Friday, December 28, 2007

121. Masjid di Madinah penuh sejarah

Selami pahit getir, pengorbanan Rasulullah, sahabat pertahankan Islam

ZIARAH luar kota Madinah, bahagian kedua daripada aktiviti melawat tempat bersejarah di Madinah al-Munawwarah yang hukumnya sunat, membawa jemaah menaiki bas untuk melihat tempat bersejarah terletak di luar kota Madinah.

Tempat yang menjadi persinggahan ialah Majid Quba', Jabal Uhud, Masjid al-Qiblatain dan Masjid al-Sab'ah.

Masjid Quba' terletak di perkampungan Bani 'Amru ibn 'Auf iaitu kira-kira tiga kilometer dari arah selatan kota Madinah. Ia adalah masjid pertama dibina oleh Rasulullah SAW, tatkala Baginda selamat tiba di Madinah pada Isnin, 12 Rabi'ul Awwal bersamaan 20 September 622 Masihi.

Masjid itu dibina atas sebidang tanah yang asalnya adalah tempat pengeringan tamar milik Kulthum ibn Hadam. Ia dinamakan Masjid Quba' bersempena nama sebuah perigi yang berada di tempat berkenaan.

Selepas selesai pembinaannya, Rasulullah SAW mengimamkan solat berjemaah secara terbuka bersama sahabat di kalangan Muhajirin dan Ansar berkiblatkan Baitul Maqdis.

Sesungguhnya pembinaan Masjid Quba' mendapat pujian dan penghormatan khusus daripada Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya,..." (Surah al-Taubah, ayat 108)

Riwayat yang sahih menyatakan, Rasulullah SAW sering kali pada pagi Sabtu atau ada kalanya pada hari Isnin atau Khamis pergi ke Masjid Quba' dan mendirikan solat sunat di dalamnya. Amalan itu diteruskan sahabat seperti Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Amirul Mu'minin Umar ibn Khattab selepas kewafatan Baginda.

Masjid Quba' mempunyai kelebihannya tersendiri. Ia dinyatakan Rasulullah SAW menerusi sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang keluar dari rumahnya sehinggalah sampai di Masjid Quba' dan bersembahyang di dalamnya, baginya ganjaran pahala seperti menunaikan Umrah" (Hadis riwayat al-Nasa'iy dan Ibnu Majah)

Jabal Uhud yang kelihatan berwarna kemerah-merahan adalah bukit terpanjang di Madinah dengan ukuran panjang dari timur ke barat kira-kira enam kilometer. Ia terletak di bahagian utara Madinah iaitu kira-kira lima kilometer dari kota Madinah.

Di situlah berlakunya Ghazwah Uhud (Peperangan Uhud) antara tentera muslimin pimpinan Rasulullah SAW yang berjumlah 700 orang dengan tentera musyrikin pimpinan Abu Sufyan yang berjumlah 3,000 orang pada Syawal tahun ketiga hijrah.

Peperangan itu adalah misi balas dendam kabilah Quraisy atas kekalahan tentera mereka pada Ghazwah Badr al-Kubra yang berlaku pada bulan Ramadan tahun dua hijrah lalu.

Peperangan yang terbahagi kepada dua peringkat pertempuran itu menyaksikan kemenangan tentera muslimin pada pertempuran pertama sehingga memaksa tentera musyrikin berundur ke kawasan perkhemahan mereka.

Kemenangan itu hasil strategi Rasulullah SAW menempatkan 50 orang pemanah diketuai Abdullah ibn Jubair al-Ansary di puncak Jabal al-Rumah. Mereka bertanggungjawab melindungi bahagian belakang tentera muslimin sekali gus menyekat kemaraan tentera berkuda musyrikin pimpinan Khalid ibn Walid dan 'Ikrimah ibn Abu Jahal.

Kemenangan awal itu menyebabkan sebahagian besar tentera muslimin ditempatkan di puncak Jabal al-Rumah turun untuk mengumpulkan harta rampasan perang yang ditinggalkan tentera musyrikin walaupun ditegah Abdullah ibn Jubair al-Ansary.

Situasi itu dilihat Khalid ibn Walid, lalu beliau bersama pasukan berkuda musyirikin mengambil kesempatan menggempur baki tentera muslimin yang berada di Jabal al-Rumah yang jumlahnya tinggal sepuluh orang hingga semuanya gugur syahid.

Pada masa sama, isyarat dihantar kepada tentera musyrikin supaya kembali menyusun barisan tentera seterusnya menggempur tentera muslimin. Maka, berlakulah pertempuran kedua yang menyaksikan tentera muslimin diserang dari pelbagai sudut sehingga mereka terpaksa berundur ke tempat tinggi iaitu di Jabal Uhud.

Pengunduran penuh strategi itu menyebabkan tentera musyrikin hanya mampu menyerang dari arah selatan saja. Keadaan itu mengecewakan tentera musyrikin dan sebagai melepaskan dendam dan kekecewaan, mereka memotong serta merosakkan jasad syuhada sebelum berundur seterusnya pulang ke Makkah.

Jabal Uhud menjadi saksi gugurnya 70 syuhada iaitu 64 al-Ansar dan enam al-Muhajirin, berbanding 22 kematian tentera musyrikin dalam peperangan itu. Antara para sahabat yang gugur syahid ialah Sayyidul Syuhada Hamzah ibn Abdul Muttalib, Abdullah ibn Jahsy al-Asadiy dan Mus'ab ibn 'Umair al-'Abdariy.

Jabal Uhud berserta kesan sejarahnya, mempunyai kelebihan dan keistimewaan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Uhud adalah bukit yang mencintai kami dan kami mencintainya" (Hadis riwayat al-Bukhariy)

Umat Islam juga disunatkan menziarahi makam syuhada Uhud untuk memberi salam dan berdoa kesejahteraan syuhada. Dalam hadis diriwayatkan 'Ubadah ibn al-Somit, beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW sering menziarahi makam syuhada Uhud dan mengucapkan salam dengan ucapan, "Selamat sejahtera buat kamu di atas kesabaran kamu, dan nikmatilah sebaik-baik tempat tinggal (syurga)."

Selain menziarahi makam syuhada Uhud, jemaah boleh menziarahi Jabal al-Rumah dan Masjid Syuhada yang terletak berhampiran makam berkenaan. Lokasi masjid itu tempat gugurnya Saidina Hamzah sebagai salah seorang mujahid yang mati syahid demi mempertahankan agama Islam. Semoga ziarah ke Jabal Uhud melahirkan keinsafan sekali gus meningkatkan keimanan dan ketakwaan jemaah kepada Allah.

Pada zaman Rasulullah SAW, Masjid Al-Qiblatain adalah tempat mengerjakan solat bagi Bani Salamah. Ia terletak di sebelah barat laut Madinah berdekatan Wadi Aqiq dan Universiti Islam Madinah.

Masjid ini diberi nama Masjid al-Qiblatain (Masjid Dua Kiblat) bersempena peristiwa turunnya perintah Allah supaya Rasulullah SAW menjadikan Kaabah sebagai kiblat menggantikan Baitul Maqdis.

Peristiwa itu berlaku pada tahun 2 Hijrah iaitu selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Rasulullah SAW bersama beberapa sahabat pergi ke perkampungan Bani Salamah kerana menerima jemputan jamuan makan tengah hari daripada Ummu Bisyr ibn al-Bara'.

Apabila tiba waktu Zuhur, Rasulullah SAW dan sahabat mengerjakan solat Zuhur di Masjid Bani Salamah berkiblatkan Baitul Maqdis. Ketika berada pada rakaat kedua, turun firman Allah yang bermaksud: "Maka sesungguhnya kami akan memalingkan kamu ke arah kiblat yang kamu sukai, oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram." (Surah Al-Baqarah, ayat 144)

Dengan turunya ayat itu, Rasulullah SAW segera mengubah arah kiblat Baginda dengan berpusing ke belakang (180 darjah) lalu mengadap ke Baitullah iaitu berbetulan dengan al-Mizab (Pancur Emas) dan Baginda terus menyempurnakan solat Baginda.

Jelas di sini bahawa Rasulullah SAW mengerjakan solat Zuhur itu mengadap ke arah dua kiblat iaitu Baitul Maqdis, kemudian mengubah kedudukan Baginda lalu berkiblatkan Baitullah di Makkah.

Masjid Al-Sab'ah (Masjid Tujuh) terletak di kawasan Jabal Sila' (Bukit Sila') iaitu di sebelah barat laut Madinah. Walaupun dikenali dengan nama Masjid Tujuh, namun kini hanya ada sebuah masjid saja di kawasan itu yang dikenali sebagai masjid al-Fath.

Selain Masjid al-Fath, nama yang diberikan kepada masjid yang pernah dibina di situ ialah Masjid Saidina Umar al-Khattab, Masjid Saidina Ali ibn Abi Talib, Masjid Salman al-Farisi, Masjid Saidatina Fatimah al-Zahra'.

Ini berdasarkan kedudukan lokasi perkhemahan tentera muslimin diketuai sahabat berkenaan semasa Ghazwah al-Khandaq atau al-Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal tahun 5 Hijrah. Dalam peristiwa itu, Rasulullah SAW menerima pakai pandangan Salman al-Farisi supaya tentera muslimin menggali khandaq (parit) di sekeliling Madinah bagi mengekang kemaraan tentera al-Ahzab (Tentera Quraisy dan sekutunya) daripada menyerbu masuk ke dalam kota.

Slepas selesai menggali parit dalam masa enam hari, tentera muslimin dibahagikan kepada beberapa pasukan kecil berserta lokasi perkhemahan bagi memudahkan operasi pengawasan yang diketuai sahabat berkenaan. Namun, kedudukan tempat itu tidak semestinya tepat kerana tiada asas sejarah yang kukuh mengenainya.

Menurut sejarah, Masjid al-Fath terletak di atas Jabal Sila' dan berhadapan Wadi Buthan (Wadi Abu Jidah). Ia dinamakan Masjid al-Fath kerana menurut satu riwayat, Rasulullah SAW memaklumkan suatu perkhabaran gembira kepada sahabat yang datang membawa berita perihal Yahudi Bani Qurayzah.

Baginda bersabda yang bermaksud: "Bergembiralah dengan al-Fath (pembukaan kota-kota) dan al-Nasr (kemenangan) daripada Allah."

Selain itu, masjid ini turut dikenali sebagai Masjid al-Ahzab dan al-Masjid al-Ala. Masjid al-Fath mempunyai sejarahnya tersendiri ketika berlakunya Ghazwah al-Khandaq.

Diriwayatkan ketika tentera muslimin berada dalam keadaan tertekan akibat dikepung tentera Ahzab dan ditambah dengan faktor lain seperti kesejukan, kelaparan serta pengkhianatan Yahudi Bani Qurayzah, Rasulullah SAW mengerjakan solat dan berdoa di situ selama tiga hari berturut iaitu pada hari Isnin, Selasa dan Rabu.

Antara yang dipohon Rasulullah SAW ke hadrat Allah ialah: "Ya Allah! Tuhan yang menurunkan kitab dan Tuhan yang menggerakkan awan, kalahkanlah mereka dan berilah pertolongan kepada kami untuk menghancurkan mereka."

Permohonan doa Rasulullah SAW diperkenankan Allah pada hari Rabu. Pada malamnya, dalam keadaan suhu yang amat dingin, Allah menghantar angin kencang yang memusnahkan khemah dan peralatan tentera al-Ahzab.

Keadaan itu memaksa mereka menamatkan kepungan ke atas Madinah dan segera berundur seterusnya pulang ke tempat masing-masing dengan penuh kekecewaan.

Walaupun kini sudah tiada lagi sebarang kesan Khandaq atau parit itu, apa yang penting bagi jemaah yang datang menziarahi ialah menyelami roh jihad dan pahit getir dialami Rasulullah SAW dan sahabat dalam mempertahankan Islam.

Betapa ilmu dan pengalaman, keteguhan iman, usaha bersungguh dan tawakal mampu menjadi senjata ampuh dalam mencapai kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Inilah tempat bersejarah di Madinah dan kawasan sekitarnya yang akan diziarahi jemaah haji atau umrah. Jika berkesempatan masa dan ada pemandu arah, jemaah boleh menziarahi tempat lain seperti Masjid al-Jum'ah yang terletak di Wadi Ranawna kira-kira 500 meter dari Masjid Quba', Masjid al-Ghamamah, Masjid Abu Bakar, Masjid Umar al-Khattab, Masjid Ali ibn Abi Talib, Masjid al-Ijabah dan Masjid al-Sajdah (Masjid Abi Zar) yang kesemuanya terletak berdekatan Masjid Nabawi serta pusat percetakan mashaf al-Quran.

Disediakan oleh Bahagian Bimbingan Lembaga Tabung Haji

No comments: