KESUBURAN dan kesinambungan Islam banyak dibantu oleh pelbagai gerakan dakwah yang sentiasa tidak jemu menggerakkan agenda dakwah masing-masing dengan harapan syiar Islam terus berkembang tanpa ditenggelamkan oleh arus pemodenan manusia.
Pelbagai ragam gerakan dakwah dapat dilihat yang kadangkala hilang imej pendakwahnya hanya kerana mempertahankan agenda ideologi politik yang penuh dengan warna.
Dalam memperkatakan mengenai gerakan dakwah ini, dapat dilihat kebanyakan gerakan ini masih kurang berjaya dalam menarik minat kebanyakan golongan muda. Walaupun ada, sudah semestinya ia terdiri daripada golongan ‘budak baik’.
Tetapi bagaimana dengan mereka yang agak ‘nakal’ seperti mat rempit atau kutu lepak di kompleks beli-belah? Adakah mesej dakwah yang dijalankan sampai kepada golongan ini? Secara umumnya, pasti jawapannya tidak.
Pendekatan dakwah yang sedia ada ini, kebanyakannya kelihatan begitu kaku dan tidak mesra kepada remaja. Kebanyakannya hanya sesuai dengan golongan yang sedia mesra pada Islam atau yang sudah berusia.
Secara umum, adakah remaja sekarang kebanyakannya menonton rancangan seperti Forum Perdana RTM, Al-Kuliyyah TV3 atau Halaqah TV9? Pasti jawapannya tidak. Mentaliti kita sudah terbiasa dengan hanya melihat ceramah atau kuliyah agama sebagai medium untuk berdakwah.
Jika ada yang lebih tradisional seperti golongan tabligh yang sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Walaupun pada dasarnya niat mereka baik untuk berdakwah, pendekatan digunakan kadangkala menimbulkan masalah kepada penduduk setempat sehingga mereka diusir keluar dari tempat mereka menumpang.
Namun, gerakan dakwah kini mengalami perubahan yang baik dari segi ilmu dan pendekatan dakwahnya. Anjakan ini dipelopori golongan pro-tajdid yang semakin menampakkan peranannya dalam membentuk kelompok masyarakat Islam moden yang mementingkan al-Quran dan Hadis.
Begitu pun, anjakan yang berlaku hanya dapat dilihat keberkesanannya dalam kelompok tertentu saja. Kebanyakan yang bersama mendukung aliran ini adalah mereka yang terpelajar atau golongan profesional dalam bidang tertentu.
Bagaimanakah dengan mereka dari kelompok yang kurang bernasib baik seperti remaja ‘nakal’ ini? Adakah perlu kita mengabaikan mereka seperti mana sesetengah ‘;ahli bijak pandai’ yang berakal besar tetapi berfikiran sempit sehingga tergamak menyatakan remaja yang terbabit dalam gejala mat rempit sebagai musuh negara.
Atas dasar apakah ukuran yang dibuat sehingga melabelkan remaja bermasalah ini setaraf nasibnya dengan najis dadah?
Melihat kepada golongan remaja yang tersisih dalam arus dakwah ini memerlukan suatu perhatian serius dari semua gerakan dakwah. Cukup dengan hanya melihat realiti remaja kini tanpa melihat angka statistik, umum pasti bersetuju kelompok remaja ‘nakal’ adalah lebih ramai daripada remaja yang ‘baik’.
Oleh itu, untuk mengabaikan mereka dalam arus dakwah tajdid ini adalah suatu tindakan yang kurang bijak. Pendekatan dakwah yang diguna pakai hendaklah sentiasa berubah mengikut sasaran dakwahnya.
Untuk mencipta satu pendekatan dakwah yang hebat sehingga mesejnya mampu sampai kepada semua peringkat masyarakat mungkin agak sukar. Oleh itu, mungkin dengan penggunaan perbezaan pendekatan dakwah mengikut kelompok sasaran wajar dipraktikkan.
Oleh itu, pendekatan dakwah yang menampilkan tokoh perubahan secara realistik tanpa mewujudkan ikon perubahan yang hanya wujud dalam dunia penulisan adalah antara strategi dakwah berkesan pada kelompok ini.
Hegemoni Barat berjaya kerana penguasaan mereka terhadap media dunia. Oleh itu, peranan media dalam pendekatan dakwah memang tidak boleh disangkal. Tetapi pendekatan itu tidak seharusnya hanya tertumpu pada rancangan agama berbentuk formal seperti kuliah agama.
Sewajarnya ia meliputi segala bidang yang bercabang dalam kerangka media massa. Bidang lakonan dan nyanyian adalah satu medium dakwah yang amat penting dalam memastikan mesej Islam sampai kepada semua golongan.
Kebanyakan gerakan dakwah menumpukan bidang dakwah pada pembinaan sekolah atau institusi agama. Ia adalah langkah yang amat baik dan sangat diperlukan. Tetapi dalam memastikan kelangsungan dakwah Islam agar terus nampak relevan dan segar, kita seharusnya mempelbagaikan pendekatan dakwah seperti membina satu institusi Akademi Seni Islam yang berperanan mengajar serta membuat filem atau lagu yang terkini tetapi tetap mempunyai inti pati dakwah Islam yang kuat.
Apabila yang jahil ilmu agama membuat filem atau lagu tanpa bantuan golongan agama, maka hasilnya memperlihatkan kejahilannya itu.
Tetapi apabila ditanya apakah alternatifnya, kita tidak mampu memberikan sebarang jawapan. Dalam cabang internet pula, Alhamdulillah semakin banyak yang memainkan peranannya agar internet ini digunakan sebaik mungkin.
Jika kita mengekalkan corak pendekatan dakwah seperti mana dulu tanpa sebarang perubahan, dikhuatiri Islam itu kelihatan seperti tidak relevan dengan masyarakat moden. Andai kata hal itu berlaku, siapakah yang patut dipersalahkan?
Oleh Abdul Azim Roslan
Penulis ialah pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
Monday, December 24, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment