RASUAH sama ada pemberi atau penerima rasuah adalah perbuatan laknat, haram dan berdosa. Amalan cemar itu bukan sahaja bersifat menzalimi pemberi tetapi juga penerima itu sendiri kerana apa yang dilakukan samalah seperti memberi dan menerima dosa.
Justeru semua manusia Islam yang mukalaf, tidak gila, tidak rosak nilai-nilai kemanusiaan bukan sahaja tidak akan memberi dan menerima rasuah, tetapi mereka juga benci rasuah serta akan membenci dan memerangi pemberi serta penerima rasuah.
Semua orang yang mengharapkan negara ini bebas dari rasuah perlu bersetuju dengan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azmi Kamaruddin dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, tidak lama dulu yang menyatakan bahawa kita semua perlu membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berperang dengan rasuah.
Jika ini dilakukan, kita bukan sekadar menolong Perdana Menteri atau negara bebas daripada wabak rasuah sebaliknya kita menolong diri sendiri. Kita membantu membebaskan diri dari menjadi mangsa kekejaman kita terhadap diri sendiri, terhadap anak isteri dan mereka di bawah tanggungan kita. Ini kerana setiap sen wang haram yang dimakan akan menjadi darah dan daging kita serta mereka yang di bawah tanggungan kita.
Firman allah bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar hanya kepada-Nya kamu berserah (al-Baqarah: 172).
Allah juga mengulangi firman-Nya yang hampir sama makna dan tujuannya dalam surah An-Nahl, ayat 114 yang bermaksud: Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan kepadamu; syukurilah nikmat Allah, jika kamu hanya kepada-Nya sahaja menyembah.
Kedua-dua ayat itu membawa maksud bahawa Allah tidak menghalalkan memakan apa yang tidak halal, termasuk makanan atau apa jua perolehan dan kekayaan dari punca dan sumber tidak halal, termasuklah menerima dan memberi rasuah.
Darah yang mengalir, daging yang tumbuh dan kesenangan yang dinikmati kerana punca pendapatan tidak halal adalah merupakan bara-bara api neraka, kesusahan, keperitan dan kepapaan di akhirat.
Ketawa kerana berasa gembira dan selesa ekoran kesenangan dan kemewahan yang dinikmati dari sumber yang haram adalah merupakan tangisan, jeritan, rintihan dan pekikan penuh keseksaan di akhirat nanti, tempat kembali nan abadi bagi kita manusia.
Ini boleh dipandukan kepada firman Allah dalam surat An-Aahl ayat 117 yang bermaksud: (Itu adalah) kesenangan yang sedikit; dan bagi mereka azab yang pedih. Manakala dalam ayat 175, surah al-Baqarah Allah menegaskan: Mereka itulah orang- orang yang membeli kesatan dengan petunjuk dan seksa dengan ampunan. Maka alangkah beraninya mereka menentang api neraka!
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku perdana menteri akan terlepas fardu kifayah ke atasnya, mereka yang mengisytiharkan perang, membenci, menjauhi dan memujuk rakan-rakan yang memberi dan menerima rasuah akan terlepas fardu kifayahnya tetapi yang kekal memberi dan menerima rasuah, hakikatnya sedang mengalami kerugian hakiki dan berdepan dengan kebankrapan iman dan takwa.
Buruk padahnya bagi mereka yang mati dalam keadaan bankrap iman dan takwa. Wang yang banyak, harta yang bertimbun, saham-saham yang dimiliki secara haram tidak akan dapat membebaskan diri dari azab neraka tetapi semuanya itu akan menjadi kayu api neraka nanti.
Oleh itu, amalan memberi dan menerima rasuah hanya akan dapat dibendung apabila rakyat tahu dan diberitahu dengan erti kata sebenar tentang halal haram, tentang syurga dan neraka itu bukan khayalan, bahawa syurga dan neraka itu adalah suatu hakikat.
Teori, akta, rangka, kerangka, kempen dan apa jua bentuk ikhtiar bagi membendung rasuah tidak akan memberi sebarang kesan jika pemberi dan penerima tidak tahu dan diberitahu bahawa perbuatan mereka itu berdosa dan boleh dicampakkan ke neraka.
Kalaupun kerana jahilnya, maka mereka yang memberi dan menerima rasuah itu merasakan mereka bersedia untuk menerima seksa neraka, tetapi kepada mereka perlu ditanya apakah mereka tidak berasa bersalah apabila anak isteri dan orang yang di bawah tanggungan mereka juga akan dihumban ke neraka gara-gara perbuatan cemar mereka.
Walaupun tidak mudah untuk menyedarkan pemberi dan penerima rasuah supaya bertaubat nasuha daripada amalan itu, namun usaha yang proaktif khususnya di kalangan ahli agama perlu dilakukan secara berkesinambungan kerana membebaskan umat Islam dari kejahilan adalah fardu kifayah.
Jika tidak ada seorang pun di kalangan umat Islam bagi sesebuah kampung, mukim, daerah, jajahan, negeri, negara atau rantau berusaha ke arah itu, maka dosa terpaksa ditanggung oleh semua penduduk sebagaimana dilakukan dalam memerangai apa-apa jua kemungkaran, maka semuanya akan berdosa.
Justeru setiap umat Islam perlu membenci amalan memberi dan menerima rasuah, malah memerangi sekadar yang termampu. Sikap pemberi dan penerima rasuah perlu dibaiki dengan tangan atau dengan lidah dan paling akhir sekali dengan hati, yakni berasa benci kepada pemberi dan penerima rasuah.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment