Monday, December 3, 2007

34. Tajdid Iman: Beramal tanpa ilmu jadi sia-sia

Mengenal Allah bukan dengan ketundukan jasad sedangkan hati dibiar lalai

BILAKAH masa paling tepat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengenali-Nya? Ada satu masa ketika kita terselamat daripada maut, saat itu kita berasa mengenal Allah. Saat tragedi menimpa saudara mara yang memisahkan anak daripada bapanya, isteri daripada suaminya, maka hati mula tersentuh dan bertanya: "Bagaimana jika diriku yang ditakdirkan menanggungnya?"

Saat itu tersingkap sedikit lagi jalan untuk mengenal Allah. Begitu pula ketika sahabat rapat kita mengalami krisis kewangan, kehancuran rumah tangga atau sakit kronik. Masa itu, kita berasa sedih, sekali gus bersyukur kepada Allah kerana menyelamatkan diri dan keluarga daripada bencana.

Terbuka juga jalan yang terang untuk mengenal Allah hingga saat-saat kita sendiri mengalami nasib sama. Dalam keadaan lemah barulah kita faham betapa agungnya Allah. Jika kita rasa tidak berguna, barulah kita tahu qudrah (kekuasaan) Allah mengatasi segala kepintaran manusia.

Dia yang Maha Pengasih daripada siapapun yang mengasihi sudah membuka hati kita untuk berusaha mendekati-Nya. Siapa mengetahui bahawa dirinya tidak berdaya, bodoh, zalim, aib, serba kekurangan, miskin, hina dan hampa, maka dia mengetahui Tuhannya memiliki sifat bertentangan dengan semua itu.

Maka bertambah fahamlah dia mengenai batasan dirinya sendiri dan dia tidak boleh melampaui batasan itu. Akhirnya, dia kembali kepada Allah seraya menyebut segala kesempurnaan dan kebesaran-Nya kemudian menggantungkan harapan setinggi-tingginya kepada Allah.

Dia pula menyelam bersama rasa khauf (takut) yang amat dalam di lautan kekuasaan Tuhannya seraya mengikat lehernya dengan tali tawakal, sedar akan kuasa genggaman Allah atas jiwa dan raganya.

Pada lisan dan hatinya sentiasa terpahat firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah, tidak akan menimpa sesuatu atas kami melainkan apa yang Allah tentukan untuk kami."

Jiwa seorang hamba dipenuhi dua ilmu yang menerangi dirinya, sehingga gerak hati dan tubuh badannya dikawal ilmu itu. Iaitu ilmu mengenal Allah dan ilmu mengenal diri sendiri. Kita membaca sirah sahabat yang agung dalam mencari hidayah Allah.

Begitu panjangnya perjalanan mereka menuntut ilmu hingga mereka mengenal Allah, diri sendiri dan akhirnya sanggup mengorbankan segala-galanya demi hidayah Islam yang teramat mahal harganya.

Mereka hidup dalam kebencian dan penghinaan kaumnya, segala bentuk penindasan dirasai hingga ke suatu tahap Nabi SAW membenarkan kepura-puraan 'Ammar menyatakan kekufurannya di hadapan orang kafir supaya mereka meringankan seksaan kepadanya.

Namun demikian, 'Ammar terpaksa melihat sendiri perbuatan orang kafir itu membunuh ibunya dengan cara yang memilukan. Saat diuji dengan seksaan mental yang lebih sakit daripada hirisan pedang semakin bertambahlah ilmu dan imannya kepada Allah.

Hati yang menangisi kepergian bonda menyimpan cahaya hidayah semakin menyala. Di sini kita boleh berasa kekuatan iman dan ilmu itu bergantung kepada hebatnya ujian yang dideritai hati serta tubuh badan orang beriman.

Memiliki kekuatan ilmu sentiasa menjadi matlamat hidup sahabat Rasulullah SAW, sehinggakan Abu Darda' pernah berkata: "Alangkah hebatnya tidur dan tidak puasanya orang alim kerana ia lebih baik daripada bangun malam dan puasanya orang bodoh, sesungguhnya ibadat orang yang bertakwa walaupun sedikit lebih utama daripada ibadat orang yang tertipu."

Perkataan ini bernilai tinggi dan ia menunjukkan kesempurnaan kefahaman serta ilmu sahabat Baginda SAW. Makna ungkapan itu ialah manusia hanya boleh melalui jalan menuju Allah dengan ilmunya yang menerangi hati hingga mencapai darjat takwa.

Sedangkan amal yang dilakukan tanpa ilmu, kefahaman dan penghayatan nyata sia-sia bagi pelakunya. Sesungguhnya mengenal Allah bukan dengan cara ketundukan jasad saja hingga membiarkan hati lalai kerana tiada ilmu.

Tetapi cara yang diajarkan Nabi SAW kepada sahabatnya bermula daripada hati yang hidup dengan ilmu. Bukan daripada mimpi pelik yang seolah-olah mendengar suara ghaib lalu mula menambah amalan hingga melebihi batas kemampuan dan menyalahi Sunnah Rasul SAW. Akhirnya terjerumuslah dalam 'Talbisul Iblis', penyamaran dan belitan syaitan yang menipu hamba yang jahil.

Untuk mendapat darjat dekat kepada Allah, cukup dengan mengikut sandaran al-Quran dan petunjuk Rasul SAW, sunnah Khulafa' al-Rasyidin, tabi'in dan tabi' tabi'in. Tiada yang lebih sempurna daripada ajaran Baginda SAW.

Sesiapa mengambil selain itu seakan-akan berjalan tanpa arah tujuan yang membawa kepada keletihan dan kepayahan, jauh sekali berasa tenteram serta tenang dalam hatinya. Kerana yang mengisi hati itu bukan ilmu Allah melainkan rasa was-was yang ditiupkan syaitan laknatullah. Betapa berbahaya hati yang sepi daripada ilmu dan hidayah Allah.

Ada pula yang berjalan menuju Allah tetapi tersekat di tengah jalan kerana hawa nafsu, harta dunia, pengikut, jawatan dan pangkat, pujuk rayu wanita, perhiasan dan hiburan melalaikan. Jika dia berhasil merobohkan sekatan itu, maka dia sudah lulus menuju ke tingkat lebih berat lagi. Hingga dia sampai kepada keredaan Allah di akhir hayatnya.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

No comments: