Tuesday, December 11, 2007

58. Sumbangan daripada bukan islam dan menjawab salam

Soalannya:
Apabila berlaku sesuatu kematian ada orang kata, tidak boleh menerima sumbangan daripada bukan Islam. Begitu juga kata mereka, kita dilarang memberi atau menjawab salam daripada mereka (bukan muslim) kerana ada hadis yang melarang perbuatan tersebut. Apa pandangan tuan?


Jawapannya:
Kenapa pemikiran orang kita jadi begitu buntu. Ini tentu datangnya dari fahaman mereka yang celaru dan perasaan haru-biru sebelum ini yang lahir daripada perasaan permusuhan atau benci-membenci yang amat dikeji Islam. Kerana Islam itu adalah agama yang sesuai dengan seluruh umat manusia. Agama kita akan jadi mangsa cemuhan orang lain disebabkan cara pemikiran dan pendekatan yang diambil umatnya yang anggap melampau. Islam itu adalah agama sejahtera terbaik dan menarik lagi sederhana dan saksama. Nabi bersabda yang bermaksud: Islam itu tinggi dan tidak ada yang dapat mengatasinya. Sebab itu kita perlu berhati-hati dan mengkaji sendiri dalil yang ada pada mereka, umpamanya apakah kedudukan hadis tersebut, apalagi kalau tidak ada dalil hadis atau al-Quran tersebut, sebab yang ada ialah dalil yang menunjukkan sebaliknya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Berkata Ibrahim (kepada ayahnya yang kafir itu) salam ke atasmu atau selamat (tinggal) akan aku pohon keampunan (dosamu) kepada Tuhanku sungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan-Nya kepadaku (maksud surah Mariam ayat 47). Dan sebab janjinya inilah, beliau pernah meminta keampunan dari Allah terhadap dosa ayahnya, sehingga ternyata ayahnya memang jelas menjadi musuh Tuhannya barulah beliau memberhentikan istighfarnya tersebut. Begitu juga dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 hingga 9 yang mana dua ayat itu tidak ada sebarang pertentangan jauh sekali dari apa yang disangkakan sebagai nasikh dan mansukh. Begitu juga surah al-Maidah ayat 13 yang bermaksud: dan engkau (wahai Muhammad!) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan melainkan sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat) oleh itu maafkanlah terhadap mereka dan janganlah pedulikan (hiraukan) mereka, sesungguhnya Allah s.w.t. amat kasihkan orang yang berusaha memperbaiki amalannya. Demikian juga firman-Nya yang bermaksud: dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan suatu ucapan hormat (seperti memberi salam dan sebagainya) maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah (dengan cara yang sama) sungguhnya Allah s.w.t. sentiasa menghitung atas setiap suatu (maksud surah an-Nisa ayat 86). Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: dan jikalau mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka hendaklah engkau juga cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah sungguh-Nya Dia amat mendengar lagi amat mengetahui (maksud surah al-Anfal ayat 61).

Dari sini dapatlah kita fahami bahawa kategori bukan muslim itu banyak bahagian dan kumpulannya. Setiap kumpulan ada caranya tersendiri, dan orang kita faham bahawa bukan muslim itu cuma kuffar harbi yang sentiasa menentang kita tetapi yang sebenarnya tidak. Mereka itu ramai kumpulannya, seperti zimmi musta‘man mu‘ahad dan lain-lain sedangkan di kalangan mereka ada yang diberi keistimewaan tertentu oleh Islam. Baginda s.a.w. ada mengingatkan bahawa: sesiapa yang menyakiti mana-mana zimmi sama seperti dia menyakitiku sendiri (hadis mashur). Sebab itu

orang tua kita ada membuat pendekatan yang baik iaitu apabila memberi salam mereka ucapkan salam (Islam biasa) dan mengiringya dengan ucapan selamat sejahtera kepada semua. Malahan apabila kita semak hadis yang dibawa sebagai dalil yang melarang itu tidak ada sebarang hujah untuk menyokong pendapat mereka. Cuba kita lihat hadis itu ceritanya lebih kurang seperti berikut, iaitu pada suatu hari sekumpulan yahudi ada memberi salam kepada Nabi tetapi tidak menggunakan lafaz salam biasa malahan digantikan dengan kata kata “Assamu ‘alaikum” yang bererti kematian atau racun atas kamu dan bila didengar oleh isterinya ‘aisyah lalu dijawabnya dengan kata-kata yang sama dan menambah dengan kata laknat Allah ke atas kamu. Lalu terus baginda melarangnya dan bersabda: jangan cepat melenting dengan jawapan begitu. kata isterinya tidakkah kamu dengar ucapan salam mereka tadi? jawab baginda: aku dengar sebab itu aku jawab juga tadi dengan kata waalaikum sahaja, yang bermaksud atas kamu juga (sebagaimana yang kamu ucapkan itu). Di sini dapat kita ambil kesimpulan bagaimana tingginya akhlak dan mulianya budi pekerti Rasulullah. Baginda tidak cepat melatah dan dapat menjawab kekeliruan dengan kekeliruan juga, yang mana orang yahudi itu menyangka dengan itu baginda menjawab dan membalas ucapan mereka padahal yang dipulangkan dengan jawapannya itu, hanyalah ucapan mereka tadi juga. Di sini tidak ada sebarang larangan memberi atau menjawab salam mereka.

Demikian juga sumbangan atau sebarang pemberian mereka yang bukan muslim, tidak ada larangan untuk menerimanya kalau pemberian itu memang sumbangan ikhlas daripada mereka tanpa ada sebarang ungkitan atau bangkitan. Dalam budaya kita juga ada panduan dari pepatah orang tua kita, iaitu orang berbudi kita berbahasa orang memberi kita merasa. Malah baginda pernah menggadaikan baju besinya untuk mendapatkan sesuatu daripada orang yahudi yang menjadi jirannya. Janganlah pendekatan kita yang bengis dan keras itu, dikatakan ajaran Islam atau atas nama Islam. Kerana berapa banyak perbuatan kita sendiri selama ini yang telah menjejaskan nama baik Islam yang maha suci, malah dapat membantutkan keindahan dan perkembangannya. Tidakkah kita sedar bahawa menerima dan menjaga hati orang lain dalam satu masyarakat itu adalah suatu kebaikan yang akan diberi pahala dan ganjarannya menurut pandangan agama kita. Wallahualam.

Mandi wajib dan ambil wuduk

Soalannya:
Adakah setelah kita mandi wajib atau mengangkat hadas besar itu kita perlu berwuduk lagi. Saya selalu mengulangi wuduk saya di akhir mandi tersebut. Apakah betul apa yang saya lakukan ?


Jawapannya:
Mandi wajib atau mengangkat hadas besar itu kata ulama suatu amalan yang sudah memadai dari berwuduk sekiranya tidak ada berlaku perkara yang membatalkannya seperti terkentut atau menyentuh kemaluan sendiri atas pendapat yang muktamad.

Tetapi ada juga mereka yang mengatakan menyentuh kemaluan itu tidak membatalkan, jadi menurut pendapat ini setelah mandi wajib tidak perlu mengulangi berwuduk lagi tetapi atas kaul pertama tadi sekiranya dia ada menyentuh kemaluan atau terkentut perlulah diulangi wuduknya lagi pada akhir mandi tersebut supaya dia benar-benar berkeyakinan kesuciannya. Menurut para ulama amal ibadat yang besar itu dapat memenuhi ibadat yang kecil seperti dalam masalah ini, kerana ibadat yang kecil itu dapat dimasukkan dalam ibadat yang besar seperti juga ibadat yang sunat itu dapat dimasukkan dalam ibadat yang wajib seperti mandi dan wuduk ini kerana bila kita mandi segala anggota wuduk semuanya sudah terbasuh kerana rukun mandi tersebut adalah meratakan air ke seluruh anggota badan. Malah ibadat sunat juga ada yang dapat memenuhi setengah ibadat sunat yang lain, seperti sunat jumaat dapat memenuhi sunat tahiyatul masjid kalau dilakukan terus sebelum dia duduk lagi umpama bila dia tiba ke masjid waktu zuhur sudah masuk maka selepas azan dan sebelum duduk bolehlah dia solat sunat jumaat tanpa perlu solat sunat tahiyatul masjid. Wallahualam.

- SEBARANG kemusykilan bolehlah dialamatkan kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim,

Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan .com.my. Pembaca hendaklah menyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.

No comments: