Tuesday, December 11, 2007

60. Ibadat haji sekali seumur hidup

SABAN tahun kawasan tanah suci Mekah, Mina dan Arafah menjadi sesak dan sempit ketika umat Islam semakin ramai menunaikan fardu haji. Umat Islam sama seperti umat yang lain, semakin bertambah bilangannya dan semakin ramai pula yang akan menunaikan rukun Islam yang kelima itu.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Arab Saudi, bilangan jemaah haji sejak akhir-akhir ini sering melebihi dua juta. Di Mekah, pada musim haji, bilangan jemaah ini sentiasa melimpah keluar Masjidilharam ketika umat Islam menunaikan sembahyang fardu, terutamanya pada hari Jumaat, memenuhi semua dataran di sekeliling Masjidilharam, malah jalan-jalan raya di sekeliling masjid juga sepanjang beberapa kilometer akan menjadi masjid.

Bagaimanapun, para jemaah yang bertaburan begitu jauh dari pekarangan masjid tidak mengalami kerumitan untuk mengikuti imam ketika sembahyang, kerana sistem suara masjid amat canggih. Suara imam amat jelas bergema ke segenap penjuru kota Mekah.

Kerajaan Arab Saudi haruslah diberikan pujian di atas segala kecanggihan pengurusan Masjidilharam ini, iaitu daripada teknologi sistem bunyinya membawa kepada penggunaan peralatan terkini ketika kerja-kerja pembersihan masjid dan kawasan sekitarnya, serta kecekapan para pekerjanya yang berjumlah ribuan orang itu.

Penghargaan ini harus diberikan berdasarkan pengalaman menguruskan jutaan orang setiap tahun, dan pengalaman inilah menjadikan Arab Saudi dapat menunjukkan kecekapan mereka menguruskan jutaan manusia yang datang daripada pelbagai latar belakang budaya, adat resam, bahasa dan mazhab. Tidak mudah sebenarnya untuk menguruskan jutaan umat ini, terutamanya ketika berlaku pemindahan mereka ke tempat- tempat di pinggiran Mekah seperti Mina dan Arafah ketika menunaikan ibadat haji itu. Tetapi dengan pengalaman yang lama, kerajaan Arab Saudi berjaya menangani perkara ini dengan baik.

Pertabalan Raja Abdullah menjadi Raja Arab Saudi awal tahun 2005 menyaksikan banyak perancangan dan perubahan terhadap infrastruktur di sekitar tanah suci yang bakal dilakukan. Raja Abdullah, seorang raja ber wawasan dan berpandangan jauh, terutamanya dalam menyelesaikan banyak masalah ketika musim haji.

Tahun ini perubahan yang besar dilakukan di lapangan melontar jamrah. Perubahan ini sebenarnya tidaklah terlalu rumit, iaitu mewujudkan jalan sehala yang agak lebar bagi para jemaah agar mereka tidak bertembung sesama sendiri ketika pergi dan balik daripada melontar. Bagaimanapun idea ini hanya dilaksanakan ketika Raja Abdullah memerintahkan supaya perubahan diadakan.

Banyak hal lain yang sering kita terfikir bagi menyelesaikan kesesakan dan pertembungan manusia dan kenderaan di sekitar tanah suci. Maka sekarang, timbul cakap-cakap untuk mewujudkan sistem pengangkutan di sekitar tanah suci seperti mengadakan perkhidmatan monorel di sekeliling Mekah, Mina, Muzdalifah dan Arafah sebagai tambahan kepada pengangkutan jalan.

Perkhidmatan kereta api juga dicadangkan untuk berkhidmat di antara kota-kota utama seperti Mekah, Jeddah, Madinah, Riyadh dan lain-lain. Perhubungan di antara Mekah dan Madinah juga selama ini hanya menggunakan bas, kereta dan pengangkutan lain di jalan raya. Kepenatan para pemandu yang juga bersikap agresif dan tidak bertimbang rasa terhadap pemandu lain dan penumpangnya sendiri, sering menyebabkan berlakunya kemalangan yang memakan korban.

Kerajaan Saudi sememangnya telah memulakan perundingan untuk melaksanakan sistem pengangkutan baru yang canggih ini. Mungkin menjelang haji tahun depan, kita akan dapat melihat perkembangan yang positif.

Bagaimanapun, negara-negara Islam sendiri seharusnya akan berusaha mendidik para jemaah dari negara masing-masing. Malaysia sering dijadikan contoh, termasuk oleh Raja Abdullah tentang pengurusan jemaah haji kita. Sistem penabungan wang di dalam Tabung Haji, pengurusan pengangkutan, perumahan, makanan dan penganjuran kursus haji merupakan sistem yang mungkin tidak wujud di negara lain. Semua ini merupakan satu sumbangan negara kita yang amat dihargai oleh Arab Saudi termasuk rajanya sendiri.

Maka untuk membiasakan diri dengan pengangkutan canggih yang bakal digunakan di sekitar tanah haram juga, para jemaah mungkin memerlukan panduan yang bersungguh-sungguh daripada kerajaan masing-masing. Cara menggunakan kad pintar ketika menaiki tren, penggunaan kemudahan di stesen dan sebagainya tentulah masih merupakan perkara baru kepada kebanyakan jemaah haji yang datang dari pelbagai negara asal mereka, yang mungkin terdapat sesetengah negara asal mereka tidak mempunyai sistem yang canggih ini.

Pendeknya, latar belakang para jemaah amatlah penting dalam melicinkan urusan haji ini. Kalau segala infrastruktur penempatan dan pengangkutan jemaah haji ini dapat diselesaikan dengan baik, maka mungkin kerja haji menjadi ringan sekurang-kurangnya sebanyak 20 hingga 30 peratus daripada kerja haji sekarang ini.

Kerja haji sekarang tetap merupakan amalan yang amat sukar. Di samping kemudahan pengangkutan, tabiat para jemaah sendiri, kekurangan pengetahuan tentang ibadat haji, maka faktor utama yang menyumbang kepada kesusahan ini ialah kerana bilangan jemaah yang terlalu ramai.

Saya teringat pada bulan Ramadan 2005, ketika melihat begitu ramai jemaah mengerjakan umrah, iaitu melebihi daripada bilangan jemaah yang datang menunaikan haji. Seorang imam Masjidilharam semasa khutbah Jumaat memberikan khutbah yang mungkin pada kebanyakan orang tidak selesa didengar.

Imam itu mengatakan bahawa memanglah pahala umrah yang dikerjakan dalam bulan Ramadan menyamai pahala satu kali haji. Tetapi umat Islam juga diingatkan supaya mengelakkan diri daripada kesusahan, dan sekiranya kedatangan jemaah yang begitu ramai dianggap sebagai menyusahkan maka tidak perlulah umat Islam berlumba-lumba mengerjakan umrah dalam bulan Ramadan ini, terutamanya menjelang sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.

Beliau menjelaskan, Nabi Muhammad s.a.w. dalam hayatnya hanya mengerjakan umrah sekali pada bulan Ramadan bukan berulang kali. Baginda lebih suka melakukan ibadat dan menghidupkan malam-malam Ramadan serta lain-lainnya di kediamannya.

Contoh ini diberikan secara mudah oleh imam dan khatib tersebut dengan objektifnya untuk menyedarkan umat Islam bahawa ibadat dapat dilakukan di dalam pelbagai cara dan bentuk, dan dilakukan di mana-mana sahaja. Contoh ini bertujuan juga supaya umat Islam lebih terbuka dalam melakukan ibadatnya, terutamanya pada bulan Ramadan, yang ibadat puasa yang dilakukan di dalam bulan tersebut telah pun memberikan sedikit kepayahan kepada umat Islam, maka apa lagi dalam melakukan ibadat ini, orang terpaksa bersesak-sesak dan berhimpit-himpit di dalam tempat yang kecil, maka hal ini tentulah lebih menyusahkan lagi.

Beliau melihat tingkah laku umat Islam yang memilih 10 hari terakhir Ramadan untuk umrah dan berlumba-lumba mengintai dan menanti lailatulqadar. Oleh itu menjelang 10 hari terakhir, berlumba-lumbalah orang ramai bertegang lengan dan kaki berjuang dengan kekuatan anggota badan dan ototnya untuk masuk ke masjid terutamanya untuk berada dekat Kaabah.

Saya tidak tahu sejauh manakah kita terutamanya para ulama memberikan penilaian terhadap isi khutbah imam tersebut. Malah tidak tahu juga kita, apakah imam tersebut berjaya menyampaikan mesejnya secara berkesan kepada seluruh umat Islam yang mendengarnya.

Soal ibadat memanglah sensitif dan boleh membawa perselisihan faham yang serius. Tetapi keberanian imam tersebut menyampaikan mesejnya, ketika 10 hari terakhir bulan Ramadan tentulah memberikan makna dan pengertian yang dapat dipertanggungjawabkan olehnya sebagai imam masjid suci itu.

Mungkin imam ini juga akan menyampaikan mesejnya tentang haji sekiranya berkesempatan. Kepada para jemaah yang saban tahun mengerjakan haji, mungkin lebih baik bagi yang berulang kali menunaikan haji memberi peluang kepada umat Islam yang belum menunaikan haji memenuhi ruang dan tanah suci yang semakin sesak.

Bagaimanapun hal ini adalah andaian saya sahaja berdasarkan khutbah tersebut. Namun kerja haji tentulah tidak sama dengan umrah. Haji adalah wajib, dan umat Islam sentiasa mengharapkan hajinya diterima Allah s.w.t. Kalau berlaku waswas ketika menunaikan hajinya yang pertama, atau kalau dicermin-cerminkan dirinya selepas menunaikan hajinya yang pertama, kelihatannya seolah-olah hajinya tidak diterima Allah, maka tentulah ia akan mengulangkannya sekali lagi. Tetapi mengulang pun tentulah tidak setiap tahun, sama juga seperti menunaikan umrah di dalam bulan Ramadan, tidaklah semestinya dikerjakan setiap bulan puasa dan sepanjang bulan Ramadan itu pula.

Bagi saya, apa yang disebutkan oleh imam dalam khutbahnya di atas, mungkin dapat diambil sebagai bahan yang baik bagi para intelek dan ulama menganalisisnya. Tujuannya bukan untuk menyekat umat Islam beribadat tetapi untuk meluaskan makna dan konsep serta cara beribadat itu sendiri.

- PENULIS ialah Duta Malaysia ke Arab Saudi.

No comments: