SETIAP jemaah haji dan umrah di Makkah terbiasa dengan air zamzam. Air zamzam sunat diminum selepas selesai mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah. Malah, sepanjang berada di Makkah, setiap tetamu Allah tidak jemu menghirup kesegaran air zamzam.
Airnya jernih dan menyegarkan, apa lagi ketika dahaga dan kepenatan mengerjakan tawaf dan saie.
Air zamzam punya hikmah, keajaiban, sejarah dan kemuliaannya tersendiri. Bagi ahli profesional pengurusan air seperti saya, kewujudan, sumber dan kualiti air zamzam amat menakjubkan.
Tidak ada air setanding air zamzam di bumi ini dari segi sumber dan kualitinya, sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Ibnu Abbas, "sebaik-baik air di muka bumi ialah air zamzam".
Sejarah air zamzam bermula seawal sejarah Makkah, kira-kira 4,000 tahun lalu. Selepas Nabi Ibrahim AS meninggalkan isterinya, Hajar dan anaknya di bumi Makkah yang gersang, Allah memancarkan mata air zamzam dari hentakan kaki Nabi Ismail AS yang masih kecil.
Peristiwa itu berlaku dalam keletihan Hajar berulang-alik dari Safa ke Marwah mencari sumber air. Dalam konteks haji dan umrah, amalan saie seharusnya mengingatkan jemaah kisah Hajar dan Nabi Ismail AS itu.
Selain syiar Islam, amalan saie juga perlu dianggap sebagai sinonim dengan fitrah insaniah yang memerlukan sumber utama kehidupan, iaitu air. Hakikatnya air zamzam adalah anugerah Allah kepada jemaah haji dan umrah supaya menyedari hakikat keinsanan dan proses pembersihan jiwa.
Pada saat air zamzam mula memancar maka bermulalah satu penempatan besar yang akhirnya menjadi pusat umat Islam sepanjang zaman. Jarak telaga zamzam hanya kira-kira 20 meter ke timur Kaabah, tempat paling suci bagi umat Islam.
Sejak dulu, perigi zamzam tetap terpulihara, menyediakan sumber air kepada setiap pengunjung Makkah. Istilah zamzam sendiri bermakna 'berhenti mengalir', iaitu ucapan Hajar ketika cuba membina empangan kecil menakung air zamzam yang melimpah-ruah keluar dari perut bumi.
Perigi zamzam pernah pupus pada zaman Jurhum, tetapi digali semula oleh Abdul Mutalib, nenda Nabi Muhammad SAW. Ketika zaman pemerintahan Abasiyyah di bawah Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur (771 M / 145 H), kubah dibina melindungi telaga zamzam.
Pada 1417M (802H), ketika pemerintahan Mamluk, Masjidil Haram terbakar sehingga turut memusnahkan kubah telaga zamzam. Kerja baik pulih dilakukan sepanjang zaman. Pada era moden, kerja baik pulih dilakukan pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid II pada 1915 (1300H).
Sejak 1956 pam elektrik mula digunakan. Ketika ini, jumlah jemaah hají dan umrah menjangkau jutaan setiap tahun. Oleh itu, struktur baru dibina untuk memudahkan perjalanan ibadat tawaf. Jemaah tidak lagi berpeluang melihat perigi zamzam.
Pemantauan dan operasi telaga zamzam dijalankan oleh Pusat Kajian dan Penyelidikan Zamzam (PKPZ), sebuah agensi di bawah Jabatan Kaji Bumi Saudi. Dari segi hidrogeologi, telaga zamzam termasuk dalam Wadi Ibrahim.
Bahagian atas telaga zamzam adalah aluvium berpasir diperkukuhkan dengan batuan dan konkrit. Antara aluvium dan dasarnya wujud batuan poros yang mengalirkan air. Air zamzam terhasil menerusi air larian kawasan sekitarnya.
PKPZ sudah menjalankan pelbagai kajian untuk menganalisis ciri telaga dan air zamzam. Paras airnya dipantau menggunakan hidrograf berdigital dan sebahagian parameter kualiti air dipantau secara berterusan.
Biasanya paras air 3.23 meter di bawah paras permukaan. Ujian pengepaman pada 8,000 liter sesaat selama 24 jam menunjukkan paras air menurun kepada 12.72 meter. Apabila pam dihentikan, air zamzam kembali naik ke paras 3.9 meter dalam tempoh 11 minit saja. Kajian saintifik juga menunjukkan bahawa telaga zamzam bersambung dengan akuifer dari gunung-ganang sekitar Makkah.
Umat Islam percaya bahawa air zamzam adalah kurnia dan rahmat Allah. Air zamzam menghilangkan dahaga dan kelaparan. Itulah sebabnya jemaah umrah dan haji disunatkan meminum air zamzam sepuasnya.
Dari segi saintifik, air zamzam bersifat alkali. Itu sebabnya air zamzam boleh meneutralkan asid hidroklorik yang terhasil dalam perut dan mengurangkan pedih ulu hati.
Kandungan mineral seperti kalsium, magnesium dan florida juga tinggi. Begitu juga iodin, sulfat dan nitrat. Kandungan makronutrien yang tinggi khususnya magnesium, sodium dan potasium menyebabkan air zamzam bersifat nutritif berbanding sumber air lain.
Itulah hikmah dan kemujaraban air zamzam. Namun, keajaiban paling ketara ialah keupayaan telaga zamzam mengalirkan air tanpa henti, menampung keperluan jiwa dan jasad jutaan jemaah haji dan umrah yang sentiasa dalam kehausan.
Ketulenan dan khasiatnya tidak terjejas biarpun setiap jemaah meminum air zamzam sepuasnya, malah membawa bekalan pulang.
Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah profesor kejuruteraan alam sekitar
di Universiti Teknologi Malaysia, kini berada di Makkah.
Friday, December 28, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment