Tuesday, December 11, 2007

72. Rasulullah sebagai pedoman hidup

BERARAK sambil mengalunkan puji-pujian ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., ceramah Maulidur Rasul dan kenduri kesyukuran adalah amalan lumrah masyarakat Islam di negara ini, acap kali tibanya hari kelahiran Rasulullah s.a.w.

Bagaimanapun terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan upacara sambutan sebegini dengan alasan ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Namun menyedari hari itu sarat dengan falsafah, makna serta lambang kemegahan dalam kehidupan seorang Islam, sekali gus memperingati kisah perjuangan Baginda menyebarkan syiar Islam, maka tidak salahnya umat Islam menyambut sesuatu peristiwa besar dalam takwim hijrah ini.

Pun begitu, tegas Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Dr. Saifullah Mohd. Sawi, janganlah sehingga upacara di atas itu semacam satu kemestian, apatah lagi kesannya cuma sesaat sahaja.

Lebih menyedihkan apabila perayaan hanya tinggal perayaan dan impaknya kepada umat Islam umpama mencurah air di daun keladi.

“Kita mahu ada anjakan selepas sambutan peristiwa Maulidur Rasul. Kita tidak mahu ia statik di situ sahaja. Sambutan Maulidur Rasul perlu meninggalkan kesan kepada kita, pertama kita perlu ambil intipati peristiwa besar itu bukan aksesorinya atau hiasan luarannya sahaja,” kata beliau.

Sambutan seperti perarakan dibolehkan cuma yang perlu diberi penekanan ialah saripati daripada sejarah perjuangan, kejayaan dan keazaman baginda itu dijadikan pedoman dalam kehidupan sehari-hari.

“Lantas, apa kesan yang tinggal selepas sesuatu acara sambutan Maulidur Rasul itu disambut adalah lebih penting dan perlu difikirkan,” kata Saifullah sewaktu ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

“Sempena sambutan Maulidur Rasul ini, seharusnya umat Islam mengingati tiga tugas utama Nabi Muhammad dan sentiasa ingin meniru sifat Baginda Rasulullah. Barulah Maulidur Rasul yang disambut setiap tahun itu tidak tinggal tema dan amanat sahaja,” katanya.

Kata Saifullah, ayat yang menyebut tentang tugas Rasulullah dijelaskan dalam surah Ali Imran ayat 164. Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.

Tiga tugas itu ialah;

* Pertama, membacakan kepada mereka ayat-ayat Quran. Oleh itu umat Islam tidak sekadar membaca al-Quran semata-mata tetapi kejadian alam semula jadi, itu juga adalah ayat-ayat Tuhan. Justeru itu, umat Islam perlu menjadi penyelidik dan peneroka alam.

* Kedua, Nabi datang untuk memperbaiki akhlak orang jahiliah.

* Ketiga, mengajar serta mendidik al-Quran dan hadis secara berhikmah atau bijaksana.

Menurut Saifullah, semua ini bersesuaian dengan ayat pertama yang diturunkan iaitu Iqra yang bermaksud Bacalah. Lantaran itu umat Islam mestilah berilmu pengetahuan. Umat Islam kini perlu bangkit dan mewarnai apa juga bidang sehingga apa yang dilahirkan mempunyai roh Islam. Contohnya dalam aspek perbankan, muzik, ekonomi, politik, fesyen dan media bercorak berwarna Islam.

“Untuk masa hadapan peranan setiap umat Islam itulah yang lebih penting. Siapa mengerjakan apa dengan cara yang bagaimana perlu menjadi fokus agar Islam tidak lagi boleh diperkotak-katikkan oleh agama lain,” katanya.

Menjelaskan perihal ini, Saifullah berkata, setiap individu itu mesti mengambil bahagian yang relevan dengan bidang dan kepakarannya lalu bekerja keras untuk merealisasikan butiran itu. Contoh, ahli ekonomi perlu melawan kekafiran dengan cara-cara ekonomi Islam.

Selain itu, seperkara yang perlu dicontohi umat Islam ialah meniru sifat-sifat Nabi Muhammad.

Ini jelas diterangkan dalam surah al-Fath ayat 29 bermaksud: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka, kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud...

“Tanpa lima karakter ini iaitu; tegas kepada kekafiran dan orang kafir, berlembut kepada saudara sesama Islam, kehidupannya bagaikan selalu rukuk dan sujud, meneroka bumi dengan cara yang diredai Tuhan dan Baginda orang yang rendah hati atau tidak sombong, jangan sekali-kali kita menyebut kita adalah umatnya.

“Sayangnya umat Muhammad kini banyak yang tersasar daripada akhlak Rasulullah. Lihat sahaja kini, umat Islam semakin sukar dibezakan sama ada dari segi pertuturan, pergaulan, pakaian malah apa sahaja kerana semuanya seakan-akan serupa dengan orang kafir.

“Apabila sesama Islam pula, kita langsung tidak boleh berkompromi berbanding apabila berurusan dengan orang kafir,” jelasnya.

Nabi Muhammad juga sejak kecil sudah menggembala kambing dan berdagang. Sungguhpun ada masanya dihabiskan di Gua Hira untuk bermeditasi tetapi ia dilakukan tidak sepanjang waktu.

Secara tidak langsung ini menjelaskan kepada kita bahawa aspek ekonomi sentiasa menjadi keutamaan baginda.

“Lebih menghairankan mengapa umat Islam sekarang seakan mengenepikan penglibatan dalam sektor ekonomi sehingga dipegang oleh orang asing? Sedangkan Nabi telah menunjukkan bahawa baginda bukan sahaja menumpukan kepada urusan dakwah tetapi kekuatan dan kehebatan ekonomi umat Islam suatu masa dahulu memang tiada tolok bandingannya,” tegasnya.

Saifullah berpendapat, sambutan Maulidur Rasul, Sabtu ini adalah waktu yang tepat untuk mengorak langkah menjadikan Islam itu ‘masuk’ ke dalam setiap kehidupan umat Islam.

Namun beliau akui tugas itu bukanlah mudah dan memerlukan kerja kuat, keazaman serta keyakinan untuk berjaya. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Umat Islam tidak seharusnya hanya mengutamakan akhirat semata-mata sehingga meninggalkan langsung urusan duniawi kerana itu lebih merugikan umat Islam di dunia dan di akhirat.

“Sebagai khalifah Allah di muka bumi maka kita perlu memakmurkan bumi Allah. Kita tidak boleh lari dari dunia dan kena ikut serta, cuma jangan lalai dan menjadi pengikut,” kata Saifullah.

No comments: