Tuesday, December 11, 2007

63. Perlukah seks oral?

Soalannya:
Dalam hubungan seks suami isteri jika suami tidak dapat rangsangan melainkan dengan melakukan seks oral sahaja apakah isteri perlu mematuhinya?


Jawapannya:
Dalam perkara ini, Islam juga tidak ketinggalan dengan garis panduannya yang lengkap. Mengenai kejadian manusia yang terdiri daripada ramuan bahan naluri kebinatangan selain ramuan atau unsur kerohanian dan kemalaikatan. Hubungan seks itu adalah tuntutan naluri kehaiwanannya sebab itu ia ada berbagai-bagai cara pendekatan yang dilakukan manusia mengikut suasana tertentu dan sesuai dengan iklim panas sejuk sesebuah negeri itu. Panduan Islam adalah yang terbaik dan terindah sesuai dengan kedudukan manusia (garis kemanusiaan) itu sendiri. Kata Syaikh Yusof Qardhawi, Islam datang untuk semua jenis manusia, semua lapisan, tempat, masa dan keadaan, maka tidak harus sesiapa memberi pendapatnya yang sesuai hanya dengan adat resam setempat atau kumpulan tertentu atau bangsa tertentu seperti daripada kalangan Arab atau bangsa timur sahaja. Agama kita yang luas, bebas, senang akan jadi sempit dan susah, dan kita akan menghalang manusia dari apa yang tidak dilarang agama melalui nas dan dalilnya yang tetap dan sah. Di sini kita minta saudara yang taksub dalam agama itu supaya berhati-hati, untuk menghukum haram terhadap perkara yang baru dikenali atau sesuatu yang tidak disenanginnya untuk disesuaikan dengan rasa atau adat resam mereka sahaja sebelum membuat penyelidikan atau kajian. Jangan hanya berpandukan buku- buku pengajaran atau kata-kata pensyarah sahaja terutama apabila mengenai mereka yang baru atau kurang ilmunya daripada kalangan orang awam. Yang penting amalan seks itu mestilah bersih tidak melampau atau menyakitkan dan berakhlak serta sesuai dengan cara atau adab sopan. Arahan yang bertentangan dengan agama itu tidak perlu dipenuhi. Begitu juga sekiranya amalan seks itu dilakukan seperti perangai haiwan atau dilihat seperti kehidupan rahbaniah yang memandang amalan itu jijik dan kotor sebagai amalan syaitan. Pada masa Baginda s.a.w., pernah berlaku salah faham di kalangan para sahabat yang bertujuan baik, tetapi tindakan mereka melampau dan terkeluar dari garis kemanusiaan sehingga ada yang tidak mahu tidur malam dan tidak mahu berkahwin dengan wanita untuk menumpukan kepada ibadat sahaja. Akhirnya mereka diberi kauseling oleh Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya bermaksud: aku tahu kamu ada datang bertanyakan isreriku dan membuat keputusan masing masing. Tetapi akulah yang paling arif dan bertakwa kepada Allah s.w.t. dari kalangan kamu tetapi aku tidur dan bangun untuk beribadat, aku berpuasa dan berbuka, aku kahwin dengan wanita dan siapa yang tidak mahu mengikuti jalanku dia bukan dari golonganku (Riwayat Muslim). Dalam satu riwayat yang lain baginda s.a.w. menegaskan bahawa bagi tubuh badanmu ada haknya dan bagi keluargamu ada haknya dan bagi isterimu ada haknya dan bagi Tuhanmu ada haknya maka penuhi dan tunaikanlah segala hak tadi kepada empunya hak tersebut. Ringkasnya jalan petunjuk Islam itulah yang paling sesuai dengan manusia di mana dan bila masa pun. Dalam hal ini Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: mereka bertanyamu tentang haid katakanlah ia itu penyakit kotor maka hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita (jangan bersetubuh dengan mereka) dalam keadaan haid dan jangan kamu menghampiri mereka sebelum mereka suci maka bila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintah Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah kasih mereka yang banyak bartaubat dan kasihkan mereka yang sentiasa mensucikan diri (zahir dan batin). Isteri kamu itu ladang kamu maka datangilah ladang kamu menurut sesuka hati kamu, (maksud surah al-Baqarah ayat 222-223). Apa yang dapat kita fahami bahawa ladang tempat bercucuk tanam itu dibenarkan kita bercucuk tanam mengikut kesukaan masing-masing asalkan dapat menumbuhkan benih tanaman yang baik sihat dan subur secara yang bersih dan sihat.

Wallahualam.

Maksud ayat 99 al-Hijr
SoalanNYA: Saya terbaca di dalam surah al-Hijr ayat 99 yang memberi maksud: Sembah dan beribadatlah kepada Tuhanmu sehingga datang kepadamu oleh hakikat yakin. Apakah maksud dari ayat itu? Adakah satu tahap dan martabat manusia yang membolehkan dia tidak perlu beribadat lagi kerana terlampau tinggi taraf dan martabatnya?

– Affendi Baba, Muar.

Jawapannya: Anda tidak harus menterjemahkan perkataan ‘al-yaqin’ di dalam ayat ini dengan suatu hakikat keyakinan atau martabat tertentu sehingga jika ada sesiapa yang mengaku dan mendakwa sudah sampai ke peringkat itu maka ia sudah tidak perlu lagi beribadat atau beramal menurut apa yang disyariatkan Allah s.w.t. Ini kerana perkataan itu ditafsirkan oleh Allah sendiri dengan firman-Nya bermaksud: Bila orang jahat itu ditanya kenapa mereka masuk neraka saqar, jawabnya kerana mereka tidak bersolat dan tidak menjamu fakir miskin dan kata mereka lagi kami duduk bersembang dan membohongi hari akhirat sehingga kami didatangi kematian (ayat 41-47). Jadi maksud ‘keyakinan’ di sini ialah kematian yang merupakan suatu kenyataan dalam hidup seseorang dan setiap mereka pasti akan didatangi kematian tanpa syak lagi. Inilah bahayanya kalau al-Quran itu ditafsir mengikut nafsu dan fikiran sendiri sedangkan apa yang ditafsirkan itu dari segi panduannya terdapat dengan jelas dari al-Quran sendiri. Sebab itulah untuk memahami al-Quran ini memerlukan banyak ilmu dan alat bantunya seperti kefahaman mendalam mengenai al-Quran, balaghah, mantiq, akidah dan lain- lainnya.

Umpamanya ayat-ayat yang mutasyabih yang perlu dikembalikan kepada ayat yang muhkamat terlebih dahulu, seperti firman-Nya yang bermaksud: Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan-Nya (surah Asy- Syura ayat-11). Ini termasuk dalam ayat yang muhkamat, yang mana kalau ada ayat lain yang nampak seperti menyerupai-Nya dengan suatu yang lain, maka dikembalikan yang mutasyabih itu kepadanya (muhkam) tersebut, seperti firman-Nya yang bermaksud: dan telah datanglah Tuhanmu (surah al-Fajr ayat 22). Apakah ‘tuhan datang’ seperti kita, tentu jawabnya tidak kerana Allah Maha Suci dari menyerupai atau setara dengan sesuatu yang baharu. Sebab itu sesetengah ulama mengatakan dalam ayat itu ada perkataan yang dibuang kerana dalam bahasa Arab banyak contoh seperti itu. Kata mereka perkataan yang dibuang itu ialah perkataan urusan atau suruhan Tuhanmu seperti firman-Nya ‘tanyalah kampung itu’ ertinya penduduk kampung, demikianlah seterusnya. Apa yang sangat dikesali ilmu-ilmu tadi sudah hilang dan tidak boleh dipelajari lagi di sesetengah tempat kerana dilarang keras untuk dipelajarinya, dengan alasan bidaah dan sebagainya. Begitu juga mereka melarang dari bertanya ulama dan pakar dalam bidang kepakarannya. Malah disuruh kita semua (orang awam) mengambil hukum itu dari al-Quran dan hadis terus. Sedangkan Allah memerintah kita bertanya kepada para ilmuwan dan pakarnya. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: bertanyalah ahli ilmuwan (pakarnya) (surah al-Anbia’ ayat 7). Akhirnya mereka tersesat dan menyesatkan, mereka cuba menimbulkan berbagai-bagai kekeliruan, fitnah dan perpecahan dalam masyarakat hari ini.

Ingatlah dan awasilah dari bala bencana dan kekacauan yang akan berlaku akibat api permusuhan yang ditiup mereka ini. Wallahualam.

No comments: