“WEII.. apalah korang ni.. Aku dah tunggu korang lama ‘giler’..Nenek aku pun lagi laju daripada korang lah. Ingat mak bapak korang bayar aku untuk tunggu korang ke?"
Pak Abu menggeleng kepala mendengar perbualan sekumpulan remaja yang menunggu bersama-samanya di perhentian bas. Bahasa yang mereka gunakan begitu kasar dan tidak mencerminkan budaya orang Timur, apatah lagi orang Islam.
Pak Abu sendiri berasa tidak selesa mendengar perkataan yang kurang baik, apatah lagi untuk menuturkannya. Pak Abu kadang kala menjadi bingung mendengar istilah-istilah baru, terutama dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) dan emel yang digunakan remaja yang tidak pernah didengarinya selama ini.
Barangkali remaja sendiri kadangkala tidak meneliti bahasa yang mereka gunakan dalam percakapan seharian. Barangkali remaja bertutur sedemikian rupa dengan sengaja bagi menggambarkan identiti atau penampilan diri remaja. Namun remaja harus sedar bahawa keperibadian diri mereka tergambar melalui cara bagaimana mereka berkomunikasi dengan orang lain.
Yang Indah Itu Bahasa
Bersopan santun dalam berbicara di kalangan remaja merupakan aspek yang menarik untuk dikaji dari pelbagai perspektif. Kesantunan bahasa ialah tatacara atau peraturan yang wujud dalam berbahasa dan dapat dilihat dalam interaksi antara dua atau lebih pihak yang berkomunikasi.
Bahasa bukan setakat alat untuk menyampaikan maklumat semata-mata, tetapi turut berperanan dalam menyampaikan perasaan penuturnya. Melalui bahasa, kita dapat menyembunyikan dan mengungkapkan pemikiran kita.
Dengan bahasa juga konflik boleh tercipta dan berakhir. Maka dengan bahasa yang kita gunakan itu boleh menggambarkan keperibadian kita, siapa kita, asal usul kita, sosiobudaya kita, pendidikan kita dan banyak hal yang berkaitan dengan kita, sama ada ia sesuatu yang baik mahupun sebaliknya.
Islam sentiasa menganjurkan umatnya berlemah lembut dalam berbicara, baik dalam tutur bahasa dan juga nada. Pertuturan yang baik adalah cerminan hati yang bersih, tulus dan tenang. Pertuturan yang baik juga menggambarkan ketinggian akhlak yang dimiliki.
Pengisyaratan Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 11 supaya tidak memperolok-olokkan orang atau kaum yang lain adalah tanda jelas bahawa Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa berlemah lembut dan berhati-hati akan perasaan orang lain.
Mengapa Berkasar Bahasa?
Banyak faktor yang mempengaruhi remaja menggunakan bahasa yang kurang sopan dalam pertuturan seharian. Faktor emosi serta cara didikan keluarga dan persekitaran boleh menimbulkan permulaan kepada perlakuan ini. Seseorang yang sering melafazkan perkataan yang tidak baik, kasar atau mencarut merupakan gambaran situasi jiwanya yang resah, kusut dan memberontak.
Semasa pembesaran remaja, didikan keluarga yang tidak mementingkan penggunaan bahasa yang baik boleh menyumbang kepada permasalahan ini. Ibu bapa yang tidak berlemah lembut dan menggunakan perkataan yang tidak sesuai apabila bercakap dengan anak-anak mereka boleh mendidik anak-anak mereka menjadi begitu.
Kadang kala ibu bapa yang bergaduh di hadapan anak-anak juga cenderung untuk menggunakan bahasa dan nada yang kurang baik dan ini meninggalkan contoh yang tidak baik kepada anak-anak.
Hal ini boleh jadi disengajakan ketika menuturkan kata-kata demikian untuk melepaskan perasaan marah atau kekusutan fikiran, dan besar kemungkinan juga tidak disengajakan kerana sedang alpa atau lalai dibuai perasaan emosi tersebut. Secara tidak langsung, penggunaan bahasa sebegitu hanya menaikkan ego mereka dan menunjukkan percubaan untuk menguasai emosi orang yang dimarahi.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya dan persekitaran juga menyumbang kepada masalah ini. Sesetengah remaja cenderung menggunakan bahasa yang kesat dalam pergaulan seharian. Hal ini amat jelas terutamanya apabila mereka bergaul dengan rakan-rakan sebaya.
Sebagai contoh, perkataan seperti “sial” sering diungkapkan oleh sesetengah remaja kita bagi mengungkapkan rasa tidak puas hati atau memberi kritikan terhadap sesuatu. Namun sebenarnya perkataan sedemikian dan banyak lagi perkataan lain yang berbaur kesat serta mencarut adalah amat tidak manis didengar walaupun diungkapkan antara sesama rakan sebaya.
Persoalannya adakah mereka mengerti akan maksud perkataan yang diungkapkan serta kesannya terhadap perilaku diri dan sensitiviti orang lain? Sungguh pun pertuturan itu hanya berlaku sesama mereka sendiri, adalah tidak mustahil untuk mereka menuturkannya apabila berbicara dengan orang lain.
Penggunaan bahasa kasar di dalam SMS dan blog juga tidak terlepas daripada menjadi punca kepada permasalahan ini. Kadang kala, akibat menjadi mengambil mudah akan hal ini, sensitiviti orang lain tidak dijaga. Selain itu, media juga berperanan besar dalam hal ini. Penggunaan perkataan yang tidak sesuai yang ditonjolkan di dalam drama, filem dan juga lagu-lagu sedikit sebanyak menjadi ikutan remaja masa kini. Akibatnya, remaja terbawa-bawa dalam kehidupan seharian.
Pertuturan seharian kita juga mampu mempengaruhi minda separa sedar kita (subconscious mind) lalu mewujudkan tabiat berfikir yang boleh menjurus ke arah pemikiran positif atau negatif. Hal ini selanjutnya mampu mencorakkan sikap dan emosi kita terhadap perkara yang berlaku di sekeliling.
Maka apabila kita senantiasa bertutur dengan perkataan yang kasar atau negatif, kita sebenarnya secara tidak langsung memprogramkan minda kita ke arah pemikiran negatif. Kesannya, kita bakal membentuk tingkah laku dan emosi yang negatif pula.
Mendidik Remaja Bertutur dengan Sopan
Dalam hal ini, para ibu bapa berperanan untuk membimbing anak-anak mereka dalam membentuk gaya pertuturan yang sopan dan teratur. Ketegasan ibu bapa diperlukan agar anak-anak terbiasa dengan disiplin pertuturan yang terdidik walau di mana mereka berada.
Anak-anak terutamanya pada peringkat umur kanak-kanak sememangnya amat mudah mempelajari ungkapan baru daripada orang di sekeliling mereka. Mereka kemudiannya akan berusaha menggunakan ungkapan tersebut dalam pergaulan seharian, walaupun pada dasarnya mereka tidak memahami apa yang dipertuturkan. Maka ibu bapa perlu menegur dan menegah anak-anak kecil daripada menggunakan perkataan yang kasar atau kesat sejurus perkara tersebut berlaku agar tidak diulangi lagi.
Kesimpulan
Sekecil-kecil amal perbuatan kita bakal dihisab di Padang Mahsyar kelak. Justeru kita seharusnya berhati-hati terhadap apa jua yang kita tuturkan. Sebagai remaja Muslim, kita perlu sentiasa menjaga percakapan kita agar tidak menyakiti perasaan orang lain dan menimbulkan ketegangan. Lemah lembut dan bersopan dalam bertutur kata tidak akan merendahkan harga diri remaja, sebaliknya menambahkan rasa hormat orang lain terhadap kita dan mengeratkan ukhuwah antara sesama insan.
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Thursday, December 20, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment