SOALAN:
Enam tahun lepas saya selalu keluar malam ke disko, pub dan lepak-lepak. Kerja saya agak sosial. Saya enjoy dan banyak kawan dan peminat. Rumah penuh dengan pemberian daripada jejaka yang meminati saya termasuk orang atasan, vip dan vvip.
Saya sudah berkahwin dengan suami yang penyayang dan bertanggungjawab. Dia mengajar saya sembahyang dan perkara-perkara baik. Menyayangi saya juga empat orang anak. Sayangnya dia tidak ada status kenamaan seperti mereka yang saya kenali dahulu.
Masalah mula timbul apabila nampak semakin ramai kawan yang mendapat kerja sungguh glamor. Ramai yang berkahwin dengan orang kenamaan, vip atau vvip. Saya sedih, kecewa tidak berpeluang seperti mereka. Menyesal kerana mengambil keputusan kahwin dulu. Kalau tidak saya pasti seperti mereka, kerana saya pernah mempunyai teman lelaki berpangkat tinggi biarpun ia mempunyai isteri.
Saya begitu sensitif dan selalu mencari kesalahan suami. Saya selalu marah, menengking dan memukul anak-anak kerana tertekan. Tidak peduli keperluan suami dan anak-anak. Saya pernah minta cerai. Dengan bercerai saya boleh bergaul seperti dahulu. Saya tidak dapat melupakan keseronokan zaman anak dara dulu. Suami tidak mahu pergi ke pub.
Adakah ini hasutan syaitan? Adakah saya berdosa terhadap suami? Bagaimana saya boleh menghilangkan ingatan lama. Saya tidak berupaya menanggung beban ini. Saya rasa seperti gila memikirkan perkara yang sama setiap hari. Tolong. Saya malu dan tidak tahu kepada siapa hendak luahkan perasaan ini.
JAWAPANNYA:
Puan sekarang berumur 32 tahun. Sekarang menjadi begitu sensitif, menyebabkan selalu memukul anak dan mengabaikan keperluan suami. Ini berlaku kerana puan ingatkan peristiwa-peristiwa lepas, yang begitu menyeronokkan, banyak kenalan VIP dan VVIP, mendapat pemberian hadiah memenuhi bilik.
Keadaan menjadi berubah apabila berkahwin dengan lelaki seperti ustaz yang begitu baik hati, membimbing sembahyang. Tetapi apabila melihat kawan-kawan berkahwin dengan kenamaan, puan berasa sedih, menyesal kerana mendapat seorang suami yang baik hati seperti yang dijelaskan. Jiwa puan terus-menerus memberontak. Menyesal berkahwin. Walaupun demikian, dalam keadaan menyesal, puan mendapat empat orang anak. Mungkin rasa memberontak itu hanya di dalam.
Allah s.w.t., menjadikan manusia itu sering rasa resah gelisah. Apabila berhadapan dengan masalah, biarpun sedikit, ia akan rasa resah gelisah dan apabila mendapat kesenangan, mendapat pangkat, naik gaji dan sebagainya, mereka sering menjadi angkuh, pelokek biarpun mempunyai banyak harta dan wang.
Selain daripada itu, Allah menjadikan manusia itu bersifat tamak. Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa sekiranya anak Adam itu mempunyai dua lembah emas, mereka mahukan tiga, begitulah seterusnya. Mereka mahukan sebanyak boleh. Sifat tamak atau naluri haloba manusia itu tidak berkesudahan kecuali apabila nyawa berpisah dari jasad.
Semuanya itu berlaku di hadapan mata kita. Terdapat manusia yang diberi amanah untuk memelihara kepentingan orang Islam, menggelapkan wang, tanpa segan silu atau rasa belas. Di antara mereka diberi amanah untuk menjaga wang, dari sebuah bank ke satu institusi lain, melarikan wang tersebut dengan pelbagai cara dan helah. Terdapat orang ternama melibatkan diri dengan judi berjuta-juta ringgit, tanpa memikiri natijah buruk daripadanya. Buruk kepada diri, keluarga, masyarakat, rakyat dan negara di mata dunia.
Walaupun demikian, pemikiran mereka tidak berupaya membezakan antara perbuatan yang baik dengan perbuatan jahat, padahal mereka terdiri daripada orang yang telah dewasa, lebih daripada setengah abad, tetapi tetap melakukan kemungkaran yang melibatkan wang berjuta-juta, padahal keperluan fizikal mereka, untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya tidak memerlukan wang berjuta-juta ringgit. Hal demikian akan terus-menerus berlaku kerana manusia itu mempunyai sifat tamak haloba.
Allah menjelaskan bahawa nafsu manusia itu lebih berkecenderungan melakukan kejahatan daripada kecenderungan melakukan kebaikan.
Dalam masa yang sama kita juga perlu sedar, bahawa iblis dan syaitan, sama ada syaitan yang tidak nampak, yang dimurkai oleh Allah akibat keengganannya menyembah Adam ketika berada di syurga, juga iblis dan syaitan yang nampak, atau lebih jelas manusia yang berperangai iblis dan syaitan itu sentiasa menyemarakkan sifat jahat manusia, iaitu tabiat tamak, resah gelisah yang wujud pada diri setiap orang.
Walaupun demikian, sekiranya seseorang itu berupaya melakukan sembahyang lima waktu, terus-menerus, sembahyangnya sempurna, sah dan diterima oleh Allah maka sifat-sifat buruk semula jadi manusia itu akan berkurangan, membolehkan seseorang itu berupaya mengimbangi antara kejahatan dan kebaikan.
Sembahyang adalah neraca memperlihatkan iman seseorang. Rasulullah menjelaskan bahawa amalan yang mula-mula sekali ditanya Allah di akhirat kelak ialah amalan sembahyang. Sekiranya sembahyang seseorang itu diterima Allah, maka amalan-amalan lain akan diterima Allah. Sekiranya ditolak, maka amalan- amalan lain akan ditolak oleh Allah.
Di antara perkara yang tidak berpenghujung atau tidak berkesudahan ialah angan-angan nafsu, biarpun jasad seseorang itu telah tua. Satu perkara lain yang perlu diingat dan diingati ialah bahawa iblis dan syaitan itu sentiasa menipu, menggesa dan menguliti manusia agar mereka melakukan kejahatan dan kemungkaran. Menyebabkan manusia menganggap amalan jahat itu baik dan sebaliknya menganggap amalan baik atau situasi baik itu jahat tidak memberi manfaat menyebabkan seseorang itu tidak berupaya menggunakan akalnya untuk berfikir stabil.
Inilah yang berlaku kepada puan. Puan merasakan bahawa berpoya-poya, berseronok-seronok di kelab-kelab malam sambil menyanyi, karaoke, minum-minum dan berpeluk-pelukan sesuatu yang menyeronokkan. Memang kalau ditinjau dari segi kemahuan manusia, perbuatan tersebut terlalu menyeronokkan, apatah lagi dapat bergaul dengan VIP juga VVIP. Setelah itu dihantar balik, sambil membimbit atau memeluk bunga juga hadiah-hadiah untuk menambah koleksi di bilik.
Selain manusia itu mempunyai nafsu, apa yang berlaku memang menyeronokkan, apatah lagi ianya dikipas oleh iblis dan syaitan untuk terus-menerus berbuat demikian. Itulah yang dinamakan hidup di alam fantasi, menyebabkan seseorang itu hanyut, tanpa berupaya memikiri masa depannya, demi keperluan diri sendiri, anak-anak, keluarga dan negara.
Puan perlu ingat bahawa dalam dunia ini tidak ada yang percuma. Apakah puan merasakan bahawa seorang lelaki itu sudi memberi sekuntum bunga ros, jambangan bunga orkid, atau meskipun setangkai bunga tahi ayam sekiranya ia tidak mempunyai hasrat tertentu di sebalik pemberiannya. Hanya lelaki yang tidak waras atau tidak perasan apa yang dilakukan akan memberi cincin, jam atau lain-lain kepada perempuan sekiranya ia tidak memerlukan sesuatu daripada perempuan berkenaan.
Lelaki yang memberi hadiah kepada puan ialah kerana mereka menghayati kecantikan puan ketika itu. Apabila ia melibatkan kecantikan terbukti bahawa apa yang dilakukan itu lahir dari naluri nafsu. Daripada seorang lelaki atau ramai lelaki termasuk VIP atau VVIP, atau orang biasa terhadap puan. Hal demikian itulah yang menyebabkan puan hidup di awang-awangan, berangan-angan terus-menerus biarpun setelah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.
Rasulullah melarang seseorang memelihara kambing di tepi sumur, ditakuti kambing itu akan tercebur masuk dalam sumur berkenaan.
Puan sepatutnya bersyukur kerana mendapat suami yang penyabar, bertimbang rasa dan berupaya membimbing puan ke jalan benar. Suami puan tidak mengungkit-ungkit latar belakang puan.
Suami puan berupaya mengajak puan sembahyang. pada kebiasaannya, masalah keluarga sering timbul daripada suami yang tidak sembahyang. Apabila diperingatkan oleh isterinya agar sembahyang, macam-macam alasan dan dalih keluar darinya. Apabila keadaan menjadi genting si suami memperingatkan isterinya agar menjaga kubur masing-masing.
Keadaan menjadi sebaliknya pada puan. Suami mengajak puan sembahyang, memacu ke jalan lurus, tetapi akibat nostalgia zaman remaja, puan gagal menghargai anugerah yang wujud pada suami. Puan masih ingat pelbagai kenangan manis waktu silam, ketika muda hasil rangsangan iblis dan syaitan. Puan lihat betapa menyelewengnya puan daripada jalan yang benar. Puan sewajarnya taat dan memohon ampun kepada suami.
Di tangan puan ada berlian. Namun lantaran tidak mengenali atau menilainya, puan berasa gila menggenggamnya. Puan pernah meminta cerai dan berkeyakinan dengan bercerai boleh enjoy terlepas bebas, terbang di awan, sekejap ke utara sekejap ke selatan seperti digambarkan dalam filem-filem Hindustan.
Yakinlah bahawa cerita dalam filem, hero tidak pernah mati dan tidak pernah kalah. Menontonnya di petang atau tengah malam menyebabkan umur separuh abad, bertukar menjadi belasan tahun. Semuanya cantik-cantik. Berpegangan tangan di taman-taman bunga dan jadi begitu mengghairahkan, padahal kalau puan pergi meninjau di mana filem itu dibuat, puan akan mendapati sukar mencari seorang gadis cantik yang begitu menggiurkan, kempis perutnya biarpun setelah berselisih dengan 100 orang di jalan raya atau bersama berasak-asak dalam gerabak kereta api.
Puan perlu bersyukur kerana suami tidak mahu ke pub, tempat di mana banyak manusia jatuh menjunam, meneguk arak yang diselangi dengan hilai manusia hasil daripada minum keras atau pil khayal. Keseronokan dunia itu tidak ubahnya seperti orang yang memasukkan jarinya dalam air laut. Air yang ada di jari itulah nikmat dunia, padahal nikmat akhirat itu lebih daripada isi laut, di mana luasnya melebihi tanah daratan.
Menghilangkan ingatan lama begitu mudah. Kehidupan yang pernah puan lalui tidak ubah seumpama bermain di tepian sumur, yang boleh tercebur dalamnya pada bila-bila masa. Puan kini hidup bahagia, sayangnya puan tidak berupaya menghargai atau menilainya.
- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin
Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab
Luar, 43000 Kajang, Selangor.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment