ANAK IALAH ANUGERAH ALLAH
FIRMAN Allah, Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. (An-Nahl: 58)
Huraian
Al-Quran telah menunjukkan gambaran tentang sikap buruk orang arab Jahiliah yang apabila dikurniakan anak perempuan mereka merasa terlalu dukacita sehingga ternampak kemurungan di wajah masing-masing.
Memendam perasaan marah dan dukacita seolah-olah anak perempuan itu membawa kecelakaan kepada keluarga mereka. Sedangkan anak perempuan juga adalah kurniaan Allah s.w.t seperti anak lelaki.
Mengapa mereka berdukacita, sedangkan mereka sendiri tidak berkuasa untuk menentukan jantina anak di dalam rahim ibu, apatah lagi untuk meniupkan roh ke dalam janin.
Dengan hanya mengenangkan hayat seorang insan yang berkembang subur dengan keizinan Allah dari setitis nutfah kepada seorang manusia sempurna sudah cukup untuk kita menyambut bayi yang lahir itu dengan penuh kegembiraan, walau apa pun jantinanya.
Oleh itu, mengapa orang yang disampaikan berita kelahiran anak perempuan itu menjadi dukacita dan menyembunyikan dirinya dari orang ramai setelah menerima berita yang buruk itu, sedangkan dia tidak pernah mencipta dan membentuk rupa bayi itu, malah dia hanya merupakan alat kudrat Ilahi dalam proses kelahiran mukjizat yang gemilang itu.
Hikmat Allah dan peraturan hidup telah menentukan bahawa anak itu adalah terjadi dari pasangan lelaki dan perempuan. Oleh itu, perempuan merupakan unsur utama di dalam peraturan hidup sama seperti lelaki juga, malah peranan perempuan lebih besar lagi kerana merupakan wadah perkembangan dan pertumbuhan bayi.
Kesimpulan
Sebagai hamba yang lemah, kita hendaklah menerima anugerah Allah sama ada anak lelaki mahupun perempuan. Kedua-duanya adalah anugerah Allah yang tidak ternilai.
Anak lelaki atau perempuan masing-masing mempunyai peranan kerana tanpa kedua-duanya tidak akan wujud generasi manusia yang akan memakmurkan bumi ini. Bahkan peranan wanita itu sangat besar dalam menempatkan atau mengandung bayi sebelum ia menjadi seorang manusia sama ada ia lelaki atau perempuan.
Oleh sebab itu, sikap dukacita atau bimbang menerima kelahiran anak perempuan adalah cetusan sikap yang tidak bersyukur dengan segala bentuk pemberian Allah.
* Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
LARANGAN MENGUSIR BALU DARI RUMAH SUAMINYA
FIRMAN Allah s.w.t: Dan orang-orang yang akan meninggal dunia antara kamu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya).
Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa kepada kamu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang makruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 240)
SYEIKH al-Maghari berkata: “Ayat-ayat ini datang sebagai pelengkap berhubung dengan perkahwinan dan disebut padanya berkenaan dengan perintah supaya memelihara solat kerana ia merupakan tiang agama.
Justeru amat layak bagi orang Islam untuk prihatin dengan sesungguh-sungguhnya. Ini kerana natijahnya siapa yang menjaga solat yang diletakkan di hadapan matanya sebenarnya ia telah mendirikan segala batasan agama dan beramal dengan syariat”.
Firman Allah: Dan orang-orang yang akan meninggal dunia antara kamu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya).
Ibnu Kathir berkata: “Kebanyakan ulama berpendapat ayat ini dimansuhkan dengan ayat sebelumnya. Persoalannya apakah hikmah dikekalkan tulisan ini bersama hilangnya hukum dan kekal tulisannya selepas dinasakhkannya boleh memberi waham bahawa hukumnya kekal?
Amirul Mukminin Saidina Uthman menjawab: “Perkara ini adalah tauqifi dan aku dapatinya sabit dalam mushaf begitu juga selepasnya. Maka aku mensabitkannya mengikut apa yang aku dapatinya”.
Riwayat ini disebut oleh Suyuti di dalam al-Dur al-Manthur begitu juga dengan Ibnu Jariri, Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan An-Nuhas dalam an-Nasikh Wal Mansukh.
Firman Allah: Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa kepada kamu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang makruf terhadap diri mereka.
Imam Al-Nasafi berkata: “Dan maknanya ialah bahawa hak yang kematian suami mereka bahawa hendaklah diwasiatkan sebelum dalam sakaratul maut. Di mana sebahagian daripada suami telah memberi kepada isteri mereka setahun penuh iaitu yang diinfakkan atas mereka daripada pusaka dengan wanita tersebut tidak boleh keluar daripada rumah. Dan inilah pada permulaan Islam yang kemudian dinasakhkannya”.
Al-Sonhaji berkata: “Ayat ini mulanya diturunkan kerana suatu peristiwa iaitu: Ada seorang lelaki bernama Hakim bin Harith telah meninggalkan negerinya iaitu Taif menuju ke Madinah. Dia ada membawa bersamanya dua orang ibu bapa, seorang isteri dan beberapa orang anak. Kemudian orang itu meninggal dunia dan beritanya terus disampaikan kepada Nabi s.a.w. Di atas kematiannya itu turunlah ayat ini, lalu baginda membahagikan harta warisannya kepada kedua ibu bapanya dan anaknya, sedang isterinya tidak diberi warisan apa-apa. Tetapi baginda menyuruh memberikan nafkah dari harta peninggalan si mati itu yang mencakupi baginya selama setahun”.
Al-Baghawi berpendapat: “Allah s.w.t telah menasakhkan nafkah tahunan dengan ayat mirath (pusaka) kepada satu perempat untuk isteri atau satu perlapan. Begitu juga dinasakhkan idah setahun dengan empat bulan 10 hari.
Begitulah hukum yang telah dijalankan pada permulaan Islam. Jika seseorang itu mati, jandanya hendaklah beridah selama setahun. Haram ahli waris suami mengeluarkannya dari rumah sebelum cukup masa setahun, dan perbelanjaan bagi nafkah dan tempat tinggalnya selama setahun itu tertanggung atas ahli waris suami, yang diambil dari harta peninggalannya. Dengan demikian bererti janda itu tidak berhak mendapat warisan hanya nafkah setahun sahaja.”
Dalam pada itu janda tersebut boleh memilih antara dua perkara:
Menunggu selama setahun dengan mendapat nafkah dan tempat tinggal.
Atau ia boleh keluar. Bermakna, tidak perlu menunggu di rumah suaminya hingga setahun.
Tetapi dengan sebab keluarnya itu, gugurlah pula nafkah dan tempat tinggal untuknya, dan ahli waris suaminya tidak menanggung apa-apa.
Dengan adanya peraturan yang sedemikian ini, adalah menjadi kewajipan kepada seorang suami sebelum meninggal dunia membuat wasiat yang sedemikian, iaitu untuk memberikan jandanya kegembiraan atau saguhati yang berupa nafkah, pakaian dan tempat tinggal selama setahun dan tidak mengeluarkannya dari rumahnya.
Hamka berkata: “Maksudnya sekalipun belum cukup setahun asal idah yang empat bulan 10 hari sudah lepas, maka bolehlah ia diberi keluar jika dia mahu asalkan pada hal yang berpatutan. Misalnya kerana mendapat jodoh atau pulang kerumah orang tuanya dengan baik.
“Di sini ditekankan pada ayat ‘perkara yang patut’ kerana sekiranya dia keluar tanpa apa-apa hal atau sekadar suka-suka dalam had setahun itu dan dia tidak dipertanggungjawabkan demi menjaga wasiat si mati, tidak bolehlah dia menguasai rumah semula. Tetapi sekiranya tempoh setahun itu sudah selesai, maka terlepaslah penguasaannya terhadap rumah itu”.
Sayyid Qutub berkata: “Kata-kata ‘kepada kamu’ menyarankan kelompok muslimin yang padu dan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di dalam masyarakat, kerana kelompok musliminlah yang diserahkan urusan syariat dan agama Allah dan diserahkan kepada setiap individu serta setiap tindakan yang berlaku dalam lingkungan masyarakat. Merekalah yang menanggung kesalahan terhadap penyelewengan yang dilakukan oleh individu-individu masyarakat mereka.
“Saranan ini mempunyai nilainya dalam memahami hakikat kelompok muslimin dan tanggungjawab-tanggungjawab mereka, juga mempunyai nilainya dalam keperluan dalam mewujudkan kelompok ini untuk mengawal dan menjaga agama Allah dari penyelewengan mana-mana individunya. Kelompok inilah pada akhirnya bertanggungjawab terhadap individu-individu muslimin dalam persoalan-persoalan kecil dan besar.
“Ayat ini ditujukan kepada mereka dengan sifat ini untuk menjelaskan hakikat ini di dalam hati mereka dan di dalam hati setiap setiap individu yang ada di dalam kelompok mereka”.
Kemudian diiringi dengan kenyataan: Firman Allah s.w.t: Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Sayyid Qutub berkata: “Kenyataan ini bertujuan untuk menarik hati manusia menginsafi kekuatan Allah dan hikmat kebijaksanaan-Nya dalam segala apa yang difardukan oleh-Nya. Dan kenyataan ini juga mengandungi ancaman dan amaran”.
Syeikh al-Maghari berkata: “Allah s.w.t yang maha perkasa mampu untuk menghukum mereka yang menyalahinya dan Maha Bijaksana dengan meraikan pada hukumnya dan maslahat hambanya.
“Dengan keperkasaannya Dia boleh menukarkan umat-umat daripada adat dan tradisi yang mudarat kepada yang manfaat dan maslahat sebagaimana menukar bangsa arab dari adat mereka berhubung dengan masalah idah dan lain-lainnya apabila menjadikan perempuan tawanan yang hina dikuasai di rumahnya selama setahun dengan yang lebih mulia dan memuliakannya di rumah suaminya”.
Iktibar Ayat:lHukum berkenaan dengan pusaka dan mutaah kepada isteri.
* Terdapat ayat yang dinasakhkan hukum tetapi masih dikekalkan bacaan.
* Mengisbatkan sifat Allah s.w.t yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment