NABI Ismail a.s membaringkan diri di bawah kilauan tajam mata pisau yang tergenggam erat di tangan ayahnya yang berusia lebih 85 tahun. Sebuah kepasrahan yang agung dan pengorbanan suci atas nama kepatuhan terhadap yang Maha Esa.
Sang ayah, Nabi Ibrahim a.s dengan penuh kerelaan akan menyembelih anak tunggalnya yang telah pun memejam mata. Bersedia. PerintahNya sebuah kepatuhan yang mesti dipenuhi.
Namun, bukan bererti Ibrahim tidak menyayangi Ismail. Putera tersebut adalah segala-galanya ketika usia telah terlalu tua untuk memperoleh zuriat.
Bagaimanapun, ketabahan dan pengorbanan tulus dan ikhlas Ibrahim itu cuma merupakan sebuah ujian. Tempat Ismail diganti oleh Allah dengan seekor kambing biri-biri.
Peristiwa tersebut merupakan titik tolak kepada ibadah korban dalam Islam yang terus difahami sebagai proses menyelami makna kepatuhan suci Ibrahim terhadap perintahNya.
Kaum Semit secara jelas mencatatkan peristiwa dan ritual tersebut sebagai pengorbanan Abraham (Ibrahim a.s) yang rela menyembelih anaknya, Isaac atas perintah Tuhan.
Namun, ada versi lain dalam yang termuat dalam kitab Taurat yang turut diterima oleh penganut Kristian dan tercatat dalam Perjanjian Lama. Justeru yang dikorbankan bukan Ismail a.s sebaliknya Nabi Ishak a.s, seorang lagi putera Ibrahim.
Islam pula menerima pendapat bahawa anak Ibrahim a.s yang dikorbankan ialah Ismail walaupun tidak ada ayat al-Quran yang menyebut nama Ismail secara jelas dalam ritual pengorbanan tersebut.
Al-Quran menyebutkan kisah tersebut dalam surah Asy-Syafaat 37:101-112, tanpa menerangkan nama anak Ibrahim a.s yang hampir disembelih tersebut. Kitab suci itu hanya menyebut istilah ‘anak yang berbudi bahasa’.
Sesungguhnya apa yang tersurat dan tersirat daripada makna kurban tersebut? Sedar atau tidak, korban ketika menyambut Aidil Adha meletakkan kita dalam sebuah wacana hermeneutik.
Dalam terminologi fenomenologi, hermeneutik merupakan medium yang menghubungkan antara kesedaran manusia dengan objeknya (teks dan fenomena).
Kesedaran manusia dan proses interpretasi teks hanya dipisahkan oleh segaris cahaya. Terlalu dekat. Setiap penafsiran harus mengandungi kesedaran memahami sejarah untuk menemukan kebenaran teks.
Proses penafsiran juga perlu mempunyai kesedaran untuk memahami objek berdasarkan proses sejarah bagi menemukan makna terdalam dan tujuan teks.
Berdasarkan pandangan hermeneutik, ibadah korban tidak seharusnya difahami sebagai sebuah makna daripada ajaran-ajaran Islam. Ini kerana ritual tersebut lebih didasari oleh tujuan kepuasan psikologis orang yang berkorban (al-Qarib).
Dalam erti kata lain, korban hanya difahami dalam perspektif yang sempit oleh segelintir masyarakat kita. Haiwan sembelihan itu dianggap akan datang di akhirat untuk membawa mereka memasuki syurga.
Dalam erti kata lain, fungsi korban seolah-olah difahami sebagai `menyediakan’ binatang yang akan ditunggang untuk membawa semua pemilik yang menyembelihnya di dunia ke syurga dengan lebih mudah.
Mengikut peraturan yang ditetapkan Islam, binatang yang akan disembelih itu perlu memenuhi syarat, disembelih pada waktu tertentu dan dagingnya harus diagih-agihkan kepada kelompok tertentu pula.
Padahal makna korban dalam konteks Islam cukup luas. Pengertian substantif yang dapat diperoleh daripada pemahaman itu adalah mengorbankan sesuatu yang paling disayangi.
Dalam konteks masyarakat Arab tradisional, kambing dan unta merupakan harta yang sangat berharga dan disayangi. Selepas peristiwa pengorbanan Ibrahim dan Ismail tersebut, penyembelihan haiwan ternakan diteruskan.
Ritual korban kambing biri-biri yang menggantikan Ismail tersebut akhirnya diwarisi di kalangan masyarakat Islam hingga ke hari ini sebagai lambang pengorbanan sesuatu yang sangat berharga.
Ingat, berkorban tidak hanya dengan menyembelih haiwan-haiwan ternakan semata-mata, tetapi juga dengan cara membantu mereka yang menjadi korban sosial-ekonomi-politik.
Ini kerana kalau Dia mengkehendaki pengorbanan tersebut berupa binatang peliharaan (yang cukup syaratnya) — seperti yang dilakukan oleh umat Islam kini, Allah tidak mungkin memerintahkan Ismail untuk dikorbankan dalam mimpi Ibrahim.
Kambing biri-biri yang besar dan sihat tersebut hanya dijadikan sebagai pengganti dan simbol, setelah kesetiaan dan cinta kasih Ibrahim terhadap Tuhannya teruji.
Thursday, December 20, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment