PENULARAN wabak denggi yang begitu mudah menyerang manusia sebenarnya berpunca daripada diri manusia itu sendiri dan mereka juga yang perlu menghasilkan penawarnya.
Denggi sejenis penyakit berjangkit disebabkan virus denggi bawaan nyamuk aedes. Nyamuk ini dikenali dengan belang hitam putih di kaki dan kepalanya. Penyakit bermula dengan gigitan yang selalunya aktif sekitar jam 5 hingga 7 pagi dan senja dari jam 5 hingga 7 malam.
Simptom yang dialami mangsa penyakit ini seperti demam kuat secara mengejut, ruam merah pada kulit, sengal-sengal otot, sendi biji mata dan kepala serta pendarahan pada hidung, badan dan mulut.
Dalam kes serius, individu yang digigit nyamuk aedes akan rasa sakit kepala yang kuat, hilang selera makan, muntah dan sakit perut.
Hingga kini masih belum ada vaksin khusus yang dapat memberi perlindungan untuk tempoh jangka panjang bagi mengelak penyakit itu selain daripada beberapa jenis ubat-ubatan untuk memulihkan mangsa.
Demam denggi berpunca daripada faktor persekitaran yang tidak bersih dan terurus sehinggakan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang berkaitan dengan penjagaan kebersihan di persekitaran kita.
Menjaga kebersihan adalah tuntutan iman berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman."
Disebabkan denggi berpunca daripada persekitaran tidak bersih, maka semua pihak terdedah kepada risiko penyakit itu melainkan mereka mengambil semua tindakan perlu bagi mengelak peluang untuk nyamuk aedes membiak.
Kebersihan dalam Islam tidak terhad kepada menjaga kesucian pakaian dan makanan kerana skop kebersihan yang menjadi sebahagian iman itu luas. Justeru, menjadi tanggungjawab umat Islam menjaga kebersihan baik yang fizikal, mahupun rohani.
Wabak denggi boleh dilihat sebagai natijah daripada perbuatan manusia yang mengambil lewa aspek kebersihan dan mengharap orang lain untuk menjaga tanggungjawab yang sepatutnya dipikul semua pihak.
Tugas utama manusia apabila ditimpa penyakit-penyakit tertentu oleh Allah, hendaklah berusaha dengan bersungguh dan mencari ikhtiar untuk merawatnya sama ada dengan berjumpa doktor atau mengambil langkah pencegahan.
Ikuti arahan pihak berkuasa supaya menutup bekas menyimpan air dan salin setiap dua minggu sekali, bersihkan saluran hujan, pastikan tempat pembiakan selalu dipantau seperti tayar buruk, kaca, tin yang dibuang dan menanam bekas yang boleh menakung air serta memasukkan racun pemusnah serangga mengikut sukatan setiap tiga bulan sekali.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap penyakit ada ubatnya." Begitu juga dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW mengingatkan umatnya hakikat penyakit yang diturunkan Allah dalam sabdanya yang bermaksud: "Berubatlah kamu kerana sesungguhnya Allah yang mencipta penyakit dan Allah jugalah yang mencipta ubatnya."
Sungguh penyakit yang diturunkan Allah kepada hamba-Nya disediakan dengan penawarnya, ia bukan bermakna manusia pula terus berserah pada ketentuan Tuhan semata-mata tanpa berusaha pula untuk menghindarkan diri daripada dihidapi penyakit itu.
Seperti denggi, oleh kerana salah satu puncanya ialah akibat persekitaran yang tidak bersih, maka manusia sebenarnya dengan sengaja mengundang kehadiran nyamuk aedes kerana sikap mereka tidak menjaga kebersihan.
Justeru, masyarakat perlu mengubah sikap daripada mengambil mudah mengenai aspek kebersihan kepada sikap lebih prihatin kerana kelalaian hanya mendatangkan lebih banyak keburukan serta kemudaratan. Setiap penyakit ada ubatnya. Bagaimanapun lebih kita mengelak penyakit datang daripada mengubatnya selepas menderita sakit.
Monday, December 10, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment