Hasutan berterusan syaitan punca pelbagai masalah di dunia, jejas perpaduan
JIKA kita tanya manusia tidak kira bangsa dan agamanya siapakah musuh bersama mereka, maka jawapan yang diberikan akan berbeza mengikut latar belakang mereka. Ada yang menjawab musuh mereka ialah si polan, bangsa, etnik, kelompok, agama, negara dan lain-lain. Ada pula menjawab musuh bersama mereka adalah kemiskinan, kebodohan, kedaifan, malas, harta dan pelbagai lagi.
Contoh jawapan di atas ada benarnya tetapi apakah ia suatu jawapan komprehensif yang boleh memberi kesedaran kepada manusia untuk mencari penyelesaian daripada akar umbi? Mereka boleh saja menghapuskan musuh berkenaan tetapi jika masih ada tertanam dalam jiwa mereka sifat tercela seperti lupa diri, tamak, marah, dengki, hasad dan rakus maka musuh lain akan muncul. Ia bermakna sebenarnya sifat permusuhan bukanlah disebabkan oleh kerana si polan, bangsa, etnik, kelompok, agama, negara, benda, kemiskinan, kebodohan dan seterusnya, tetapi ia disebabkan adanya sifat tercela pada diri manusia.
Di sinilah umat manusia mesti sedar siapa diri mereka sebenarnya. Mereka adalah hanya satu kategori makhluk yang dicipta Allah SWT. Ia bererti Allah mengetahui benar apa yang diperlukan oleh yang dicipta. Ini bererti lagi al-Khaliq mengetahui kelemahan al-makhluk. Kemudian ia akan menghasilkan satu natijah di mana si makhluk memerlukan panduan daripada al-Khaliq.
Dalam masalah ini apa yang ditegaskan-Nya dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu, maka perlakukanlah dia sebagai musuh. Bahawasanya dia mengajak golongannya untuk menjadi penghuni neraka Sa'ir." - (Surah Fathir: 6). Jadi, syaitan adalah musuh sebenar umat manusia.
Sifat tercela yang berhasil ditanamkan dalam diri umat manusia oleh musuh mereka iaitu syaitan inilah yang mencipta dan menumbuhsuburkan permusuhan sesama mereka. Mereka selalu dihasut oleh musuh sebenar mereka untuk membuat musuh palsu yang menipu daya mereka. Dengan itu, musuh sebenar mereka berharap bahawa mereka bebas dan terselamat daripada aduan umat manusia pada hari kiamat. Al-Khaliq berfirman maksudnya: "Syaitan itu hendak menimbulkan di antara kamu permusuhan dan berbencian dalam hal minuman keras dan bermain judi, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat, apakah masih kamu tidak mahu berhenti?" - (Surah al-Maidah: 91)
Ayat di atas dengan jelas menyebut bahawa mencipta permusuhan dan berbenci-bencian di antara sesama manusia adalah satu matlamat utama syaitan. Maka yang wajib atas orang yang berakal waras menjaga diri daripada musuh yang menyatakan permusuhannya sejak zaman Nabi Adam AS. Musuh ini menghabiskan usia dan tipu muslihatnya dalam hal merosakkan semua urusan anak Adam. Allah Taala juga memerintah Bani Adam supaya berhati-hati daripada hasutan syaitan seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: "Awas, jangan kamu mengikut langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Sesungguhnya syaitan itu menyuruh kamu berbuat buruk dan keji (zina), dan supaya kamu mengatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu sendiri tiada mengetahui." (Surah al-Baqarah: 168-169)
Jika kita merujuk kitab rujukan manusia sejagat, iaitu al-Quran, kita banyak mendapati ayat yang menjelaskan hakikat syaitan sebagai musuh bersama umat manusia keturunan Adam dan Hawa AS. Dalam satu ayatnya disebutkan maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang menyesatkan lagi terang." (Al-Qashash: 15). Di tempat yang lain pula disebutkan maksudnya: "Bukankah Aku sudah mengingatkan kamu wahai anak Adam, supaya kamu jangan memuja syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu?" (Surah Yasin: 60)
Tipu daya syaitan dalam membinasakan manusia mempunyai pelbagai pendekatan dan semuanya mempunyai matlamat yang sama yakni seperti firman Allah bermaksud: "Syaitan itu mahu menyesatkan mereka sejauh-jauh kesesatan," (Surah al-Nisa': 60). "Syaitan itu sentiasa menjanjikan kamu kemiskinan dan menyuruh kamu melakukan kekejian!," (Surah al-Baqarah: 268) serta "Jangan sampai dia (syaitan) dapat menipu kamu terhadap Allah dengan suatu penipuan." (Surah Luqman: 33)
Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya iblis putus asa gagal menarik manusia untuk menyembahnya, dan dia kini berusaha untuk menimbulkan sikap permusuhan dengki dan fitnah di antara mereka." (Hadis riwayat Bukhari). Sebuah hadis lain yang bermaksud: "Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian dia memanggil pengiringnya, dan yang paling dekat kepadanya ialah yang paling berat fitnah yang dicubainya.
Maka datanglah setiap satu daripada mereka seraya berkata: Aku telah melakukan begini dan begitu. Maka berkata iblis kepadanya: Engkau masih belum lakukan apa-apa pun! Kemudian datang yang lain mengatakan: Aku tidak berpisah dengan orang itu melainkan setelah aku berjaya menceraikan antaranya dengan isterinya. Lalu iblis pun mendekatkan pengiringnya yang ini, dan didudukkannya di sisinya seraya mengatakan kepadanya: Benar, engkau sudah membuat sesuatu! (Hadis riwayat Muslim).
Ibn al-Qayyim mengisahkan: "Apabila Nabi Nuh AS naik ke atas kapalnya, dilihatnya di atas kapal itu seorang tua yang tiada dikenalinya. Lalu Baginda bertanya: Apa yang menyebabkan engkau naik kapal ini? Jawabnya: Aku naik kapal ini untuk memerangkap hati sahabatmu, supaya hati mereka dengan aku, dan tubuh mereka denganmu. Baginda berkata lagi: Turunlah daripada kapal ini, wahai musuh Allah! Maka berkata iblis lagi: Ada lima perkara yang akan aku binasakan manusia dengannya. Aku akan memberitahu tiga daripadanya, dan aku akan simpan yang dua lagi.
Maka ketika Allah Taala mewahyukan kepada Nabi Nuh AS supaya memberitahu iblis yang dia tidak perlu lagi kepada yang tiga itu. Suruhlah dia memberitahumu yang dua saja.
Maka berkata Iblis: Dengan dua perkara itu aku dapat membinasakan manusia, dan kedua-dua itu tidak pernah lari daripada matlamatnya, iaitu dengki dan pergantungan harapan (amal). Dengan dengki aku dilaknati dan dijadikan syaitan yang terkutuk, dan dengan pergantungan harapan Adam dibenarkan duduk di dalam syurga dan menikmati segala kebahagiaannya, manakala aku telah mencapai hajatku daripada Adam dan aku terkeluar dari syurga."
Dalam kisah Nabi Musa AS yang menolong iblis untuk mendapatkan ampunan Allah tetapi kerana sifat kesombongan Iblis maka iblis kekal dilaknati Ilahi diberitakan bahawa Iblis telah memberi Baginda nasihat berikut: "Hai Musa! Aku berhutang budi kepadamu, kerana engkau mensyafaatku kepada Tuhanmu, maka ingatlah aku pada tiga perkara yang berikut ini, aku tidak akan membinasakanmu ketika itu: ingatlah aku ketika engkau lagi marah, kerana aku penuh kuasa dalam hatimu, mataku tepat pada matamu, dan aku mengalir di dalam tubuhmu seperti mengalirnya darah dalam tubuh badan; ingatlah aku ketika sedang pertempuran sengit dalam peperangan, sebab aku datang kepada anak-anak Adam ketika pertempuran yang sangat kuat, lalu aku mengingatkannya anak isterinya dan kaum keluarganya, sehingga akhirnya mereka akan lari dari medan perang; dan awas kamu daripada berdua-duaan dengan wanita yang bukan mahram, kerana aku ketika itu menjadi perangsangnya kepadamu, dan menjadi sekali gus perangsangmu kepadanya.
Jika umat manusia menyedari bahawa syaitan adalah musuh bersama mereka dan dengan itu mereka mengambil langkah sesuai dan wajar mengikuti panduan Ilahi dalam menghadapinya maka sudah tentu ketegangan di antara mereka akan lebih sempit lagi dan mereka boleh kekal menikmati kehidupan yang harmoni.
Antara langkah sesuai dan wajar adalah apa yang disebut dalam ajaran Islam sebagai al-ta'awwuz yakni memohon perlindungan Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk.
Ibn al-Qayyim memberitakan daripada sesetengah kaum salaf, bahawa seorang di antara mereka pernah menanyakan muridnya: Apa yang akan engkau buat, jika syaitan membisik kepadamu untuk melakukan dosa dan maksiat?
Jawab sang murid: Aku akan menentangnya. Tanya sang guru lagi: Jika dia kembali membisikkan lagi? Jawab murid itu: Aku tetap menentangnya juga. Tanya guru itu lagi: Kalau dia kembali lagi? Sang murid tetap menjawab: Aku terus menentangnya.
Guru itu berkata: Cara begini tentulah tidak akan habis dan berpanjangan. Kemudian guru itu membuat perumpamaan kepada muridnya ini, katanya, kalau engkau berlalu di hadapan sekumpulan kambing, lalu berdepan anjing gembala atau menghalangmu daripada melintas, apa yang mesti engkau buat?
Jawab murid: Aku cuba mengelakkannya dan menghalaunya sekuat tenaga.
Maka guru berkata: Cara begini akan mengambil masa yang panjang. Mengapa engkau tidak memohon bantuan tuan punya kambing yang ada di situ, supaya dia yang menghalang anjing itu daripadamu.
Akhir kata, sudah jelas pada kita bahawa syaitan adalah musuh bersama umat manusia yang menginginkan bermerajalelanya permusuhan, ketegangan dan ketidakharmonian.
Bagaimanapun, dengan mengenali musuh bersama manusia itu dan beberapa cara menghadapinya seperti digariskan ajaran Islam maka umat manusia boleh memperkukuh perpaduan, menyebarkan keamanan, menseimbangkan kemakmuran dan menyeluruhkan kesejahteraan di kalangan mereka. A'uzu billahi minassyaitanirrajim.
Monday, December 10, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment