Monday, December 10, 2007

41. Kucing, syurga, neraka

SOALAN: Adakah benar hadis yang menceritakan tentang seorang wanita yang diseksa kerana kesalahannya menahan seekor kucing tanpa memberinya makan sehingga ia mati kelaparan. Demikian juga sebaliknya seorang pelacur yang dimasukkan ke syurga kerana dia bersimpati kepada seekor anjing yang dahaga dan haus di tengah padang pasir dengan menggunakan kasutnya sebagai timba dan memberikan anjing itu minum?

– Minhat Kadir,Dong, Raub,Pahang

JAWAPAN: Kedua-dua hadis tersebut memang sahih dan benar. Ia merupakan hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Anda tidak seharusnya menolak secara total hadis tersebut kerana zahirnya nampak bertentangan dengan lojik akal atau maqasid agama. Justeru sikap gopoh-gapah seperti itu bukan amalan mereka yang mendalam ilmunya. Malahan mereka tetap bersangka baik dengan salaf umat ini yang menerima hadis tersebut tanpa soal.

Pastilah hadis itu benar-benar daripada Rasulullah s.a.w. Tugas anda sekarang ialah mengkaji kenapa peristiwa itu berlaku berlainan dengan kumpulan yang cepat-cepat mempersoalkan sebarang hadis yang berlainan dengan fahaman mereka.

Bila berlaku demikian, anda berperanan untuk memastikan hadis sahih tersebut tidak akan ditolak sekalipun kerana maknanya agak jauh dari pencapaian akalnya. Umpamanya hadis mengenai mayat yang diazab kerana raungan dan tangisan keluarganya. Setengah mereka mempertikaikan hadis tersebut kerana bertentangan dengan firman Allah s.w.t. bermaksud: tidak akan menanggung seseorang itu dosa orang lain sekali-kali (an-Najm ayat 28). Tetapi sekiranya kesalahan itu berpunca daripadanya maka si mayat itu pasti akan mendapat bahagiannya dan ini termasuk dalam firman-Nya bermaksud: tidak didapati oleh seorang itu melainkan apa yang diusahakannya (an-Najm ayat 29). Contohnya lagi hadis kucing dan anjing tadi A’lqamah berkata, semasa kami bersama Aisyah datang Abu Hurairah. Lalu Aisyah berkata: “Kamukah yang meriwayatkan hadis wanita yang dimasuk ke neraka kerana menambat kucing mati kelaparan kerana tidak diberinya makan dan minum? Jawab Abu Hurairah, ya! aku dengar hadis itu dari Rasulullah. Kata Aisyah, kamu tahu siapa wanita itu? ‘Wanita tersebut melakukan kesalahannya dalam keadaannya masih kufur, jelas Aisyah lagi. Ini katanya kerana seorang yang beriman itu Maha suci Allah akan mengazabkan mereka kerana seekor kucing. Aisyah meragui hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah kerana bimbang kurang cermat dan kurang pasti lapaf nya. Alasannya laporan itu agak pelik sekiranya manusia diseksa kerana seekor kucing dan seorang beriman itu jauh sekali untuk dibalas kerana seekor kucing. Allah mengampuni Aisyah, beliau lupa tentang satu perkara yang lebih penting dalam agama iaitu bahawa wanita tersebut telah tercabut dari hatinya perasaan kasihan belas terhadap makhluk Allah yang hina dan lemah. Sedangkan syurga Allah itu tidak disediakan untuk mereka yang tidak ada langsung rasa kasihan belas dalam hatinya. Allah tidak akan merahmati selain mereka yang bersifat pengasih dan penyayang dari kalangan hamba-Nya. Sabdanya bermaksud: siapa yang tidak pernah mengasihi sesiapa dia juga tidak akan dikasihi sesiapa (Riwayat Bukhari dan lain-lain). Hadis inilah merupakan kehebatan dan kebanggaan Islam mengenai kerahmatan sejagat dan menyeluruh, bukan saja di kalangan manusia tetapi kepada semua yang hidup di muka bumi ini. Hadis ini dikuatkan oleh beberapa riwayat lain seperti Ahmad dan lain-lain. Wallahualam.

Kain separuh betis
SOALAN: Saya terbaca hadis mengenai pakaian labuh melebihi buku lali dan menjanjikan balasan yang pedih terhadap mereka. Menurut hadis ini sebagai dalil bagi kumpulan yang memusuhi mereka yang tidak mengangkat kainnya sampai separuh betisnya dan mereka menuduh mereka yang memakai labuh itu tidak ikut sunah. Adakah perkara itu benar?

– Zulkifli Miskin,

Alor Lintah, Terengganu.

JAWAPAN: Jangan terus membuat tuduhan melulu hanya kerana berdalilkan satu dua hadis. Seseorang itu sepatutnya mengumpul banyak hadis lain berhubung isu tersebut. Dia perlu melihat dari segenap sudut dan berpandangan jauh ke dasar ajaran syariat agama dalam kehidupan seharian umat Islam untuk mengelak dari terjebak dengan sikap ekstrem yang akan menyusahkan ramai manusia.

Cuba teliti hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Zar dari Nabi s.a.w. sabdanya bermaksud: tiga golongan manusia yang tidak akan ditegur sapa oleh Allah s.w.t. pada hari kamat nanti – orang yang mengungkit-ungkit pemberiannya. mereka yang memperlakukan barang jualannya dengan sumpah palsu dan orang yang melabuhkan kainnya (Riwayat Muslim dalam sahihnya). Dalam riwayat yang lain Rasulullah menegaskan: bahawa pakaian yang labuh di bawah buku lali dalam neraka (Riwayat Nasai dan lain-lain).

Mereka yang melihat kebanyakan hadis dalam bab ini akan faham sebagaimana yang ditegaskan Imam Nawawi dan Ibnu Hajar (bahawa maksud hadis tersebut adalah untuk mereka yang berlagak sombong dan takbur dengan orang lain) sebagaimana yang dipersetujui. Imam Bukhari pernah mengutarakan bab khusus mengenai mereka yang menarik kainnya (kerana labuh) tanpa perasaan sombong dan megah. Dari Abdullah bin Umar dari Nabi s.a.w. sabdanya: Siapa yang menarik kainnya kerana sikap sombong dan takbur Allah s.w.t. tidak ingin melihat kepadanya pada hari kiamat (Riwayat Bukhari). Lalu kata Abu Bakr, sebelah kainku agak labuh tetapi aku mengamatinya dari sikap (buruk) tersebut. Jawab Rasulullah, kamu bukan termasuk mereka yang berlagak sombong dan takbur (Riwayat Bukhari). Satu hadis lagi riwayat Muslim dan banyak riwayat lain sabdanya: siapa yang melabuhkan kainnya kerana bermegah-megah maka Allah tidak ingin melihat kepadanya pada hari kiamat nanti (Riwayat Muslim). Melalui riwayat ini jelas di nyatakan maksud dari perbuatan (melabuh kain) tersebut untuk membesarkan diri, menyombong atas orang lain. Adapun semata-mata melabuh tanpa tujuan, ianya dikira makruh melainkan kerana seperti sejuk, menjaga maruah dan lain-lain tujuan yang dihormati agama. Kata Ibnu Abbas, pakai dan makanlah apa saja jangan tersilap dua perkara ini melampau dan sombong. Walau bagaimanapun sekiranya melabuhkan kain sehingga terseret najis dan kotoran maka ianya tetap dilarang. Wallahualam.

- ALAMATKAN kemusykilan anda kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan.com.my. Nyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.

No comments: