Sunday, December 16, 2007

100. Pelihara adab rakyat terhadap penguasa

ISLAM, dengan penuh hikmah dan berhemah mengatur bagaimana seharusnya hubungan antara rakyat dengan penguasa atau pemerintah dapat berlangsung dalam suasana yang harmoni.

Islam memuliakan penguasa memandangkan beban tanggungjawab dan tugas yang dipikulnya. Justeru itu, tidak boleh bagi sesiapa pun meremehkan penguasa atau sewenang-wenang pula menghina serta mencelanya.

Bagaimanapun, amat menyedihkan kita kerana ajaran yang mulia ini sudah mula dilupakan oleh sebahagian umat Islam. Sesungguhnya dalam hal ini Rasulullah s.a.w. amat keras melarang sikap suka merendah-rendahkan penguasa. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Para penguasa adalah naungan Allah di muka bumi. Barangsiapa yang memuliakan penguasa, Allah akan memuliakannya. Barangsiapa yang menghina penguasa, Allah akan menghina akan dia. (Hadis Riwayat Baihaqi).

Iman Ibnu Abi Ashim dalam kitabnya As- Sunnah, daripada Muawiyah bin Abi Sufyan, dia berkata: Ketika Abu Zar keluar menuju Robadzah, dia bertemu dengan sekelompok penduduk dari Iraq. Mereka berkata: “Wahai Abu Zar, kami sudah tahu apa yang dilakukan penguasa terhadapmu. Duduklah dan tancapkanlah bendera pemberontakan, maka orang-orang akan datang kepadamu.” Abu Zar menjawab: “Tenang… tenang, wahai saudara seislam. Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: Akan ada sepeninggalanku iaitu para penguasa. Hormatilah mereka. Barangsiapa yang mencari kejahatannya, sesungguhnya dia telah meruntuhkan dinding Islam. Tidak akan diterima taubatnya hingga dia mengembalikan dinding yang dirosakkan itu sebagaimana sediakala.

Semoga Allah s.w.t. merahmati Sahlbin Abdullahat Tustari yang berkata, “Manusia sentiasa berada dalam kebaikan selagi mereka menghormati penguasa dan ulama. Apabila mereka mengagungkan kedua-dua golongan ini, Allah akan memperbaiki dunia dan akhirat mereka, dan apabila mereka merendahkannya bererti mereka telah menghancurkan dunia dan akhirat mereka sendiri.” (Tafsir al-Qurtubi 5/260).

Ziyad pula pernah menceritakan, “Semasa aku bersama Abu Bakrah duduk di bawah mimbar, ketika Ibnu Amir yang sedang berkhutbah dan berpakaian nipis, salah seorang daripada jemaah berkata: “Lihatlah pemimpin kita, dia berpakaian orang fasik.” lalu Abu Bakrah berkata: “Diam sajalah! Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menghina penguasa, di muka bumi ini, Allah akan menghinakannya.

Mencela

Larangan tersebut bukan sahaja dari segi mencela atau menghina mereka, malahan dalam perkara yang dapat mengawal kerosakan yang boleh mengancam kestabilan dan keamanan. Sesuatu kerosakan itu bermula daripada celaan kecil dan berakhir dengan kekacauan dan pemberontakan.

“Amar makruf dan nahi mungkar”; meskipun isinya adalah asas agama tetapi perlu dimulakan dengan dakwah (menyeru dan mengajak) kepada kebaikan sebagai persediaan tapak permulaan untuk menanam benih-benih semaian amal kebaikan, dan bukan terus memulakan dengan larangan dan suruhan sesuka hati. Oleh hal yang demikian itu, dalam ayat lain, Allah mengingatkan bahawa dakwah yang hendak dilakukan oleh setiap Muslim itu mestilah berbentuk hikmah (menarik dan mempesonakan).

Allah berfirman yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan (penuh hikmah) dan dengan pengajaran yang elok dan berbincanglah dengan mereka dengan perbincangan yang lebih baik dan elok (an-Nahl: 125).

Apa yang amat dikesali, ada orang di kalangan kita yang mengaku Islam tetapi tidak mengikut atau mentaati peraturan ini, malahan membiarkan diri mereka diseret dalam pelbagai perlakuan yang tidak sewajarnya seperti tunjuk perasaan jalanan yang ingin menunjukkan kekuatan. Islam membenarkan sesiapa sahaja membangkang tetapi tidak diizinkan menjadi pemberontak atau peruntuh keharmonian masyarakat. Tunjuk perasaan adalah budaya asing yang terkeluar daripada landasan moral, agama dan akan membawa kita ke lembah kebinasaan dan kehancuran. Mereka menghasut rakyat memberontak atas nama demokrasi dan amar makruf nahi mungkar. Lupakah kita peristiwa pembunuhan Sayidina Othman bin Affan oleh kaum pemberontak? Adakah terfikir oleh kita bahawa ada orang sanggup membunuh khalifah yang seumpama ini? Lahirnya gerakan memfitnah ini hanya disebabkan perselisihan faham dan merebut pengaruh sesama umat Islam. Tokoh Yahudi Abdullah bin Sabak yang mempelopori gerakan atas nama Islam dan di atas nama Islam jugalah sebilangan umat dipengaruhinya membunuh Othman.

Islam amat menitikberatkan cara dan pendekatan ‘amar makruf dan nahi mungkar’. Segala-galanya perlu dengan penuh hemah dan beradab sopan. Mengenai adab dengan pemerintah atau penguasa, antara lain Rasulullah mengingatkan kita bagaimana caranya untuk melarang, menasihati, dan menegur mereka. Ia harus dilakukan dengan sopan, halus, dan penuh hikmah. Nabi Musa dan Nabi Harun diperintahkan menghadapi Firaun yang zalim itu dengan penuh hikmah dan lemah lembut.

Islam tidak menyukai seseorang itu melakukan kekerasan, kerana orang yang melakukan kekerasan itu sering mengalami kegagalan. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t menganugerahkan dengan kelemah-lembutan apa yang tidak dianugerahkan-Nya melalui kekerasan dan kesulitan, bahkan apa yang tidak dianugerahkan dengan cara yang lain (riwayat Muslim). Cara-

cara yang berbentuk kekerasan dan sebagainya semata-mata untuk menonjolkan seorang dua peminpin Islam dengan menggantikan pemimpin Islam yang sudah ada tidak mungkin berhasil. Kita bimbang dalam keadaan yang ada ini sudah tentu golongan lain akan mengambil kesempatan.

Kejahatan

Imam al-Barbahari berkata: “Apabila engkau melihat orang yang mendoakan kejahatan bagi penguasa maka ketahuilah bahawa dia seorang pengikut hawa nafsu. Apabila engkau melihat orang yang mendoakan kebaikan bagi penguasa, maka dia adalah pengikut sunah.”

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Usamah bin Zaid pernah ditanya: “Tidakkah engkau menemui Uthman untuk menasihatinya?” Beliau menjawab: “Apakah kamu fikir saya tidak menasihatinya kecuali harus memberitahu kamu? Sesungguhnya aku telah menasihatnya dengan bertemu empat mata dan tidak ingin membuka rahsia tersebut.” (Bukhari 6/330, al-Fath13/48, Muslim 4/2290). “Apa yang dapat difahamkan bahawa Usamah tidak mahu membuka pintu pengingkaran kepada pemerintah secara terang-terangan kerana takut atau bimbang akan akibatnya yang lebih berbahaya lagi.” (Fathul Bari 13/52 )

Oleh hal demikian, sudah sewajarnya kita mengutamakan cara yang selamat, awasi daripada kekasaran dan keterbukaan untuk menasihati penguasa. Jangan terpedaya dengan tindakan yang tidak dibenarkan oleh agama mahupun moral di sisi masyarakat sekalipun mungkin niatnya baik dan ikhlas. Ini kerana cara tersebut menyimpang daripada jalan Ahli Sunah yang menganjurkan kita agar sentiasa bersabar dan bertenang apabila mendapati ada sesuatu yang tidak disenangi daripada pemerintah. Ini sejajar dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: Sesiapa yang terlihat sesuatu yang dibencinya daripada pemerintah, maka hendaklah dia bersabar kerana sesiapa yang meninggalkan jemaah barang sejengkal, maka dia mati dalam keadaan jahiliah. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kata para ulama, ketaatan kepada pemerintah adalah di antara fardu atau tunjang di dalam kehidupan dan wajib dilaksanakan sekalipun mereka berlaku zalim kerana kezaliman itu akan kembali kepada diri pelakunya dan orang lain tidak akan menanggung kesalahan orang lain. Jadi, biarlah mereka sendiri yang menanggungnya.

Memberontak itu hukumnya haram. Oleh yang demikian, berdoalah untuk kebaikan semua terutama pemerintah. Sabda Rasulullah bermaksud: Sebaik-baik pemimpin itu adalah yang kamu menyayanginya dan mereka juga menyayangi kamu, kamu mendoakan untuk kebaikan mereka dan mereka mendoakan untuk kamu dan sejahat-jahat penguasa adalah yang kamu membencinya dan mereka membencimu, kamu mencacinya dan mereka pun mencaci kamu.

Kata ulama lagi, “Tidak halal bagi seseorang yang beriman itu untuk memberontak menentang pemerintah sekalipun mereka itu zalim. Tidak pernah wujud dalam agama dan sunah mengenai apa yang dinamakan memberontak kepada pemerintah kerana hal tersebut akan mendatangkan bahaya yang lebih besar, sedangkan agama menganjurkan umatnya supaya memilih jalan yang lebih selamat dan menjauhi daripada bahaya semaksimum mungkin

Oleh IBNU HATIM, UM 16/12/07

No comments: