Friday, December 4, 2009

AL-QURAN memberi pelbagai petunjuk termasuk mengenai akhlak terhadap sesama manusia. Ia bukan sekadar larangan melakukan perkara besar seperti membunu

MASYARAKAT bukan Islam ketika zaman Khalifah Ar-Rashidin telah diberi kebebasan untuk mengguna pakai undang-undang mereka. Mereka tidak dikenakan zakat tetapi diwajibkan membayar cukai atau jizyah sebagai jaminan keselamatan dan perlindungan daripada ancaman luar.

Masyarakat bukan Islam diberikan layanan baik dan tidak dipinggirkan daripada menikmati kekayaan negara.

Khalifah Umar diberitakan pernah mengarahkan pegawainya memberi bantuan kebajikan kepada seorang pengemis Yahudi yang telah tua dan uzur. Alasan beliau, tidak akan wujud keadilan jika kerajaan mengutip jizyah tetapi tidak membantu masyarakat bukan Islam.

Peristiwa ini menunjukkan pelaksanaan keadilan tidak membezakan agama dan ras kaum.

Undang-undang dilaksanakan dengan saksama tanpa mengira perbezaan kaum, kecuali dalam perkara-perkara kepercayaan dan amalan keagamaan.

Dalam ibadat, masyarakat bukan Islam bebas beribadat mengikut cara mereka. Perkara itu termaktub dalam Surah al-Kafirun ayat 1-6 yang menegaskan wujudkan kepelbagaian agama dan larangan mencampuradukkan amalan-amalan agama lain ke dalam Islam.

Dalam konteks Malaysia, kebebasan beragama diamalkan mengikut lunas-lunas yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Walaupun Islam adalah agama rasmi, agama lain boleh diamalkan tanpa sekatan. Pendekatan ini selaras dengan kehendak dan semangat agama Islam itu sendiri iaitu "tiada paksaan dalam agama".

Kepelbagaian agama dan kaum merupakan hakikat yang dijadikan oleh Tuhan supaya manusia boleh bekerjasama dan saling mengenali. Ia bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat ke 49. Semangat kerjasama secara kolektif tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan demi kebaikan antara manusia sangat dituntut dalam ajaran Islam.

Nabi Muhammad SAW menerangkan hal ini dalam perumpamaan yang amat dalam maknanya. Katanya, hidup ini ibarat sebuah kapal yang keselamatannya bergantung kepada setiap kelasi. Tiada seorangpun boleh membuat "lubang pada dinding kapal" atas nama kebebasan kerana perbuatan itu boleh mengancam keselamatan semua orang.

Setiap individu bertanggungjawab untuk bersikap adil bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain. Agama Islam menyuruh kita senantiasa berusaha menegakkan keadilan kerana sikap adil itu adalah ketakwaan kepada Ilahi sebagaimana firmanNya dalam Surah an-Nisa ayat 135 dan al-Maidah ayat 8.

Agama Islam mengajar umatnya supaya berlaku adil terhadap jiwanya dengan mengimbangi antara hak diri, hak Tuhannya dan juga hak orang lain. Rasulullah SAW bersabda kepada Abdullah Ibn 'Amr r.a. apabila Abdullah mengaibkan hak dirinya dengan terus-menerus berpuasa pada siang hari dan qiamullail pada malam hari. Sabda Baginda: "Puasalah tetapi berbukalah (pada masa-masa yang sesuai) dan berdirilah dalam sembahyang dan ibadah di waktu malam tetapi jangan sampai tidak tidur - kerana sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi matamu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamumu ada haknya." (Hadis ini disepakati antara al-Bukhari dan Muslim).

Allah SWT telah memerintahkan kepada kita agar berlaku adil sekalipun terhadap musuh. Inilah keindahan Islam yang mementingkan perpaduan dalam kepelbagaian kaum.

Selain itu, Islam juga mengharamkan sekeras-kerasnya unsur kezaliman. Semakin lemah kedudukan seseorang itu, semakin besarlah dosa orang yang menzaliminya.

Antara bentuk keadilan yang paling jelas yang ditegaskan oleh Islam ialah apa yang kita kenali di zaman moden ini sebagai "keadilan sosial".

Ia bererti keadilan dalam membahagikan kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada anak bangsa, memberi kepada pekerja hasil titik peluh mereka tanpa diselewengkan, mendekatkan jurang antara individu dan kumpulan manusia dengan membataskan kerakusan orang-orang kaya serta berusaha untuk mengangkat martabat orang miskin.

Sejak merdeka, kerajaan telah menggubal pelbagai dasar untuk mencapai tahap keadilan sosial yang maksimum agar setiap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup aman dan harmoni. Pendekatan evolusi dalam usaha memantapkan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran dan pengurusan negara senantiasa diteruskan.

Pendekatan ini tidak menjejaskan kestabilan masyarakat. Perkongsian kuasa secara syura memang menjadi nadi dalam kerajaan Islam. Ia seperti yang ditunjukkan oleh Rasullullah SAW di zaman kerajaan Madinah. Ketika itu, kehadiran Yahudi turut diambil kira dan cara ini telah membolehkan kerajaan ditadbir dengan cara lebih selesa.

Dalam konteks kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia, masyarakat bukan Islam juga diberi perhatian. Malah setiap tindaktanduk kita hendaklah tidak menimbulkan rasa tidak selesa hingga menjejaskan ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat.

Keupayaan pelbagai kaum untuk duduk semeja dalam merancang pembangunan negara adalah satu perkongsian kuasa yang bijak dan memberi manfaat dan faedah kepada pembangunan negara.

Ketenteraman ini penting bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan yang serius untuk melaksanakan gagasan 1Malaysia yang bermatlamatkan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".

Pengiktirafan yang diterima oleh Malaysia daripada masyarakat antarabangsa khasnya negara-negara Islam adalah amat jelas memperlihat kejayaan negara sebagai sebuah negara Islam yang berjaya melaksanakan dan mengendalikan keperluan umat dan penganut agama lain secara adil.
Kita telah mendahului negara Islam lain dalam memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup merangkumi pelbagai aspek hidup. Demi memastikan pencapaian ini terus berkekalan, setiap lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kerajaan yang dipilih betul-betul faham dan serius mendukung pengiktirafan ini.

PENULIS ialah Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Doa untuk kebaikan dimakbulkan Allah

AL-QURAN memberi pelbagai petunjuk termasuk mengenai akhlak terhadap sesama manusia. Ia bukan sekadar larangan melakukan perkara besar seperti membunuh tetapi turut merangkumi perlakuan seperti memaki-hamun, menyakiti hati orang lain. Mendoakan kemusnahan orang lain juga dilarang oleh agama.
Minggu lalu, umat Islam negara ini dikejutkan dengan telatah seorang yang berpengetahuan luas dalam agama tetapi menyalahgunakan hakikat doa untuk "membalas dendam".
Dengan menggunakan agama dan tuntutan politik peribadi, ada yang sanggup menghancurkan orang lain sama ada melalui kata-kata dan tindakan. Perkara ini amat malang sekali jika diikuti oleh umat Islam lain.
Doa ditujukan kepada seorang pemimpin tertinggi negara kerana tidak meluluskan pemberian wang royalti, sebaliknya menyalurkannya kepada rakyat melalui projek-projek pembangunan.
Seharusnya tokoh agama yang mendapat sanjungan dan penghormatan masyarakat tidak menggunakan kedudukan itu untuk mendoakan kemusnahan orang lain.
Sebagaimana yang diamalkan dalam fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah iaitu tidak ada doa bala melainkan memohon supaya mendapat hidayah, atau terbuka pintu hati untuk melakukan kebajikan atau keadilan.
Demikian juga dengan doa para nabi yang berunsur kelembutan dan rendah diri serta untuk kebaikan umat mereka.
Sebagai contoh doa Nabi Musa a.s ketika baginda ditetapkan sebagai Nabi dan Rasul bagi menghadapi Firaun: Tuhanku! Lapangkanlah dadaku dan permudahkan urusanku dan lepaskanlah kekakuan daripada lidahku agar mereka memahami ucapanku. (Surah Taha ayat 25-28).
Seharusnya jika emosi marah sekalipun melingkari setiap tindakan dan minda, sebaik-baik doa yang perlu dilakukan ialah "memohon petunjuk Allah SWT agar dibukakan pintu hati" dan dilembutkan setiap kata-kata semoga keputusan sebelumnya akan berubah dan menyenangkan.
Rasulullah SAW sentiasa berdoa agar lisannya digunakan dalam hal-hal yang baik. Imam Ahmad ibnu Hanbal walaupun pernah dipenjara oleh penguasa (pemerintah) kerana ketegasannya pernah berkata: "Seandainya kita mempunyai doa yang kita ketahui makbul, nescaya kita gunakan mendoakan kepada ketua negara."
"Agama adalah akhlak yang baik dan agama itu ialah engkau tidak boleh marah" (maksud Hadis).
Demikian juga kita tidak dibenarkan mendoakan kemusnahan ke atas orang kafir atau musyrik. Nabi sesungguhnya tidak pernah memohon kebinasaan bagi sesuatu kaum kecuali terhadap mereka yang memerangi umat Islam secara fizikal. Salah satu doa Baginda ialah: Wahai Tuhan berikanlah petunjuk kepada kaumku kerana mereka tidak mengetahui.
Dan Nabi Muhammad SAW sendiri dibangkitkan bukan untuk mengutuk (maksud Hadis). Betapa Rasulullah SAW telah memberikan teladan akhlak mendahului hal-hal yang bersifat ritual.
Bahkan, seorang ahli ibadah tidak ada nilainya di depan Ilahi ketika akhlaknya buruk sebagaimana diriwayatkan tentang orang yang memuji seorang ahli ibadah dan berkata: "Tentulah si polan itu ahli syurga, kerana dia sentiasa solat tepat pada waktunya, puasa sunat tidak pernah ditinggalkannya, setiap malam Jumaat membaca al-Quran dan bangun tengah malam untuk beribadat." Kemudian Rasulullah SAW menjawab: Tidak! Dia ahli neraka! Seluruh ibadahnya hancur, kerana dia mempunyai akhlak yang buruk, suka merosakkan orang dengan lidahnya.
Si polan yang ahli ibadah tersebut, menjadi penghuni neraka kerana ibadatnya tidak menjadi motivasi untuk berakhlak yang baik. Nilai ibadat ritualnya hancur, tidak bererti bagaikan api yang membakar kayu.
Bila akhlak ahli ibadah itu buruk, apalah ertinya bentuk ibadah ritual bila tidak menjadi motivasi untuk menunjukkan cahaya akhlaknya kepada masyarakat.
Berhubung soal akhlak ini Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Akhlak yang buruk itu merosakkan amal kebajikan seperti cuka merosakkan madu dan seperti api yang membakar kayu bakar. (Riwayat Ibnu Majah).
Sebaliknya, Rasulullah SAW memuji seorang yang memiliki keluhuran budi pekerti, seperti diriwayatkan oleh Ath-Tabrani dari Anas r.a yang menyampaikan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya seorang hamba akan mencapai kedudukan dan darjat yang paling tinggi di akhirat kerana akhlaknya yang baik, walaupun ia lemah dalam ibadah.
Keberkesanan dakwah Rasullullah SAW kerana sentiasa memperkatakan sesuatu secara yang baik, perkataan yang berkesan, jelas dan bermakna, mulia, lemah-lembut, agung serta bersih dan baik-baik. Bukan mendoakan kemusnahan orang lain.

PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan,
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Islam dan perubahan iklim

FENOMENA perubahan iklim kini menjadi antara isu utama masyarakat antarabangsa. Bagaimanapun ia kelihatan kurang diberi perhatian oleh pemimpin agama Islam di negara ini.
Tidak banyak wacana bagi membicarakan mengenai kepentingan isu perubahan iklim atau pemanasan bumi ini daripada perspektif Islam.
Apa yang berlaku seolah-olah tiada kesedaran di kalangan pemuka agama mengenai isu perubahan iklim dan kepentingan sidangnya di Copenhagen pada awal bulan ini. Namun tindakan secara praktikal dan teknikal yang diguna bagi menyelamatkan alam sekitar dengan bantuan sains dan teknologi ternyata bukan merupakan penyelesaian yang paling tepat.
Apa yang diperlukan adalah perubahan sikap, tingkah laku dan gaya hidup yang bukan hanya tertumpu kepada seseorang individu tetapi harus menjadi semacam budaya masyarakat secara luas.
Dengan lain perkataan diperlukan perubahan dalam pemahaman tentang alam semesta yang dapat membawa suatu perubahan kepada tingkah laku manusia.
Agama menjadi salah satu faktor yang dapat mengubah perilaku manusia dalam bersikap dan memberikan penghargaan terhadap alam sekitar.
Islam sebenarnya mempunyai pandangan dan konsep yang sangat jelas tentang pemuliharaan dan keselamatan alam sekitar. Islam merupakan agama yang memandang alam sekitar sebagai bahagian yang tidak terpisah daripada keimanan.
Dengan kata lain, perilaku manusia terhadap alam sekitarnya merupakan manifestasi dari keimanan dan ketakwaan mereka.
Konsep Islam tentang alam sekitar ini ternyata sebahagiannya telah digunakan dan menjadi prinsip etika yang dikembangkan oleh para ilmuwannya.
Prinsip prinsip pengelolaan dan etika alam sekitar yang terdapat dalam ajaran Islam ternyata telah banyak pula yang dituangkan dalam beberapa pasal dalam Kesepakatan dan Persidangan dunia yang berkaitan dengan pengurusan alam sekitar.
Akan tetapi konsep dan ajaran Islam yang sangat jelas ini tampaknya masih belum banyak difahami apalagi dijadikan pedoman dalam bersikap dan berperilaku terhadap alam sekitar oleh sebahagian besar umat Islam yang jumlahnya tidak kurang dari sepertiga penduduk dunia.
Hal ini ditandai daripada kerosakan alam sekitar yang terjadi baik pada tahap nasional mahupun global. Ini ternyata sebahagian besar terjadi di kawasan yang majoritinya adalah penduduk Islam.
Tetapi mengapakah para ulama agak dingin dengan isu perubahan iklim? Adakah wujudnya dikotomi dalam pemahaman di mana isu perubahan iklim dipandang sebagai suatu aspek keduniaan dan bukan sebagai wilayah agama?
Pemahaman dikotomi seperti ini cukup dominan di kalangan umat Islam dan berpengaruh luas dalam ilmu pengetahuan dan kehidupan sosial keagamaan.
Dalam espistemologi ilmu, sebahagian cerdik pandai Islam masih membezakan secara dikotomi antara ilmu agama dengan ilmu sekular.
Malah karya imam mazhab dan kitab-kitab syarahannya (penjelasannya) yang ditulis oleh para murid mereka tidak ada yang membahaskan masalah alam sekitar secara khusus dalam kitab mereka.
Ini mungkin kerana masalah alam sekitar tidak dianggap sebagai sebahagian daripada ritual ibadah. Ini juga kerana pada kurun waktu ulama fikah hidup masalah alam sekitar tidak berlaku sehingga perbahasannya tidak diperlukan.
Adakah mungkin wujudnya salah faham dalam ajaran agama, serta cara pendekatan yang dipilih oleh penganut Islam di negara ini khususnya dan umat Islam pada umumnya.
Ini juga yang menyebabkan perkara ini tidak dibincangkan secara terbuka. Adakah mungkin ia tidak merupakan topik hangat walaupun perubahan iklim akan membawa kehangatan kepada bumi?
Setahu penulis jarang ada syarahan, soal jawab agama mahupun khutbah Jumaat yang membicarakan isu perubahan iklim. Adakah tiada kesedaran di kalangan para ustaz, ustazah dan pemuka agama yang lain terhadap isu atau mereka tiada kepakaran untuk membicarakan isu ini untuk dikaitkan dengan Islam.
Di manakah badan-badan Islam seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berwajib agama berhubung dengan isu perubahan iklim ini?
Ramai yang sudah mengetahui keburukan fenomena perubahan iklim yang boleh mengakibatkan bumi menjadi tidak seimbang serta mengakibatkan bencana besar di muka bumi adalah akibat perilaku manusia.
Oleh itu bagi menguruskan bumi supaya menjadi sihat diperlukan perubahan kepada perilaku manusia dalam mengelola, mengurus dan melindungi bumi daripada kerosakan.
Arne Naess (1993) salah seorang pendukung ekosentrisme dan deep ecology pernah menyatakan bahwa krisis alam sekitar yang terjadi dewasa ini hanya dapat diatasi dengan merubah secara fundamental dan radikal cara pandang dan perilaku manusia terhadap alam sekitarnya.
Pendidikan Islam, baik formal mahupun tidak formal seperti di madrasah dan masjid, dapat menjadi landasan yang sangat baik untuk memberikan kesedaran serta tindakan terhadap perubahan iklim. Tentu sahaja para aktivis masjid, madrasah, dan ustaz perlu diberikan latihan dan pengkaderan untuk memahami soal perubahan iklim serta jenis tindakan yang dapat dilakukan.
Islam telah mengajar bahawa manusia adalah khalifah di muka bumi yang diberi amanah untuk merawat, memelihara dan memulihara bumi.
Di dalam al-Quran disebutkan bahwa tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohon tunduk kepada-Nya dan Allah meninggikan langit dan Dia meletakkannya secara seimbang (55: 4-7) dan Dia menciptakan sesuatu menurut ukuran (54:49). Oleh kerana itu, manusia (yang beriman) diperintahkan selalu memohon doa dengan rendah hati dan rasa takut dan tidak membuat kerosakan di bumi (7:55-56).
Usaha praktikal dalam keselamatan alam sekitar dengan memanfaatkan kemajuan sains dan teknologi rupanya tidak cukup untuk mengendalikan kerosakan alam sekitar yang dilakukan oleh manusia. Permasalahan alam sekitar ternyata bukan hanya masalah teknikal atau ekologi semata, akan tetapi juga menyangkut persoalan teologi.
Permasalahan yang menyangkut alam sekitar adalah sangat kompleks serta pelbagai dimensi. Oleh itu nilai agama (addin) bagi memandu manusia ke jalan yang benar digunakan sebagai landasan berpijak dalam upaya menyelamatkan alam sekitar.
PENULIS adalah Pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia

Wednesday, August 12, 2009

Banteras fenomena hina Islam, hapus duri dalam daging

APA yang tidak kena dengan Islam di negara ini hingga mencetuskan kritikan hingga sampai ke tahap menghina?

Adakah penganut Islam di negara ini menindas kaum dan agama lain? Atau ada paksaan ke atas kaum dan agama untuk menerima Islam?

Rasanya tidak. Sejak Islam mula bertapak di kepulauan Melayu ia tidak pernah dipaksakan ke atas sesiapa.

Di zaman penjajahan Inggeris, ketika Inggeris membawa masuk berbondong kaum lain dari negara asal mereka, Islam tidak pernah dipaksakan ke atas mereka.

Malah sejak dari dahulu mereka tidak pernah dihalang atau dilarang daripada mengamalkan apa juga agama, budaya dan adat resam yang dianuti.

Perkara itu berterusan hingga negara mencapai kemerdekaan dengan Islam menjadi agama rasmi Persekutuan.

Atas semangat kerjasama, toleransi dan saling hormat menghormati orang Islam menerima kehadiran bukan Islam sebagai bukan sahaja sebahagian daripada rakyat negara ini, tetapi juga sebagai jiran dan rakan.

Apabila ada penganut agama lain memeluk Islam semuanya dilakukan atas sifat sukarela dan kerana tertarik dengan ajaran agama ini. Langsung tidak ada paksaan.

Namun apabila ada pihak bukan Islam yang mula memberikan komen dan pandangan terhadap Islam, yang kebanyakannya lebih bersifat mengkritik dan menghentam maka sudah tentu ada timbul rasa kurang senang.

Walaupun setakat ini momentum tindakbalas yang diberikan terhadap komen-komen yang ada antaranya sampai ke tahap menghina itu masih rendah tetapi jika tidak dikawal ia boleh menjadi serius.

Setakat ini kritikan dan komen-komen biadap itu ada masih belum disahut dijawab. Tetapi ia tidak penganut Islam di negara ini tidak kisah.

Sebab itu kerajaan perlu bertindak segera menyekat individu tertentu daripada terus meniup angin kebencian terhadap orang Islam di negara ini.

Golongan yang sudah kehabisan idea dan menjadikan serangan terhadap Islam sebagai usaha mendapatkan sokongan politik tidak boleh dibiarkan membiak di negara ini.

Perlu diingat bahawa Malaysia dibina atas asas toleransi dan hormat menghormati antara agama dan kaum.

Itu merupakan resipi kepada kejayaan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini. Tidak ada kaum dan keturunan yang tertinggal.

Oleh itu jika kerajaan lambat bertindak, dibimbangi keamanan dan kesejahteraan yang dibina selama ini akan lenyap sekelip mata.

Kemungkinan itu boleh berlaku jika golongan berfikiran cetek dan dangkal yang menggunakan agama dan kaum sebagai modal kempen politik dibiarkan berleluasa.

Sebab itu kerajaan perlu menyiasat secara terperinci bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap individu mahupun kumpulan yang menghina Islam.

Golongan ini adalah duri dalam daging dan gunting dalam lipatan kepada keamanan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Mereka tidak boleh dibiarkan berterusan menghina dan menginjak Islam kerana kesannya pasti
Ini bukan soal mempertahankan Melayu dan Islam. Tetapi untuk mempertahankan
kepentingan semua. Jika sesuatu yang buruk berlaku sudah pasti kesan akan dirasai semua tidak kira sama mereka Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam.

Sebab itu pihak berkuasa perlu bertindak menyiasat dan mengesan golongan menghina Islam ini demi kepentingan rakyat negara ini secara keseluruhannya.

Di manakah suara ulama?

KETIKA kedudukan Islam dan syariatnya di negara ini diasak dan dikritik secara terbuka oleh bukan Islam, ramai tertanya-tanya kenapa tidak ada suara ulama yang tampil memberi penjelasan dan mempertahankannya.
Ketika ini segala yang berkaitan dengan Islam dilihat serba tidak kena. Hampir setiap hari ada sahaja laporan dan tulisan mengenai komen-komen pemimpin bukan Islam terhadap hal atau isu yang berkaitan dengan agama Islam.
Itu belum diambil kira kandungan dalam blog yang secara terbuka dan terang-terangan menghentam Islam. Tidak mungkin mereka yang bergelar atau menggelar diri sebagai ulama tidak sedar tentang perkara ini.
Tidak mungkin mereka tidak sedar mengenai tindakan Exco Selangor, Ronnie Liu yang bertindak memulangkan arak yang dirampas. Diikuti pula dengan kenyataan bahawa bir bukannya arak.
Sedangkan dalam Islam, apa juga minuman yang mengandungi alkohol walau setitik dan memabukkan adalah haram.
Lagi pula arak yang dirampas itu dijual di kawasan yang majoriti penduduknya berketurunan Melayu dan beragama Islam.
Namun tidak ada ulama yang tampil memberi penjelasan berkenaan isu itu apatah lagi mempertahankan tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Yang tampil ke depan mengkritik dan meminta tindakan dikenakan terhadap Liu hanya beberapa kerat sahaja termasuk Exco Selangor dari Pas, Datuk Dr. Hassan Ali. Itupun beliau tidak mendapat sokongan jitu daripada rakan-rakannya dalam Pas sendiri.
Belum selesai isu arak di Selangor, timbul pula kenyataan oleh seorang lagi wakil rakyat DAP berhubung dengan Islam.
Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi mengkritik pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) dengan mengaitkannya sebagai ekstremis.
Kenyataan itu dibuat semata-mata kerana Ooi tidak berpuas hati dengan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd. Razali Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga ahli JIM.
Sama ada semua perbuatan dan kenyataan itu disengajakan atau dirancang bagi menguji kesabaran umat Islam di negara ini tidak siapa yang tahu.
Beberapa hari lalu muncul pula kenyataan dalam blog Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook yang mengkritik pendakwah Islam, umat Islam dan Islam.
Biar pun ia ditujukan kepada pendakwah Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, namun komen-komen yang dibuat oleh pembaca blog itu jelas cukup keterlaluan dan menghina Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Di sebalik segala serangan itu, golongan ulama dan tokoh agama di negara ini kelihatan hanya bersikap berdiam diri. Tidak ada kenyataan-kenyataan balas daripada mereka berhubung isu-isu yang dibangkitkan itu terutama berkaitan dengan arak di Selangor.
Ini bukan bermaksud mereka perlu tampil bersemuka atau bergaduh tetapi cukup sekadar memberi penjelasan atau mengeluarkan amaran supaya bukan Islam tidak sewenangwenangnya bercakap atau mencabar kedudukan Islam.
Teguran atau pandangan daripada golongan ulama sudah tentu dapat memberi sedikit tekanan kepada kumpulan yang dilihat sudah melebihi batas itu.
Mungkin golongan ulama di negara ini berdiam diri kerana berpegang kepada prinsip "sabar itu separuh daripada iman".
Atau mungkin ada juga yang melihat ia hanya sebagai serangan kepada kerajaan atau pemimpin Barisan Nasional (BN) dan bukan kepada Islam secara langsung.
Satu lagi kemungkinan ialah mereka tidak sedar atau tidak tahu akan kenyataan-kenyataan nista dan menghina Islam itu.
Sepatutnya inilah ketikanya untuk golongan itu ke depan menghadapi dan membetulkan tuduhan-tuduhan berniat jahat yang dilemparkan kepada Islam dan umat Islam di negara ini.
Sikap berdiam diri mereka seolah-olah menggambarkan apa segala tuduhan, tindakan dan kenyataan golongan bukan Islam itu betul dan umat Islam di negara ini berada di pihak yang salah.
Apakah usaha memartabatkan Islam seperti yang dilakukan di Selangor dan yang diperjuangkan oleh JIM itu salah?
Mereka bertindak daripada segi aspek Islam dan melibatkan penduduk yang beragama Islam sahaja.
Jadi campur tangan oleh pemimpin bukan Islam melalui kenyataan-kenyataan yang tidak sewajarnya tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.
Tetapi apa yang dikesalkan, hanya seorang dua tokoh dan ulama sahaja yang berani tampil untuk bersuara mempertahankan Islam dalam isu ini.
Bayangkan jika isu yang dibangkitkan oleh Liu, Ooi dan Siew Fook itu berlaku di negara Islam lain. Sudah tentu para ulama secara berani akan bersemuka dengan mereka sekurang-kurangnya untuk membetulkan persepsi negatif terhadap Islam yang dilemparkan oleh golongan itu.
Tetapi ulama di negara ini lebih suka mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Ini bukan bermakna mereka diminta berkonfrantasi, tetapi berilah sedikit pandangan untuk mempertahankan Islam.
Lagi pula apabila ulama bersuara, ia tentu menimbulkan 'kegerunan' kepada pihak-pihak yang cuba memperkecil-kecilkan dan menghina kesucian Islam.
Atau sekurang-kurangnya apabila mereka bersuara, ia akan lebih memberi pemahaman kepada rakan-rakan bukan Islam.
Ini kerana apa yang berlaku mungkin disebabkan kedangkalan pengetahuan segelintir individu tertentu terhadap Islam walaupun setiap hari kehidupan mereka dikelilingi masyarakat Melayu dan Islam.
Kita tentu faham jika golongan ulama bersikap membisu sekiranya apa yang ditimbulkan lebih bersifat serangan politik. Tetapi apabila ia membabitkan akidah umat Islam seperti arak dan serangan ke atas pendakwah, tentu suara-suara daripada mereka yang arif dan golongan yang digelar pemimpin agama penting.
Suara ulama dalam masyarakat Islam sememangnya penting, lebih-lebih dalam keadaan dan ketika akidah dan syariat dicabar.
Jika perbezaan politik yang menjadi penghalang, sepatutnya ia diketepikan seketika. Ini bukan soal kena keluar ke jalan raya untuk berdemonstrasi atau berkonfrantasi. Tetapi cukup dengan menerang dan menjelaskan mengenai akidah serta syariat Islam kepada para pengkritik dan penghinanya.
Terangkan kepada mereka bagaimana Islam melarang sebarang bentuk kejian dan penghinaan terhadap agama lain. Sebaliknya ia mementingkan soal toleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira batas kaum dan agama.
Adakah apabila golongan ulama hanya berdiam diri bermakna mereka menganggap kenyataan-kenyataan menghina, mengherdik dan mencaci Islam itu tidak serius?
Atau ia tidak memerlukan campur tangan golongan ulama dan pemimpin agama? Atau takut untuk mengguris hati orang bukan Islam?

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia