20 Ogos 571 Masihi. Demikianlah menurut catatan sejarahnya yang masyhur. Wallahualam.
Bubur asyura dan 10 Muharam
SOALAN:
Adakah benar ada hadis tertentu menceritakan kelebihan amalan tertentu pada hari 10 Muharam? Dan apakah kaitan bubur asuyra dengan hari tersebut?
JAWAPAN:
Hadis tersebut ramai yang mempertikaikan kesahihannya. Walau bagaimanapun sebahagian amalan itu memang ada juga asasnya seperti amalan memuliakan anak yatim, amalan bercelak, memotong kuku demi untuk menjaga kebersihan dan sebagainya. Jadi amalan baik itu boleh dilakukan atas alasan arahan agama secara umum asalkan jangan dikaitkan dengan sebab atau arahan secara khusus seperti pada hari asyura tersebut yang belum tentu sahihnya. Nanti akan diragui ketepatan amalan itu. Begitu juga dengan bubur asyura boleh kita lakukan atas dasar menjamu atau memberi makan fakir miskin dan untuk melahirkan kemesraan kerjasama dan kasih sayang dalam masyarakat atau jiran tetangga. Ini juga untuk merapatkan hubungan dan mengekalkan suasana keharmonian dalam masyarakat dan negeri atau di mana sahaja terutama di kawasan yang baru dilanda banjir atau suasana kegawatan dan kemusnahan bahan makanan dan keperluan yang lain. Peristiwa ini juga boleh dikaitkan dengan peristiwa sejarah selamatnya Nabi Nuh serta umatnya daripada taufan besar pada masa itu. Wallahualam.
- SEBARANG kemusykilan bolehlah dialamatkan kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim,
Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan .com.my. Pembaca hendaklah menyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment