Tuesday, December 11, 2007

59. Tidur waktu khutbah

SOALAN:
SAYA seorang pegawai kanan kerajaan yang begitu sibuk. Biasanya datang ke masjid untuk sembahyang Jumaat ketika imam telah mula membaca khutbah. Masalah saya ialah, boleh dikatakan setiap kali khutbah dibaca, saya akan tidur, sehingga tidak dapat mendengar sebahagian besar khutbah yang dibaca. Bagaimana saya dapat mengatasi masalah yang berlarutan ini?


JAWAPAN:
Perlu disematkan dalam pemikiran bahawa datang ke masjid lebih awal itu adalah paling utama. Lebih besar pahalanya berbanding mereka yang datang lambat, itulah ganjaran yang akan diberi, menurut janji Allah. Itulah rangsangan membolehkan seseorang itu datang lebih awal ke masjid. Sibuk, tidak boleh dijadikan alasan. Kalau ianya hendak dijadikan alasan, maka seseorang itu akan datang ke masjid lambat, ketika imam mula membaca khutbah.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Barangsiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi junub, kemudian pergi pada waktu pagi ke tempat sembahyang Jumaat, maka pahalanya seperti pahala berkorban seekor unta gemuk, barangsiapa pergi pada waktu kedua, pahalanya seperti pahala berkorban seekor lembu, dan barangsiapa pergi pada waktu yang ketiga, maka pahalanya seperti pahala berkorban seekor kibas yang bertanduk, manakala orang yang pergi pada waktu keempat, maka pahalanya seolah seperti ia berkorban seekor ayam dan mereka yang pergi pada waktu kelima pahalanya seolah-olah ia berkorban sebiji telur. Apabila Imam telah datang, maka hadirlah semua malaikat untuk mendengar khutbah.

Imam Syafie, juga beberapa ulama lain menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘‘as-sa ah’’ yang tersebut dalam hadis ini ialah waktu siang. Kerana itu menurut mereka, sunat pergi ke masjid sejak daripada waktu terbit fajar lagi. Imam Malik pula berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ini ialah bahagian-bahagian daripada waktu, sekira-kira sejam sebelum matahari tergelincir.

Al-Qamah menyatakan bahawa pada satu ketika ia bersama Abdullah bin Masud ke masjid. Didapati ada tiga orang yang datang terlebih dahulu. Abdullah menyatakan bahawa dia adalah orang yang keempat, orang yang keempat itu tidak jauh daripada Allah s.w.t.

Ia menyatakan bahawa dia mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya pada hari kiamat kelak manusia duduk menurut urutan kecepatan mereka ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat, iaitu yang pertama, kedua, ketiga dan keempat, sedangkan yang datang pada waktu yang keempat itu tidaklah jauh daripada sisi Allah s.w.t.

Pada setiap Jumaat, Allah mengutuskan malaikat turun ke bumi untuk mencatat nama mereka yang ke masjid, kemudian malaikat-malaikat itu naik ke langit, menyembahkan catatan di bumi. Allah mengampunkan dosa-dosa mereka yag datang ke masjid.

Dalam hadis lain pula menyebut: Apabila datang hari Jumaat, Allah Taala mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka ada kalam-kalam emas dan kertas daripada perak. Mereka berdiri di pintu-pintu masjid dan menulis nama mereka yang masuk masjid dan bersembahyang Jumaat. Apabila sempurna sembahyang, mereka semua naik ke langit dan berkata: Wahai Tuhan kami, kami telah tulis nama mereka yang masuk masjid dan bersembahyang Jumaat. Allah Taala menjawab: Wahai malaikat-Ku, demi keagungan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampuni mereka dan mereka sudah tidak berdosa sedikitpun.

Dalam sebuah hadis lain dinyatakan bahawa para malaikat mencari orang yang terkemudian daripada waktunya pada hari Jumaat. Mereka bertanya sesama sendiri, ‘‘Apakah yang dikerjakan oleh orang yang berkenaan. Apakah yang menyebabkan orang yang berkenaan terlambat datang? Maka berdoalah para malaikat, Ya, Allah, ya Tuhanku, sekiranya orang itu terkemudian kerana miskin, maka kayakanlah dia. Kalau kerana sakit, maka sembuhkanlah dia, kalau kerana sibuk, maka berikan kelapangan waktu untuk beribadat. Kalau kerana bermain-main, maka hadapkanlah hatinya untuk mentaati-Mu.

Sembahyang Jumaat dilakukan ketika tengah hari, di mana pada kebiasaannya ketika itu cuaca panas. Ia juga dilakukan setelah setiap orang penat bekerja di sepanjang pagi sama ada petani, pekerja di pejabat atau di tempat lain. Masa tersebut berlaku serentak ketika tubuh seseorang itu perlu rehat. Kerana itu, kemungkinan seseorang itu mengantuk ketika di masjid adalah terlalu besar. Hal demikian menjadi lebih buruk sekiranya seseorang itu terlebih makan tengah hari.

Kerana itu dalam menangani masalah seperti ini, orang yang menghadapi masalah mengantuk ketika masjid semasa menunggu waktu sembahyang Jumaat dinasihatkan jangan makan terlalu banyak, makan sekadar keperluan atau makanan ringan-ringan sahaja.

Bagi yang tidak berupaya mengelakkan diri daripada tertidur, mungkin tidur sekejap, lima minit misalnya untuk mengembalikan kesegaran. Walaupun demikian tidak semua orang berpeluang berbuat demikian.

Cara lain ialah jangan memejamkan mata ketika berzikir, kerana ia boleh menyebabkan seseorang itu mengantuk sedikit demi sedikit dan akhirnya terlena. Sekiranya hal ini tidak dapat dielakkan, tukar ibadah zikir itu dalam bentuk membaca al-Quran.

Di antara surah yang perlu dibaca ialah surah al-Kahf. Allah mengampunkan dosa mereka yang membaca surah tersebut sehingga dua Jumaat. Hal demikian dijelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: Barangsiapa membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat, maka memancarlah cahaya dari bawah tapak kakinya hingga ke puncak langit. Cahaya itu terus menyinarinya pada hari kiamat dan diampunkan untuknya antara dua Jumaat.

Menurut sebuah hadis lain, Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Barangsiapa membaca surah al-Kahf di malam Jumaat dan di siang Jumaat, Allah s.w.t. akan mengampuni dosa-dosanya hinggalah ke Jumaat yang lain dan memohon kesejahteraan baginya tujuh puluh ribu malaikat sehingga pagi dan ia dipelihara daripada penyakit sopak, sakit kusta dan fitnah dajal.

Rasulullah juga ada bersabda yang bermaksud: Barangsiapa menghafal sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahf, dia terpelihara daripada fitnah dajal.

Hadis ini bukan bermaksud bahawa dengan penghafalan semata-mata seseorang itu akan terselamat daripada fitnah dajal, tetapi yang dihafal itu hendaklah difahami maksudnya serta diamalkan.

Kita juga perlu ingat bahawa iblis dan syaitan itu sentiasa mengganggu dan menggoda manusia yang beriman, terutamanya ketika berusaha untuk beribadah, menghampirkan diri kepada Allah. Kerana itu setiap orang hendaklah menyerah diri kepada Allah, berusaha, bertawakal kemudian baru berdoa memohon perlindungan kepada Allah.

Rasulullah menyuruh setiap orang yang hendak membaca al-Quran memohon perlindungan kepada Allah agar terselamat daripada tipu daya dan gangguan iblis dan syaitan.

Selain kaedah di atas, seseorang itu disunatkan pindah daripada tempat duduknya sekiranya ia berasa mengantuk. Hadis daripada Ibn Umar menyatakan bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Apabila salah seorang di antara kami mengantuk di masjid, maka dia hendaklah berpindah daripada tempat duduknya ke tempat lain.

Tidak dapat dinafikan bahawa peranan khatib amat besar dalam mempengaruhi pengamatan makmum yang ada di dalam masjid. Sesetengah daripada khatib terdiri daripada mereka yang tidak berupaya melahirkan rangsangan para jemaah untuk memberi tumpuan kerana suara yang rendah, sistem pembesar suara tidak baik, kandungan khutbah terlalu longgar, termasuk khutbah yang tidak sesuai dan lapuk. Termasuk dalam kecacatan membaca khutbah ialah tersasul, berulang kali ketika membaca dan kesilapan baris pada ayat-ayat al-Quran dan hadis. Kecacatan seperti ini mesti diperbaiki kerana khatib berhadapan dengan manusia yang ramai.

Sesungguhnya, sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Bererti bahawa sekiranya seseorang itu sah sembahyangnya, iaitu apabila sempurna segala syarat yang wajib dan rukun-rukunnya dan diterima sembahyangnya oleh Allah maka orang yang berkenaan tidak akan melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Iblis pula bersumpah akan menyesatkan manusia, menyebabkan manusia menganggap perkara yang baik itu buruk dan yang jahat itu baik lagi menyeronokkan. Atas pemahaman seperti inilah maka iblis dan syaitan akan menghalang manusia daripada mendirikan sembahyang, supaya manusia menjadi tidak sah sembahyangnya, tidak khusyuk ketika sembahyang, termasuk mengganggu manusia ketika mendengar khutbah, menyebabkan tertidur, tidak mendengar, atau tidak faham khutbah yang dibaca oleh imam.

Hal demikian akan lebih mudah dilakukan oleh iblis dan syaitan ketika berhadapan dengan manusia makmum seperti saudara, yang sentiasa sibuk. Yang dibawa ke masjid ialah kepenatan atau keletihan menjadikan waktu khutbah itu menjadi waktu terlena.

- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin
Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab
Luar, 43000 Kajang, Selangor.

No comments: