SUDAH sewajarnya seseorang Muslim perlu mengetahui dan memahami cara bermuamalah dengan penguasa (pemerintah). Berdasarkan kepada panduan agama, para ulama bersepakat akan kewajipan taat kepada penguasa yang ada, baik bagi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh negeri bagi kaum Muslimin atau ramai pemimpin yang menguasai negeri-negeri tertentu.
Dalam konteks sesebuah negara yang stabil, maka setiap orang yang berada di bawah kekuasaannya adalah wajib meyakini bahawa penguasa (pemerintah) berhak dibai‘at oleh mereka. Ini merupakan kewajipan syariat. Orang yang tidak meyakini kewajipan bai‘at kepada penguasa di negerinya yang menjadi kewajipannya ia terancam dengan ancaman yang keras. Berhubung perkara ini Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: Barangsiapa melepaskan ketaatan (daripada penguasa), nescaya akan menemui Allah tanpa memiliki hujah (alasan). Dan barangsiapa meninggal tanpa ikatan bai‘at, maka kematiannya (seperti) kematian jahiliah (riwayat Muslim).
Dan harus diingatkan bahawa bai‘at kepada penguasa bukan seperti kalung yang boleh diletakkan dan ditanggalkan sesuka hati; jika ia suka dipakainya, dan apabila tidak suka ditanggalkan. Tetapi kewajipan bai‘at tetap berlaku selagi kekuasaan penguasa masih ada atau bertapak di negeri tersebut. Seseorang Muslim tidak boleh menarik diri daripada bai‘at ini.
Dasar kedua yang perlu dipatuhi terhadap pemerintah ialah mengenai bagaimana cara pendekatan yang harus diambil dalam menasihati pemerintah kerana mereka adalah manusia yang berhak menerima penghormatan daripada seluruh rakyat jelata. Islam menyarankan umatnya menjauhi sikap khuruj (memberontak, penderhakaan atau lain-lain cara penentangan yang salah). Adanya kesalahan pada diri pemimpin, bukan pula bermakna kita boleh memijak kehormatan mereka. Kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesalahan mereka dengan cara-cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan oleh agama. Perbuatan menegur dengan cara penderhakaan atau caci maki akan menimbulkan rasa benci dan marah di kalangan rakyat yang cintakan keamanan. Teguran yang membina terhadap pemerintah adalah teguran dan nasihat yang ikhlas, bukan perasaan hasad dengki atau berbentuk meruntuhkan segala apa yang ada di hadapannya tanpa mengira buruk baiknya atau untung ruginya.
Oleh kerana pemerintah tidak selalunya benar dan tidak mencapai darjat maksum, maka mereka yang ingin menasihatinya atau memperbetulkan kesilapannya perlulah mengikut mekanisme yang dibenarkan oleh syariat. Ini sesuai dengan panduan Rasulullah sebagaimana sabda baginda bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t. meredai untuk kamu tiga perkara, antaranya kamu menasihati mereka yang diangkat untuk menjaga urusan kamu (riwayat Ahmad).
Sesunguhnya Allah meredai di kalangan hamba-Nya yang dapat menasihati pemimpin supaya bersikap jujur dan perlulah bermuamalah dengan menjelaskan mana-mana kesalahannya melalui cara yang dibenarkan oleh syariat. Berhubung perkara ini, Rasulullah pernah mengingatkan umat baginda mengenai tiga perkara penting yang hati orang mukmin tidak sanggup untuk berlaku curang apabila melakukannya.
Pertama, ikhlas beramal kepada Allah, kedua, dalam menasihati pemerintah, dan ketiga, dalam kesetiaan terhadap jemaah.
Tiga hal ini sepatutnya menjadi panduan bagi mukmin agar tidak mengkhianatinya, iaitu dalam melakukan ibadat dan semua urusan terutamanya semata-mata hanya kerana Allah. Perkara ini penting untuk dipraktikkan ketika ingin menasihati pemerintah dan hendaklah diasaskan di atas rasa kasih sayang, ikhlas dan demi memperoleh keredaan-Nya semata-mata, bukan kerana sebarang kepentingan yang lain. Di atas keikhlasan itulah menyebabkan mukmin seharusnya tidak sanggup keluar daripada ikatan taat setia kepada pemerintah, malah sentiasa mendekati bersama kumpulan jemaah pemerintah (ulil amri) tersebut. Berhubung perkara menasihati pemerintah ini, Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: Sesiapa ingin menasihati sultan (pemerintah) dengan sebarang urusan, janganlah menampilkan kepadanya secara terang-terangan.Tetapi hendaklah memegang tangannya, lalu dibawa ke suatu tempat yang tersembunyi (pada masa itu bolehlah dia menasihatinya secara berseorangan dan jika nasihatnya diterima, maka itulah yang sebaik-baiknya dan kalau tidak, maka dia sudah pun menunaikan tanggungjawabnya sendiri (riwayat Tarmizi).
Daripada hadis tersebut dapatlah difahami bahawa sesiapa yang ingin menasihati sultan (raja) atau pemerintah, tidak harus secara terbuka atau di hadapan umum secara terang-terangan atau di atas pentas di tengah- tengah perhimpunan umum. Demikianlah ajaran yang dipesan oleh Rasulullah. Bagaimanapun, ramai yang lupa kerana keghairahan ingin menonjolkan sebagai jaguh masyarakat di samping bertujuan menarik perhatian ramai supaya disanjung atau dipilih sebagai ketua.
Prinsip ketiga ialah kita harus mendengar dan taat kepada penguasa pada perkara yang bukan maksiat kepada Allah. Tidak ada kebaikan bagi masyarakat kecuali dengan jemaah. Dan urusan jemaah tidak akan berjalan lancar melainkan dengan adanya ‘imamah’ (kepimpinan). Dan tidak akan lurus atau bergerak lancar sesuatu kepimpinan kecuali dengan ketaatan. Dalam hal ini Nabi Muhammad menegaskan dalam suatu hadis yang bermaksud: Barangsiapa taat kepadaku, sungguhlah ia taat kepada Allah. Barangsiapa bermaksiat (melakukan kesalahan dari sisi agama) kepadaku, sungguhlah ia telah bermaksiat kepada Allah. Barangsiapa taat kepada Amir (penguasa), sungguhlah ia taat kepadaku. Dan barangsiapa yang bermaksiat kepada Amir, sungguhlah ia bermaksiat kepadaku (riwayat Bukhari).
Rasulullah pernah ditanya, apakah harus kita memerangi mereka (pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat dengan pedang atau menggunakan sebarang kekerasan. Nabi menjawab menerusi sabda baginda yang bermaksud: Tidak, selama ia menegakkan (menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai oleh seorang penguasa, dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah, hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah yang dilakukannya itu dan tetap tidak melepaskan ketaatan kepadanya (riwayat Muslim).
Meskipun apa yang diperintah atau dilaksanakan oleh umarak tidak menyenangkan hati kita, kita tidak sepatutnya menentang atau tidak mahu menerimanya selagi apa yang diperintah dan dilaksanakan itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunah. Ini ditegaskan oleh Rasulullah menerusi sabda baginda yang bermaksud: Seseorang Muslim wajib memperkenankan (menerima) dan taat berkaitan apa sahaja (yang diperintahkan oleh ulil amri), suka atau tidak suka. Tetapi apabila ia (orang Muslim) diperintahkan berbuat maksiat, maka ketika itu tidak boleh diperkenankan (diterima), tidak juga taat (riwayat Bukhari dan Muslim).
Perhatikan bagaimana perseimbangan yang indah ini jika berlaku kepincangan di mana-mana, tentu kita tidak menyukainya kerana Allah tidak memerintah dengan perkara fahsya dan juga mungkar dan tetap menegaskan kepadanya bahawa perkara tersebut adalah tetap dilarang keras dalam agama dan perlu dijauhi dan ditinggalkan tanpa sebarang kompromi lagi. Ia bermakna, perlu dipisahkan antara amalan jahat pemerintah dan perbuatannya, barulah tindakan kita akan seimbang dan adil serta ada batasannya. Tidaklah sampai rakyat akan membenci dan memusuhi pemerintah. Dan prinsip yang keempat ialah kita tidak harus sewenang-wenangnya ‘mengkafirkan’ penguasa Muslim. Takfir merupakan hak Allah, tidak boleh dilontarkan begitu sahaja atau sewenang-wenangnya kepada orang tertentu kecuali kepada orang yang berhak dikafirkan dengan bersandarkan syariat.
Oleh hal yang demikian itu, adalah menjadi hak kita untuk mentaati umarak (pemerintah). Meskipun terdapat kecacatan atau kesalahan yang dilakukan oleh mereka, namun kita tidak harus menghukumnya dengan cara penderhakaan yang ditegah oleh syariat Islam. Adalah penting bagi kita untuk memahami cara bermuamalah dengan umarak bagi meluruskan sesuatu perkara atau keadaan yang telah bengkok akibat perbuatan atau tindakannya. Mempraktikkan sikap khuruj bukanlah jalan penyelesaian yang bijak dan adil.
- MOHD SHAUKI ABD MAJID ialah Penolong Pengarah YADIM
Wednesday, December 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment