Tuesday, December 11, 2007

53. Insan Cemerlang Ummah Terbilang

TEMA sambutan Maal Hijrah semalam berbunyi Insan Cemerlang Ummah Terbilang pastilah mempunyai makna yang cukup besar untuk dihayati semua. Ia bertepatan dengan senario umat yang ketika ini berhempas-pulas mempertahankan jati diri dan tercari-cari formula berkesan untuk mengembalikan kegemilangan masa lampau.

Memang realiti dunia hari ini benar-benar mencemaskan kita. Umat semakin dihambat dengan seribu satu malapetaka moral dan sosial yang parah. Keruntuhan moral dan kecelaruan akhlak di kalangan generasi muda tampak semakin menjadi-jadi.

Masalah tidak lagi berlegar di sekitar isu-isu biasa seperti merokok, penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah, budaya black metal dan punk tetapi kini menjalar pada peringkat mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara amnya seperti gengsterisme, mat rempit, membunuh dan sebagainya.

Inilah hakikat era globalisasi yang sebenarnya membayangkan masa depan umat yang penuh cabaran dan bahaya. Sebab itulah agenda pembentukan insan dan generasi muda berkualiti merupakan prasyarat terpenting bagi merealisasikan impian menjelmakan sebuah tamadun ummah yang terbilang.

Sebarang usaha mengejar kemajuan material tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya generasi muda tidak dipersiapkan untuk menghadapi realiti dunia hari ini dan masa depan yang penuh mencabar.

Bagi penulis, generasi yang berkualiti acuan al-Quran sahaja yang mampu mengembalikan maruah dan mengangkat martabat umat. Asas-asas fundamental seperti pembangunan akidah dan pengisian akal, rohani dan jasmani harus menjadi teras kepada pemerkasaan jati diri generasi berkualiti.

Generasi berkualiti yang dimaksudkan sudah tentulah generasi yang disebut al-Quran sebagai generasi ‘khaira ummah’ atau ‘ummah terbilang’ sebagaimana ternukil dalam surah Ali-Imran, ayat 110: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.


Pernah dinukilkan dalam satu kisah tatkala sedang berehat-rehat dan berhimpun di sebuah rumah, Khalifah Umar Ibn al-Khattab mengajak sahabat-sahabatnya mengkhayalkan dan berangan-rangan mengenai suatu perkara yang paling dihajati oleh mereka ketika itu. Lantas seorang daripada mereka terus bersuara, “Jika diberikan kesempatan, aku menginginkan agar rumah ini dipenuhi dengan emas yang akan aku belanjakan kesemuanya di jalan Allah.”

Seorang yang lain turut menambah, “Wahai Amirul Mukminin, aku pula mengimpikan agar rumah ini dipenuhi intan permata yang nantinya akan aku sedekahkan dan infaqkannya di jalan Allah.”

Sahabat-sahabat yang lain turut merungkaikan impian masing-masing hinggalah kehabisan idea. Setelah itu barulah Umar sendiri menyatakan keinginannya, “Aku mempunyai keinginan yang lain. Aku mengimpikan sejumlah individu-individu yang hebat dan cemerlang seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Muadz Ibn Jabal, Salim Maula Abu Hudzaifah untuk membantu aku mendaulatkan kalimah Allah.”

Tampak kata-kata Khalifah Umar itu seperti suatu gurauan. Namun jika diteliti, kita dapati dialog tersebut memberi makna yang begitu besar terhadap peri pentingnya membina generasi berkualiti khaira ummah demi menggalas amanah mendaulatkan agama Allah dan membina tamadun ummah yang terbilang.

Sejarah jelas membuktikan bahawa penjanaan generasi muda berkualiti khaira ummah sahajalah yang mampu menjelmakan kejayaan yang gemilang. Sebab itulah Rasulullah s.a.w. sendiri banyak memberikan galakan dan penumpuan ke arah pembentukan generasi muda yang hebat di zaman Baginda.

Kelompok inilah yang dinukilkan oleh Syed Qutb di dalam makalahnya Ma‘alim Fit Tariq sebagai ‘Al-Jiilul Quraniyyul Farid’ atau generasi Quranik yang unik, terbina di atas nilai-nilai dan ciri-ciri al-Quran sejati. Ini diakui sendiri oleh baginda Rasulullah yang amat berbangga didampingi dan didukungi oleh generasi muda yang cukup komited dan bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan Risalah Tauhid sebagaimana sabdanya: Sesungguhnya Allah telah mengurniakan kepadaku perkhabaran gembira dan berupa peringatan. Di kala aku ditentang hebat oleh golongan tua, aku didukung kuat oleh golongan muda.

Jika telusuri sejarah memang didapati bahawa golongan mudalah yang rata-rata menggalas tanggungjawab besar merobah budaya hidup jahiliah yang diwarisi, ketika golongan tua begitu berat dan sukar untuk berubah. Sebagai contoh Abu Bakar antara yang tertua pada ketika itu berumur 40 tahun manakala yang paling muda Ali bin Abi Talib dalam lingkungan umur 10 tahun. Manakala sabahat-sahabat lain seperti anak angkat Rasulullah, Zaid bin Harithah, Zubair bin Awwam, Saad bin Abi Waqqas, Talhah bin Ubaidullah, Ubu Ubaidah Al-Jarrah dan lain-lainnya rata-rata berumur remaja.

Generasi berkualiti khaira ummah adalah generasi yang mencintai agamanya lebih daripada yang lain-lain. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi agama termasuk kepentingan dirinya sendiri. Melalui jiwa-jiwa besar inilah, Islam bukan sahaja mampu tersebar ke seantero dunia bahkan membentuk sebuah tamadun yang amat disegani dan pelopor kepada pelbagai kecemerlangan ilmu dan teknologi.

No comments: