KEMUNCULAN tanggal 12 Rabiulawal saban tahun merupakan detik yang paling bernilai bagi umat Islam sejagat. Ia bukan sekadar tarikh semata-mata tetapi satu detik sejarah yang amat berharga bagi sejarah peradaban umat manusia seluruhnya.
Tarikh tersebut sebenarnya menjadi titik tolak kepada permulaan pembangunan umat dan pembinaan tamadun baru bagi sejarah kehidupan manusia kerana pada tarikh tersebut lahirnya Rasulullah s.a.w.
Baginda diutus sebagai pembawa rahmat dan penjana kebahagiaan kepada alam sejagat. Ia dinyatakan dengan jelas oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan tidaklah Kami utuskan engkau (Muhammad) kecuali sebagai pembawa rahmat kepada sekelian alam. (al-Anbiya’: 107)
Rasulullah dilahirkan ketika umat manusia amat memerlukan kepimpinan baru yang mampu untuk membimbing mereka ke arah menjadi umat yang sejahtera dan gemilang. Sebelum kelahiran baginda, umat manusia berada dalam suasana keruntuhan dan huru hara yang dahsyat. Rosaknya sistem nilai dan peradaban hidup, binasanya akhlak dan moral seharian dan jauhnya mereka dengan jalan hidayah dan kebenaran.
Apa yang pasti, mereka tidak memiliki panduan yang secukupnya demi untuk menjalani bentuk kehidupan yang bermoral tinggi. Pembunuhan, perbalahan, perpecahan, zalim menzalimi, penindasan adalah perkara biasa dalam realiti kehidupan. Justeru mereka dinamakan masyarakat jahiliah, iaitu jahiliah dalam konteks tidak memiliki kekuatan agama sebagai pemandu dalam kehidupan.
Kelahiran Rasulullah s.a.w. adalah kelahiran bermesej. Mesej kelahiran baginda adalah bersifat komprehensif atau menyeluruh. Ia terkandung dalam konteks untuk membimbing umat, mengukuhkan nilai hidup mereka dan mengajak ke arah jalan yang diredai Allah. Mesej inilah yang digambarkan oleh baginda dalam riwayat Imam Ahmad yang bermaksud: “Bahawasanya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
Menurut Muhammad al-Ghazali, mesej pembangunan akhlak yang ditaja oleh Rasulullah adalah jawapan yang paling unggul dalam suasana umat amat memerlukan titik-titik perubahan dalam peradaban mereka.
Mesej yang dibawa oleh Rasulullah sebenarnya adalah satu penegasan betapa umat manusia semestinya bangkit untuk menegakkan kembali sebuah kehidupan bermoral yang sesuai dengan status manusia sebagai makhluk yang terbaik di sisi Allah. Ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: Demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. (at-Tin: 4)
Oleh itu, persoalan pembangunan umat seterusnya memperkasakan nilai-nilai kemuliaan hidup merupakan isu paling utama dalam situasi perkembangan semasa dewasa ini. Melihat kepada pelbagai masalah yang dihadapi oleh umat Islam, maka tibalah masanya untuk mereka menghayati bahawa tarikh kelahiran Rasulullah adalah titik permulaan untuk mengorak langkah ke arah cara hidup yang sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh pencipta alam iaitu Allah s.w.t.
Pembangunan yang ingin dibina pula adalah pembangunan yang bersifat menyeluruh iaitu meliputi aspek kerohanian dan jasmani. Umat Islam hari ini berkewajipan membangun semula dalam konteks pemikiran atau pembangunan minda, pembangunan iman atau akidah, pembangunan jiwa atau hati, pembangunan sikap atau akhlak, pembangunan ilmu dan keintelektualan, pembangunan kesatuan hati dan perasaan dalaman umat.
Semua aspek tersebut perlu dibangunkan melalui proses yang berterusan dan berkesinambungan. Pokok pangkalnya ialah dengan kembali semula kepada landasan yang diajar dan diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w.
Dalam hal ini, Baginda berpesan kepada seluruh umat ketika mana baginda mengerjakan ibadah haji yang terakhir, dengan sabda baginda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu al-Quran dan al-hadis.”
Justeru, setiap aspek dalam kehidupan umat perlu diberikan nafas baru.
Ia memerlukan anjakan yang bersifat menyeluruh. Rasulullah melalui risalah dakwahnya membimbing umat manusia supaya membangunkan nilai keimanan yang mantap terhadap Allah. Ini kerana ia akan mendorong umat manusia memahami erti dan tujuan hidup ini dan merealisasikan fungsinya dalam konteks peribadatan kepada Allah.
Nilai seumpama ini akan menjadikan umat manusia berada dalam bimbingan hidup yang bernilai tinggi dan akan terikat dengan situasi kebahagiaan yang sejati. Oleh itu, saranan utama dalam konteks dakwah baginda ialah supaya manusia segera kembali kepada agama dan berpegang teguh dengan tali Allah.
Pembangunan sikap dan akhlak juga merupakan jalan utama yang memungkinkan terbinanya peradaban yang jitu dalam kehidupan umat sejagat. Akhlak yang baik adalah neraca kepada segala kebaikan dan kemuliaan dalam realiti kehidupan. Sebaliknya akhlak yang buruk adalah gambaran kepada kemusnahan dan keruntuhan nilai kemanusiaan itu sendiri.
Dalam hal inilah, Rasulullah menekankan agar umat manusia sentiasa berakhlak dengan akhlak yang baik walau di mana mereka berada. Ini sesuai dengan saranan baginda dalam hadis yang maksudnya: “Berlaku baiklah kamu dengan sesiapa sahaja walau di mana kamu berada.” (Riwayat Tirmizi).
Sejarah membuktikan betapa peradaban sesuatu umat akan binasa di saat hancurnya akhlak umat tersebut. Oleh itu, pembangunan sikap dan akhlak adalah sesuatu yang mesti diambil peduli oleh setiap insan muslim dalam apa situasi sekali pun. Melihat kepada perkembangan akhlak dan sikap semasa masyarakat kita pada hari ini, ia amat membimbangkan banyak pihak. Terutamanya apabila ia melibatkan permasalahan generasi muda umat Islam.
Berkualiti
Sesuai dengan hasrat mencapai negara maju dalam dekad akan datang, maka tiba masanya umat Islam dalam negara ini terutamanya kepimpinan masyarakat bahkan seluruh umat mengorak langkah yang sewajarnya ke arah untuk membina kembali nilai-nilai peradaban yang berkualiti. Seterusnya menghapuskan semua gejala yang merosakkan boleh umat dan peradaban mereka.
Rasulullah s.a.w. juga menekankan pentingnya pembangunan ilmu dan keintelektualan. Terdapat banyak saranan oleh baginda yang berkaitan dengan pentingnya menguasai ilmu. Bahkan menuntut ilmu adalah wajib dalam ajaran Islam, berdasarkan sabda baginda yang bermaksud: “Menuntut ilmu adalah wajib bagi seorang Muslim.”
Penguasaan ilmu dan kemantapannya akan menjadikan umat semakin maju dan akan menjadi pemangkin kepada faktor kejayaan dalam pelbagai lapangan kehidupan. Hari ini, umat Islam gagal dan kecundang dalam pelbagai aspek hidup disebabkan gagalnya mereka menguasai pelbagai cabang ilmu semasa termasuklah ilmu keagamaan.
Rasulullah adalah tokoh dalam segala cabang ilmu sama ada ilmu keagamaan mahupun ilmu keduniaan. Baginda adalah contoh terbaik dalam penguasaan terhadap segala cabang ilmu tersebut. Justeru, umat masa kini sewajarnya kembali merebut dalam konteks penguasaan ilmu sama ada ilmu akhirat mahupun ilmu dunia. Umat Islam sudah lama terpinggir dalam aspek penguasaan mereka terhadap segala cabang ilmu.
Betapa sudah banyak ilmu umat Islam dikuasai oleh kuasa Barat hingga menjadikan umat Islam ketinggalan dalam segala bidang. Oleh itu, amat wajar umat Islam membina semula tahap-tahap penguasaan mereka terhadap ilmu yang sememangnya menjadi hak milik mereka.
Justeru, di saat menyambut kedatangan Maulid al-Rasul kali ini, umat Islam seharusnya membangunkan kembali cita-cita dan kemahuan mereka untuk menguasai segala cabang ilmu dan selayaknya mereka dikenali umat yang terbaik (khair ummah) di sepanjang zaman. Umat Islam sememangnya memiliki keupayaan yang cukup untuk menguasai segala bidang ilmu, termasuklah ilmu bersifat semasa seperti ilmu sains dan teknologi.
Kita dapat lihat, betapa negara-negara umat Islam memiliki pelbagai kepakaran dan kemahiran. Jika segala kemahiran dan kekuatan itu diguna pakai dengan cara yang sewajarnya, pasti umat Islam mampu menguasai alam sejagat dalam pelbagai bidang bahkan menjadi umat contoh kepada masyarakat lain.
Berasaskan misi kerasulan tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa umat Islam sememangnya sudah memiliki arah pandu yang jelas sama ada melalui ajaran al-Quran atau al-hadis bahkan dari jejak-jejak hidup Rasulullah itu sendiri. Apa yang perlu ialah kebangkitan semula perlu dilakukan dalam konteks menyuburkan minda yang sejahtera, memperkasakan jiwa keimanan dan menyusun langkah atur yang sewajarnya.
Semuanya itu dengan panduan sejarah perjuangan Rasulullah bermula dari saat kelahiran sehinggalah saat kewafatan Baginda. Ingatlah, umat Islam tetap umat terbaik dan umat contoh hasil dari sejarah perjuangan baginda Rasulullah s.a.w.
* ROSLAN MOHAMED ialah pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment