Islam adalah agama fitrah yang sesuai untuk kehidupan di sepanjang zaman tanpa mengira sempadan waktu mahupun geografi. Justeru tanggapan segelintir yang mengatakan Islam agama kuno yang sudah tidak lagi relevan dengan zaman moden yang serba canggih kini hanyalah menggambarkan kedangkalan fikiran yang tidak memahami sifat tabii Islam itu sendiri.
Memang al-Quran mahupun hadis Nabi s.a.w. tidaklah memperincikan setiap perkara yang bersangkutan dengan kehidupan manusia secara tuntas. Malah al-
Quran sendiri diturunkan dalam bentuk dalil-dalil yang bersifat qat‘i (putus) dan muhkam, dan juga bersifat dzanni (samar) atau juga dipanggil mutasyabihat.
Dalil-dalil yang qat‘i dan muhkam ialah nas-nas yang terang, tegas maksudnya dan tidak perlu lagi dibahaskan. Manakala dalil-dalil bersifat dzanni atau mutasyabihat merujuk kepada nas-nas yang masih samar dan memerlukan penjelasan dan pemahaman lebih lanjut. Allah sendiri memperakuinya apabila menyebut di dalam al-Quran: Di antara isinya ada ayat-ayat muhkamat (iaitu ayat yang jelas maksudnya dan dapat difahami dengan mudah) itulah pokok-pokok isi al-Quran dan yang lain ayat-ayat mutasyabihat. (Ali-Imran: 7).
Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya Al-
Ijtihad fi Syariah al-Islamiyah Ma‘a Nadharatin Tahliyyatin fil-Ijtihad al-Muasir menyebut, di antara hikmah turunnya ayat-ayat mutasyabihat ini adalah untuk memberi kesempatan bagi manusia menggunakan akal yang dikurniakan Allah berijtihad hingga membawa kepada beberapa pemahaman dan interpretasi.
Keanjalan Islam dalam konteks muamalah ini turut dijelmakan melalui kaedah fiqah yang disepakati oleh majoriti ulama muktabar kecuali Zahiri iaitu: “Hukum asal bagi muamalah adalah harus, selagi mana tidak terdapat larangan yang jelas terhadap perkara-perkara tersebut.”
Ini berbeza sama sekali apabila melibatkan urusan ibadah yang menyentuh hubungan manusia dengan Penciptanya. Ulama berpandangan hukum asal bagi ibadah adalah haram. Justeru, untuk melaksanakan sesuatu yang bersifat ibadah seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji mestilah berpandukan aturan yang ditentukan dalil-dalil syarak bagi mengelakkan terjebak dalam perbuatan bidaah (inovasi dalam ibadah) yang diharamkan.
Sebaliknya dalam konteks muamalah di mana tidak terdapat dalil qat‘i, ulama dibenarkan berijtihad dengan menggunakan pelbagai kaedah fiqah seperti qias (menyamakan perkara baru yang tiada nas dengan hukum asal yang ada nas kerana mempunyai ‘illah yang sama); maslahah (mengambil kira kebaikan umum), istishab (doktrin pengekalan hukum terdahulu); ‘urf (adat dan kebiasaan) dan sebagainya.
*Kaedah
Berasaskan pelbagai prinsip dan kaedah inilah ulama-ulama kontemporari cuba merungkai pelbagai permasalahan baru yang menyentuh hal-ehwal keduniaan yang dikategorikan dalam urusan muamalah atau hubungan sesama manusia.
Salah satu sektor yang pesat berkembang lantaran keanjalan sistem muamalah Islam ini termasuklah bidang kewangan dan perbankan Islam. Kaedah fiqah yang memberi kemudahan untuk ulama berijtihad telah merangsang pengenalan transaksi, kontrak atau prinsip-prinsip baru yang tidak pernah wujud sebelum ini.
Pelbagai produk kewangan dan perbankan Islam telah dibentuk dan diperkenalkan bukan sahaja memenuhi prinsip syarak malah selaras dengan kehendak pasaran dan keperluan pelbagai lapisan masyarakat. Umpamanya produk pembiayaan perumahan dan kenderaan menggunakan kontrak baru seperti musyarakah mutanaqisah dan ijarah wa iqtina. Begitu juga produk pasaran modal yang lebih canggih seperti instrumen sukuk yang berasaskan pelbagai kontrak seperti ijarah (sewaan), musyarakah (perkongsian untung rugi), mudarabah (perkongsian untung) dan murabahah (jual-beli).
Namun kebebasan berkontrak juga tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Ulama membahagikan kebebasan berkontrak kepada dua. Pertamanya ialah menyentuh hak Allah (huququllah) dan keduanya ialah hak sesama manusia (huquq al-ibad). Hak Allah tidak boleh diubah suai sedangkan hak sesama manusia masih terbuka luas untuk berlaku pengubah suaian selagi mana kedua-dua pihak yang berakad reda antara satu sama lain (rujuk ayat al-Nisa:29).
Sebagai contoh, dalam membentuk suatu kontrak mestilah bebas daripada unsur riba walaupun kedua-dua pihak reda antara satu sama lain. Ini kerana riba merupakan hak Allah yang tidak boleh dipertikaikan dan wajib dipatuhi oleh pihak yang bermuamalah. Namun, manusia bebas memasukkan syarat-syarat baru (sulh) selagi kedua-dua pihak reda tanpa menafikan hak Allah seperti pengharaman riba, maisir (judi) atau gharar fahish (ketidakpastian melampau).
Begitulah hebatnya sistem muamalah Islam yang diaduni keseimbangan antara unsur ketegasan dan keanjalan dalam mengatur kehidupan manusia. Dua unsur inilah yang menjadikan Islam sebagai agama yang kekal relevan dan mampu menangani pelbagai isu dan permasalahan baru dalam dunia yang serba canggih dan moden kini. Apa yang lebih mendesak kini adalah keperluan untuk mempersiapkan generasi ulamak yang bukan sahaja menguasai disiplin ilmu Islam tetapi mampu menganggapi permasalahan baru secara bijaksana dan inovatif.
Wednesday, December 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment