SOALAN:
Apakah benar roh orang yang sudah meninggal itu akan pulang ke rumahnya dalam tempoh 40 hari kemudian seminggu sekali seperti malam jumaat atau setahun sekali seperti malam raya dan sebagainya untuk melihat keluarganya yang masih hidup dan apakah bacaan al-Quran itu tidak boleh atas kubur keluarga yang meninggal kerana pahalanya tidak akan sampai kepada mayat.
Bagaimana pandangan tuan ?
Jawapannya:
Untuk bercakap mengenai alam kubur ini semuanya tidak dapat dipastikan oleh sesiapa kecuali melalui hadis Rasulullah s.a.w. yang telah menerima wahyu dari Allah yang mengetahui segala yang nyata dan yang tersembunyi. Jadi kalau hadis itu benar dan sah maka itulah yang sebenarnya. Kalau ada cerita atau dikatakan sebagai hadis sahaja yang tidak dapat dipastikan sah dan benarnya maka cerita itu boleh kita dengar sahaja dan tidak boleh dijadikan dalil atau bukti apa-apa kecuali dalam fadhail a‘mal atau sebagai targhib dan tarhib.
Kita semua tahu kematian bukanlah ketiadaan atau tarikh akhir sejarah manusia yang di ciptakan oleh Allah malah ianya adalah suatu permulaan hidup baru manusia dalam alam yang baru. Menurut kata ulama, alam barzakh atau alam kubur menuju alam akhirat. Ianya adalah perpindahan dari alam dunia ini ke alam akhirat yang tidak dapat diketahui di mana tempatnya dan tidak sama dengan kehidupan di dunia ini. Di dunia ini diperlukan bekalan harta dan kewangan dan sebagainya sedangkan di akhirat ia memerlukan pahala dari amal ibadat kita.
Sebab itu di sana juga ada mereka yang muflis dan ada yang kaya-raya berdasarkan amalan masing-masing. Dalam masalah ini tidak dapat sebarang penjelasan yang sah dari al-Quran dan hadis untuk mengesahkan bila dan berapa lama roh itu berada di rumahnya. Tetapi kata ulama ada riwayatnya yang menyatakan bahawa si mati dapat melihat keadaan keluarganya (HR Ahmad melalui Anas bin Malik). Sebab itu ada arahan supaya menjaga kehormatan keluarga yang sudah meninggal. Malah tentang bacaan al-Quran atas kubur itu tidak ada sebarang larangan, cuma ada ulama yang tidak menggalakkannya kerana mereka faham bahawa pahalanya tidak sampai berdasarkan ayat 39 dalam surah an-Najmi. Kita tidak faham begitu kerana ayat itu ditentukan oleh ayat 38 sebelum itu bahawa dosa orang lain tidak boleh ditanggung oleh orang lain kecuali dengan usahanya dan sebab daripadanya sendiri.
Sebab itu ada hadis yang menceritakan bagaimana seseorang itu akan menjadi muflis kerana kejahatannya terhadap orang lain dan perlu dibayar dan dilangsaikannya dengan kejahatan orang yang dizaliminya, sebagaimana hadis riwayat Muslim dan Tarmizi mengenai mereka yang akan menjadi muflis di akhirat nanti. Sedangkan dalam bab kebajikan dan rahmat Allah adalah berlainan sekali kerana rahmat tuhan itu amatlah luas dan dapat meliputi segala sesuatu. Allah berfirman yang bermaksud: dan rahmat-Ku dapat meliputi segala-galanya (maksud surah al-a‘raf 156) Ayat ini disokong oleh sabda Nabi bermaksud: Rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku. Justeru itu dalam masalah pahala ini Allah dengan jelas menyatakan dalam firman-Nya bermaksud: tidak akan sampai kepada Allah itu daging dan darah korban tetapi yang sampai kepadanya ketakwaan (keikhlasan dan pahala amalan kamu) (Surah al- hajj ayat 37). Sebab itu boleh kita katakan bahawa kenduri-kendara dan pinggan mangkuknya tidak akan sampai tetapi yang sampai kepada-Nya ialah pahala amalan tersebut yang dilakukan dengan ikhlas dan penuh takwa kepada-Nya dan pahala itu boleh didoakan dan dihadiahkan kepada sesiapa sahaja. Kalau pahala amalan tidak sampai dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang lain, tentu amalan haji yang dikerjakan untuk keluarga yang sakit atau amalan mengupah haji serta susah payah orang lain menunaikan hajinya itu, sia-sia belaka.
Dalam masalah ini kita sedar bahawa mereka yang mengatakan tidak sampai pahala tadi bertujuan baik seperti ulama besar kita Imam Syafii dan lain-lain, takut orang tidak mahu beramal sendiri sekadar boleh upah orang. Sebab barangkali dia orang berada dan berharta, tetapi kita sekarang kenalah bercakap benar. Tidak seperti permulaan Islam dahulu, baginda melarang umatnya dari kalangan wanita berziarah kubur. Tetapi selepas manusia mula memahami Islam dan bukan baru dengan Islam maka baginda mengarah mereka berziarah kubur semula bagi melahirkan kesedaran dan keinsafan dan mengambil pelajaran. Wallahualam.
Musibah alam
SOALAN:
Saya keliru apabila ada kawan-kawan mengatakan bahawa sesuatu musibah itu adalah balasan Allah kepada mereka yang banyak melakukan dosa. Jadi ramai yang mengatakan banjir besar di selatan tanah air baru-baru ini adalah balasan Allah atas perbuatan mereka yang banyak melakukan perkara maksiat?
JAWAPANnya:
Kita perlu faham bahawa sesuatu fenomena alam seperti gerhana, banjir, gempa bumi dan lain-lain boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah pada hari kematian anak bongsunya Saidina Ibrahim kerana pada hari itu kebetulan berlaku gerhana matahari. Maka ada sahabat yang mempercayai gerhana itu kerana kematian anak baginda. Perkara ini dinafikan oleh baginda melalui sabdanya bermaksud: matahari dan bulan itu adalah sebahagian dari kejadian Allah dan tanda-tanda kebesaran dan kehebatan-Nya ianya tidak ada kaitan langsung dengan kelahiran atau kematian sesiapa (HR Bukhari).
Dalam soal musibah ini, bagi mereka yang beriman bukan semata-mata musibah atau azab seksa Allah malah ianya adalah untuk menguji kesabaran dan pasrah menghadapinya. Justeru Allah berfirman bermaksud: Adakah kamu boleh bersabar (surah al-furqan ayat 20). Tetapi bagi mereka yang tidak melakukan arahannya atau mengingkari perintahnya perlu beringat dan berjaga-jaga supaya mereka tidak ditimpa bala bencana atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya (maksud surah an-nur ayat 64).
Dalam firman yang lain Allah berfirman bermaksud: Dan jagalah kamu dari berlaku fitnah yang bukan sahaja akan menimpa mereka yang zalim dari kalangan kamu secara khusus (surah al-anfal ayat 25). Ia bermakna fitnah atau ujian itu akan mengenai sesiapa sahaja untuk menguji siapa di kalangan hamba-Nya yang bersabar. Sedangkan fitnah itu bukan berbentuk bala bencana malah berbentuk nikmat dan kurniaan-Nya. Kita atau siapa sahaja semuanya berada dalam ujian-Nya, adakah mereka bersyukur dan memuji tuhannya atau menjadi lupa diri dan mengingkari Tuhannya. Begitu juga bila manusia berhadapan dengan musibah, kalau mereka dapat memenuhi haknya mereka akan diberi pahala dan ganjaran setimpal. Allah berfirman bermaksud: Mereka itu akan mendapat selawat dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itu mendapat pertunjuk (al-baqarah 157).
Hukum bekerja di bank
SOALAN:
Saya bekerja dengan sebuah bank di ibu negara. Baru-baru ini saya terbaca satu rencana dalam sebuah majalah yang mengatakan kerja di bank tidak boleh kerana semua bank terlibat dengan riba?
Jawapannya:
Di negara kita, tidak semua bank terlibat dengan riba, umpamanya Bank Islam atau Bank Muamalat. Manakala bank lain juga sedang menuju ke arah muamalat Islam. Malah hampir semua bank membuka kaunter Islam. Dalam masa terdekat dan menuju peralihan ke arah sistem islam ini, tidak boleh urusan itu dihentikan atau ditinggalkan kerana ia mungkin menyebabkan urusan ekonomi negara jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab serta mengundang bahaya lebih besar. Sebab itu kita perlu bersabar menunggu sistem ekonomi atau pendapatan kita tidak ada yang bercampur-campur makruh atau haram. Bagi yang bekerja di bank tidak perlu meletakkan jawatan kerana mereka ada tanggungan dan sebagainya. Ia dikatakan untuk mengelak dari bahaya darurat yang lebih besar sedangkan kita tahu bahawa darurat itu membolehkan perkara yang dilarang agama tanpa ragu-ragu. Lebih-lebih lagi mereka yang tidak ada tempat lain untuk menyara hidupnya dan keluarga. Dari satu sudut yang lain banyak pendapat ulama tentang riba itu. Ada yang mengatakan riba itu bila faedah bank melebihi 4% dan ada juga mengatakan jangan melebihi 10%. Kerana kata mereka, kalau di bawah paras tersebut ianya dikira servis caj. Justeru, Allah ada berfirman bermaksud: Janganlah kamu memakan riba dengan berlipatganda dan bertakwalah kepada Allah s.w.t. semoga kamu berjaya (surah al-Imran ayat 130). Menurut pendapat ini bank tertentu yang faedahnya melebihi paras tersebut sahaja dikira mengamalkan riba. Wallahualam.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment