Friday, November 30, 2007

29. Syirik jika yakin selain Allah

SOALAN:
Setiap kali ada musibah atau kemalangan yang selalu berlaku di suatu tempat, sering orang akan mengaitkan dengan gangguan makhluk asing sehingga mereka lupa bahawa setiap kejadian itu adalah ketetapan qada dan qadar Allah.

Selepas itu orang kampung akan bermesyuarat dan menetapkan masa untuk mengadakan majlis doa tolak bala di tempat tersebut dengan membawa minuman serta makanan untuk jamuan.

Selepas berdoa, isinya dimakan oleh yang hadir manakala kulitnya dibuang ke dalam sungai atau dibuang di tempat yang sering berlaku kemalangan, konon-kononnya untuk makhluk halus penunggu tempat tersebut. Persoalannya adakah perbuatan itu boleh membawa kepada syirik?

JAWAPAN:
Sekiranya mereka percaya dan yakin bahawa yang memberi mudarat ialah makhluk selain Allah s.w.t., maka syiriklah mereka kepada Allah. Sesungguhnya salah satu rukun iman ialah mempercayai secara jazam bahawa baik buruk yang berlaku dalam kehidupan manusia mengikut ketentuan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) Yang menimpa (seseorang) melainkan Dengan izin Allah; dan sesiapa Yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa Yang telah berlaku itu Dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Thagabun: 11)

Hadis-hadis Nabi s.a.w memberi petunjuk dalam hal ini. Daripada Umar bin Al-Khattab r.a, sesungguhnya Rasulullah telah bersabda yang bermaksud, Iman itu ialah, beriman kepada Allah, Malaikat, kitab-kitab yang diturunkan, Rasulul-rasul yang diutus, hari akhirat dan beriman kepada qadar ketentuan kebaikan dan ketentuan keburukan. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tarmidzi, al-Nasaie).

Hadis lain yang bermaksud, “Tidak beriman seorang hamba sehingga beriman kepada empat perkara: beriman bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan memperakui aku adalah Rasul yang diutus dengan kebenaran, beriman kepada kematian, beriman kepada kebangkitan selepas mati dan beriman kepada qadar”. (riwayat al-Bahaiqi).

Dalam hadis lain sabda baginda daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: “Beriman kepada qadar ialah tiang tauhid.” (riwayat al-Dailamiy). Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan hadis yang bermaksud, “Beriman kepada qadar ketentuan Allah akan menghilangkan kegusaran dan kesedihan. (riwayat al-Hakim).

Hadis-hadis Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa iman seseorang dikira tidak sah selagi tidak beriman kepada ketentuan Allah s.w.t. Biarpun sesuatu musibah menimpa seseorang itu melalui orang lain.

Contohnya, kereta yang dipandu oleh Abu dilanggar oleh Hamid. Walaupun kemalangan itu berlaku kerana kecuaian Hamid, kita perlu meyakini bahawa kemalangan itu tidak akan berlaku jika tidak diizin Allah dan itulah takdir namanya, sudah tertulis pada kehidupan seseorang.

Persoalannya, sekiranya kerap berlaku kemalangan di sesuatu tempat atau di sesuatu selekoh itu bukan kerana ada penunggu tetapi kecuaian pemandu kenderaan mengawasi kenderaannya atau lalai dengan keadaan fizikal jalan.

Mungkin juga struktur jalan itu bermasalah yang perlu dibaiki. Di kampung saya juga terdapat tempat atau laluan yang kerap berlaku kemalangan tetapi selepas kami memberitahu kepada pihak yang bertanggungjawab. Selang beberapa hari jalan di kawasan itu dibaiki. Mulai hari itu tidak ada kemalangan yang berlaku di kawasan tersebut.

Maksudnya, kita perlu mencari puncanya dahulu untuk diselesaikan. Apa kata sekiranya selepas diberi pulut kunyit, ayam panggang, masih berlaku musibah? Adakah kita akan gantikan ayam kepada kambing, kambing diganti dengan lembu?

Sikap sebegini menggambarkan mentaliti masyarakat kita yang masih terpengaruh dengan perkara yang tidak ada asas syariah yang kukuh.

Nasihat saya agar tinggalkan perbuatan memujuk penunggu atau bagi makan jin. Ini kerana semua makhluk itu pandai cari makan sendiri. Bila pula makhluk-makhluk itu minta supaya manusia bagi dia makan?

Saya tidak menafikan adanya makhluk-makhluk lain selain manusia yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Adalah tidak wajar menolak setiap perkara yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia. Oleh kita percaya adanya makhluk lain yang berlainan alam dengan kita.

Yang penting mohon perlindungan daripada Allah s.w.t. Cuba praktis dua-dua yang ma’thur yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Doa dan wirid serta ibadat-ibadat lain menjadi benteng bagi diri seseorang.

Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh dihantar melalui e-mel ke

agama@utusan.com.my atau ke Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 46M, Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur. Faks: 03-9222 4967

28. Bicara : Isteri boleh ambil harta suami secara makruf

Soalan:-

SAYA sudah mendirikan rumah tangga hampir dua tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata berumur 11 bulan. Sejak berkahwin suami tidak pernah memberi duit atau wang tunai untuk perbelanjaan saya. Mungkin kerana saya juga bekerja dan pendapatan saya hampir sama dengan suami. Saya ada mendengar pandangan beberapa pihak menyatakan suami wajib memberikan duit kepada isterinya walaupun isteri bekerja dan ada pendapatannya sendiri. Suami tidak pernah membebankan saya dengan perbelanjaan rumah dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keperluan anak. Untuk pengetahuan, anak kami dijaga oleh ibu saya di kampung kerana suami saya tidak yakin anak boleh dijaga dengan sempurna oleh orang lain atau di pusat asuhan. Saya ingin meminta pandangan puan mengenai keperluan nafkah zahir. Perlu atau tidak suami memberi duit kepada isterinya tiap-tiap bulan sebagai perbelanjaan untuk isteri.

Jawapan:-

SUAMI wajib memberi nafkah kepada isteri berdasarkan perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya." (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Firman Allah yang bermaksud: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan orang yang disempitkan rezekinya maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan."

Ayat itu menjelaskan suami wajib menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal untuk isteri secukupnya, berdasarkan kemampuan tanpa lokek atau berlebih-lebihan. Jika suami tidak menjalankan tanggungjawabnya atau nafkah yang diberi tidak mencukupi sedangkan dia mampu maka isteri boleh mengambil daripada harta suami dengan cara yang makruf walaupun dia tidak mengetahuinya.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan mengadu kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah kepadaku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya tanpa pengetahuannya. Baginda menjawab: Ambillah apa yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang makruf."

Pemberian nafkah boleh dilakukan dengan cara suami menyediakan segala yang diperlukan isteri dan anaknya atau suami memberikan wang kepada isteri untuk membeli keperluannya. Jika suami sudah sediakan nafkah wajib ke atasnya, wang tidak perlu diberikan lagi.

Dalam kes puan, nampaknya suami sudah melakukan tanggungjawabnya. Namun puan sebagai ibu kepada anaknya, adakah puan sudah melakukan tanggungjawab sepenuhnya untuk membelai, memberikan kasih sayang kepada anak. Anak adalah tanggungjawab puan.

Status kemuliaan ibu yang diletakkan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada ibu adalah amat tinggi. Ia kerana institusi keluarga bahagia bermula daripada kasih sayang seorang ibu yang memberi penekanan terhadap aspek kasih sayang, moral dan sosial serta menjadi contoh kepada anak sebagai insan berakhlak mulia.

Kajian menunjukkan hubungan ibu anak penting dalam usia awal sehingga 10 tahun. Masa inilah anak memerlukan belaian kasih sayang ibunya secara berterusan. Anak yang tidak mendapat kasih sayang menyebabkan hubungan ibu anak longgar dan punca berlakunya gejala sosial.

Jika seorang ibu itu berjaya melengkapkan anak mereka dengan persiapan kental daripada segi sokongan emosi dan pendidikan berterusan, pastinya gejala sosial akan dapat ditangani.

Dengan memberikan sepenuh tugas menjaga anak kepada ibu di kampung, puan secara tidak langsung sudah mengabaikan tanggungjawab keibuan puan. Saya mengharapkan ini adalah urusan sementara.

Apabila anak berumur tiga atau empat tahun, puan perlu mengambilnya semula dan membelanya sendiri. Puan masukkan dia ke Tadika atau Taska. Dengan demikian hubungan rapat puan dengan anak akan dapat dibina semula.

Janganlah terus membebankan ibu puan yang sedari dulu sudah melahirkan, membesarkan dan mendidik puan sejak kecil. Apabila puan sudah berkeluarga, anak adalah tanggungjawab puan bukan tanggungjawab nenek.

Jawapan disediakan Prof Madya Maznah Daud dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

27. Korban lambang takwa, prihatin golongan miskin

AIDILADHA bakal menjelang adalah bulan penuh berkat yang dinanti kerana dalamnya bergabung dua ibadat agung iaitu ibadat haji dan korban yang dimulakan sejak zaman Nabi Allah Ibrahim lagi.

Kedua-dua ibadat itu mengimbau sejarah agung yang memaparkan ketaatan dan kesabaran bapa dan anak Nabi Ibrahim serta anaknya Nabi Ismail mentaati perintah Allah. Contoh ketakwaan Ibrahim yang hebat kepada Allah melebihi batas kasih sayang kepada insan, hatta anak sendiri yang paling dirindui dan dikasihinya.

Ibadat korban yang dituntut Islam berbeza dengan konsep berkorban penganut agama lain. Korban dalam Islam bukan memohon perlindungan daripada mala-petaka atau amalan tolak bala. Sebaliknya ibadat korban adalah ibadat ikhlas sebagai lambang pengorbanan hamba kepada Allah.

Korban berasal daripada perkataan 'qoruba' yang bermakna dekat. Korban adalah ibadat dalam bentuk pendidikan dan mendekatkan diri kepada Allah menjadi manifestasi rasa syukur kepada Allah atas segala nikmatnya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya kami memberikan kepadamu nikmat yang banyak, maka dirikanlah solat dan berkorbanlah." - (Surah al-Kauthar, ayat 1-2)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang mempunyai kemampuan tetapi tidak berkorban, maka janganlah ia menghampiri tempat solat kami." - (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat sudah Kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang direzekikan Allah kepada mereka." - (Surah al-Hajj, ayat 34)

Tujuan korban adalah semata-mata mengagungkan syariat Allah dan merebut peluang mencapai ketakwaan di sisi-Nya. Setiap muslim, sangat dituntut (sunat muakkad) melakukan ibadat korban memadai menyembelih seekor kambing bagi dirinya dan keluarga.

Bahkan, bagi golongan kaya, Imam Abu Hanifah menghukumkan 'wajib' bagi mereka melakukan ibadat korban.

Jika mampu secara fizikal, maka disunatkan kita menyembelih sendiri binatang korban itu. Jika tidak mampu disebabkan uzur atau lainnya, hendaklah kita menyaksikan binatang korban ketika disembelih. Melihat darah pertama yang mengalir daripada binatang korban bermakna kita mendapat keampunan.

Rasulullah SAW pernah memerintahkan Fatimah supaya melihat binatang korbannya ketika disembelih. Sabda Baginda yang bermaksud: "Pergilah engkau melihat binatang korbanmu, sesungguhnya titis darahnya yang pertama itu Allah akan ampunkan dosa-dosamu yang terdahulu. Lalu Fatimah bertanya: Ini untuk kita Ahlul Bait saja atau juga untuk semua orang Islam? Rasulullah SAW menjawab: Bahkan untuk kita dan semua orang Islam." - (Hadis riwayat al-Hakim)

Justeru, ibadat korban sangat dituntut kerana manfaatnya kepada orang yang berkorban. Bagi yang masih hidup, ia lebih baik daripada bersedekah dengan harga binatang korban itu. Sesungguhnya mengharapkan keampunan dosa adalah inti pati semua ibadat dalam Islam.

Hukum korban dibahagi kepada dua iaitu sunat muakkad (bagi yang mampu) dan wajib kepada yang bernazar. Jika melakukan korban sunat, sunat bagi yang berkorban memakan sebahagian daging korban dan sebahagian lagi dihadiahkan atau disedekahkan kepada jiran tetangga, sahabat handai dan fakir miskin.

Imam Syafei dalam pendapat awalnya (qawl jaded) menyatakan sebaik-baiknya satu pertiga dimakan dan yang lainnya dihadiahkan kepada sahabat, jiran tetangganya dan fakir miskin. Tetapi pendapat paling sahih dan jelas ialah wajib bersedekah dengan sebahagian daripada daging korban walaupun sedikit kepada orang Islam yang fakir walaupun hanya seorang. Lebih afdal, disedekahkan kesemuanya kecuali memakan beberapa suap untuk mengambil berkat.

Mengikut pendapat jumhur ulama, Hanafi, Maliki dan Hambali, korban sunat, harus dimakan sebahagiannya, tetapi jika ia korban wajib (nazar) haramlah dimakan dagingnya oleh yang berkorban.

Begitu juga binatang korban yang dikongsi tujuh orang jika salah seorang berniat untuk qada korban yang lepas maka dagingnya juga haram dimakan dan wajib disedekahkan kesemuanya.

Selain daripada keampunan dosa, ibadat korban membuka ruang dan peluang meningkatkan sikap peka serta prihatin terhadap kebajikan sesama insan, terutama golongan fakir dan miskin. Ramai menganggap daging korban mesti diberikan kepada orang miskin saja dan mempertikai ada orang kaya yang dapat agihan daging korban.

Orang kaya juga diharuskan dihadiahkan daging korban bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim. Rasulullah SAW sentiasa menghadiahkan sahabat Khadijah (kebanyakannya wanita kaya), setiap kali Baginda mengadakan korban sekalipun isterinya sudah wafat.

Ibadat korban mempunyai hikmah tersendiri. Ia bukan semata-mata ibadat untuk memberi makan kepada orang miskin, ia ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara menumpahkan darah (binatang) seperti kata pengarang 'Mughni al-Muhtaj'.

Mengikut pandangan Profesor Tafsir Universiti al-Azhar, Prof Dr Syed Fathullah Sa'id, hikmah ibadat korban ialah untuk menegakkan syiar agama berasaskan kepada pengorbanan. Agama ditegakkan dengan pengorbanan. Menumpahkan darah binatang simbolik kepada pengorbanan dilakukan.

Ulasan ahli fiqh mengenai perkara ini adalah jelas, berdasarkan semangat ini daging korban bukan disedekahkan kepada si kaya, tetapi dihadiahkan. Moga dengan hadiah itu semangat korban menjalar dalam hidup si kaya hingga mendorong mereka berkorban demi manfaat umat Islam.

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita JIM Pusat yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

26. Hayati hikmah syariat ibadat haji

ENAM wajib haji yang mesti dilakukan setiap jemaah haji yang mengerjakan haji. Jika wajib haji ini tidak dikerjakan, akan mencacatkan haji itu sendiri. Meninggalkan wajib haji dikenakan dam dan berdosa. Oleh itu, wajib haji perlu dijaga supaya hikmah disyariatkan ibadat haji dapat dihayati.

Wajib haji yang ketiga ialah mabit di Muzdalifah, bermaksud berada di Muzdalifah selepas separuh malam 10 Zulhijjah hingga sebelum terbit fajar (masuk waktu Subuh). Sebaiknya jemaah haji berada sepanjang malam di Muzdalifah sambil bertasbih, bertahmid dan bertakbir. Jemaah haji digalakkan bertalbiah sebanyak-banyaknya dan memuji Allah.

Sah dan dikira sudah mabit bagi jemaah haji yang mendiami bumi Muzdalifah walau berada seketika. Jemaah haji akan mula bergerak ke Muzdalifah selepas berwukuf di Arafah selepas Asar atau Maghrib mengikut jadual ditentukan Kerajaan Arab Saudi.

Jarak dari Arafah ke Muzdalifah kira-kira tujuh kilometer. Jemaah akan bergerak ke sana dengan menaiki bas. Urusan pergerakan dan suasana di Arafah dan Muzdalifah adalah dalam keadaan mencabar serta menguji kekuatan fizikal serta mental jemaah haji.

Selepas tiba di Muzdalifah, jemaah haji kebiasaannya ditempatkan di satu kawasan oleh pihak muassasah masing-masing sementara menunggu masuknya waktu setengah malam kira-kira jam 11.42 malam.

Jemaah haji dinasihatkan jangan leka atau terus tidur apabila sampai di Muzdalifah. Kesempatan berada di Muzdalifah digalak melaksanakan amalan sunat seperti:

l Mengutip tujuh biji anak batu untuk melontar Jamrah Kubra pada keesokan harinya di Mina.

l Sunat mabit di Muzdalifah sehingga terbit fajar (masuk waktu Subuh). Kemudian menunaikan solat Subuh pada awal waktunya.

l Terus berada di Muzdalifah hingga langit semakin cerah. Dalam masa sama hendaklah bersungguh-sungguh berzikir dan berdoa kepada Allah.

Jemaah haji perlu mengambil maklum bahawa meninggalkan mabit di Muzdalifah tanpa uzur syarie adalah berdosa dan dikenakan dam (jenis tertib dan taqdir). Namun begitu, ada beberapa golongan yang dikecualikan daripada mabit di Muzdalifah tanpa dikenakan dam dan tidak berdosa.

Mereka ialah seseorang yang takut dirinya mendapat bahaya sama ada pada nyawa, anggota tubuh badan, maruah atau hartanya walaupun sedikit; menjaga atau menemani orang sakit; mencari orang yang sesat atau hilang.

Seseorang yang menghidap penyakit susah baginya untuk mabit di Muzdalifah, menunggu bas di Arafah hingga larut malam atau Subuh dan bas yang ditunggu tidak tiba dan jemaah haji yang dibawa terus ke Mina atau Makkah tanpa bermabit di Muzdalifah atas sebab tidak dapat dielakkan (terpaksa). Setelah bermabit di Muzdalifah, jemaah haji akan bertolak pula ke Mina. Jemaah akan dibawa ke sana menaiki bas. Jarak antara Muzdalifah ke Mina kira-kira enam kilometer.

Wajib haji keempat ialah mabit di Mina iaitu berada di Mina pada malam hari Tasyrik pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Jemaah haji yang melaksanakan nafar awwal bermabit pada 11 dan 12 Zulhijjah, manakala jemaah haji yang melaksanakan nafar thani bermabit pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Berhubung tempoh mabit di Mina, ada dua pendapat. Pertama, lebih daripada separuh malam, manakala pendapat kedua, memadai berada di Mina seketika sebelum dan selepas terbit fajar (masuk waktu Subuh).

Bagi jemaah haji Malaysia, mereka akan bermabit di Mina sama ada di kawasan Mina Jamrah, Mina Muaissim atau Mina Marhalah al-Thalithah (Muhassir). Jemaah haji ditempatkan di perkhemahan yang sudah ditetapkan selepas tiba dari Muzdalifah.

Jemaah dinasihatkan supaya memperbanyakkan amalan sunat ketika berada di Mina. Elakkan daripada bercakap kosong dan melakukan perkara tidak berfaedah serta menjaga pantang larang ihram.

Amalan sunat ketika berada di Mina iaitu memperbanyakkan amal ibadat, membaca al-Quran, berzikir dan bertakbir pada Hari Raya, berdoa, melakukan sembelihan korban dan dam serta solat berjemaah.

Meninggalkan mabit di Mina tanpa uzur syarie adalah berdosa dan dikenakan dam mengikut syaratnya. Namun begitu, ada beberapa golongan yang dikecualikan daripada mabit di Mina tanpa dikenakan dam dan tidak berdosa.

Mereka ialah seseorang yang takut dirinya mendapat bahaya sama ada pada nyawa, anggota tubuh badan, maruah atau hartanya walaupun sedikit; menjaga atau menemani orang sakit; mencari orang yang sesat atau hilang.

Seseorang yang menghidap penyakit yang susah baginya untuk mabit di Mina, jemaah haji yang tidak mendapat tempat untuk mabit kerana Mina penuh sesak serta padat dengan jemaah haji dan ini sememangnya tidak dapat dielakkan (terpaksa).

Wajib haji kelima ialah melontar tujuh biji anak batu di Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah. Masa untuk melontar di Jamrah Kubra bermula selepas separuh malam 10 Zulhijjah dan berakhir apabila terbenam matahari (masuk waktu Maghrib) 13 Zulhijjah. Kebiasaannya jemaah haji akan mula melontar selepas waktu Maghrib bergantung kepada jadual yang dikeluarkan pihak Muassasah Asia Tenggara.

Syarat melontar Jamrah Kubra:

Melontar selepas masuk waktu (selepas separuh malam)

Lontaran anak batu itu hendaklah ditujukan ke arah takungan jamrah.

Hendaklah dilakukan dengan gaya melontar.

Anak batu yang dilontar hendaklah masuk ke dalam takungan jamrah dengan yakin.

Hendaklah melontar dengan anak batu atau jenisnya.

Hendaklah melontar dengan tangan.

Hendaklah melontar anak batu satu persatu, (sehingga cukup tujuh biji) bukannya beberapa biji sekali gus.

Tidak melontar untuk orang lain kecuali selepas melontar untuk diri sendiri.

Amalan sunat melontar Jamrah Kubra:

Bertakbir setiap kali melontar.

Melontar dengan tangan kanan.

Melontar dalam keadaan arah kiblat di sebelah kiri dan Arafah di sebelah kanan dengan mengadap takungan jamrah.

Melontar secara berturutan.

Wajib haji keenam ialah melontar anak batu di tiga jamrah iaitu Jamrah Sughra (dulu dikenali sebagai Ula) Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra (dulu dikenali sebagai Jamrah Aqabah).

Syarat melontar di ketiga-tiga jamrah:

Melontar tujuh biji anak batu pada tiap-tiap jamrah.

Tertib jamrah iaitu dimulai dengan melontar di Jamrah Sughra, kemudian Wusta dan Kubra.

Tertib hari iaitu tidak boleh melontar di ketiga-tiga jamrah bagi hari ke 11 Zulhijjah, melainkan selepas melontar di Jamrah Kubra bagi hari ke 10 Zulhijjah. Demikian juga tidak boleh melontar di ketiga-tiga jamrah bagi hari ke 12 Zulhijjah melainkan selepas melontar di ketiga-tiga jamrah bagi hari ke 11 Zulhijjah. Begitu juga tidak boleh melontar bagi hari ke 13 Zulhijjah melainkan setelah melontar di ketiga-tiga jamrah bagi hari ke 12 Zulhijjah.

Melontar jamrah dengan tidak terpesong kepada tujuan lain.

Hendaklah dilakukan dengan gaya melontar.

Anak batu yang dilontar hendaklah masuk ke dalam takungan jamrah dengan yakin.

Hendaklah melontar dengan anak batu atau jenisnya.

Hendaklah melontar dengan tangan.

Hendaklah melontar anak batu satu persatu, bukannya beberapa biji sekali gus (serentak).

Tidak melontar untuk orang lain kecuali setelah melontar untuk diri sendiri.

Demikian enam wajib haji yang perlu diketahui oleh setiap jemaah haji. Meninggalkan mana-mana daripada wajib haji dengan sengaja dikenakan dam serta berdosa. Oleh itu, berhati-hati ketika mengerjakan kesemua wajib haji yang dilakukan di kawasan di panggil masy'aer selain wukuf di Arafah.

Wednesday, November 28, 2007

25. Larangan meminang wanita dalam idah

Al-Alusi berkata dalam Ruh al-Ma’ani: Wahai lelaki yang ingin berkahwin, sama ada dengan cara jelas kenyataannya atau secara sindiran, apatah lagi yang membabitkan perempuan yang dalam keadaan idah, maka di sana ada hukum yang dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t.

Alah berfirman: Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka).

Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan.

Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. (al-Baqarah: 235)

Firman Allah: Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka).

Sonhaji berkata: Jika seseorang itu hendak meminang janda yang masih dalam idahnya, janganlah pinangan itu dikemukakan kepadanya secara berterus-terang.

Namun, hendaklah dengan sindiran, bayangan ataupun isyarat sahaja, misalnya ia berkata: “Puan ini seorang yang cantik rupanya dan solehah pula orangnya, sedang saya berazam benar hendak berumahtangga, semoga Allah memudahkan saya memperoleh perempuan yang solehah.”

Lain-lain misal ialah menggunakan gaya bahasa yang tidak tepat tetapi sopan. Ataupun dengan menyembunyikan hasrat yang ada dalam hati – tiada dilahirkannya dengan rangkaian kata-kata – hanya dilakukan misalnya dengan melawat-lawat ke rumahnya, atau memberi salam ataupun memberikan suatu hadiah kepadanya.

Ibn al-Arabi berkata: Tafsiran sindiran itu boleh dibahagikan kepada dua bahagian pokok iaitu:

* Menyebutkan kepada wali dengan kata: “Janganlah kamu dahuluiku terhadapnya.”

* Menyebutkan perkara itu kepada wanita tersebut tanpa orang tengah. Jika perkara itu disebutkan sendiri kepada wanita tersebut, maka ada tujuh bentuk kata-kata yang diucapkan :

Lelaki berkata kepada wanita itu: Aku ingin berkahwin.

“Jangan dahulukan dirimu daripadaku.” Dikatakan oleh Ibn Abbas,

“Kamu ini cantik dan saya memang perlukan wanita, dan Allah meletakkan kebaikan kepada anda.

“Kamu memang laris.” Dikatakan oleh Ibn al-Qasim.

“Aku ada hajat, terimalah berita gembira bahawa kamu ini laris.” Wanita itu boleh menjawab: “Aku telah dengar apa yang kamu katakan. Dia tidak boleh menambah sesuatu selain itu.” Dikatakan oleh Atta’.

Diberikan hadiah kepada wanita itu. Dikatakan oleh Ibrahim, jika biasanya lelaki itu memberikan hadiah.

Diberikan hadiah tetapi jangan diambil janjinya. Dikatakan oleh al-Sya’bi.

Firman Allah: Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu.

Sonhaji berkata: Allah mengetahui akan hasrat hati seorang terhadap perempuan yang hendak dipinangnya, tiadalah ia menjadi larangan. Yang dilarang ialah berjanji kepada perempuan itu hendak mengahwininya, kecuali jika membahasakan dengan cara yang patut iaitu dengan memberitahukan walinya, dan mengemukakan pinangannya itu setelah selesai idahnya.

Maksud rahsia atau sulit yang disebut oleh ayat ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn al-Arabi: Kamu dilarang daripada berterus terang untuk berkahwin dan melakukan akad nikah, tetapi kamu dibenarkan menyebutnya secara sindiran. Oleh itu, apabila kamu menyebutkannya secara sindiran, maka jaga-jagalah jangan sampai kamu membuat janji untuk berkahwin semasa waktu kamu dilarang melakukan akad kahwin dengan mereka.

Para ulama berselisih pendapat tentang rahsia/ sulit yang disebutkan dalam ayat ini. Ada tiga pendapat tentangnya:

* Ia bermaksud zina.

* Ia bermaksud persetubuhan.

* Ia bermaksud menyatakan secara terus terang.

Al-Tabarani memilih pendapat yang mengatakan ia bermaksud zina berdasarkan kata-kata A’sya yang bermaksud:

Jangan kamu hampiri si gadis kerana rahsianya haram ke atas kamu, maka kahwinilah dia atau pencilkan diri.

Perkataan al-Sir (rahsia / sulit) dari sudut bahasa mempunyai banyak pengertian.

Bicara yang diucapkan secara rahsia dan disembunyikan apa yang terselindung.

* Sir al-Wadi (tebing lembah).

* Sir al-Syai’ (yang terbaik).

* Zina.

* Persetubuhan.

* Faraj wanita.

* Sir al-Shahr (malam-malam yang tidak kelihatan bulan sabit)

Kesemua pengertian ini ada yang boleh dipadankan antara satu sama lain, di mana maksud yang merangkumi semua pengertian itu ialah ‘tersembunyi’. Maksud ini adakalanya umum kepada sesuatu dan adakalanya khusus kepada yang lain.

Perhatikan perkataan yang bermaksud yang terbaik kerana ia tersembunyi dan terpelihara. Perkataan yang bermaksud tebing lembah kerana tebing itulah yang paling elok, kerana keindahan lembah itu hanya dapat dinikmati apabila kita duduk di atas tebingnya bukan di dalam lembahnya. Kerana itulah dinamakan Surriyyah (perempuan simpanan/khadam wanita) kerana dia diambil untuk tujuan persetubuhan.

Perkataan khadam (bagi wanita) digunakan untuk mereka yang diambil untuk bekerja dan disetubuhi. Wanita yang diambil untuk tujuan disetubuhi dipanggil surriyyah yang berakar kata daripada perkataan surur (seronok). Kerana itulah juga faraj wanita dinamakan sir kerana ia adalah tempat untuk berseronok.

Dalam konteks ayat ini, ia bermaksud: Jangan kamu membuat janji kepada mereka untuk bernikah atau bersetubuh, kerana ia merupakan janji yang diharamkan kepada kamu semasa dalam idah, disebabkan mereka diharamkan berkahwin semasa dalam idah sampai waktu tertentu, maka diharamkan juga membuat janji semasa dalam idah itu.

Firman Allah: Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaan-Nya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun, yakni tiada menyegerakan seksa-Nya kepada orang yang derhaka kepada-Nya, bahkan dengan adanya sifat penyantun itu, ditutupi-Nya kesalahan hamba-Nya.

Iktibar Ayat

- Tidak boleh meminang seseorang perempuan dalam idah.

- Berkahwin semasa idah kemudian bersekedudukan hendaklah difasakh dan tidak berkahwin selamanya. Inilah pendapat Malik, Ahmad dan al-Sya’bi.

- Islam menggalakkan perkahwinan tetapi mengikut adab dan syarat-syaratnya.

24. Belanja jangan ikut perasaan




PROF. MADYA DR. GHAFARULLAHUDDIN DIN.




Isu kenaikan harga barang keperluan boleh dikatakan berlaku setiap tahun. Itu belum lagi ditambah dengan kenaikan harga minyak dan tol yang pastinya memeningkan kepala. Bagaimanapun, ia adalah sebahagian daripada ‘adat resam’ perniagaan.

Dalam Islam, perniagaan adalah antara pekerjaan mulia sebagai mana sabda Rasulullah s.a.w.: “Pendapatan yang paling baik adalah hasil usaha sendiri dan perniagaan yang bersih”. (Riwayat al-Bazzar)

Kepada wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ASMARUDDIN JAMALUDDIN, Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Madya Dr. Ghafarullahhuddin Din menjelaskan peranan yang boleh dilakukan oleh umat Islam dalam menangani isu ini.

Dalam berdepan dengan isu kenaikan harga barang ini, apakah jalan keluar yang perlu diambil oleh umat Islam?

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Fenomena kenaikan harga barang kerap menarik perhatian semua pihak. Dalam sesetengah keadaan, bukan setakat rakyat biasa terpaksa menerima sahaja fenomena ini, malah pihak negara pun tidak boleh berbuat apa-apa.

Di zaman Nabi s.a.w pun keadaan seperti ini berlaku. Diriwayatkan dalam kitab-kitab hadis dan dibincangkan oleh ulama kemudian seperti Ibn Taymiyyah rahimahullah dalam Risalah al-Hisbah bahawa pernah baginda diminta menetapkan keadaan harga pasaran yang sedang naik namun Nabi bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allahlah yang menetapkan harga, yang menahan serta melepaskan, yang memberi rezeki dan aku berharap agar berjumpa Allah dalam keadaan tidak ada seorangpun antara kamu semua yang menuntut kepadaku lantaran kezaliman (penganiayaan) mengenai sebarang jiwa dan harta”.

Sabda ini jelas menggambarkan negara tidak campur tangan dalam kes kenaikan harga yang normal sesuai dengan aliran hukum permintaan dan penawaran semasa. Namun bagi kes kenaikan yang tidak normal kerana gelagat negatif para pedagang seperti amalan ihtikar, negara pasti akan campur tangan.

Dalam suasana kenaikan harga seperti ini, para pengguna perlu kembali kepada etika perbelanjaan yang dianjurkan agama. Ilmuwan tersohor, Pendita Za’ba rahimahullah dalam karyanya Asuhan Budi terbitan tahun 1958, telah membahas aspek ini dengan begitu menarik dalam bab yang diberi judul ‘Ajaran Jimat Cermat dalam Islam’ atau al-Iqtisad fi'l Islam.

Za’ba yang lebih terkenal sebagai tokoh bahasa itu antara lain mengingatkan; “Gajah berak besar, kancil pun nak berak besar, akhirnya keluar isi perut”. Kekuatan karya ini ialah beliau memberi perhatian sepenuhnya kepada budaya perbelanjaan orang Melayu.

Beliau turut memberi penekanan kepada pentingnya budaya menabung walaupun sedikit tetapi amalan ini akan mengayakan si penabung daripada miskin meminta kepada orang lain. Beliau melarang keras terhadap budaya suka berhutang dan malas berusaha (beramal).

Dalam suasana kenaikan harga barang yang semakin terasa ini, peringatan-peringatan seperti yang dinyatakan perlu diberi perhatian. Kita perlu berbelanja berdasarkan keperluan dan bukan berdasarkan keinginan.

Layanan terhadap semua keinginan akan memerangkap kita di bawah payung nafsu. Berhubung dengan keperluan, kita perlu lihat apakah keperluan itu pada tahap daruriyyah (keperluan asas), hajiyyah (keselesaan) atau tahsiniyyah (kesempurnaan)?

Perbelanjaan kita perlu mengikut urutan keperluan sebenar. Kita perlu pastikan perbelanjaan kita tidak tergolong pada tahap tarafiyyah yakni perbelanjaan yang membawa kepada pembaziran. Meskipun barang yang dibeli itu halal, tindakan ini tetap salah apabila membazir. Pembelian terhadap barangan yang tidak diiktiraf syarak sejak awal lagi salah. Kedudukan ini mesti diberi perhatian oleh pengguna Muslim.

Kadang-kadang sedikit kesusahan yang dirasai mendatangkan keadaan rahmat apabila ia mengembalikan kita kepada ajaran agama. Kenaikan harga barang akan menjadikan kita berkira dalam berbelanja. Bagi yang sering makan di luar, semakan perlu dibuat mengenai kekerapan dan keperluan makan dan minum di luar.

Kadang-kadang sudah sarapan di rumah masih minum pagi di luar. Jika sarapan itu bernilai RM2, untuk 20 hari kerja dalam sebulan akan mencecah RM40. Setahun jumlahnya RM480. Jika bekerja selama 25 tahun jumlah menjadi RM12,000. Bagi yang menghisap rokok, jika dia menghisap pada kadar RM4 sehari, sebulan mencecah RM120. Setahun nilainya RM1,440. Jika dia hisap rokok selama 25 tahun, nilainya ialah RM36,000.

Bagi mereka yang suka membeli komik-komik atau majalah hiburan yang sedikitpun tidak memberi nilai tambah kepada iman mahupun amal, jika sebulan antara RM10-RM20, setahun sekitar RM120-RM240. Begitu juga penggunaan telefon dan khidmat pesanan suara (SMS) tanpa keperluan sebenar, semua perbelanjaan ini amat berpotensi dikurangkan.

Apa yang dinyatakan disini kenaikan harga barang masih boleh ditangani dengan berbelanja secara bijak.

Kebijaksanaan ini perlu diusahakan kerana setiap perbelanjaan pasti akan dihisab Allah dan bagi setiap perbelanjaan yang tidak menepati syarak, pasti membahayakan kita di akhirat.

Namun, bagi golongan yang tidak mampu dan mereka juga telah lama bersederhana kerana cengkaman kemiskinan, kerajaan perlu berperanan secara menyeluruh dengan keefisienan pentadbiran semua jentera kerajaan yang berkaitan. Agihan dana zakat dan sedekah oleh institusi berkaitan juga perlu efektif dan kreatif dalam berjihad membebaskan ummah daripada belenggu kemiskinan.

Senario kenaikan harga juga berpotensi menarik peranan murni tokoh-tokoh korporat, usahawan berjaya dan sebagainya bangun membantu masyarakat dan negara menyelesaikan dan meringankan masalah dan bukannya bersikap negatif mengambil kesempatan. Tindakan positif yang dituntut ialah meringankan masyarakat dan negara daripada kesempitan dan tekanan ekonomi.

Kesimpulannya, semua pihak perlu berperanan untuk menangani isu kenaikan harga. Kita perlu bertindak sebagai penyelesai kepada masalah walau sekecil manapun peranan kita dan jangan sama sekali memberi ruang untuk mengkronikkan lagi masalah.

Melahirkan usahawan Muslim sudah lama diusahakan oleh kerajaan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) lagi. Namun, tidak ramai yang boleh dikategorikan sebagai usahawan berjaya terutama dalam bidang peruncitan. Bagaimana mengatasi hal ini?

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Kerajaan memang tidak pernah melupakan orang Melayu dalam merancakkan pembangunan ekonomi. Ramai pun usahawan yang telah menikmati kejayaan melalui pelbagai usaha murni kerajaan namun barangkali jumlahnya masih di tahap yang belum kita berpuas hati.

Dunia keusahawanan semakin rencam. Usahawan Muslim perlu peka dengan pelbagai perkembangan apatah lagi aura gelombang globalisasi yang menjadikan dunia tanpa sempadan. Ini menuntut usahawan lebih gigih dan lebih bersedia bertapak dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Mereka perlu berusaha untuk berdikari semantap mungkin dan bersikap positif membina seiring usahawan yang lain melalui pelbagai perkongsian pintar. Ummah amat merindui kehadiran tokoh usahawan seperti Saidina Uthman dan Abdul Rahman bin Auf r.a.

Meskipun kita telah nampak bayangan tokoh-tokoh ini kepada beberapa usahawan kini, tokoh-tokoh usahawan berjaya seperti ini perlu diperbanyakkan.

Meskipun pendidikan terhadap dunia keusahawanan sudah bergerak tetapi mungkin belum mencukupi. Setiap usahawan perlu mempersiapkan diri dengan ilmu yang mencukupi. Semangat menuntut ilmu perlu berterusan sama ada dalam bentuk formal, informal, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan sebagainya seperti yang dianjurkan dalam tradisi Islam, belajarlah sejak dari buaian hingga ke liang lahad.

Setiap usahawan Muslim perlu gigih, berdisiplin dan istiqamah dalam medan masing-masing. Gambaran kerja mereka seperti orang yang ‘tangannya sibuk dengan kerja namun hatinya sibuk dengan Allah’. Neraca kejayaan sebenar ialah dalam dunia keusahawan itu, kita berjaya atau tidak membawa perintah Allah. Kalau orang tengok kita berjaya secara zahirnya sahaja, namun dunia kita penuh dengan aktiviti rasuah, transaksi riba, sembahyang diabaikan dan zakat entah ke mana, budaya hidup tidak seperti seorang Muslim, ini bukanlah tokoh yang membanggakan dunia keusahawanan Islam.

Segala program dan kursus untuk melahirkan usahawan Muslim perlu diperbanyakkan dengan pendedahan ilmu-ilmu perniagaan terkini. Usahawan-usahawan yang sudah berjaya dianjurkan mengambil sebanyak mungkin adik dan anak angkat dalam keluarga perniagaan dan keusahawanan.

Dana-dana wakaf dan dana institusi-institusi agama mungkin perlu diperluaskan skop penggunaan dana-dana tersebut agar setiap kawasan-kawasan pembangunan baru akan mempunyai beberapa unit premis perniagaan wakaf yang pasti tidak akan hilang ditelan iklim ekonomi muram.

Sejarah menunjukkan bahawa harta wakaf berjaya mempertahankan premis-premis perniagaan Muslim di tempat-tempat yang strategik. Perkara ini perlu diberi perhatian untuk survival usahawan Muslim.

Peranan harta wakaf ternyata terbukti dalam perkembangan ekonomi ummah sepanjang zaman. Instrumen ini perlu digerakkan secara aktif, efisien dan berperancangan pada masa kini. Sekurang-kurangnya tanah atau aset tersebut akan kekal selama-lamanya untuk maslahat umat Islam.

Apabila perniagaan orang Islam berjaya maka mereka ini akan menunaikan zakat serta sedekah yang lain. Ini pasti akan menjana pertumbuhan ekonomi umat Islam dan juga negara amnya. Usaha sebegini tidak mustahil akan memperbanyakkan gedung-gedung perniagaan usahawan Muslim yang mampu menjadi saingan kepada Tesco, Giant dan lain-lain.

Menjadi peniaga adalah antara tuntutan fardu kifayah bagi umat Islam. Adakah dengan wujudnya monopoli kaum lain dalam industri peruncitan ini menyebabkan sekelian umat Islam Malaysia juga berdosa?

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Tidaklah sampai ke tahap itu. Semangat nak buat memang dah ada cuma hasilnya belum memuaskan. Kita telah lama bergerak ke arah ini namun sinarnya sahaja masih belum terserlah.

Saya masih menaruh kepercayaan kepada pembangunan dana tanpa kos oleh jabatan-jabatan agama negeri untuk membantu usahawan Muslim.

Institusi zakat misalnya mempunyai dana yang cukup untuk menjayakan hasrat ini baik melalui asnaf fakir, miskin, fi sabilillah atau gharimin (penghutang). Beberapa negeri berjaya mengutip dana zakat mencecah lebih RM100 juta namun kita jangan hanya bangga dengan angka kutipan zakat. Sebaliknya agihan yang menceriakan ummah seluruhnya perlu diberi perhatian dengan keutamaan-keutamaan yang setepatnya.

Kita perlu renung, jika tampil seorang usahawan yang berjaya, kita turut berbangga. Malah kita hebahkan usahawan berkenaan telah menyumbang dana zakat dan sedekah dengan sekian-sekian jumlah. Apa kata jika usahawan yang sama ditimpa kemeruduman dalam perniagaannya, siapakah yang datang menghulurkan tangan membantu usahawan yang kita banggakan ini?

Di zaman Nabi apabila ada seorang peniaga yang ditimpa musibah dalam perniagaannya, dana sedekah didatangkan untuk menyelesaikan masalah. Sistem sekuriti seperti ini perlu diusahakan dalam rangka mencetuskan usahawan merdeka. Di samping itu. dana-dana yang diurus setiap jabatan agama negeri dengan kerjasama kerajaan negeri dan korporat Muslim berjaya, berpotensi membina institut latihan atau pusat giat bagi melahirkan golongan usahawan Islam. Beberapa negeri telah bergerak ke arah ini. Syabas kita ucapkan.

Masjid-masjid besar (utama) pula berpotensi memulakan koperasi masjid menjual barangan keperluan harian kepada para jemaah di samping menyediakan tapak untuk pasar tani mingguan. Usaha ini sekali gus memperkukuhkan ekonomi masjid berkenaan.

Salah satu taktik yang diguna oleh peniaga untuk menuntut kenaikan harga barang ialah menyorok barang makanan asas seperti gula dan minyak. Apakah laknat Allah kepada golongan begini?

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Dalam bab mencari rezeki halal ini semuanya kena dibuat dengan elok. Bermula di peringkat awal sehinggalah ia dijual kepada pengguna.

Dalam Islam perbuatan yang dinyatakan ini dikenali sebagai ihtikar. Rasulullah mencela golongan begini melalui sabda-Nya yang bermaksud, “Sejahat-jahat hamba ialah yang berihtikar, apabila ia mendengar harga barang turun ia merasa dukacita, dan apabila ia mendengar harga barang naik ia bergembira” (dan Nabi juga dilaporkan bersabda yang maksudnya, “tidak melakukan ihtikar kecuali orang yang berdosa”.

Larangan keras baginda disebabkan masyarakat memang memerlukan barang-barang seperti beras, minyak dan gula. Tetapi ia tidak dapat dipenuhi disebabkan perbuatan menyorok barang yang dilakukan oleh sesetengah peniaga.

Apabila ini berlaku, memanglah barang berkurangan tetapi ia adalah kekurangan yang diciptakan lantaran sifat tamak haloba peniaga.

Walhal apabila harganya dinaikkan, tiba-tiba barang tadi semacam turun dari langit melimpah di pasaran. Dalam perlakuan seorang usahawan Muslim yang mencari keredaan Allah, sepatutnya tidak timbul pemikiran dan tindakan sebegini.

Perbahasan ini mengingatkan saya kepada amalan murni Khalifah Islam yang ketiga serta menantu Rasulullah iaitu Saidina Uthman bin Affan r.a. Abd. al-Latif ‘Asyur dalam al-‘Asyrah al-Mubasysyarun bi al-Jannah menukilkan kisah yang menarik berhubung dengan sifat kedermawanan Saidina Uthman seperti berikut;

Di masa Khalifah Abu Bakar r.a, kaum Muslimin pernah dilanda kemarau yang dahsyat. Mereka mendatangi Khalifah Abu Bakar dan bertanya apakah yang harus dilakukan?

Abu Bakar menjawab; “Pergilah dan sabarlah. Aku berharap sebelum tiba malam hari Allah s.w.t akan meringankan kesulitan kamu semua”.

Pada petang harinya, sebuah kafilah yang terdiri daripada 1,000 unta yang mengangkut gandum, minyak dan kismis berhenti di depan rumah Saidina Uthman dan diturunkan muatannya di situ. Para pedagang kemudiannya menemui Saidina Uthman dengan tujuan untuk membeli barang-barang itu.

Saidina Uthman bertanya kepada mereka mengenai jumlah keuntungan yang mereka bersedia untuk beri kepadanya. Mereka menjawab: “Sekali ganda”. Saidina Uthman menjawab bahawa telah ada tawaran lain yang lebih dari kadar tersebut. Para pedagang itu kemudiannya menawarkan kadar yang lebih tinggi hingga mencecah empat ke lima kali ganda namun masih ditolak Saidina Uthman dengan alasan ada tawaran lain yang lebih daripada kadar yang ditawarkan itu.

Para pedagang yang kecewa itu lalu berkata kepada Saidina Uthman; “Di Madinah tidak ada pedagang selain kami dan tidak ada yang dapat mendahului kami dalam penawaran, siapakah yang sanggup membeli dengan harga yang lebih dari apa yang kami tawarkan?”

Saidina Uthman menjawab: “Allah s.w.t memberi kepadaku 10 kali ganda, apakah kamu boleh memberi lebih dari itu?” Mereka serentak menjawab: “Tidak”. Saidina Uthman berkata lagi: “Aku menjadikan Allah s.w.t sebagai saksi bahawa seluruh yang dibawa kafilah ini adalah sedekah kerana Allah, untuk fakir miskin dari kaum Muslimin”.

Petang hari itu juga Saidina Uthman membahagi-bahagikan seluruh makanan yang dibawa unta tadi kepada setiap fakir dan miskin. Mereka semua mendapat bahagian yang cukup untuk keperluan keluarga masing-masing.

Ini adalah contoh murni tokoh korporat yang membantu membela nasib masyarakat mendapatkan barang keperluan dalam keadaan yang terdesak. Jika kisah ini boleh dijadikan contoh di kalangan ahli korporat hari ini, sudah tentu sedikit sebanyak dapat mengatasi isu kenaikan harga barang.

Dalam keadaan sekarang, mungkin sudah sampai masanya kita memperkenalkan satu jabatan agama negeri menggerakkan aktiviti ekonomi dengan mengkhusus kepada satu produk ekonomi tertentu seperti mana diuar-uarkan slogan satu kampung satu produk atau satu industri.

Kalau ini dilaksanakan, insya-Allah kita dapat membantu mengatasi masalah ekonomi seperti isu kenaikan harga barang.

Dalam sebuah hadis, golongan peniaga yang amanah digolongkan bersama para nabi dan syuhada. Apakah pula ancaman kepada peniaga yang tidak amanah dan suka mengambil kesempatan ke atas pengguna?

DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Hadis ini memberi suntikan motivasi istimewa kepada para peniaga. Rasulullah s.a.w bersabda, “Peniaga yang benar lagi beramanah digolongkan bersama para Nabi, Siddiqin dan Syuhada”. (Riwayat at-Tirmizi)

Inilah ciri-ciri yang kita mahu lihat ada dalam diri usahawan dan peniaga muslim. Sikap amanah sebegini amat dituntut.

Namun, jika kita menilai kembali adakah semua peniaga mendapat ganjaran sedemikian?

Berlaku kisah di zaman Rasulullah di mana baginda melalui suatu kawasan melintasi selonggok bijirin. Di atasnya nampak sungguh elok dan cantik tetapi apabila baginda menyeluk ke bawah didapati tangan Nabi basah.

Lalu Rasulullah bertanya kepada pemilik makanan itu, Apa ini, hai pemilik makanan? Pemilik makanan itu menjawab, terkena air hujan ya Rasulullah. Baginda bersabda, kenapa tidak engkau letakkan di atas supaya orang dapat melihatnya, sesiapa menipu, maka dia tidak termasuk dalam golonganku. (riwayat Muslim)

Apabila peniaga tidak amanah maka berlakulah penipuan. Ini menyebabkan pengguna jadi mangsa. Jadi kita kena amanah dalam setiap tugas kita. Ingatlah kehidupan di dunia ini hanya sementara dan tempohnya tidak lama. Kehidupan yang kekal abadi ialah di akhirat.

Jadi hendaklah kita berusaha memastikan kehidupan di akhirat kelak lebih baik daripada hidup di dunia. Seperkara lagi yang perlu kita ingat ialah khianat itu adalah satu daripada tiga tanda pada orang munafik.

Sebagai peniaga, model terbaik kita ialah Rasulullah yang terbukti menjadi usahawan berjaya ketika baginda berniaga sejak semasa sebelum berkahwin dengan Saidatina Khadijah r.anha lagi.

Ada baiknya Panel Penasihat Syariah diwujudkan di organisasi-organisasi perniagaan yang besar agar dapat membantu menangani isu-isu berkaitan dengan syariah. Paling kurang, mereka bermasalah perlu merujuk kepada jabatan-jabatan berkaitan atau memanfaatkan pakar rujuk dalam bidang muamalat yang terdapat di pelbagai institusi pengajian tinggi.

Setakat ini, kita telah pun mempunyai panel syariah untuk perbankan dan sistem insurans. Dengan adanya panel ini ia dapat membantu para usahawan Muslim mematuhi batasan syariat dalam urusniaga masing-masing.

23. Apabila berpolitik tanpa prinsip

KEJAYAAN dakwah para anbia ialah pada keikhlasan mereka dan istiqamah memegang dan mempertahankan prinsip. Kemenangan bukanlah kemestian dalam dakwah. Ramai anbia yang tidak menang. Bahkan dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim baginda bersabda: “Ditunjukkan padaku berbagai-bagai umat. Ada nabi yang hanya bersama seorang pengikut. Ada pula bersama dua pengikut. Ada yang bersama sekumpulan (kurang daripada 10 orang). Ada pula nabi yang tiada seorang pun bersamanya…”. Namun tidak ada nabi yang mengubah prinsip kerana inginkan pengikut sekalipun terpaksa menghadapi suasana kontang. Lihat saja Nabi Nuh a.s.

Pendekatan dan cara boleh berubah. Prinsip dan inti adalah tonggak kekal dalam seruan. Perjuangan para anbia adalah menegak akidah tauhid yang tulus dan murni dari sebarang kesyirikan. Syariat yang hendak ditegakkan ialah yang bertunjangkan tauhid dan perlambangan kepada pengabdian diri kepada Allah. Berkembanglah dari situ asas-asas keadilan untuk manusia yang merupakan penjelmaan syariat yang bertunjangkan tauhid. Para pengikut manhaj anbia dan salaf bagi umat ini seiras dan seiring dalam isu prinsip ini. Mereka tidak lekang dek hujan dan tidak lapuk dek panas. Pendekatan mereka mungkin berbeza. Tetapi akidah dan pegangan prinsipnya sama.

Adalah malang jika jamaah, kumpulan atau individu yang tidak tahu apakah prinsip yang menjadi teras perjuangannya. Maka berpecah-pecah pendirian antara mereka dan hanya bertemu dan seragam dalam isu-isu semasa. Ada yang sokong akidah Syiah, ada muktazilah, ada penyeru para wali, bomoh, ada yang suka mengkafirkan orang seperti ajaran khawarij dan yang berakidah Ahli Sunah Waljamaah. Soal prinsip berbeza. Namun soal isu perundangan, pilihan raya dan beberapa perkara semasa kelihatan sama. Ini bercanggahan dengan rupa bentuk dakwah anbia dan generasi salaf. Mereka mungkin berbeza dalam sesuatu isu dan pendekatan, namun tegas dan tegap dalam prinsip.

Dalam Islam ada politik seperti adanya ekonomi, pendidikan dan selainnya. Namun terasnya adalah akidah dan usul-usul yang menjadi prinsip Islam. Seseorang yang hendak menganut Islam, tidak boleh masuk melalui pintu siasah atau ekonomi. Dia mesti masuk melalui pintu tauhid dan mengenali prinsip-prinsip Islam.

Seorang Muslim yang berdakwah hendaklah menyerukan kepada Islam sebagai al-Din, bukan sebagai parti, jemaah atau daulah. Seseorang mungkin tidak memiliki jamaah, kumpulan atau daulah tetapi mesti memiliki akidah dan ibadah kepada Allah dalam wajah zahir dan batin pengabdian diri tanpa pencemaran atau tokok tambah yang bukan-bukan. Pendakwah Muslim gembira melihat seseorang berpegang dengan Islam, sekalipun tidak menyertai organisasinya atau menyumbang kepadanya. Dia menyeru rakyat dan pemerintah agar menerima akidah terhadap al-Quran dan al-Sunah sebagai prinsip diikuti pelaksanaan syariat dalam diri dan masyarakat. Pendakwah Muslim akan dukacita melihat seseorang meninggalkan prinsip-prinsip Islam sekalipun orang itu rakan organisasi atau mendakwa sealiran dengannya. Pendakwah Muslim tidak mempunyai kepentingan yang mengatasi prinsip dakwah. Gembira dan dukacitanya melihat orang menerima atau menolak dakwah adalah kerana tanggungjawab hidayah bukan kerana habuan siasah atau seumpamanya.

Hal ini berbeza dengan orang politik kepartian. Dia suka jika musuhnya buat salah, supaya ada isu yang boleh diperkatakan dan menguntungkan politiknya. Dia tidak gembira jika musuhnya berbuat positif. Dia akan tafsirkan kebaikan dengan wajah kejahatan atau sekurang-kurangnya akan kata ‘ada udang di sebalik batu’. Jika hal yang sama dilakukannya atau puaknya, pentafsirannya berbeza. Niat musuh selalunya busuk, niatnya didakwa selalu jujur. Bagaimana dia berfikir, demikian dia menyangka orang lain juga. Semua parti politik yang goyah prinsipnya hampir semazhab dalam hal ini. Maka dalam politik, musuh sekelip mata boleh bertukar menjadi kawan dan kawan boleh bertukar menjadi musuh. Sekalipun kawan ataupun musuh tadi belum menukar prinsipnya. Maka yang anti-Islam boleh bergabung dengan yang kononnya hendakkan Islam. Apa yang penting, sesiapa yang menguntungkan cita-cita politik ‘kerusi’ maka dia dianggap kawan. Sesiapa yang dirasakan tidak menguntungkan hasrat politiknya, maka dia musuh. Orang dakwah yang berprinsip tidak demikian. Mereka bersatu atas prinsip, lalu maaf dan memaafi perbezaan. Mereka bercerai kerana prinsip. Sekalipun ada kepentingan luar yang sama.

Hal inilah yang membezakan antara pendakwah dan ahli politik ala jahiliah. Maka orang dakwah mungkin berpolitik demi dakwah tetapi tidak berdakwah untuk kepentingan politik. Politik boleh bagi mereka jika mendekatkan diri kepada Islam. Bukan menampal Islam untuk politik. Seperti tidak mungkin mendekatkan diri kepada Allah untuk bersolat. Namun, bersolat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Hal ini mesti difahami. Saya tidak pandai dalam politik kepartian namun sering menumpang baca hal ‘orang parti’. Hal mereka kadang-kadang lucu dan pelik. Kadang-kadang menyebabkan kita marah. Dalam banyak keadaan, saya yang teramat-amat daif ini melihat kerenah mereka, rasa syukur kerana bukan ahli politik seperti itu dan menyebut seperti firman Allah, (al-A’raf ayat 43): “Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah kepada kami. Tidak sekali-kali kami akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami.”

Allah s.w.t menyebut dalam surah al-‘Asr: Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula pesan-memesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Pesan-memesan kepada kebenaran diiringi dengan pesan-memesan kepada kesabaran. Ini kerana, menegakkan kebenaran memerlukan kesabaran berpegang dengannya dan menghadapi kerenah penentangnya. Jika tidak, prinsip berubah kerana kebenaran yang sudah tidak dapat dipertahankan dek jiwa yang tidak sabar dan tamakkan kemenangan. Untuk apa menang, jika prinsip tergadai? Namun orang politik - sekalipun atas nama Islam - biasanya sering rasa sempit dada. Ini seacuan dengan seruannya yang sempit dan kerusi yang sedikit lagi menjadi rebutan. Jika partinya tewas dan kerusinya hilang, maka dia seakan hilang segala-galanya. Sedangkan penyeru kepada Islam yang lengkap tidak demikian. Bahkan pendakwah yang ikhlas selalu merasai tidak sempat masa untuk menyeru dan menyempurnakan seruan kepada keluasan Islam itu. Bermula soal akidah, ibadah, pendidikan, muamalat kewangan, munakahat dan segala macam yang perlu diberikan penjelasan kepada umat dan masyarakat umum. Apatah lagi di era kabur dan keliru ini. Jika ada perkembangan penerimaan dalam mana-mana bahagian Islam, dia amat gembira dan merasai keberhasilannya. Sekalipun namanya tidak disebut dan habuan tidak dihulurkan. Pusat daftar dirinya di langit. Pemantauan langit tidak pernah silap. Janji pahala menanti. Dia tidak memerlukan nama partinya disebut atau diukir. Sebaliknya, seperti riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w. dalam surat-surat baginda kepada pembesar Rom dan Parsi menulis: “Islamlah nescaya kamu selamat. Allah berikan kamu dua pahala.” Bukan soal ingin kuasa. Tapi soal hidayah dan saluran menyampaikan al-Kitab dan al-Sunah. Peperangan hanya tercetus apabila suasana ruang diplomasi sudah terhapus. Politik Nabi s.a.w tidak bermula dengan konfrontasi terhadap individu pemerintah. Konfrontasinya hanya terhadap sistem yang dianuti. Jika demikian sikap baginda dengan pemerintah yang kafir, apatah lagi untuk pemerintah Muslim dalam iklim hari ini. Dunia Barat ingin kita porak-peranda.

Semasa dakwah ditindas di peringkat awal, baginda mengarahkan sebahagian para sahabah berhijrah ke Habsyah. Pemerintahnya ketika itu ialah Najasyi yang Kristian namun adil dan dapat melindungi kaum Muslimin. Setelah Najasyi menganut Islam, baginda tidak pula menyuruh Najasyi meletakkan jawatan sekalipun kerajaannya Kristian. Kedudukan Najasyi memberikan manfaat kepada kaum Muslimin di negaranya dan keadilan untuk rakyat. Dalam hadis al-Bukhari daripada Jabir r.a: Nabi s.a.w bersabda ketika kematian Najasyi: Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi).”Ini adalah tanda redanya baginda dengan pendekatan oleh Najasyi.

Namun dalam Islam mengampu pemerintah adalah dilarang. Itu adalah kejahatan dan pengkhianatan terhadap negara dan rakyat. Demikian juga sentiasa kontra dengan pemerintah dalam semua perkara, bukanlah ajaran Islam. Lagipun sikap melampau dalam membenci atau suka amat dilarang agama. Orang politik suka orang lain taksub kepadanya dek masa depan kuasanya. Tidak begitu Rasulullah s.a.w. Baginda membantah orang yang melampau memujinya kerana dibimbangi syirik.

Al-Quran melarang kebencian yang melampau. Firman Allah (Surah al-Maidah: 8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Hinanya umat ini apabila kita tidak berprinsip. Demikian ajaran al-Quran. Allah menyebut dalam surah al-Nisa ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan.

Daripada Thauban, katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Akan tiba masanya umatumat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat Islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan (menjamah hidangan makanan). Seorang sahabat bertanya “apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?" Baginda menjawab “bahkan bilangan kamu di waktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya:“Ya Rasulullah apakah al-wahn itu?” Jawab Rasulullah “cinta dunia dan takut mati” (Riwayat Abu Daud. Al-Albani mensahihkannya (Al-Albani, Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. 2/647 Riyadh : Maktabah al-Ma‘arif).

Jumlah banyak tanpa prinsip tidak memberi manfaat. Seperti disebutkan, saya bukan pandai politik kepartian namun ingin berkongsi perasaan kebanyakan orang awam seperti saya. Janganlah hairan jika suatu hari kumpulan berlabelkan Islam dipinggirkan kerana kepercayaan yang hilang. Alangkah baiknya, jika bersederhana dalam semua hal. Jujur terhadap prinsip dan pegangan. Jika tidak, nanti kelihatan seperti apa yang disifatkan Allah dalam Surah al-Nahl ayat 92: (maksudnya) “Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya.”

Jika ada rakan politik yang terasa, dipohon kemaafan. Saya bukan pesaing mereka. Jangan bimbang, anda tidak tergugat kerana tulisan ini. Namun yang menggugat anda ialah pendirian yang berbolak-balik mengikut arus tanpa paksi teguh. Kembalilah kepada Islam tulen. Tulisan ini hanya lontaran insan yang tidak pandai sepak terajang politik. Namun sedikit sebanyak pengetahuan Islam yang pernah dipelajari menjadikan saya yakin jalan yang anda tempuhi wajar dibetulkan. Apakah ertinya kemenangan, jika kita tiada prinsip sejak perjuangan dilancarkan? Kemudian, dalam kesibukan kita ke sana dan ke sini dengan segala macam aktiviti, mungkin kita lupa bertanya, kerana siapa kita berjuang? Untuk siapa perjuangan ini? Dan atas jalan (manhaj) teladan siapa kita lusuri perjuangan ini?

(DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.)

22. Sabda Rasulullah s.a.w.

Doa yang Mustajab

Dari Abi Hurairah (r.a.) katanya: Sungguhnya pada hari jumu‘at terdapat satu saat yang tidak menepatinya seseorang Islam yang memanjatkan doa mohon sesuatu kebaikan kepada Allah pada masa tersebut melainkan akan ditunaikan kepadanya (Syaikhan)

Huraiannya.

Dalam hadis ini, Rasulullah (saw.) menegaskan bahawa pada hari Jumaat terdapat satu saat (detik mustajabah) masa yang di terima doa dan permohonan yang di pinta pada masa tersebut, tidak ada sebarang doa hamba yang di angkatkan pada masa tersebut kepada Tuhannya melainkan pasti

ditunaikanNya.

Kesimpulannya.

Carilah masa istijabah tersebut pada hari jumaat untuk memanjatkan doa kepada Tuhan, kerana sekiranya doa tersebut berlaku tepat pada masa tersebut pasti doa itu akan diperkenankan dan diterima Allah swt.

Friday, November 23, 2007

21. Solat sempurna cegah keburukan

SOALAN:
Apakah hukumnya seorang suami yang tekun solat lima waktu tetapi sering mengeluarkan kata-kata kesat kepada isteri dan anak-anaknya. Garang kepada keluarganya dan tidak mencurahkan kasih sayang yang sepatutnya sebagai seorang suami dan ayah kepada anak-anaknya.

JAWAPAN:
Seperti mana yang dinyatakan oleh Ibnu A’syur, di dalam kitab Maqasid al-Syariah, bahawa setiap kefarduan yang diwajibkan ke atas setiap mukalaf, manfaatnya kembali kepada pelaksananya. Dalam persoalan solat, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (al-Ankabut: 45).

Maksudnya solat dapat mencegah manusia daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar. Perkara keji dalam ayat ini apa-apa perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. Ini bermakna solat dapat mengubah orang daripada keras hati menjadi lembut hati, daripada bengis menjadi penyayang, daripada malas menjadi rajin, daripada berdusta menjadi jujur dan sebagainya sifat-sifat terpuji yang akan terbentuk dengan solat.

Namun jika seseorang itu rajin solat dalam masa yang sama tidak berubah daripada sifat negatif kepada lebih positif, ini bermakna bukan salah solatnya tetapi yang salah ialah yang melakukan solat. Manusia boleh berubah dengan solat jika solat itu benar-benar dihayati dari mula melihat kepada kefarduannya, azan yang menyerunya, wuduk, takbir, segala gerakan dalam solat seperti berdiri, rukuk, sujud serta menghayati bacaan di dalamnya.

Sekiranya rahsia solat ini berjaya disingkap saya yakin manusia akan berubah. Punca solat tidak mengubah manusia ialah kegagalan kita memahami hikmah dan falsafah solat itu sendiri. Solat bukan ritual adat malahan kemuncak menjadi seorang hamba yang diwajibkan berdiri menghadap-Nya lima kali sehari dengan sifat rendah diri dan penuh keinsafan.

Anak-anak berhak mendapat kasih sayang seorang ayah, dalam sebuah athar ada dinyatakan yang bermaksud: “Tidak akan dikasihani orang yang tidak tahu mengasihani”. Tumbesaran anak-anak ada hubungkaitnya dengan kasih sayang yang diterima oleh anak-anak daripada ibu bapa mereka. Jika hari ini kita selaku ibu bapa mencurahkan kasih sayang kelak kita akan dikasihi oleh anak-anak kita.

Utusan Malaysia 23/11/2007

Thursday, November 22, 2007

20. Bicara Agama - Jauhi dosa besar dan nikmati janji Allah

JIKA kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). (an-Nisaa': 31)

HURAIAN
Mempersekutukan Allah dengan yang lain, membunuh, memakan harta anak yatim, riba, menderhaka ibu bapa dan berzina termasuk dalam perbuatan dosa besar. Perbuatan ini biasanya dilakukan oleh manusia yang tidak beriman dan berada dalam kejahilan.

Oleh itu, ajaran Islam memberi perhatian penuh dalam pendidikan diri khususnya dalam membentuk akhlak. Sekiranya berlaku perbuatan dosa besar, kembalilah ke pangkal jalan dengan usaha yang bersungguh-sungguh untuk bertaubat kepada Allah s.w.t.. Berjihadlah untuk melawan nafsu kejahatan dengan bertaubat secara ikhlas kepada Allah s.w.t..

Bagi mengatasi kejahilan, manusia perlu kembali pada perlembagaan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.. Hukum-hukum yang telah ditetapkan akan menjadi panduan untuk umat manusia menjauhi segala larangan dan kemurkaan Allah s.w.t.. Menjauhi perkara-perkara yang mendatangkan dosa besar dapat menangkis dosa-dosa kecil yang terdapat dalam diri seseorang.

Itulah janji Allah, betapa besarnya rahmat Allah s.w.t. terhadap hamba-Nya yang mempunyai segala bentuk kekurangan walaupun melakukan pelbagai kesalahan tetapi Allah s.w.t. tetap menerima taubat hamba-Nya dengan menghapuskan dosa-dosa hamba-Nya dan menempatkan mereka di tempat yang mulia iaitu syurga.

KESIMPULAN

Sebagai manusia biasa kita sering melakukan kesalahan dan kesilapan sama ada disedari atau tidak. Kesilapan yang dilakukan secara berulang ulang dibimbangi akan menjadi satu dosa besar. Justeru segala perkara yang menjerumus kepada dosa kecil dan besar hendaklah dihindari.

Wednesday, November 21, 2007

19. Tempoh idah ialah 4 bulan 10 hari

Syeikh al-Maraghi berkata: Kalam sebelum ini berkenaan dengan segala hukum talak dari segi bilangan dan kaifiyatnya. Begitu juga dalam masalah hukum rujuk dan cerai dengan baik. Maka Allah menyebut ayat berikut.

Begitu juga Sayid Qutub berkata: Setelah selesai menjelaskan hukum-hukum dan peraturan bagi wanita yang dicerai dan bagi menghadapi kesan-kesan yang terbit dari penceraian itu, maka al-Quran mulai menjelaskan hukum perempuan yang kematian suaminya, iaitu hukum idahnya, hukum melamarnya selepas habis idah dan hukum melamarnya secara sindiran semasa idah.

Allah berfirman: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan. (al-Baqarah: 234)

Ibn al-Arabi berkata: Tentang hukum nasakh pada ayat di atas, ada dua pendapat mengenainya:

* Ayat ini memansuhkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 240 yang bermaksud: Iaitu diberi nafkah sagu hati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Idah perempuan yang kematian suami semasa permulaan Islam ialah setahun sebagaimana yang berlaku pada zaman jahiliah. Kemudian Allah s.w.t memansuhkan idah tersebut dengan idah selama empat bulan sepuluh hari. Inilah pendapat yang terbanyak.

* Ayat ini dimansuhkan oleh firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 240 yang bermaksud: Iaitu diberikan nafkah sagu hati (makan,pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) tentang apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka daripada perkara yang patut. Iaitu isteri itu boleh beridah sampai bila yang dia mahu. Pendapat ini diriwayatkan daripada Ibn Abbas dan `Atta'.

Namun yang paling sahih ialah pendapat yang pertama.

Firman Allah: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh syarak).

Sayid Qutub berkata: Dahulu wanita yang kematian suami dilayan kasar oleh keluarga, kaum kerabat suami dan masyarakat umumnya. Menurut tradisi Arab, apabila suami meninggal dunia isterinya akan masuk di tempat yang buruk dan memakai pakaian yang paling hodoh. Dia tidak boleh menyentuh minyak wangi selama setahun. Selepas itu dia keluar menunaikan beberapa upacara jahiliah seperti mengambil dan membaling tahi binatang, menunggang keldai atau kibasy dan lain-lain. Tetapi apabila Islam datang ia meringankan penderitaan perempuan yang kematian suaminya. Malah ia menghapuskan semua penderitaan itu.

Islam menetapkan idahnya hanya empat bulan sepuluh hari. Bagi yang hamil, maka idahnya lebih lama sedikit daripada idah perempuan yang dicerai untuk membersihkan rahimnya dalam masa itu. Dia tidak melukakan perasaan keluarga suaminya dengan keluar terus (selepas kematian itu). Dalam masa idah, dia dikehendaki memakai pakaian yang bersopan dan tidak berhias untuk peminangan, tetapi selepas habis idah, maka tiada siapa yang boleh mengganggu kebebasannya sama ada keluarganya sendiri atau keluarga suaminya.

Malah ia mempunyai kebebasan menentukan perilakunya yang baik yang termasuk dalam garisan undang-undang Allah dan syariat-Nya. Ia boleh berhias dengan perhiasan yang dibenarkan oleh Islam. Ia boleh menerima pinangan dan boleh berkahwin dengan sesiapa yang disukainya, dan hasrat keinginannya itu tidak boleh dihalang oleh tradisi yang lapuk atau oleh keangkuhan yang palsu dan tiada yang mengawasinya melainkan Allah.

Firman Allah: Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

Walaupun lafaz ayat ini menunjukkan khabar dan maksudnya juga sebagai pemberitahuan, tafsiran ini bermaksud khabar itu berlaku sejajar dengan lafaznya dan kalam Allah tetap benar.

Di sini diterangkan beberapa permasalahan:
Pertama: Perkataan menunggu atau Tarabbus.

Ada tiga perkara yang berkaitan dengannya iaitu perkahwinan, berwangi-wangian dan berpakaian cantik serta berurusan dan keluar rumah. Tentang perkahwinan: apabila isteri yang kematian suami melahirkan anak walaupun tidak lama setelah kematian suaminya, maka timbul perselisihan pendapat kepada tiga pendapat.

* Isteri itu halal (daripada idah).

* Dia tidak halal melainkan setelah berlalunya tempoh bulan-bulan tersebut, iaitu pendapat Ibn Abbas.

* Dia tidak halal melainkan setelah suci daripada nifas, iaitu pendapat al-Hassan, Hammad bin Abi Sulaiman dan al-Auza’ie.

Sepintas lalu pendapat Ibn Abbas agak jelas, tetapi (ia menjadi lemah) oleh sebab terdapat hadis Subai’ah al-Aslamiah yang melahirkan anak beberapa malam selepas kematian suaminya. Lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya: Kamu telah halal, maka berkahwinlah dengan siapa yang engkau mahu. Hadis ini adalah sahih dan diriwayatkan oleh para Imam.

Kedua: Adakalanya bercampur dua benih dalam satu rahim.

Oleh itu, idah yang dikira bagi kedua-dua benih itu ialah idah yang paling lama. Hal ini berlaku dalam beberapa contoh, antaranya apabila suami yang diisytiharkan meninggal dunia tiba-tiba kembali dan meninggal dunia, sedangkan ketika itu isterinya mengandung hasil perkahwinan dengan suami kedua.

Dalam hal ini, tempoh isteri beridah adalah terbanyak daripada dua idah (iaitu idah suami pertama iaitu idah kematian suami dan idah suami kedua iaitu sehingga melahirkan anak). Begitu juga jika suami yang disangka mati pulang kemudian menceraikan isterinya. Maka isterinya yang ketika itu telah berkahwin lain tidak selesai idahnya dengan melahirkan anak, malah hendaklah dimulakan dengan bilangan tiga kali haid setelah melahirkan anak.

Ketiga: Tentang memakai wangian dan berhias.

Diriwayatkan daripada al-Hassan bahawa beliau berpendapat perkara itu boleh dilakukan dengan mengemukakan hujah bahawa Nabi s.a.w berkata kepada Asma’ binti Umais ketika suaminya, Jaafar meninggal dunia: Tahanlah dirimu selama tiga hari kemudian buatlah apa yang engkau mahu. Hadis ini adalah batil.

Para Imam meriwayatkan daripada Zainab binti Abi Salamah daripada Ummu Salamah daripada Nabi s.a.w bahawa seorang perempuan datang kepada Nabi seraya berkata: Sesungguhnya puteriku kematian suaminya, dan dia mengadu sakit pada matanya. Apakah dia boleh memakai celak pada kedua-dua belah matanya? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak, diulanginya dua kali atau tiga kali. Kemudian baginda bersabda: Tempohnya ialah empat bulan sepuluh hari. Sedangkan pada masa dahulu seorang perempuan melontar najis unta apabila genap setahun.

Zainab berkata: Wanita (pada zaman jahiliah) yang kematian suaminya memakai pakaian paling buruk dan masuk dalam rumah kecil tanpa menyentuh wangi-wangian sehingga berlalu tempoh setahun. Setelah itu dibawa seekor binatang sama ada keldai, kambing atau burung lalu dia menyapukan kotoran tubuhnya pada binatang itu. Biasanya benda yang disapu kotoran tubuhnya itu akan mati. Kemudian dia keluar lalu diberikan najis unta, lalu dia pun melontar najis itu. Setelah itu barulah dia kembali membuat apa yang dia mahu seperti memakai wangian atau sebagainya.

Keempat: Tentang isteri kematian suami yang keluar rumah, ada tiga pendapat:

* Keluar kerana berpindah rumah. Dalam hal ini dia tidak boleh berbuat demikian (semasa dalam idah) menurut kebanyakan ulama, melainkan pendapat yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas, ‘Atta’ dan Sufiyan al-Tahuri. Hal ini kerana mereka menganggap ayat berkaitan keuar rumah itu tidak dimansuhkan. Namun, hal tersebut telah kami terangkan sebelum ini.

* Keluar kerana ibadat seperti menunaikan haji atau umrah. Ibn Abbas dan ‘Atta’ berkata: Mereka boleh keluar menunaikan haji yang fardu ke atas mereka. Umar dan Ibn Umar pula berkata: mereka tidak boleh menunaikan haji. Umar r.a pernah menyuruh perempuan yang sedang beridah supaya pulang dari Baida’ dengan melarang mereka daripada menunaikan haji. Justeru, pandangan Umar daripada kalangan khalifah-khalifah dan pandangan Malik daripada kalangan imam-imam serta selain mereka berdasarkan kewajipan beridah yang umum hendaklah diutamakan. Apatah lagi jika kita mengatakan bahawa kewajipan itu hendaklah dengan cara segera. Namun kewajipan beridah lebih kuat daripada kewajipan berhaji. Hal ini kerana idah itu adalah hak Allah s.w.t dan hak manusia dari sudut menjaga benih dan nasab suami, sedangkan hak haji itu hanya khusus untuk Allah s.w.t sahaja.

* Keluar berurusan pada waktu siang dan pulang pada waktu malam. Ia dibolehkan menurut pendapat Ibn Umar dan selainnya, iaitu dia boleh keluar pada waktu pagi dan pulang ketika waktu tidur. Pendapat mereka ini mengambil kira soal bermalam yang dianggap sebagai tunggak kepada tinggal di rumah dan maksudnya. Inilah yang dimaksudkan dengan hakikat tempat berlindung.

Iktibar Ayat:

* Kewajipan beridah bagi perempuan kematian suami selama empat bulan sepuluh hari.

* Ulama khilaf apabila suami meninggal dunia tanpa pengetahuan isteri melainkan selepas berlalu tempoh idah. Seperti menurut jumhur ulama, idahnya selesai. Walaupun begitu mengikut riwayat Ali, ia bermula dari isteri mengetahui kematian suaminya. Pendapat ini sama dengan al-Hassan, Umar bin Abd. Al-Aziz dan al-Sya'bi.

* Mengithbatkan sifat Allah Maha Mengetahui.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Tuesday, November 20, 2007

18. Jadikan agama sebagai candu



Sabda Rasulullah s.a.w, Ingatlah! Sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jikalau ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya, tidak lain dan tidak bukan itulah yang dikatakan hati. (riwayat Muslim)
Hadis ini menjelaskan kepentingan hati sebagai penentu baik buruknya peribadi dan modal insan seseorang.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto SAHARUDIN ABDULLAH menemu bual Pensyarah Kanan Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Roslan Mohamed bagi mengupas isu ini.
MEGA: Salah satu ciri Islam Hadhari ialah pembangunan modal insan. Mengapakah hal ini diberi perhatian?
ROSLAN: Sebenarnya modal insan ini bukanlah isu baru tetapi ia amat relevan dengan kedatangan Islam yang bermotifkan ke arah pembangunan akal dan minda, jiwa serta akhlak. Modal insan pada pandangan agama adalah berteraskan kepada perubahan dan pembinaan iaitu perubahan sikap dan pembinaan iman. Ini kerana akhlak dan akidah adalah sendi utama dalam sistem kehidupan. Hakikatnya, ia adalah keperluan sepanjang zaman, lebih-lebih lagi pada masa kini.
Kata kunci kepada hal ini ialah firman Allah yang bermaksud, Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kelompok sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka...(al-Ra’d: 11)
Ini membuktikan bahawa Islam itu menjurus kepada perubahan minda, jiwa dan akhlak. Islam mahu manusia mencapai nilai kemanusiaan sejati. Ini adalah asas dalam agama kita.
Menurut Imam Ghazali, manusia tidak mungkin capai tahap kemanusiaan sebenar jika tidak berubah dan membangun dan jika tidak berubah dan membangun, itu adalah sifat binatang.
Kalau diperhatikan terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menjurus kepada aspek moral dan akhlak. Ayat Makkiyah misalnya memperincikan soal pembangunan akidah. Ini sebenarnya menjurus kepada membangunkan modal insan kerana ia mengajar manusia supaya memiliki ketulusan akidah dan tidak syirik kepada Allah atau melakukan perkara khurafat.
Ayat Madaniyah pula menjurus kepada isu hukum dalam konteks menjaga kebajikan manusia. Umpamanya, Islam melarang umatnya berbuat zalim, membunuh orang, berjudi dan berzina.
Ulama terkenal, Prof. Dr. Yusuf Qaradawi pula menyebut amat relevan bila Islam menyuruh memelihara lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Kesemua itu melambangkan pembangunan modal insan menurut pandangan Islam.
Hari ini, aspek modal insan kembali diberi perhatian kerana seolah-olah ia mula dikesampingkan daripada peradaban manusia.
Dalam Islam ia juga disebut sebagai tarbiah ruhiah untuk membina jiwa manusia. Logiknya, bagaimana insan boleh membangun kalau jiwa mereka tidak betul dan akhlak yang menyanggahi agama?
Membina sahsiah terpuji tidak semudah menyebutnya. Apakah ciri modal insan yang dikehendaki oleh Islam?
ROSLAN: Hendak membangunkan modal insan yang utuh, tidak semudah kita membuat binaan yang hanya memerlukan modal kewangan, sumber manusia dan kelengkapan.
Sebaliknya, pembinaan modal insan dalam Islam adalah berpaksikan kepada iman dan takwa. Kedua-duanya adalah sendi utama dalam pembangunan insan. Ciri-cirinya mesti mempunyai keilmuan yang cukup, kenal pada Allah dan percaya kepada akhirat. Ia juga disertakan dengan keikhlasan yang mantap dan mempunyai keyakinan yang teguh.
Umat Islam tidak boleh berada dalam dua alam, kadang-kadang baik kadang-kadang buruk. Islam meletak syarat yang baik itu tetap baik dan sebaliknya. Justeru, modal insan yang baik ialah mereka yang cintakan kebaikan dan benci kepada keburukan. Dalam konteks ciri modal insan secara bermasyarakat yang dikehendaki agama, kita boleh mengambil contoh peringatan Allah dalam ayat 96 surah al-A,raf, di mana Allah memberi jaminan akan memberi kurnia kepada penduduk yang beriman dan bertakwa melalui firmannya, Jika sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi...(Al-A’raf: 96)
Orang yang tidak berpaksikan agama akan menjadikan nafsu dan syahwat sebagai pegangan. Ini menjawab mengapa berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain kepincangan dalam kehidupan sekarang.
Ingatlah sabda Rasulullah, orang yang cerdik dan berakal ialah yang sentiasa dalam keadaan menimbang amalan dan bersedia menghadapi kematian. (riwayat Tirmizi). Ini yang patut menjadi paksi kepada modal insan.
Pepatah ada menyebut, pemuda tiang negara pemudi harapan bangsa. Namun, keruntuhan moral golongan muda-mudi nampaknya bertambah parah. Adakah pepatah ini sudah tidak relevan?
ROSLAN: Pepatah itu tetap relevan cuma ia perlu diberi suntikan agama, roh ilmu dan berpaksikan iman. Sebabnya, kita kini berada dalam era yang penuh cabaran. Isu modal insan tidak mungkin akan terhenti walau seketika sebab Islam adalah agama penyelamat dan Islamlah yang mampu menjana modal insan yang sejati.
Mengenai keruntuhan akhlak remaja dan muda-mudi memang sepatutnya semua pihak wajar cemas. Bilangan golongan tersebut dalam negara adalah kira-kira 11 juta atau 40 peratus penduduk. Sebahagian mereka ini pula terjebak dengan pelbagai gejala negatif seperti merempit dan penagihan dadah. Ini memperkukuhkan lagi perlunya nilai modal insan diterapkan segera.
Islam sendiri melihat waktu remaja sebagai waktu yang penting dan berharga. Sebab itu ia termasuk dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim dalam membicarakan rebut lima perkara sebelum datang lima perkata iaitu salah satunya waktu muda sebelum waktu dua.
Apa yang penting, jangan kita termasuk dalam golongan sudah terhantuk baru terngadah. Sebabnya bukan senang untuk kembali membetulkan keadaan remaja yang rosak akhlaknya. Ingatlah firman Allah, Dan hendaklah takut kepada Allah orang yang seandainya meninggalkan anak-anak yang lemah yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka...(al-Nisa’: 9)
Ayat Allah dalam surah An-Nahl: 100 menyebut: Sesungguhnya kekuasaan syaitan hanyalah atas orang yang mengambilnya menjadi pemimpin dan atas orang yang menyekutukan Allah. Adakah mereka yang tidak berakhlak boleh digolongkan mengambil syaitan sebagai pemimpin?
ROSLAN: Apabila manusia tidak mengambil panduan agama sebagai teras hidup maka mereka sudah berpatah arang dengan maksud meninggalkan agama. Sedangkan menurut Dr. Yusuf Qaradawi, manusia kena menjadikan agama sebagai candu. Dengan maksud kita tidak akan selesa, keluh kesah dan gundah-gulana jika tidak berpegang kepada agama.
Sebagai Muslim, semua kita mengetahui bahawa syaitan itu adalah musuh yang nyata. Kita juga disuruh memusuhi syaitan kerana ia mendatangkan kepalsuan. Syaitan ini bukanlah bentuk lembaga secara fizikal tetapi ia menutup hati, jiwa dan iman kita melalui nafsu dan syahwat. Apabila kita berada di luar lingkaran agama bermakna jadilah kita seperti yang ditegaskan oleh Allah dalam ayat di atas tadi.
Adakah kegagalan membentuk peribadi insan mulia ini disebabkan institusi masjid yang jumud dan hanya menjadi institusi ritual sahaja?
ROSLAN: Pada umumnya kita tidak boleh menghukum institusi dakwah terutama masjid dalam isu ini. Di Malaysia kita mempunyai lebih 5,500 masjid dan 16,000 surau. Kesemuanya berfungsi secara maksimum. Mereka mempunyai program berkala dan berterusan untuk maslahat ummah.
Yang salah sebenarnya ialah manusia yang tidak memanfaatkan program-program masjid dan surau. Golongan ini tidak mahu terlibat mengimarahkan masjid dan surau. Selain itu, pandangan silap masyarakat bahawa peranan masjid hanyalah ritual iaitu ibadat khusus seperti solat dan solat jenazah sahaja. Alhamdulillah, kini semakin banyak masjid yang mempelbagai aktiviti mereka seperti mengadakan seminar dan program motivasi serta pelbagai bentuk pengurusan.
Pada masa yang sama, ibu bapa boleh membantu dengan mendidik anak-anak supaya mencintai masjid dan surau. Ia boleh dilakukan dengan sentiasa menunaikan solat berjemaah serta melakukan aktiviti sosial hatta bersukan dan seni asalkan mematuhi batas agama.
Masjid adalah teras kepada pembinaan modal insan. Oleh itu,dari satu aspek pula adalah menjadi harapan supaya pengurusan masjid lebih profesional dan mengambil kira perkembangan semasa masyarakat dalam merencana pelbagai aktiviti.
Masjid seolah-olah ‘tangan kanan’ yang boleh menentukan jatuh bangunnya masyarakat. Kita tidak dapat menghapus semua budaya negatif termasuk jenayah kolar putih. Namun, biasanya mereka yang terlibat dalam golongan yang tidak kenal masjid. Sebabnya, masjid ini didirikan atas dasar takwa.
Ingatlah firman Allah, Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba) sejak hari pertama adalah lebih patut kami bersolat di dalamnya. (At-Taubah: 108).

Utusan Malaysia 20/11/07

Sunday, November 18, 2007

17. Islam bukan sekadar penjenamaan

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

Kita sering kali dimomokkan dengan label-label dan jenama-jenama Islam dalam pelbagai produk dan situasi. Seolah-olah Islam hanya mampu diterjemahkan apabila sesuatu itu mempunyai jenama atau label ‘Islam’. Awal minggu ini media massa tempatan dan antarabangsa termasuk CNN dan BBC melaporkan bahawa syarikat automotif negara mengisytiharkan cadangannya untuk mereka cipta dan memasarkan kereta pertama yang bercirikan Islam.

Penulis pada mulanya begitu teruja untuk membaca laporan tersebut sambil pelbagai idea tercetus dan bermain-main di pemikiran mengenai ciri-ciri kereta Islam. Apakah ‘kereta Islam’ mempunyai keupayaan enjin yang lebih hebat daripada biasa lantaran Islam itu agama yang hebat dan perkasa? Atau mungkin kualiti dan reka bentuknya adalah lebih mantap daripada kereta yang sedia ada sebagaimana kemantapan kualiti Islam itu sendiri. Atau mempunyai karakteristik yang mesra alam sebagaimana sifat ‘rahmatan lil alamin’ yang ada pada Islam.

Namun, idea-idea ini meleset setelah membaca laporan media yang menyebut bahawa ciri-ciri utama ‘kereta Islam’ tersebut ialah kereta yang dilengkapi kompas sebagai petunjuk arah kiblat serta ruang penyimpanan al-Quran dan tudung. Mendengar penjelasan yang diberikan mengenai ciri-ciri ‘kereta Islam’ tersebut, terdetik pelbagai persoalan yang menyerabutkan pemikiran.

Apakah kereta yang dianggap Islamik itu hanya pada kompas dan ruang penyimpanan al-Quran dan tudung? Apakah ruang kereta ‘konvensional’ sekarang tidak mencukupi untuk menyimpan al-Quran mahupun tudung? Ada sahabat penulis menukilkan secara sinis, jika kereta sahaja boleh menyimpan tudung tetapi pemandu Islamnya tidak bertudung, maka kereta sahajalah yang Islam tetapi bukan pemandunya. Atau jika kereta sahaja berkompas kiblat tetapi pemandunya tidak pun menunaikan solat, hanya kereta sahajalah yang Islam bukan pemandunya.

Lebih malang sekiranya kereta berjenama Islam ini dipandu pula oleh pemandu yang langsung tidak bercirikan Islam seperti memandu secara rakus dan berbahaya hingga ramai menjadi mangsa korban jalan raya. Akhirnya, terpalit pula wajah hodoh dan negatif pada ‘kereta Islam’ dan agama Islam.


Penulis tidak bermaksud hendak mengkritik pihak pengeluar kenderaan berjenama Islam tersebut. Mungkin mereka telah mengkaji dan menganalisis pasaran yang ingin diterokai secara teliti dan mendalam hingga tercetus idea penjenamaan ‘kereta Islam’ tersebut. Atau mungkin juga ini merupakan strategi pasaran yang dikira berkesan untuk menembusi pasaran umat Islam yang sudah menjangkau lebih 2 bilion di seantero dunia.

Jika benarlah analisis pasaran menunjukkan umat lebih teruja pada nama dan label berbanding isi dan kualitinya, ia merupakan suatu petanda yang cukup menyedihkan. Senario ini bagaikan mengesahkan tanggapan umum yang melihat umat Islam hari ini adalah umat yang celaru kerana lebih mengutamakan bentuk (form) daripada isi (substance).

Sememangnya jika diperhatikan dengan realiti, fenomena mengutamakan label dan jenama Islam bagaikan suatu yang lumrah dalam kerangka umat Islam kini. Sehinggakan sesuatu itu payah untuk dianggap Islam atau kurang nilai Islamnya jika tidak ditempelkan dengan jenama Islam. Natijahnya, kita dapati Islam kini ditampilkan dalam bentuk yang pelbagai mengikut cita rasa dan kepentingan mereka yang berkepentingan. Seolah-olah hanya apabila ada label Islam maka sifatnya lebih Islamik berbanding entiti yang tidak berjenama Islam.

Walhal Islam itu bukan terletak pada label mahupun sekadar penjenamaan. Jika dikaji sejarah Islam, tidak pernah berlaku kegilaan untuk berlumba-lumba melabelkan sesuatu dengan nama Islam seperti yang berlaku ketika ini. Sebaliknya umat Islam melalui pendekatan Nubuwwah lebih menumpukan isi dan penggarapan kualiti berbanding label dan jenama.

Sebab itulah Nabi Muhammad s.a.w. sering kali menegaskan: “Iman itu bukanlah angan-angan dan juga bukan sekadar perhiasan, tetapi iman itu adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amal.” (Riwayat Ad-Dailami).

Memahami falsafah dan prinsip inilah maka umat sejak zaman-berzaman berjaya membina tamadun yang hebat dengan mengeluarkan produk-produk berkualiti bercirikan Islam. Umpamanya, dalam pelbagai cabang ilmu, para ilmuwan Islam seperti Ibn Sina dan Al-Khawarizimi mengeluarkan produk-produk perubatan dan matematik berkualiti. Jauh sekali untuk dilabelkan perubatan Islam ataupun matematik Islam kerana yang lebih dititikberatkan ialah soal isi dan kualiti.

Justeru sudah tiba masanya umat melakukan penjernihan pemikiran agar kita tidak terus ditertawakan lantaran tindak-tanduk kita yang kurang bijaksana. Apa yang lebih penting ialah nilai dan inti pati Islamlah yang harus dihayati dan dimartabatkan, bukannya sekadar mendabik-dada dengan pelbagai slogan dan jenama murahan yang isinya kosong melompong.

16. Haji: Antara falsafah, tokok tambah dan nas

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

Seorang penceramah haji dalam satu penyampaiannya menyatakan bahawa apabila seseorang melontar di jamrah, dia hendaklah melontar dengan sekuat mungkin dan penuh kemarahan terhadap syaitan yang selalu menghasut kita. Menurutnya, ini kerana jemaah haji ketika itu sedang melontar syaitan yang berada di situ. Para hadirin ada yang terfikir: Apakah syaitan yang begitu bijak menipu dan menghasut manusia menjadi begitu bodoh sehingga sanggup tunggu di jamrah-jamrah pada waktu haji untuk membiarkan diri mereka dilontar oleh jutaan manusia? Dia bertanya saya tentang kekeliruan itu. Saya berkata, syaitan memang jahat dan dilaknat, namun saya juga tidak fikir untuk mereka menunggu agar dilontar pada hari-hari haji. Saya rasa syaitan tidak sebodoh itu. Beliau kehairanan dengan jawapan saya. Dia bertanya kebingungan: Habis, apakah agama menceritakan sesuatu yang bohong? Saya katakan: Tidak! Tetapi ustaz itu yang cuba berfalsafah tentang ibadah tanpa merujuk kepada dalil dan akal yang waras.

Entah berapa banyak para penceramah yang ‘sewaktu dengannya’. Jika penceramah berkenaan membaca dan memahami nas, tentu dia tidak membuat huraian seperti itu. Dalam hadis daripada Ibn ‘Abbas, katanya: Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-‘Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: (Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu. (Diriwayatkan oleh al-Nasa‘i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani). Nabi s.a.w. dalam hadis ini memuji Ibn ‘Abbas kerana mengutip batu yang kecil kerana itu memadai. Tidak benarkan melampaui batas dengan mengutip batu-batu yang melebihi ukuran sepatutnya. Baginda juga mengingatkan bahawa rosaknya agama mereka yang terdahulu adalah kerana melampaui batasan yang diajar oleh para Rasul. Dalam erti kata lain, menokok tambah yang bukan-bukan merosakkan agama.

Jika batu-batu yang dilontar itu bertujuan melontar syaitan, tentu tidak memadai dengan anak-anak batu yang kecil. Dengan kefahaman yang salah ini jugalah sesetengah jemaah dari negara-negara tertentu melontar dengan batu atau bahan lain yang melebihi saiz yang disuruh. Akhirnya bukan syaitan yang sengsara tetapi jemaah lain yang cedera. Sesiapa yang ingin berfalsafah tentang agama, hendaklah merujuk kepada nas-nas yang termaktub dalam al-Quran dan sunah. Walaupun sebahagian amalan haji itu mempu- nyai latar sejarahnya, namun kita yang menunaikan haji melaksanakannya sebagai memenuhi arahan Allah dengan contoh amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Sama seperti kita rukuk, sujud dan segala pergerakan lain dalam solat, kita laksanakan dengan kaedah dan contoh yang ditunjuk oleh Rasulullah.

Sesetengah kita pula yang ingin berangkat ke Mekah mempunyai pelbagai kepercayaan yang bukan-bukan. Ada yang menganggap bahawa jika seseorang yang hendak pergi haji itu sudah berada dalam kenderaan, dia tidak boleh berpatah balik jika ada barang yang tertinggal. Nanti kononnya akan mati di Mekah dan tidak pulang ke rumah lagi. Kepercayaan ini adalah khurafat. Jika ia benar, alangkah beruntung seseorang yang meninggal dalam perjalanan melaksanakan ibadah! Ada pula yang menganggap bahawa ada upacara khas berangkat ke haji. Maka seseorang tidak boleh berangkat sehingga upacara ‘bawa turun’ ke Mekah diadakan. Padahal Nabi s.a.w. dan para sahabah yang berangkat dari Madinah ke Mekah ketika itu tidak pernah melakukan upacara itu semua. Apa yang baginda ajar adalah doa dan adab-adab musafir.

Seseorang yang menunaikan haji perlu faham teras-teras akidah secara jelas. Jika tidak, dibimbangi mereka tersasar. Bukan sedikit yang kita lihat jemaah haji sesete- ngah negara yang mengusap batu, bukit dan apa sahaja binaan di Mekah dan Madinah yang menimbulkan kekaguman dalam jiwanya. Bahkan beberapa tahun dahulu sebelum telaga zamzam ditutup seperti sekarang, saya pernah melihat ada yang mengusap-usap binaan moden sekeliling telaga berkenaan. Ada yang semasa tawaf cuba mengoyak kelambu (Kiswah) Kaabah kononnya untuk disimpan kerana ada keajaibannya. Mereka lupa kelambu tersebut adalah tenunan zaman sekarang yang selalu ditukar ganti. Kilangnya di Mekah dengan pelbagai peralatan canggih. Mengoyak kelambu bererti memusnah harta awam dan mencuri. Apakah jenis keberkatan yang mereka cari dari barangan curi dan khianat? Perkara seperti ini jika tidak dikawal dunia Islam akan hanyut seperti sebahagian ajaran tarekat dan Syiah yang mempertuhankan segala unsur yang mereka kagumi, termasuklah mempertuhankan guru-guru atau imam-imam mereka. Sebab itu Sayidina Umar memerintahkan agar ditebang pokok yang pernah Rasulullah dan para sahabah melakukan baiah (ikrar setia) al-Ridwan di bawahnya, kerana orang ramai mula datang dan bersolat di tempat tersebut. (Lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, 11/490, Beirut: Dar al-Fikr). Bimbang berlakunya fitnah dalam akidah, warisan sejarah berharga pun terpaksa dihapuskan.

Ajaran Islam menentang sebarang unsur keberhalaan. Umat Islam tidak menyembah Kaabah, sebaliknya hanya menghadapkan wajah ke arah Kaabah bagi memenuhi arahan Allah juga kesatuan dalam ibadah. Pada awalnya umat Islam menghadap ke arah Masjid al-Aqsa, kemudian Nabi s.a.w. memohon agar dipilih Masjidilharam sebagai arah kiblat. Lalu Allah menerima harapan baginda. Maka pemilihan arah kiblat Allah adalah ketetapan Allah. Kita tidak menjadikannya seperti agama-agama berhala. Kita hanya tunduk mengabdikan diri kepada Allah. Allah Yang Maha Suci dari menyerupai sebarang makhluk itu tidak diwakili oleh apa-apa objek, insan atau haiwan. Jika diandaikan Kaabah itu dicabut dan dipindahkan ke negara lain, umat Islam tidak akan menghadap wajah mereka ke arah yang baru itu atau pergi haji ke negara baru hanya kerana Kaabah di situ. Tetap ke arah Masjidilharam dan Mekah yang asal. Bukan objek yang disembah, tetapi menunaikan ibadah berdasarkan arah dan tempat yang diperintahkan Allah. Firman Allah: (maksudnya) Kerapkali Kami melihat engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang mengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu hadapkan wajahmu ke arah Masjid Al-Haram dan di mana sahaja kamu berada maka hadaplah wajah kamu ke arahnya (al-Baqarah 144).

Dalam sejarah, puak Qaramitah yang amat terkutuk pernah menyerang Mekah, mencuri Hajarul Aswad, membahagi-bahagikan kelambu Kaabah, dan mencuri pintunya. Mereka membawa Hajarul Aswad ke negara mereka Hijr. Hajarul Aswad berada di sana di antara tahun 319H sehingga tahun 339H. Akhirnya dikembalikan (lihat: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 11/236, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Namun umat Islam tidak pula menukar tempat haji ketika itu, pergi ke negara Qaramitah. Kerana, bukan batu yang dipuja. Justeru itu, ‘Umar bin al-Khattab apabila datang mencium Hajarul Aswad berkata: “Sesungguhnya aku mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Oleh kerana Rasulullah menciumnya sebagai syiar ibadah maka kita pun menciumnya, bukan kerana ia mempunyai sebarang kesaktian atau unsur ketuhanan. Demikian juga tawaf, sai, wukuf dalan kesemua dilakukan dengan kadar yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan dengan akidah yang diajar baginda. Jika ini tidak difahami, maka itulah yang kita lihat ada yang memanjat Jabal Rahmah di Arafah kononnya untuk menyeru nama-nama kaum keluarga atau kenalan agar dapat datang menunaikan haji pada tahun-tahun berikutnya. Padahal perkara-perkara tersebut tidak dilakukan oleh Nabi dan para sahabah. Firman Allah: (maksudnya) Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya peluang untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (surah al-Nisa 115).

Ini bukan bererti kita menafikan unsur keberkatan dan rahmat Allah yang melimpah yang diturunkan di tempat-tempat mulia lagi terpilih. Allah Maha Mengetahui bahawa hamba apabila merindui Tuhannya, dia ingin merintih, merayu dan mencari tempat dan masa yang dapat menjadi dirinya lebih dekat kepada Tuhannya. Maka dipilih tempat-tempat mulia ini melebihi tempat lain seperti Mekah dan Madinah, zamzam dan Kaabah, Mina dan Arafah. Seperti Allah memilih waktu-waktu yang dilimpahi rahmat-Nya melebihi waktu yang lain seperti malam al-Qadr, bulan Ramadan, hari Jumaat, demikianlah juga hari-hari waktu ibadah haji. Maka insan Muslim, ketika melalui tempat atau waktu yang dirahmati itu hendaklah segala jiwa dan perasaan mengaitkan sepenuh kerahmatan dan kebaikan yang akan diperolehnya di tempat atau waktu berkenaan adalah kurniaan Allah semata. Hanya daripada- Nya. Allah punca utama segala kebaikan itu; bukan masa, objek ataupun tempat. Jika perasaan dibentuk demikian rupa, maka segalanya menjadi kecil dan kerdil di hadapan jiwa tauhid yang melimpahi ruang keimanan seorang insan.

Ibadah haji juga mengajar erti membulat niat dan nekad hanya kerana Allah. Apalah yang menarik jika kota Mekah itu dilihat di sudut muka bumi dan kesuburannya. Lembah yang kering-kontang tanpa tumbuh-

tumbuhan. Namun, manusia tidak pernah putus-putus mengunjunginya, sejak Nabi Ibrahim membina Kaabah yang mulia. Allah memilih tempat yang demikian rupa, agar setiap yang datang ke Mekah tertumpu niatnya untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukan untuk melancong dan berseronok suka. Firman Allah: (maksudnya) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat (memakmurkannya dengan ibadat) maka jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan, semoga mereka bersyukur. (surah Ibrahim: 37).

Dalam ibadah haji dan umrah, seorang Muslim dapat merasai kesinambungan sejarah agama ini, sejak Nabi Ibrahim sehingga ke hari ini. Perjuangan membela dan menegak tauhid yang kudus dan lurus bukan bermula dalam beberapa hari ini, atau beberapa tahun, bahkan umur perjuangan ini sudah ribuan tahun. Firman Allah: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa: “Wahai Tuhan kami! terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui;. “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan Jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara Ibadat kami, dan terimalah taubat kami; Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani; “Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat-Mu dan mengajarkan mereka al-Kitab (al-Quran) serta hikmah (sunah atau kebijaksanaan) dan membersihkan mereka . Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (surah al-Baqarah 127-129).

Siapa sangka gerakan yang dimula oleh dua orang nabi, berkesinambungan sehingga ke hari ini. Bagi setiap zaman ada yang meneruskan perjuangan mereka. Sekalipun para pembela tauhid dan menegak titah perintah tulen Tuhan itu akan menghadapi pelbagai rintangan yang tidak pernah putus. Ada yang dihina, dituduh, diusir, ada yang dipenjara, ada yang dibunuh dan berbagai-bagai penderitaan. Namun, para penerus perjuangan Ibrahim tidak pernah putus asa terhadap kebangkitan ajaran Nabi Ibrahim. Ini kerana mereka sedar bukan mereka yang memula dan mengakhiri perjuangan ini. Sebaliknya perjuangan ini bermula sejak ribuan tahun dan akan terus ada penyambungnya setiap zaman. Nabi Muhammad s.a.w. adalah penyambung agung. Perjuangan ini tidak mati dengan dibunuh atau mati seorang pejuang, kerana hasrat dan seruan perjuangan akan disuburi oleh rahmat dari langit. Jemaah haji mesti menghayati hakikat ini ketika memijak tempat yang telah Nabi Ibrahim mulakan perjuangannya.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.