SOALAN: Saya berkelulusan universiti, berumur lebih kurang 36 tahun mengajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur. Walaupun saya mengakui tidak pandai membaca al-Quran, kecuali sedikit, begitu juga zikir, tidak sembahyang dan sesekali berpuasa. Ini berlaku kerana saya dididik sedemikian rupa.
Suami mempunyai kilang. Kehidupan kami boleh dikatakan mewah dan suami terlalu memelihara prestij dan selalu cakap meninggi diri. Sama seperti saya, sembahyang boleh dikatakan jarang-jarang dan hanya sesekali berpuasa, itu pun tidak cukup sebulan.
Insaf dengan keadaan sekeliling yang begitu menggerunkan dengan mat rempit, dadah, HIV, pembuangan anak, bunuh, ragut, rogol dan sebagainya, saya menjadi insaf.
Setahun lepas saya mengenali seorang guru yang mengajar di masjid tempat kami tinggal. Saya banyak belajar darinya dan mula mengenali diri sendiri. Hal demikian menyebabkan saya selalu menghubunginya, semata-mata kerana ia seorang guru, walaupun demikian, ini menyebabkan kemarahan suami.
Saya serius. Adakah saya perlu minta cerai membolehkan saya beribadah kepada Allah. Selama ini saya rasa dia langsung tidak membantu saya dalam hal-hal ibadah.
Atau mencari suami yang berilmu agama, membolehkan saya terlepas daripada masalah yang menghantui selama ini. Terima kasih.
– Isteri keliru, KL
JAWAPAN: Setiap insan perlukan kasih sayang ibu, bapa, adik-beradik, kawan dan lain-
lain kenalan. Tanpa kasih, jiwa menjadi kosong, sentiasa mencari-cari untuk mengisi kekosongan. Begitu juga dengan agama, kepercayaan kepada Tuhan yang mengaitkan iman. Selagi manusia tidak mempunyai pegangan agama, amalan agama, seseorang itu akan terus-menerus mencari-cari sehinggalah mereka bertemu, mempunyai kefahaman tentang Tuhan, tempat mereka bersandar, berdasarkan kepada keadaan sekeliling yang mempengaruhi cara mereka berfikir.
Puan seorang yang mempunyai pegangan agama memahami tentang adanya Tuhan, iaitu Allah yang wajib disembah, memahami adanya Kalamullah, tentang al-Quran yang menjadi pegangan hidup setiap orang yang mengaku dirinya Islam.
Walaupun demikian, puan tidak berupaya membaca al-Quran dan mendirikan sembahyang yang wajib dilakukan. Inilah masalah puan yang sebenar. Keadaan tersebut berlaku kerana puan tidak dididik dengan didikan agama semasa kecil. Puan mendapat didikan agama daripada ibu bapa semasa kecil, itu pun dilupakan sejak 15 tahun dulu.
Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa memberi didikan agama kepada anak-anak sama ada mengajar sendiri, menghantar ke sekolah atau kedua-duanya. Bukan mudah bagi ibu bapa mengajar anak-anak mereka tanpa menghantarnya ke sekolah. Didikan di sekolah lebih teratur, mempunyai kurikulum yang difikir terbaik, diuji dan diajar guru.
Dalam keadaan tidak mempunyai latar belakang didikan agama, puan diketemukan jodoh dengan suami yang kaya, tetapi membelakangkan agama. Puan tidak menjelaskan sama ada suami mempunyai latar belakang agama atau sebaliknya.
Bagi orang yang kaya, mewah dan mengabaikan tanggungjawab agama, kekayaan sering menjadi tempat ia bersandar. Kemewahan sebagai sesuatu yang mengasyikkan, merasakan manusia ini boleh dibeli. Ini yang banyak berlaku, menyebabkan mereka mengagung-agungkan kekayaan, menyebabkan manusia seperti ini selalu cakap besar, bongkak, tidak boleh ditegur dan jalan pun mengembang dada dan menghentak bumi.
Puan menyedari hakikat hidup yang sebenar dan insaf mengenangkan nasib puan apabila mati kelak. Keadaan ini berlaku kerana sebab-sebab tertentu, pertama, kerana puan masih mempunyai pemikiran waras, dapat mengimbangi, memikiri antara yang baik dan buruk, menyebabkan lahirnya keinsafan untuk kembali kepada Allah s.w.t.
Keduanya ialah kerana hidayah Allah. Ada akal, tetapi tidak mendapat hidayah, seseorang itu tidak akan kembali menginsafi diri untuk bertaubat atau sebagainya. Selain daripada itu, saya mempercayai adanya faktor luaran menyebabkan puan menginsafi diri. Rasulullah bersabda, menyatakan bahawa kalaulah tidak kerana tiga perkara, manusia itu tidak akan menundukkan kepalanya, iaitu kefakiran, sakit ataupun kematian.
Puan menyatakan yang suami pernah memerli puan kerana kejahilan beragama di hadapan teman-temannya. Satu perbuatan yang tidak wajar kerana ia menjatuhkan maruah seseorang, apatah lagi kepada isteri.
Perbuatannya memerli puan, secara tidak langsung memerli diri sendiri. Kerana suami puan, seperti yang dijelaskan juga tidak melakukan tanggungjawab agama. Dalam masa yang sama, adalah menjadi tanggungjawab suami untuk mengajar isterinya yang tidak tahu hal-hal yang berkaitan dengan agama.
Setelah menyedari hakikat hidup, puan insaf dan ingin kembali kepada Allah dengan taubat yang sebenar. Dalam surat yang puan jelaskan, digambarkan seolah-olah, niat baik puan itu terhalang kerana puan tidak mempunyai asas agama yang kuat.
Konsep ataupun pemahaman seperti ini adalah silap. Tidak perlu menanti selepas belajar agama dengan mendalam, setelah tahu membaca al-Quran, sembahyang dengan sempurna dan sebagainya baru bertaubat. Bertaubat bererti memohon keampunan daripada Allah, tidak mengulangi dosa-dosa yang lalu, juga yang baru dan memisahkan diri daripada gejala-gejala yang boleh menyebabkan seseorang itu terlibat dengan maksiat yang pernah dilakukan.
Niat puan untuk belajar agama dengan lelaki teman suami puan itu memang baik. Iaitu mempelajari agama dengan orang yang dianggap sebagai alim. Walaupun, dalam situasi seperti ini apa yang puan lakukan perlu ada dalam pengetahuan suami, biarpun dia tidak mendirikan sembahyang, tidak puasa Ramadan, suka membesarkan diri, menunjuk-nunjuk dan sebagainya.
Tidak dinafikan yang puan berniat ikhlas, manakala lelaki yang puan kenali itu seorang yang alim, Walaupun tujuan puan itu baik, puan masih tetap seorang isteri yang mesti tunduk kepada tuntutan Ilahi, yang berkaitan dengan suami isteri, puan seorang yang ikhlas tetapi keikhlasan tersebut tidak semestinya wujud pada lelaki yang puan anggap alim.
Mungkin mula-mula ikhlas tetapi akhirnya sifat itu boleh menjadi luluh biarpun ketika berbincang hal-hal yang berkaitan agama. Satu perkara yang tidak mustahil berlaku antara lelaki dengan perempuan.
Untuk menyelesaikan masalah ini, timbul masalah sama ada puan perlu berpisah dengan suami atas alasan untuk mengamalkan perintah Allah sebaik mungkin.
Dalam situasi yang puan hadapi, puan seolah-olah lupa kebaikan suami selama ini, biarpun tidak dinafikan dia tidak melakukan suruhan Allah bersifat membesar diri, menunjuk-nunjuk dan sebagainya.
Kerana kekaburan kebaikannya, puan seolah-olah didorong untuk memohon cerai atas alasan untuk mengamalkan perintah Allah sebaik mungkin.
Saya berkeyakinan bahawa dalam keadaan sekarang, suami puan tidak melarang puan beribadah. Apa yang perlu puan lakukan ialah bagaimana boleh memahami ajaran Islam itu sebaik mungkin, sama ada dengan mengaji guru untuk mengajar di rumah, belajar di masjid, surau atau mana-mana institusi yang menyediakan kemudahan sedemikian rupa.
Untuk mencari jodoh lain, lebih-lebih lagi dengan lelaki yang alim bukan sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu puan fikir. Dalam usia 36 tahun, lelaki yang macam mana yang puan hendak pilih. Kalau bujang yang dicari, bererti dia telah lewat umurnya. Orang biasa, termasuk orang alim, yang menjadi pilihan puan telah kahwin pada umur sekurang-kurangnya 36 tahun.
Kalau orang alim menjadi pilihan itu berumur lebih 36 tahun biasanya telah berkahwin dan mempunyai anak. Tidak mudah mencari lelaki seperti yang dimaksudkan. Kalau lelaki berkenaan mempunyai isteri dan mengahwini puan, bererti puan mesti menyediakan diri berdamai dengan isteri orang alim tadi. Kalau lelaki itu kematian isteri, puan perlu berhadapan dengan anak-anak, mungkin termasuk cucu yang sedia ada.
Jalan terbaik ialah belajar agama dari sumber-sumber yang mudah didapati. Jaga suami baik-baik. Puan lebih tahu bagaimana melayani suami supaya tidak menjadi manusia bongkak kerana kekayaan. Puan tidak perlu berfikir untuk menuntut cerai.
Semoga Allah memberi ketabahan pada diri puan dan berupaya menghadapi hidup dengan penuh keredaan Allah.
- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin, Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.
Monday, December 10, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment