abi Musa menuju ke MadyanDAN tatkala ia mengadap ke jurusan negeri Ma dyan ia berdoa: “Mudah-mudahan Tuhan memimpinku ke jalan yang benar. (Qashash: 22)
NABI Musa terpaksa keluar dari Mesir kerana baginda telah diburu atas kesalahan membunuh seorang lelaki Mesir. Mereka meletakkan kesalahan itu ke atas Nabi Musa. Sebenarnya ketika itu baginda cuba meleraikan perkelahian, bukannya mahu membunuh lelaki Mesir tersebut. Baginda tidak sengaja melakukan kesalahan tersebut.
Berhari-hari Nabi Musa berjalan dan melalui jalan yang tidak pernah dilalui oleh orang lain. Baginda memasuki gurun menuju ke suatu tempat. Ketika itu beliau hanya seorang diri dan hanya mengharapkan perlindungan daripada Allah s.w.t.. Baginda berjalan tanpa sepatu sehingga pecah-pecah kakinya. Baginda terasa sangat lapar. Walaupun begitu, baginda tetap meneruskan perjalanannya.
Akhirnya, baginda tiba di Madyan dan melihat ramai manusia berkumpul dan berkerumun. Nabi Musa hanya memerhatikan tingkah laku mereka. Mereka adalah penggembala yang sedang mengambil air untuk kambing-kambing mereka. Baginda melihat pula ke arah dua orang gadis yang sedang menjaga kambing-kambingnya yang sangat kurus, berbeza dengan kambing-kambing yang ada di situ. Kambing-kambing yang lain itu semuanya gemuk-gemuk belaka.
Nabi Musa kasihan melihat kedua-dua gadis itu. Baginda mendekati mereka.
“Apa yang kamu berdua buat di sini?” tanya Nabi Musa.
“Kami menyisihkan diri untuk menjaga kehormatan diri dan tidak mahu berebut-rebut mengambil air. Kami perlu sabar menunggu sehinggalah semua orang telah selesai mengambil air. Barulah kami mengambil air untuk kambing-kambing kami pula. Bapa kami sudah tua, tidak mungkin untuk datang ke sini,” terang salah seorang daripada mereka.
Nabi Musa pun menolong kedua-dua gadis itu mengambil air untuk kambing-kambing mereka. Pada hari itu, kedua-dua gadis perempuan itu dapat pulang ke rumah awal kerana Nabi Musa telah menolong mereka. Tiba di rumah, bapa mereka kehairanan melihat kedua-duanya.
“Kenapa cepat kamu berdua pulang hari ini?” tanya bapa mereka.
“Ada seorang lelaki telah menolong kami mengambil air untuk kambing-kambing kita,” kata salah seorang anak perempuannya.
“Pergilah engkau padanya dan beritahu ayah memanggilnya untuk memberi upah dan jasanya kerana mengambil air untuk kamu berdua,” kata bapa mereka lagi.
Salah seorang daripada mereka pergi menemui Musa.
“Saya diutus oleh bapa untuk memanggilmu agar engkau sudi datang ke rumah kami. Bapa terhutang budi atas kebaikanmu yang telah menolong kami,” kata gadis itu.
Nabi Musa pun pergi ke rumah mereka.
Setiba di rumah tersebut, Nabi Musa disambut oleh bapa kedua-dua gadis itu.
“Terima kasih kerana kamu telah menolong anak-anak saya,” kata si bapa.
“Sama-sama. Saya menolong mereka dengan ikhlas. Bukan mengharapkan upah atau balasan,” kata Musa.
Bapa kedua-dua gadis itu mahu Musa menceritakan tentang dirinya. Maka Nabi Musa menceritakan kenapa beliau keluar dari Mesir. Sehinggalah bapa kedua-dua gadis itu tahu rahsia perjalanan Nabi Musa.
“Jangan risau, kamu akan selamat di sini. Engkau akan bebas daripada mereka yang zalim itu,” kata si bapa.
“Terima kasih,” jawab Musa.
Tinggallah Nabi Musa di situ dengan perasaan tenang dan lega untuk beberapa ketika.
- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.
PENGAJARAN
* Kita hendaklah berbuat sesuatu yang baik itu dengan ikhlas tanpa meminta balasan.
PERBENDAHARAAN KATA
* Perlindungan: tempat berlindung
* Kehairanan: kepelikan
* Jasa: bakti
* Menemui: berjumpa dengan
INFORMASI
* Madyan terletak di daerah Ma’an, satu daerah di bahagian Selatan Palestin, iaitu tempat tinggal Nabi Syuib
Sunday, December 16, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment