TINDAKAN Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang mencetuskan pelbagai isu berbau perkauman terus menjadi bahan polemik yang meresahkan. Sikap golongan yang menagih sokongan murahan kaum India dengan membangkitkan pelbagai pembohongan perlu dikekang bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar terhadap keharmonian kaum yang sedia terjalin.
Apa yang lebih membimbangkan kiranya wujud kelompok ektremis yang mengambil kesempatan membiakkan rasa marah dan curiga hingga sanggup melakukan pelbagai tindakan tidak wajar yang boleh menggugat kesejahteraan negara. Ketika ini pun,ada pelbagai SMS dan e-mel berbau perkauman dengan membawa cerita-cerita palsu dan sensasi yang tidak ada asas kebenarannya.
Bagi orang Islam, penulis sarankan agar kekal rasional dan tidak melatah apabila dikhabarkan dengan pelbagai berita palsu yang mampu merangsang perlakuan songsang yang mengundang kemudaratan lebih besar. Memanglah api kemarahan amat mudah menyemarak terutama apabila dilemparkan pelbagai tohmahan dan tuduhan palsu yang menyentuh agama dan kaum.
Namun, apa yang lebih mustahak ialah agar umat terus berpegang kepada prinsip dan nilai Islam sejati dalam mendepani sebarang bentuk cubaan dan gugahan untuk menggugat perpaduan kaum dan keamanan negara secara keseluruhannya.
Dalam konteks ini mungkin ada baiknya dinukilkan di sini hadis Nabi s.a.w. yang jelas mengisyaratkan keperluan mengekang sebarang bentuk kemudaratan sebagaimana disebut: Tidak boleh melakukan ‘dhoror’ dan ‘dhiror’. (Hadis Hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan ad-Daarugutni).
Ulama berselisih pendapat mengenai makna ‘dhoror’ dan ‘dhiror’ yang secara umum membawa maksud kemudaratan. Pendapat yang paling masyhur dan terkuat mengatakan bahawa makna kedua-duanya adalah berbeza. Makna ‘dhoror’ ialah menyakiti atau menimbulkan kemudaratan kepada orang yang tidak pernah menyakitinya. Manakala makna ‘dhiror’ pula ialah menyakiti atau melakukan kemudaratan kepada orang yang menyakitinya secara tidak benar.
Hadis ini begitu jelas menggambarkan prinsip Islam yang secara tegas menolak sebarang bentuk perlakuan songsang yang boleh menimbulkan kemudaratan. Prinsip menolak kemudaratan ini juga adalah sebahagian daripada matlamat utama syarak atau ‘maqasid al-syariah’ yang disepakati oleh para ulama. Allah menegaskan secara jelas dalam al-Quran: Dan tidaklah kami utuskan kamu (Wahai Muhammad) melainkan sebagai pemberi rahmat kepada seluruh umat manusia (al-Ambiya: 107).
Menurut Imam As-Suyuti dalam bukunya Al-Asybah Wan Nazooir daripada mazhab Syafii, prinsip menolak kemudaratan sebagaimana terungkap dalam hadis masyhur yang disebut di atas merupakan salah satu daripada empat kaedah utama fiqah. Kaedah fiqah yang lahir daripada hadis tersebut ialah ‘Ad-Dhororu Yuzalu’ yang bermaksud kemudaratan mesti dilenyapkan. Daripada kaedah asas ini, para fuqaha seterusnya mencerakinkannya kepada beberapa bahagian dan kaedah cabang lain yang semuanya menyentuh keperluan untuk menolak kemudaratan dalam apa jua keadaan.
Bahkan jika berlakunya pertembungan antara kebaikan dan kemudaratan, kaedah fiqah jelas menukilkan ‘dar‘u mafasid muqaddam ‘ala jalbi al-masalih’ iaitu menolak kemudaratan mestilah didahulukan daripada mengambil kebaikan. Umpamanya dalam konteks perbincangan kita, sebarang bentuk perlakuan atau tindak balas yang boleh mencetuskan huru-hara, kesengsaraan dan kerosakan nyawa dan harta benda mestilah dikekang dan dihalang sama sekali.
Sebab itulah dalam Islam, matlamat tidak sesekali menghalalkan cara. Sekudus mana pun matlamat atau perjuangan yang disasarkan, semuanya tidak bernilai mengikut pandangan Islam kiranya pendekatan yang diambil hanya menjurus kepada tercetusnya kemudaratan yang lebih besar.
Dalam konteks ini jugalah mungkin ada keperluannya pihak berkuasa mengambil kira penggunaan undang-undang kontroversi seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam menangani isu Hindraf. Kaedah fiqah lain ada menyebut, kemudaratan yang lebih besar perlu dihapuskan terlebih dahulu berbanding kemudaratan yang lebih ringan.
Justeru sekiranya kebiadaban dan sikap angkuh para pemimpin Hindraf tampak berterusan, penulis berpandangan ada keperluan pihak berkuasa menggunakan peruntukan undang-undang yang ada termasuk ISA untuk mengekang tindakan mereka yang terus membiakkan sentimen perkauman yang pastinya boleh menjejaskan keharmonian kaum yang sedia ada.
Tidak ada salahnya mengekang hak segelintir individu demi kepentingan dan hak rakyat terbanyak yang lebih menghargai nikmat keamanan yang sedia ada. Tidak ada salahnya menafikan kebebasan individu yang memudaratkan bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini terus terpelihara.
Monday, December 10, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment