MADINAH al-Munawwarah adalah kota suci kedua bagi umat Islam selepas Makkah al-Mukarramah. Bumi itu menyaksikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah pada 622Masihi. Madinah al-Munawwarah turut dikenali dengan pelbagai nama seperti Darul Hijrah, Toybah, Tobah, Al-Dar, Haramu Rasulillah dan Ma'zarul Iman. Sebelum berlaku peristiwa Hijrah, bumi itu dikenali sebagai Yathrib.
Madinah adalah ibu kota negara Islam pertama, pusat pentadbiran dan perkembangan tamadun Islam yang unggul serta tempat bermulanya penyebaran dakwah Islamiah secara lebih sistematik dan terbuka.
Di sini Baginda Rasulullah SAW dan sahabat berganding bahu merangka pelbagai strategi demi mendaulatkan agama Islam sehingga tersebar ke seluruh Semenanjung Tanah Arab. Selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW pada 632 Masihi iaitu 10 tahun selepas peristiwa Hijrah, amanah itu dipikul khalifah sehingga Islam terus tersebar ke Eropah dan Asia, seterusnya menerangi alam dari Timur hingga ke Barat.
Madinah terletak di sebelah utara Makkah. Ia berada di garisan latitud 24º - 28ºU Khatulistiwa dan garisan longitud 36º - 39ºT. Ia berada pada ketinggian 625 meter dari paras laut. Sebagai sebuah oasis yang subur, Madinah dikelilingi Jabal Thur dan Jabal Uhud di Utara, Jabal 'Iyr di selatan, Harrah Waqim al-Sharqiyyah di timur dan Harrah Wabrah al-Gharbiyyah di barat. Manakala di bahagian barat lautnya, ia dilingkungi oleh Jabal Sila'.
Panjang bumi Madinah diukur dari utara hingga ke selatan adalah sejauh 16 kilometer. Jarak dari Madinah ke Makkah melalui lebuh raya (Tariq al-Hijrah) adalah sejauh 425 kilometer, manakala jaraknya dari Jeddah adalah sejauh 400 kilometer.
Zulhulaifah (Bir Ali) iaitu Miqat Makani bagi penduduk Madinah pula terletak kira-kira 10 kilometer dari bumi Rasulullah SAW ini. Di Madinah terdapat tiga Wadi 'Aqiq dengan keluasan kira-kira 50 kilometer persegi. Jumlah penduduk tetap Madinah kini melebihi 300,000 orang.
Bumi penuh berkat itu awalnya dipanggil Yathrib bersempena nama orang pertama menjejak kaki di sana iaitu Yathrib ibn 'Ubayl ibn 'Iwadh. Beliau keturunan Nabi Nuh daripada anaknya Sam ibn Nuh. Selepas itu, 'Amalek Bani 'Imlak membuka penempatan dan ladang serta kebun sehingga bumi Yathrib terkenal dengan hasil pertanian terutama buah tamar.
Daripada sebuah penempatan kecil, Yathrib berkembang menjadi sebuah kota yang didiami dua bangsa utama iaitu Yahudi dan Arab. Bangsa Yahudi adalah penduduk majoriti Yathrib dan pemegang kuasa ekonominya terdiri daripada tiga puak iaitu Bani Qainuqa', Bani Nadhir dan Bani Qurayzah. Manakala bangsa Arab pula terdiri daripada Qabilah Aus dan Qabilah Khazraj dari Bani Qaylah.
Kehidupan mereka sering dalam pertelagahan dan peperangan sehinggalah peristiwa Hijrah Rasulullah SAW apabila keamanan dapat dicapai hasil proses persaudaraan dan ukhuwah sesama umat Islam dan termeterainya perjanjian antara Islam dan Yahudi seperti tercatat dalam mithaq (piagam) Madinah. Nama Yathrib juga diubah Baginda Rasulullah SAW kepada Madinah.
Madinah adalah tempat tinggal Baginda Rasulullah SAW sehingga Baginda wafat dan mempunyai pelbagai kelebihan tersendiri. Bersesuaian status Tanah Haram seperti diisytiharkan Rasulullah SAW, Madinah mempunyai beberapa kelebihan dan larangannya.
Antara kelebihan terdapat di Madinah ialah:
Solat berjemaah yang dilaksanakan dalam Masjid Nabawi mendapat ganjaran pahala 1,000 kali ganda.
Rasulullah SAW mendoakan keberkatan dalam urusan kehidupan penduduk Madinah.
Rasulullah SAW menjanjikan syafaat dan kesaksian Baginda di akhirat kelak bagi mereka yang sabar dengan kesusahan dan kesulitan dihadapi di Madinah.
Rasulullah SAW akan memberikan syafaat buat mereka yang meninggal dunia di Madinah.
Mereka yang masuk dalam Masjid Nabawi untuk belajar atau mengajar sesuatu ilmu (kebaikan) adalah umpama mujahid fi sabilillah (pejuang di jalan Allah).
Bumi Madinah terpelihara daripada fitnah Dajal dan ancaman wabak taun.
Madinah adalah ma'razul iman iaitu tapak dan tempat perlindungan iman ketika terjadi zaman fitnah.
Terdapat pelbagai kesan Sirah Nabawiah dan sejarah sahabat yang boleh dijadikan sebagai iktibar serta mekanisme peningkatan iman dan takwa.
Larangan Tanah Haram Madinah pula:
Orang bukan Islam ditegah daripada berada di bumi Madinah atau melalui jalannya.
Haram membunuh atau memburu binatang buruan.
Haram mencabut, mematah atau membinasakan pokok dan pohon yang hidup.
Haram mengeluarkan batu, tanah, pasir termasuk yang sudah diubah fizikalnya.
Tidak boleh berniat untuk melakukan kejahatan kepada penduduk Madinah.
Dilarang mengerjakan solat sunat mutlak pada waktu tahrim (waktu yang dilarang melakukan solat sunat).
Demikianlah beberapa kelebihan dan larangan di bumi Madinah yang perlu diketahui jemaah haji apabila berpeluang menjejakkan kaki dan berziarah ke Madinah al-Munawwarah. Semoga kedatangan kita disambut dengan penuh keberkatan dan rahmat daripada-Nya.
Disediakan oleh Bahagian Bimbingan Lembaga Tabung Haji
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment