Wednesday, December 12, 2007

86. Membendung gaya hidup sintetik

DEWASA ini kita sedang menyaksikan pertumbuhan pesat budaya asing dan gaya hidup sintetik yang sedang menjalar dalam kerangka kehidupan generasi muda kini. Apa yang dimaksudkan penulis dengan gaya hidup sintetik ialah suatu budaya tiruan yang cukup asing daripada nilai-nilai tradisi, akar agama dan citra tempatan yang selama ini menerasi keperibadian dan pandangan hidup (worldview) Melayu-Islam.

Kecenderungan membudayakan gaya hidup sintetik ini jelas mengakar dan menjalar dalam bidang-bidang seperti muzik, filem, fesyen dan pelbagai bentuk cabang hiburan dan seni yang lain. Budaya sintetik yang berasal dari Barat ini amat memuja nilai rasa pancaindera iaitu kenikmatan yang dapat ditonton, didengar, disentuh dan dikecap dengan hanya menumpukan kepada keseronokan dan keselesaan jasmaniah semata-mata.

Dari situlah timbulnya seni yang berorientasikan keseronokan rakus, hedonistik melampau, hiburan melulu yang merungkai ikatan agama dan merobek kawalan moral dan nilai-nilai tradisi. Natijahnya wujud pula istilah ‘art for art’s sake’ yang menghalalkan sebarang bentuk tindakan dan perilaku termasuklah unsur-unsur seksual, erotik dan ganas atas nama memartabatkan seni.

Isu terkini seperti polemik pembotakan kepala artis wanita untuk memenuhi tuntutan skrip filem merupakan salah satu contoh bagaimana seni dan hiburan kadangkala dimartabatkan setinggi malah melebihi kesucian prinsip agama dan tradisi. Semuanya dilakukan atas nama seni yang pada hakikatnya cukup asing daripada norma-norma keagamaan dan nilai-nilai tradisi yang selama ini mendasari budaya hidup masyarakat kita.


Kecenderungan para artis memperagakan gaya hidup Barat secara total juga mampu mempengaruhi muda-mudi untuk turut sama meniru budaya yang cuba diketengahkan oleh model-model sintetik ini. Ternyata kekuatan pengaruh penghibur dalam mencorakkan pemikiran, perwatakan dan gaya hidup muda-mudi hari ini adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

Malah golongan remaja dan kanak-kanak khususnya, cukup mudah terdorong dengan apa jua bentuk penampilan artis pujaan mereka. Dari aspek pertuturan dan perawakan hinggalah kepada fesyen rambut, gaya dan pakaian.

Keghairahan membudayakan gaya hidup sintetik ini akan menyebabkan lahirnya generasi sintetik yang hilang jati diri dan tidak lagi mengendahkan batasan halal dan haram dalam agama. Seringkali juga prinsip agama bagaikan diperkotak-katikkan dan ditanggapi sebagai halangan kepada pembangunan seni dan industri hiburan tanahair.

Lebih menyedihkan apabila media massa tempatan juga berperanan dalam aktiviti penyebaran dan perkembangan budaya sintetik yang membinasakan ini. Iklan-iklan yang dipaparkan dalam pelbagai media turut merangsang ke arah kehidupan rakus, foya- foya dan bermewah-mewah yang hakikatnya cukup asing dari pola gaya hidup tradisi umat kita.

Perkembangan seni dan budaya seperti ini pada hakikatnya sudah terlepas dari kawalan dasar-dasar rasmi yang telah disepakati seperti falsafah agama, rukun negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Sebaliknya pertumbuhan seni dan pembangunan budaya negara tampak lebih banyak dicorakkan dan didorong oleh kepentingan ekonomi dan perkiraan untung rugi.

Para artis kita umpamanya rata-rata telah terlepas dari bimbingan intelektual dan akal budi keagamaan hingga menuruti sahaja kemahuan penaja, promoter, penerbit mahupun pengarah yang dasar perhitungannya adalah untung rugi ekonomi. Malah persaingan sengit stesen-stesen televisyen menganjurkan program-program hiburan beraneka ragam lebih banyak berorientasikan kepentingan ekonomi daripada kepentingan membangunkan generasi muda yang bermaruah dan merdeka.

Fenomena seperti ini jika dibiarkan berlarutan mampu melunturkan citra budaya dan keperibadian bangsa. Penat lelah generasi terdahulu merangka dan merumuskan dasar kebudayaan kebangsaan yang bercirikan keperibumian dan keislaman bagaikan tidak punya makna dan harga.


Justeru sudah tiba masanya pihak berwajib memandang serius masalah pembudayaan gaya hidup sintetik yang semakin membelenggui pemikiran dan perawakan generasi muda kini. Krisis budaya dan kegersangan nilai dalam industri hiburan tanah air memerlukan penyelesaian yang berupa perancangan dan pengarahan budaya secara menyeluruh sesuai dengan wawasan dan citra ummah.

Ini termasuklah melakukan usaha bersepadu, terancang dan tersusun untuk melatih dan membimbing artis-artis agar akhlak dan peribadi mereka juga sentiasa terkawal dan menjadi idola yang baik kepada khalayak. Pelbagai insentif juga boleh diperkenalkan sebagai satu usaha menggalakkan artis-artis tempatan berwatak luhur dan berkeperibadian mulia.

Media massa juga wajar berperanan dengan lebih proaktif dalam menampilkan artis secara positif dan konstruktif seperti menjadikan mereka agen moral yang mampu mempengaruhi generasi muda. Seharusnya usaha membina budaya bangsa berteraskan agama dan nilai-nilai tradisi yang unik tidak lagi terikat cuma berdasarkan perkiraan untung- rugi ekonomi semata-mata.

Sebaliknya usaha memperkasa budaya bangsa menuntut ketulusan dan kesediaan semua pihak untuk sama-sama menggalas tanggungjawab mempertahankan khazanah bangsa yang tidak ternilai ini.

Apa yang harus dikhuatiri ialah kelewatan melaksanakan tanggungjawab ini akan semakin mendekatkan kita kepada bencana total sebagaimana yang diperingatkan Allah dalam al-Quran: Dan jika Kami hendak membinasakan sesuatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hiduo mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kedurhakaan di negeri itu, maka sudah sewajarnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya. (al-Isra:16).

No comments: