Tuesday, December 11, 2007

51. Hijrah rangsang kemandirian ekonomi

SABTU depan umat Islam akan menyambut Maal Hijrah 1428. Hijrah merupakan suatu sejarah besar umat Islam yang sarat pengajaran dan hikmah untuk direnungi dan dihayati. Hijrah juga ditakdirkan berlaku dalam bentuk peristiwa yang menggabungkan faktor ketentuan Ilahi dengan ikhtiar manusiawi.

Jika dikehendaki, pasti Allah akan menghijrahkan Rasul-Nya dari Mekah ke Madinah sepantas kilat sebagaimana dititahkan kepada buraq yang menerbangkan Nabi s.a.w. dalam persitiwa Israk dan Mikraj dengan selesa dan selamat.

Sebaliknya, Allah mentakdirkan agar Nabi menempuh jalan yang serba sukar dan perit yang memerlukan perencanaan rapi dan strategi teliti. Daripada strategi membolosi kepungan Quraisy, perisikan berupa pengumpulan maklumat, penyinggahan di Gua Thawr selama tiga hari hinggalah penggunaan khidmat pemandu bukan Islam untuk menunjukkan jalan sulit ke Madinah, semuanya mengisyaratkan pentingnya perencanaan dalam kehidupan.

Perencanaan dan strategi Hijrah tidak hanya terhenti di peringkat mengatur perjalanan ke Madinah sahaja, malah pelbagai usaha yang dilaksanakan Rasulullah setibanya di Madinah turut membuktikan betapa Islam bukan agama yang bergantung kepada takdir semata-mata.

Memang sudah banyak diperkatakan mengenai usaha Nabi membangunkan akidah dan nilai-nilai spirituil umat termasuklah mempersatukan pelbagai kelompok masyarakat di Madinah. Apa yang ingin difokuskan penulis pada penulisan kali ini ialah untuk menyingkap kembali usaha Nabi dalam merangsang kemandirian ekonomi umat Islam di Madinah.

Seperti yang dimaklumi, ekonomi Madinah sebelum Islam amat tidak seimbang dan penuh dengan penindasan. Kaum Yahudi yang merupakan golongan minoriti merupakan kelompok yang menguasai pelbagai sektor ekonomi termasuklah perdagangan, pertanian mahupun sumber air. Malah pasar yang menjadi pusat kegiatan ekonomi hampir keseluruhannya dikuasai golongan Yahudi.

Golongan Yahudi yang kaya sering kali melakukan penindasan terhadap golongan miskin dan lemah. Bahkan Yahudi jugalah yang menguasai telaga yang dikenali sebagai ‘Rumah’ dan mengenakan bayaran yang tinggi terhadap pengguna air di Madinah (Lihat Ibn ‘Asyur, Maqasid As-Syariah).

Namun, peristiwa Hijrah merobah segala-galanya. Kedatangan Rasulullah yang membawa bersamanya risalah Islam sebagai sebuah agama yang amat menitikberatkan keadilan telah melaksanakan pelbagai perubahan besar dalam masyarakat.

Penjanaan

Antara pendekatan awal yang diambil Rasulullah selepas Hijrah ialah melakukan proses pemulihan dan penjanaan kekuatan ekonomi umat Islam. Usaha tersebut dilihat sebagai satu cara untuk memastikan umat Islam sentiasa bersifat mandiri dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Ini termasuklah membina pasar berasingan untuk masyarakat Islam dan menggalakkan umat Islam terlibat aktif dalam sektor pertanian.

Umpamanya, sebagai insentif kepada umat Islam agar bercucuk tanam, Nabi mengisytiharkan pemilikan tanah kepada sesiapa yang mengusahakan tanah mati. Hasilnya ramai yang terlibat dalam sektor pertanian yang menjamin sumber makanan bagi seluruh penduduk Madinah.

Masalah sumber air yang dikuasai Yahudi turut mendapat perhatian Rasulullah. Baginda diriwayatkan bertanya, “Siapakah di kalanganmu yang bersedia membeli telaga air (daripada Yahudi) untuk kegunaan umat supaya tidak ada lagi yang disekat penggunaannya?” Lantas Saidina Uthman al-Affan yang terkenal sebagai seorang hartawan dan dermawan telah membelinya dan mewakafkan untuk kegunaan umat Islam (Sahih Bukhari).

Diberitakan juga bahawa Rasulullah turut mengarahkan para sahabat untuk menggali lebih 50 telaga lain di sekitar Madinah bagi memastikan sumber air mencukupi untuk seluruh masyarakat Madinah.

Demikianlah antara pendekatan yang diambil Rasulullah bagi memastikan keperluan asasi umat terjamin. Ini merupakan suatu usaha afirmatif ekonomi yang besar maknanya bagi mempertahankan kedaulatan umat Islam sekali gus mengurangkan ketergantungan kepada orang lain terutamanya dalam aspek ekonomi seperti penyedian makanan, sumber air dan kemudahan asas yang lain.

Malangnya umat Islam hari ini rata-rata masih kurang menyedari hakikat ini. Kecenderungan segelintir negara Islam untuk mengaut keuntungan cepat dan singkat melalui sektor-sektor ekonomi yang lain seperti perindustrian sering kali mengabaikan tanggungjawab untuk memajukan sektor pertanian yang menjadi sumber utama pemakanan rakyat.

Justeru, amat bertepatan sekali langkah kerajaan Malaysia hari ini yang mulai mengorak langkah untuk kembali memperkasa sektor pertanian negara. Langkah sebegini pastilah secocok dengan semangat Hijrah yang menekankan perubahan ke arah kebaikan. Peristiwa Hijrah jugalah yang memberi pengajaran besar akan makna kemandirian ekonomi yang menjadi penentu kecemerlangan tamadun Islam.

Apa yang pasti selagi umat masih menagih ihsan orang lain untuk mengisi perut mereka selagi itulah mereka akan terdedah kepada pelbagai risiko dan kemudaratan. Selagi umat meletakkan kepercayaan mutlak kepada orang asing untuk menyediakan keperluan asasi selagi itulah mereka akan terjerat dengan pelbagai eksploitasi. Akhirnya aspirasi besar menjana kembali tamadun umat yang gemilang dan terbilang hanya tinggal impian tanpa mampu dijelmakan ke alam realiti.

No comments: