Wednesday, December 12, 2007

80. Kisah AL-QURAN - Tabut dan Bani Israel

DAN nabi mereka mengatakan kepada mereka, “Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja ialah kembalinya Tabut kepadamu, di dalamnya terdapat ketenangan daripada Tuhanmu dan sisa daripada peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun. Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu jika kamu orang yang beriman. (al-Baqarah: 248)

TABUT sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran adalah satu anugerah Allah kepada Bani Israel. Di dalamnya terdapat sebuah kitab suci. Ia berukuran tiga hasta panjang dan dua hasta lebar. Ia mempunyai berbagai-bagai keistimewaan. Tabut tersebut boleh memberikan ketenangan dan semangat kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Ia mampu mengalahkan pihak lawan dalam peperangan. Sekiranya Tabut itu dibawa ketika berperang, sudah pasti pihak musuh akan berasa gentar dan tewas.

Malangnya, Bani Israel tidak tahu mensyukuri anugerah yang diberikan itu. Mereka mengingkari segala perintah Allah s.w.t.. Mereka banyak memalsukan kitab suci mereka. Mereka juga ingkar dengan ajaran Nabi Samuel. Pada zaman tersebut, Nabi Samuel diutuskan oleh Allah untuk menyeru mereka ke jalan kebenaran. Semasa kecil Nabi Samuel telah dididik dan dibesarkan oleh orang yang alim. Baginda kemudiannya diajar dengan ajaran Nabi Musa dan juga kitab sucinya iaitu Taurat. Setelah dewasa dan menjadi utusan Allah, Nabi Samuel mula berdakwah kepada Bani Israel supaya menyembah Allah tetapi mereka ingkar. Malah, mereka tidak percaya akan kenabian Nabi Samuel. Mereka menuduhnya sebagai pendusta. Bani Israel telah mencabarnya agar menunjukkan bukti kenabiannya. Sebagaimana yang tercatat di dalam al-Quran mereka berkata:

“Utuskanlah seorang raja kepada kami supaya kami boleh berperang di jalan Allah.”

Nabi Samuel menjawab: “Jika diwajibkan bagi kamu berperang, kamu tidak mahu berperang.”

Lalu Allah menarik balik keistimewaan yang diberikan kepada Bani Israel itu. Dia menukarkannya dengan memberi kekuatan dan keberanian kepada orang-orang Palestin. Ketika Palestin berperang dengan Bani Israel, mereka berjaya mengalahkan Bani Israel dengan mudahnya. Bani Israel telah diusir dari Jerusalem. Tabut yang menjadi azimat mereka selama ini telah dirampas.

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

PENGAJARAN

- Allah sangat murka kepada umatnya yang tidak tahu bersyukur.

- Allah Maha Berkuasa untuk menarik balik segala nikmat yang telah diberikan kepada manusia.

PERBENDAHARAAN KATA

alim: mempunyai penegtahuan yang mendalam tentang agama Islam

ingkar: menderhakai

azimat: sesuatu yang dianggap mempunyai sakti

INFORMASI

Tabut ialah kotak warisan Bani Israel yang mengandungi pelbagai penulisan mengenai undang-undang Yahudi peninggalan nabi terdahulu. Antara barangan yang dikatakan terdapat di dalam Tabut tersebut ialah tongkat Nabi Musa dan Harun serta sekeping roti yang masih segar. Menurut sesetengah ulama, saiz ukuran Tabut ialah tiga hasta kali dua hasta. Selain daripada barang-barang di atas, kasut serta serban Nabi Harun turut terdapat di dalam Tabut.

No comments: