Wednesday, December 12, 2007

82. Konsep riba

DARIPADA Sa‘id bin Zaid daripada Nabi (s.a.w.) sabdanya: Riba yang paling besar ialah usaha untuk menjatuhkan kehormatan saudara Islam yang lain tanpa sebarang sebab yang dibenarkan (Abu Daud).

Pengertian:-

Dalam hadis ini, Rasulullah memberi amaran bahawa riba yang paling keji ialah menjatuhkan kehormatan saudara Islam tanpa ada sebarang yang dibenarkan agama. Riba adalah merupakan perbuatan jahat yang amat dikutuk Allah s.w.t. dan Rasul-Nya. Maka amalan menjatuhkan air muka dan kehormatan saudara Islam juga amat dikutuk sama seperti amalan riba yang paling keji dan biasanya tidak disedari kesalahan tersebut. Amalan yang sama dosa seperti memakan harta orang lain dengan tidak sebenar juga adalah sama dengan perbuatan dan amalan riba malah lebih besar lagi dosa dan kesan buruknya kepada masyarakat.

Kesimpulannya:-

Kejahatan yang boleh melahirkan perpecahan, huru- hara, dan penindasan di kalangan umat Islam sama ada yang berkaitan harta benda atau yang menyentuh kehormatan saudara Islam yang lain, dosa dan hukumnya adalah sama sahaja.
-----------------------------------------------------------------------------------

Kebaikan dan kejahatan

Daripada Abu Hurairata (r.a.) katanya: Rasulullah bersabda : Aku ceritakan kamu mereka yang baik dari yang jahat dari kalangan kamu. Sebaik-baik kamu ialah mereka yang dapat diharapkan kebaikannya dan diamani dari kejahatannya dan sejahat-jahat kamu ialah mereka yang tidak dapat diharapkan kebaikannya dan tidak dapat diamankan dari kejahatannya (Tarmizi dan Ahmad).

Huraiannya:-

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. mengingatkan bahawa orang-orang baik itu ialah mereka yang memang dapat diharap kebaikannya dan sekali-kali tidak melakukan kejahatan terhadap orang lain. Begitulah sebaliknya orang yang jahat itu ialah mereka yang sentiasa ditakuti kejahatannya dan jauh sekali dapat diharapkan kebaikan daripadanya. Kerana yang baik itu akan datang daripada mereka yang baik begitulah juga sebaliknya kerana mereka yang baik itu tidak akan melakukan kejahatan kepada orang lain melainkan orang jahat juga, demikianlah sebaliknya.

Kesimpulannya:-

Besahabatlah dengan mereka yang baik-baik kerana orang yang baik itu akan melakukan hanya yang baik sahaja demikianlah sebaliknya. Orang yang jahat sahaja yang dapat melakukan kejahatan terhadap orang lain.

No comments: