SOALAN:
Saya benar-benar kecewa apabila mendapati imam yang dilantik di kampung saya bukan terdiri daripada orang yang selayaknya menjadi imam. Ramai orang lain yang lebih layak daripadanya. Dia bukan terdiri daripada orang yang mempunyai latar belakang agama. Bilalnya pula lagi teruk.
Ketika tarawih, bacaan-bacaan yang dibaca antara sembahyang tarawih menjadi lintang pukang, barisnya dan makhrajnya.
Kampung yang mempunyai lebih kurang 200 buah rumah sepatutnya dapat memenuhi masjid, terutamanya ketika sembahyang Jumaat, tetapi menjadi semakin berkurangan, biarpun banyak orang luar datang, termasuk mereka dari negara jiran, Myanmar, Bangladesh dan India.
Sepatutnya, mereka ini, biarpun lantikannya tidak dilakukan menurut sewajarnya, apabila dilantik menjadi imam atau bilal mereka mesti belajar membolehkan mereka dapat menyempurnakan tugas dengan baik dan meyakinkan para makmum.
Dalam masalah ini, saya mohon dapat menjelaskan siapakah yang dimaksudkan dengan orang yang lebih pandai membaca al-Quran, saya juga berharap agar diperjelaskan hal-hal yang berkaitan dengan sembahyang berjemaah, termasuk bukan orang yang fasik menjadi imam.
JAWAPAN:
Untuk menangani masalah yang saudara utarakan, setiap orang lebih-lebih lagi mereka yang diberi autoriti untuk melantik ahli jawatankuasa masjid haruslah bersifat jujur. Tidak melantik mereka yang tidak layak, padahal ada orang lain, yang lebih layak. Tidak melantik seseorang berdasarkan selera nafsu yang mempunyai agenda sendiri.
Begitu juga dengan orang yang kena lantik. Mereka perlu bersifat jujur, berupaya mengukur baju di badan sendiri. Apabila dilantik, seseorang itu mesti belajar hal-hal yang berkaitan dengan keimamam atau bilal.
Tugas dan tanggungjawab imam dan bilal terlalu berat. Tidak semua orang berupaya menggalasnya. Perlu berada di masjid, sekurang-kurangnya lima waktu sehari semalam, setiap hari dan seumur hidup. Selain di dunia, tanggungjawab ini akan terus dipersoal di akhirat kelak.
Masjid yang mempunyai jawatankuasa yang terdiri daripada mereka yang bermasalah atau sebahagian daripada mereka bermasalah, atau tidak minat akan menyebabkan masjid yang besar menjadi kebanggaan semata-mata, mungkin menjadi tumpuan pelancong, termasuk pelancong luar negara, tetapi manfaatnya tidak terserlah kepada orang Islam tempatan.
Masjid-masjid akan menjadi tempat orang sembahyang waktu yang melibatkan beberapa orang sahaja, terutamanya ketika sembahyang zuhur. Masjid seperti ini akan menjadi tempat pemandu-pemandu buang air kecil dan air besar atau tempat ibu berhenti menukar lampin anak sekiranya ia terletak di tepi jalan raya.
Hal demikian akan berlaku apabila sesuatu tugas itu diletakkan kepada orang yang bukan ahlinya atau berhak menyandangnya.
Orang yang berhak menjadi imam ialah mereka yang paling baik bacaan al-Qurannya. Kalau ramai di antara mereka yang baik membaca al-Quran, maka orang yang lebih pandai mengenai hadis nabi, kemudian baru dipilih orang yang terdahulu berhijrah ke tempat berkenaan. Kalau mereka juga sama, maka pemilihannya dibuat kepada orang yang lebih tua usianya.
Dalam sebuah hadis daripada Abu Said dinyatakan bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Jika terdapat mereka bertiga, maka salah seorang daripada mereka hendaklah tampil menjadi imam dan orang yang lebih berhak menjadi imam ialah orang yang paling pandai membaca al-Quran.
Berdasarkan hadis Amar bin Salamah, yang dimaksudkan dengan ‘paling pandai membaca al-Quran’ di sini ialah orang yang terbanyak hafalannya. Hadis tersebut bermaksud: Hendaklah orang yang menjadi imam itu orang yang terbanyak hafalan Qurannya.
Pada kebiasaannya, orang yang baik bacaan Quran mempunyai ilmu al-Quran. Orang yang banyak menghafal al-Quran banyak pengetahuan agamanya, termasuk ilmu tafsir, hadis, fikah dan sebagainya. Usia tua memperlihatkan kematangan dan luas ilmu yang dimiliki.
Hadis berikut ini akan dapat menjelaskan hal yang berkaitan dengan pemilihan imam. Hadis ini adalah daripada Ibn-Masud, yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda bermaksud: Orang yang lebih berhak menjadi imam bagi satu kaum itu adalah orang yang paling pandai membaca al-Quran, selain kebijaksanaan mereka dalam bacaan azan. Maka orang yang lebih pandai tentang hadis, kalau mereka juga sama maka pilih orang yang lebih dahulu berhijrah, kalau sama masa hijrahnya, pilih orang yang lebih tua usianya. Janganlah seseorang daripada kamu menjadi imam bagi orang lain di lingkungan kekuasaannya dan jangan pula ia duduk di hamparan rumah orang lain kecuali dengan izinnya.
Orang yang telah mumaiyiz dan buta sah menjadi imam bagi seorang dewasa juga orang yang celik. Orang yang berdiri boleh menjadi imam orang yang sembahyang duduk, begitulah sebaliknya, iaitu ada orang yang duduk itu menjadi imam bagi orang yang berdiri.
Orang yang sembahyang fardu boleh menjadi imam bagi orang yang sembahyang sunat, begitulah sebaliknya. Orang yang berwuduk sah menjadi imam bagi orang yang bertayamum, begitu juga sebaliknya, iaitu orang yang bertayamum sah menjadi imam bagi orang yang berwuduk.
Orang yang musafir sah menjadi imam bagi orang yang mukim, begitulah sebaliknya, iaitu orang yang mukim menjadi imam bagi orang yang musafir.
Amar bin Salamah pernah menjadi imam bagi kaumnya, padahal ketika itu ia berumur lebih kurang enam atau tujuh tahun. Rasulullah pernah mewakili Ibnu Ummi Maktum agar ia menjadi imam orang-orang Madinah dua kali, padahal di adalah seorang yang buta.
Rasulullah juga pernah sembahyang di belakang Abu Bakar ketika beliau sakit yang membawa kepada kematiannya, dalam keadaan duduk. Baginda juga pernah sembahyang dalam keadaan duduk ketika sakit. Ketika itu di belakangnya banyak orang yang menjadi makmum, kemudian beliau memberi isyarat agar orang ramai itu duduk semuanya. Setelah selesai sembahyang baginda bersabda menyatakan: Bahawa imam itu dipilih untuk maksud diikuti. Kalau ia rukuk, rukuklah kamu, kalau ia mengangkat kepala, angkatlah kepala kamu dan kalau ia sembahyang duduk, sembahyanglah pula dalam keadaan duduk di belakangnya.
Walaupun demikian ada pendapat menyatakan bahawa orang yang sembahyang berdiri tidak boleh sembahyang mengikut orang yang sembahyang dalam keadaan duduk kerana uzur.
Muaz pernah bersembahyang bersama Rasulullah, kemudian ia kembali kepada kaumnya dan bersembahyang sekali lagi menjadi imam untuk melakukan sembahyang isyak juga. Dalam keadaan ini sembahyang kedua yang dilakukan olehnya adalah sunat, padahal isyak yang dilakukan oleh kaumnya itu adalah sembahyang fardu.
Mihjan bin Adark menyatakan bahawa pada satu ketika dia datang ke masjid. Apabila tiba waktu sembahyang, baginda Rasulullah pun mendirikan sembahyang bersama orang ramai. Padahal dia sudah sembahyang. Ketika ditanya oleh Rasulullah, Mihjan menyatakan dia telah sembahyang di rumah sebelum itu. Mendengarkan katanya, baginda bersabda bermaksud: Kalau awak ke sini, sembahyanglah dengan mereka dan niatkan sebagai sembahyang sunat.
Rasulullah pernah melihat seorang lelaki sembahyang seorang diri, lalu baginda bertanya kepada orang ramai yang berada di situ dengan katanya: ‘‘Tidak adakah seseorang yang suka bersedekah kepada orang ini iaitu bersembahyang dengannya?”
Amar bin Asy pernah menjadi imam padahal ia bertayamum. Apa yang dilakukan olehnya dipersetujui oleh Rasulullah.
Sebuah hadis daripada Yazid bin Aswad, katanya: Kami telah sembahyang bersama Nabi sembahyang subuh di Mina. Lalu datang dua lelaki berhenti di atas kenderaannya. Nabi menyuruh memanggil mereka. Mereka datang dalam keadaan gementar seluruh janggutnya.
Beliau pun bertanya: Apa yang menghalang kamu berdua bersembahyang bersama orang ramai. Bukankah kamu berdua orang Islam? Mereka menjawab:
Bahkan ya Rasulullah, tetapi kami telah sembahyang di perkhemahan. Lalu datang imam, maka sembahyanglah lagi dengannya, kerana itu adalah sunat untukmu.
Rasulullah menegah seseorang itu sembahyang satu sembahyang fardu dua kali sehari. Mengenai perkara ini Ibnu Abdil, menyatakan bahawa Ahmad dan Ishak sependapat menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan tegahan itu ialah sekiranya seseorang itu mengerjakan mana-mana sembahyang fardu, kemudian setelah ia sempurna mengerjakannya, ia sembahyang sekali lagi dengan niat sembahyang fardu, kemudian setelah ia sempurna mengerjakannya, ia sembahyang sekali lagi dengan niat sembahyang fardu juga.
Tetapi kalau sembahyang yang kedua itu diniatkan sebagai sembahyang sunat berjemaah seperti yang dituntut, maka hal demikian bukan termasuk mengulangi satu jenis sembahyang fardu dua kali dalam sehari, kerana sembahyang pertama dilakukan dengan niat fardu, manakala sembahyang kedua diniatkan sunat. Kerana itu sembahyang tersebut bukan merupakan ulangan sembahyang yang dilarang oleh hadis tadi.
Perlu dijelaskan bahawa orang yang musafir apabila ia bersembahyang di belakang orang yang mukim, ia hendaklah menyempurnakan sembahyangnya empat rakaat, biarpun ia hanya dapat sembahyang dengan imam kurang daripada satu rakaat.
Abnu Abbas menyatakan bahawa dia pernah ditanya, mengapa seorang musafir itu boleh sembahyang dua rakaat ketika bersendirian, tetapi perlu sembahyang empat rakaat kalau bermakmumkan seorang mukim. Ia menjawab: Itulah sunah Nabi.
Orang yang uzur, seperti orang yang selalu kencing tanpa disedari akibat penyakit yang dialami, atau orang yang sering kentut, tidak sah menjadi imam bagi makmum yang sihat. Atau makmum yang uzurnya berlainan dengan uzur (penyakit) yang dialami oleh imam, seperti orang yang sakit, menyebabkan kencing selalu, menjadi imam bagi orang yang selalu kentut tanpa dapat di kawal.
Pada prinsipnya, menurut para ulama orang yang sah sembahyangnya, maka sahlah ia menjadi imam kepada orang lain. Walaupun demikian para ulama memandangnya sebagai makruh orang yang sembahyang di belakang orang yang fasik atau ahli bidaah.
Dalam sebuah hadis riwayat oleh Abu Daud dan Mundziri daripada Sunib bin Khallad, katanya, ada seorang lelaki yang menjadi imam bagi satu kaum dan meludah ke arah kiblat di mana ketika itu Rasulullah memandang kepadanya, baginda bersabda: Orang itu tidak boleh menjadi imam kamu semua. Pada satu ketika orang itu hendak menjadi imam lagi, tetapi orang ramai melarangnya dan memberitahunya kata-kata nabi, lalu lelaki itupun segera menemui Nabi. Baginda bersabda: Ya, kerana engkau telah menyakiti Allah dan rasul-Nya.
Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar pernah sembahyang di belakang Hajjaj. Manakala Muslim pula meriwayatkan bahawa Abu Said al-Khudri juga pernah bersembahyang di belakang Marwan ketika sembahyang Hari Raya. Ibnu Masud juga pernah sembahyang di belakang Walib bin Utbah bin Abi Muith padahal orang ini suka minum arak sehinggakan ia dikenakan hukuman dera oleh Uthman bin Affan kerana sembahyang subuh dengan orang ramai sebanyak empat rakaat.
Dr. Amran Kasimin
Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab
Luar, 43000 Kajang, Selangor.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment