SOALAN:
Biarpun saya telah menunaikan haji dan beberapa kali umrah, tetapi kadang-kadang masih tertinggal sembahyang atau melambat-lambatkan sembahyang. Apakah formula utama untuk mengatasi masalah ini, lebih-lebih lagi ketika usia semakin lanjut dan badan tidak sekuat dahulu.
JAWAPAN:
Untuk mengatasi masalah tertinggal atau meninggalkan sembahyang tidak ada jalan selain daripada menunaikannya apabila tiba waktunya, tanpa melengah-lengahkannya.
Apabila amalan seperti ini menjadi sebahagian daripada budaya hidup seseorang, secara automatik seseorang itu akan sembahyang apabila tiba waktunya. Terasa adanya sesuatu yang tidak sempurna, tidak selesa berjalan, tidak lena tidur selagi ia belum lagi menyempurnakan sembahyangnya.
Masalah utama yang seharusnya saudara fikir ialah bagaimana hendak melahirkan satu rancangan agar seseorang itu berasa bertanggungjawab apabila tiba waktu sembahyang, iaitu hak yang wajib disempurnakan yang berkaitan dengan Allah.
Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Sayyib, ia berkata, bahawa Anas bin Malik dan Ibn Hazm berkata, Rasulullah ada bersabda menyatakan bahawa Allah telah memfardukan kepada umatku lima puluh solat. Lalu aku pulang dengan membawa perintah itu, sampai aku melewati Musa bertanya: Apakah yang difardukan oleh Tuhanmu kepada umatku? Aku menjawab, Tuhan memerintahkan mereka lima puluh solat. Ia berkata kepadaku. Kembalilah kepada Tuhanmu Yang Maha Mulia Lagi Maha Besar, kerana umatmu tidak mampu atas yang demikian itu.
Aku telah kembali kepada Tuhanku, lalu Allah s.w.t. membebaskan separuh daripadanya. Aku kembali kepada Musa dan memberitahunya. Ia berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, kerana umatmu sungguh tidak mampu berbuat demikian.
Aku kembali kepada Tuhanku Yang Maha Mulia lagi Maha Besar. Ia berfirman: Solat itu lima dan itulah lima puluh. Perkataan itu di hadapanku tidak diganti. Aku kembali kepada Musa Ia berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu. Aku menjawab: Aku berasa malu kepada Tuhanku Yang Maha Mulia Lagi Maha Besar. – Hadis ditakhrij oleh An-Nisai.
Keterangan hadis ini, juga banyak hadis lain yang berkaitan memperlihatkan bahawa sembahyang lima waktu, yang telah diwajibkan ke atas umat Muhammad itu adalah sesuatu yang berat. Tidak mudah dilakukan kecuali oleh mereka yang khusyuk, beriman sepenuhnya kepada Allah dan mengetahui rahsia-rahsia sembahyang.
Sembahyang adalah tiang agama. Orang yang meninggalkan sembahyang, bererti ia telah merobohkan agama yang dianuti.
Dalam sebuah hadis daripada Abu Qatadah ia berkata bahawa Rasulullah ada bersabda, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Aku telah memfardukan janji bahawasanya, barangsiapa yang menjaga solat itu pada waktunya, maka aku masukkan dia ke syurga. Barangsiapa yang tidak menjaganya maka tidak ada janjiku padanya.
Sesungguhnya Allah mengutuskan para malaikat untuk mencatat sembahyang yang dilakukan oleh hamba-Nya. Dalam sebuah hadis riwayat daripada Abu Hurairah ia berkata, telah bersabda Rasulullah: Malaikat datang silih berganti, iaitu malaikat malam dan malaikat siang dan mereka berkumpul pada solat subuh juga pada solat asar.
Kemudian naiklah malaikat yang bermalam pada-Mu, lalu Allah bertanya, padahal Allah lebih mengetahui, bagaimana kamu tinggalkan hamba-hamba-Ku? Mereka menjawab: Kami tinggalkan mereka dalam keadaan solat dan kami datang mereka juga sedang solat.
Hadis ini menjelaskan tentang kedatangan malaikat dalam kelompok setelah satu kelompok yang lain pergi menemui Allah. Menurut sebahagian ulama, malaikat yang terlibat di sini ialah Malaikat Hafazah, iaitu malaikat yang menjaga catatan-catatan amalan manusia.
Pertanyaan yang diajukan oleh Allah kepada malaikat berkenaan memperlihatkan keutamaan Bani Adam yang beriman berbanding dengan malaikat sendiri, kerana mereka menjawab dengan puji-pujian terhadap amalan anak Adam. Malaikat menjadi saksi atas amalan baik anak Adam.
Kerana itu kita perlu menjaga sembahyang kita. Di mana amalan kita itu disaksikan oleh malaikat. Membolehkan kita di antara hamba Allah yang dipohonkan keampunan oleh para malaikat kepada Allah, dengan doa yang berikut: Wahai Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu. Maka berilah keampunan kepada orang yang bertaubat dan mengikut jalan-jalan Engkau dan peliharalah mereka daripada seksa neraka yang bernyala-nyala.
Wahai Tuhan kami, masukkanlah dalam syurga yang telah engkau janjikan kepada mereka dan isteri-isteri mereka dan keturunan mereka. Sesungguhnya Engkau Yang Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana.
Peliharalah mereka daripada balasan kejahatan. Dan orang-orang yang engkau pelihara dari balasan kejahatan. Dan orang-orang yang engkau pelihara daripada pembalasan kejahatan pada hari itu. Maka sesungguhnya Engkau telah anugerahkan rahmat kepadanya. Itulah kemenangan yang besar (al-Mu’min: 7-9).
Selain memahami rahsia-rahsia sembahyang, termasuk memahami rahsia khusyuk, saudara juga perlu melakukan sembahyang sunat, sama ada sunat rawatib ataupun sunat-sunat lain. Dari sini akan lahir kenikmatan bersembahyang.
Memang sukar bagi kita hendak mendirikan sembahyang sunat, lebih-lebih lagi kalau sembahyang itu dilakukan bersendirian, kerana itulah sembahyang berjemaah itu amat dituntut.
Kebanyakan orang menganggap sembahyang sunat itu sebagai enteng, kerana tidak memahami rahsia-rahsia sembahyang berkenaan. Selain anggapan bahawa sembahyang sunat itu sebagai tambahan, kaedah pembelajaran agama juga ada kalanya menyumbang kepada pengabaian sembahyang tersebut.
Sunat bererti melakukan sesuatu dapat pahala, meninggalkannya tidak berdosa. Kerana itu sembahyang sunat itu dirasakan kurang perlu berbanding dengan sembahyang fardu. Kalaulah sembahyang fardu itu sering ditinggalkan apatah lagi sembahyang sunat. Tidak berdosa kalau seseorang itu meninggalkannya.
Rasulullah ada bersabda menyatakan bahawa amalan seorang hamba yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat kelak ialah sembahyang. Andainya solat itu didapati sempurna maka ditulis sempurna. Sekiranya ada kekurangan sedikit, maka Allah berfirman: Lihatlah apakah ia mempunyai sembahyang sunat yang akan menyempurnakan sembahyang fardu yang diabaikan. Kemudian seluruh amalannya dihisab.
Selain daripada melakukan sembahyang sunat rawatib, seseorang itu perlu juga melakukan sembahyang sunat duha kerana ia amat penting dalam usaha memperoleh kesempurnaan hidup dan amalan yang dilakukan dalam hari berkenaan.
Dalam sebuah hadis dari Abu Darda dan Abu Dzarr daripada rasulullah dari Allah Yang Maha Mulia Lagi Maha Agung, Allah berfirman: Wahai anak Adam, rukuklah (sembahyanglah) kepada-Ku di awal siang dengan empat rakaat, maka Aku akan mencukupimu di akhir siang.
Jelasnya sembahyang pada awal waktu itu paling penting dalam usaha memastikan seseorang itu tidak meninggalkan sembahyang termasuklah pengetahuan tentang keperluan sembahyang, kedudukan sembahyang berbanding dengan Rukun Islam yang lain.
Sembahyang waktu memperlihatkan kesempurnaan iman seseorang kerana ia merupakan amalan yang mulia sekali dihisab pada hari kiamat kelak. Sekiranya sembahyang seseorang itu diterima, maka amalan-amalan lain juga diterima.
Sembahyang itu seumpama mudah tetapi mempunyai rahsia yang perlu difahami dan dihayati. Ia merupakan salah satu Rukun Islam, kefarduannya terus daripada Allah, membentuk sahsiah manusia unggul, penghapus dosa di antara sembahyang.
Orang yang meninggalkannya dianggap sebagai fasik. Sembahyang yang diterima Allah, mencegah pelakunya daripada melakukan kemungkaran, menghilangkan rasa resah gelisah, menghilangkan sifat tamak dan sembahyang adalah salah satu ibadah memperoleh ketenangan dalam diri
Wednesday, December 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment