RATA-rata umat Islam kini kurang peka dengan perkembangan nilai-nilai yang seharusnya dimiliki seperti kemanusiaan, persaudaraan, keadilan, keprihatinan dan kasih sayang seperti mana yang dituntut oleh ajaran agama Islam.
Sedangkan pembuka kata dari kitab al-Quran itu sendiri berupa penampilan sifat Tuhan ar-Rahman ar-Rahim, (Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang); iaitu sifat-sifat yang membawa makna betapa besarnya perhatian dan kasih sayang Tuhan terhadap makhluk serta segala permasalahan dan keperluannya.
Di atas sifat keesaan yang sedemikian itulah, maka Allah mengutus para rasul sebagai penyelamat manusia daripada bencana kesesatan dan penderitaan. Lanjutan daripada itu jugalah maka tujuan para rasul diutus ke dunia ini tidak cuma bersifat kerohanian semata-mata, tetapi juga bersifat kemasyarakatan. Atas sifat keadilan dan kasih sayang- Nya, maka Allah mengutus Nabi Muhammad s.a.w yang membawa ajaran tauhid dan sekali gus membebaskan manusia daripada cengkaman cara hidup dan budaya jahiliah yang zalim, tidak berakhlak, dan bersifat bebal.
Tidak terkecuali kita di Malaysia yang saban minggu mimbar-mimbar Jumaat tidak pernah lupa mengingatkan umat dengan ayat innallaha ya‘muru bil‘adli wal-ihsan (sesungguhnya Allah memerintahkan kamu agar berlaku adil dan membuat kebaikan). Peringatan dari mimbar ini seharusnya dapat meningkatkan kesedaran, keprihatinan dan kepedulian umat terhadap masalah-masalah masyarakat yang wujud hari ini seperti ketidakadilan, kemiskinan, rasuah, keruntuhan akhlak, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dusta dan sebagainya.
Sebenarnya masih banyak kelemahan lain yang berlonggok pada umat ini, tetapi antara yang ingin diketengahkan ialah gersangnya rasa peka terhadap permasalahan masyarakat.
Ini jelas memperlihatkan bahawa unsur kemasyarakatan ajaran agama Islam itu sendiri ternyata telah tidak dihayati sebagaimana semestinya. Walaupun agama Islam pada hakikatnya adalah merupakan ad-din, cara hidup yang serba lengkap (syumul), namun penghayatannya masih banyak menumpu pada ciri ‘ritual’ sahaja.
Seolah-olahnya tanggungjawab kemasyarakatan seperti telah dipisahkan daripada agama. Seringkali umat Islam berasa tanggungjawab keagamaannya sudah selesai dengan melaksanakan Rukun Islam yang lima. Pengabaian terhadap tanggungjawab masyarakat tidak dirasakan sebagai pengabaian terhadap tanggungjawab keagamaan. Sedangkan al- Quran dengan jelas menyebut ketidakpedulian terhadap nasib golongan miskin yang terlantar dan terbiar adalah merupakan pendustaan terhadap agama. Hakikat inilah yang ditegaskan oleh al-Quran dalam surah al-Maun. Inilah yang menghairankan kita bagaimana umat Islam boleh hilang kepekaannya terhadap masalah-masalah kemanusiaan sedangkan agamanya sendiri menuntut supaya berlaku adil walaupun kepada seekor binatang.
Ini memperkukuhkan lagi pandangan bahawa umat Islam kini tidak begitu pandai dalam meletakkan urutan keutamaan dalam menyusun kehidupan mereka, walaupun dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan keagamaannya. Akibatnya banyak hal yang penting dan mendesak telah diabaikan kerana mengutamakan hal-hal yang pada hakikatnya kurang penting. Sebagai contoh, jutaan umat Islam mengerjakan ibadat umrah sunat setiap tahun, dan tidak kurang juga yang mengerjakan ibadat haji berkali-kali banyaknya.
Di mana pembiayaan daripada ibadah sunat yang berulang kali ini tentu mencecah jutaan ringgit. Memang kita digalakkan untuk mencari jalan mendekati Allah dengan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang tertentu, namun andai kata pembiayaan yang berjuta-juta ringgit ini disalurkan kepada orang-orang yang lebih memerlukan seperti menyelamatkan mangsa-mangsa kebuluran atau malapetaka, atau mewujudkan pusat-pusat penguasaan ilmu pengetahuan di kalangan umat Islam, maka pastinya itu lebih bermakna dan menjadi kepentingan yang lebih diutamakan. Tetapi malangnya keadaan ini tidak berlaku dalam amalan harian umat masa kini, dan inilah yang namakan sebagai gejala kehilangan fiqhu ‘l-awlawiyyat (fiqh urutan keutamaan).
Apa yang lebih menjengkelkan kita pada hari ini ialah di saat timbulnya sekelumit harapan dengan kebangkitan agama Islam kebelakangan ini.
Pada masa yang sama kita dikecewakan pula oleh gejala kelembapan umat dalam menangani masalah-masalah kemasyarakatan sehingga hal-hal seperti buta huruf, kemiskinan, kebuluran, dan pelbagai wabak penyakit terus mewarnai kehidupan sebilangan besar daripada kalangan umat Islam. Apa yang difahami sebagai kebangkitan agama Islam itu masih berada di takuk keghairahan untuk beribadat dalam erti kata yang sempit, dan masih belum dapat dijelmakan secara lebih nyata dalam bentuk peningkatan kesungguhan untuk memperbaiki tahap hidup masyarakat Islam.
Begitulah juga halnya dengan jajaran kesarjanaan Islam masa kini yang ternyata masih berkisar dalam lingkungan ‘polemik ideologi’. Seharusnya, para cendekiawan Islam kita lebih cenderung untuk menangani permasalahan yang wujud di kalangan umat, dan bukannya menambahkan lagi kekusutan yang telah sedia ada. Apa yang lebih diperlukan oleh umat Islam sekarang bukan hanya sekadar mengulangi keunggulan pencapaian tamadun Islam zaman lampau, tetapi harus segera diusahakan pelaksanaannya dalam bentuk program penyelesaian yang berkesan di tengah masyarakat.
Kebangkitan tamadun Islam yang kita inginkan bukan hanya terbatas kepada keghairahan untuk beribadah semata-mata.
Friday, December 14, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment