Wednesday, December 12, 2007

79. Kurniaan Tuhan

KALAMULLAH

DIALAH yang menjadikan bumi ini sebagai hamparan untuk kamu, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkannya air hujan dari langit, lalu dikeluarkannya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu, maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah tuhan yang maha esa). (al-Baqarah: 22)

Huraian:

Bumi adalah tempat kediaman yang selesa dan diumpamakan seperti hamparan. Dengan kemudahan, kesenangan dan ketenteraman yang dinikmati, wajarlah manusia menghayati kurniaan Tuhan kepadanya.

Begitu juga dengan langit yang dengan kepanasan, cahayanya, daya tarikan bintangnya, dan susunannya, telah memudah dan menolong kehidupan manusia di atas muka bumi.

Air yang turun dari langit merupakan perkara asasi bagi seluruh makhluk di bumi termasuklah manusia. Daripada air, kehidupan dalam setiap peringkat dan bentuk berkembang.

Kesimpulan:

Bumi ini dihamparkan untuk manusia dan langit dibina dengan rapi. Langit membekalkan air yang dapat mengeluarkan buah-buahan sebagai rezeki kepada manusia. Semuanya adalah merupakan kurniaan Tuhan.

* Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

-------------------------------------------------------------------------------------

JANGAN MENYUSAHKAN

DARIPADA Abu Hurairah katanya: Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda: Sesungguhnya kamu diutuskan sebagai pemudah dan kamu tidak diutuskan sebagai penyusah. (Hadis Riwayat Tarmizi)

Huraiannya:

Dalam hadis ini, Rasulullah mengajar kita supaya sentiasa dapat menolong dan mempermudahkan segala urusan bila diberi kuasa atau tugas tertentu. Dan jangan pula dengan kuasa atau tugas tersebut kita pula yang menyebabkan orang lain susah, kerana ingin menunjukkan kuasa.

Kesimpulannya:

Jadilah mereka yang bila diberi kuasa, maka dengan kuasa tersebut dapat memudahkan urusan orang lain jangan jadi sebaliknya. Dia sendiri yang menyusahkan orang lain kerana ingin menunjukkan kuasanya.

------------------------------------------------------------------------------------

JANGAN SIA-SIAKAN MEREKA

DARIPADA Ibnu ‘Amri Ibni Al’aas katanya: Sabda Nabi s.a.w. alangkah besarnya dosa seseorang itu kiranya dia mensia-siakan mereka yang di bawah tanggungannya. (Muslim, Nasa’i, Ahmad).

Pengertian:

Dalam hadis ini, Rasulullah menggambarkan bagaimana besarnya dosa mereka yang mengecewakan tanggungjawab terhadap mereka (keluarga) yang dalam jagaannya. Sebab itu dalam hadisnya yang lain kita dapati baginda pernah pula menyatakan sebaliknya. Bagaimana besarnya pahala ganjaran yang disediakan untuk mereka yang dapat memenuhi keperluan mereka yang di bawah jagaannya sehingga dapat menandingi pahala mereka yang berjuang pada jalan-Nya.

Kesimpulannya:

Sebagaimana besar dosa mereka yang mengecewakan atau membiarkan keluarga yang di dalam jagaannya begitulah hebatnya ganjaran pahala mereka yang dapat menyempurnakan nafkah dan tanggungjawab terhadap mereka (keluarga) di bawah tanggungan dan jagaannya. Turutilah keutamaan sebagaimana yang diarahkan agama.

----------------------------------------------------------------------------------

ORANG PALING JAHAT

DARIPADA Aisyah katanya Rasulullah ada bersabda: Orang yang paling jahat di sisi Allah s.w.t. di hari kiamat nanti, itulah mereka yang dijauhi daripadanya untuk mengelakkan dari kejahatannya. (Syaikhan).

Huraiannya,

Dalam hadis ini, Rasulullah (s.a.w.) ada menyatakan bahawa orang yang paling jahat kedudukannya di sisi Allah (s.w.t.) di akhirat nanti, ialah mereka yang di sisihkan daripadanya kerana untuk selamatkan diri dari kejahatannya.


Kesimpulannya,

Mereka yang dipulaukan kerana kejahatannya adalah orang yang paling jahat kedudukannya.

No comments: