Mukmin sebenar
DARIPADA Fadhalah bin ubaid ( r.a.) katanya: Adakah aku ceritakan kepada kamu tentang orang mukmin yang sebenar-benar? Orang mukmin itu ialah mereka yang boleh dipercayai orang ramai terhadap harta dan diri mereka (Riwayat Ahmad).
Pengertian:
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa orang mukmin yang sebenar itu ialah orang yang boleh diberi kepercayaan untuk mengurus dan mengawal harta dan diri mereka semua. Bila orang ramai sudah menaruh harapan dan kepercayaan terhadap seseorang pada harta dan diri mereka, dia dianggap orang yang benar-benar beriman. Ini kerana orang yang beriman itu tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan harta benda atau boleh mencabul kehormatan diri orang lain. Dia akan menjaga kewajipan tersebut seperti harta dan diri sendiri.
Kesimpulan:
Mereka yang boleh dipercayai terhadap dua perkara ini adalah orang mukmin: harta benda orang lain, tubuh badan atau kehormatannya
PEJUANG YANG BELOT
DARIPADA Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah akan membantu agama ini dengan orang-orang yang jahat.
Pengertian:
Dalam hadis ini, Rasulullah memperingatkan bahawa setiap orang yang berjuang membela agama Allah di atas muka bumi ini bukan semua orang yang baik-baik dan berakhlak mulia. Malahan ada dikalangan pejuang tersebut orang yang berakhlak buruk dan rendah budi pekertinya malah ada yang berniat jahat dan mempunyai bermacam kepentingan peribadi yang tidak selaras dengan agama.
Kesimpulan:
Periksalah diri sendiri di samping ghairah memperjuang Islam. Jangan berani mendakwa sebagai pembela dan pejuang tetapi tidak ikhlas dalam perjuangan.
WASIAT YANG BERGUNA
DARIPADA Ibni Abbas katanya: Pada suatu hari saya berada di belakang Nabi (s.a.w). Maka sabdanya: Hai budak! Aku mahu ajar kamu beberapa kalimah: Awasilah Allah, Dia pasti akan memeliharamu. Peliharalah Allah pasti Dia berada di sampingmu. Bila engkau minta, maka mintalah Allah, bila mahu pertolongan, minta tolonglah daripada Allah. Ketahuilah sekiranya umat manusia bekerjasama menolongmu, mereka tidak dapat menolong melainkan apa yang ditulis Allah dan sekiranya mereka bekerjasama untuk menyakitimu, mereka tidak dapat berbuat apa-apa selain dari apa yang telah disuratkan Allah. Pena sudah diangkat dan buku sudah ditutup. (Tarmizi)
Pengertian:
Nabi kita meninggalkan beberapa pesanan yang baik, iaitu menjaga dan menjunjung suruhan Allah semoga Allah memeliharanya. Mereka yang mematuhi perintah Allah dan sentiasa bergantung teguh dengan-Nya, Allah akan berada di pihaknya. Manusia tidak mampu melakukan sesuatu terhadapnya selain apa yang ditetapkan dan diluluskan-Nya dari azali. Mereka tidak akan dapat menentang qadak dan takdir Allah, segala-galanya sudah tercatat dari azali lagi.
Kesimpulan:
Hendaklah mendidik anak- anak dengan akidah dan pengajaran agama dan asuhan yang baik. Tanamkan dalam jiwa mereka benih keimanan dan rasa kesedaran sejak kecil lagi.
HANYA AMALAN BAKTI
Daripada Anas (r.a) dari Rasulullah sabdanya: tiga perkara sahaja yang akan mengiringi setiap jenazah, ahli keluarganya, harta kekayaannya dan amal baktinya tetapi dua yang mengikut tadi akan pulang meningalkannya yang tinggal bersama menemaninya hanyalah amalannya sahaja (Syaikhan).
Pengertiannya:-
Rasulullah s.a.w. mengingatkan bahawa perkara yang menjadi kesukaan seseorang dalam kehidupan hanya akan mengiringinya hingga ke pintu kubur sahaja. Kemudian akan kembali dan bergembira seperti biasa atau menjadi hak orang lain. Tidak ada yang sanggup tinggal bersamanya selain amalannya Kalau ia amal bakti yang baik akan dapat menjadi kawan setia dan kalau sebaliknya akan bertukar menjadi musuh atau seteru yang menyeksanya.
Kesimpulannya:-
Kaum keluarga dan harta kekayaan, walau bagaimana sayang sekalipun kita terhadapnya, akhirnya akan ditinggalkan juga dan akan menjadi milik orang lain. Tidak ada yang kekal abadi dapat bersamanya selain amal baktinya sahaja.
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment