Tuesday, December 11, 2007

70. Bicara Agama : Terlupa Qunut

SOALAN:
Apa hukum seseorang yang sembahyang sedangkan dia terlupa qunut atau tasyahud lalu dia turun sujud dan meletak segala anggota sujudnya atau bangun terus berdiri. Adakah dia diwajibkan kembali mendapatkan sunat yang terlupa tadi atau bagaimana?


JAWAPANNYA:
Seseorang yang terlupa melakukan amalan sunat ab‘ad seperti qunut atau tasyahud awal itu, maka sekiranya dia telah melakukan rukun yang lain tidak wajib lagi baginya kembali mengerjakannya (sunat ab‘ad) tersebut, sama ada dia solat berjemaah atau seorang diri. Ini kerana mereka yang telah melakukan perkara wajib (rukun) dalam solatnya seperti sujud atau kiam tidak harus lagi baginya meninggalkan rukun tersebut untuk mengerjakan perkara sunat lagi. Kalau dia kembali juga dengan sengaja dan tahu haram hukumnya maka batallah solatnya sedangkan makmum di belakangnya tidak perlu mengucapkan tasbih malah wajib diikuti imamnya yang terlupa tadi dan mereka semua disunatkan sujud sahwi.

Sekiranya dia kembali naik untuk melakukan qunut atau turun untuk bertasyahud juga dengan sengaja serta tahu hukumnya maka batallah solatnya kerana menambah perbuatan berdiri atau duduk bukan pada tempatnya. Berlainan hukumnya kalau seseorang itu solat berjemaah dan mengikut imam, sedang dia terlupa atau tidak diketahuinya imam masih sujud lalu dia bangun dan melihat imamnya sedang sujud maka hukumnya wajib dia sujud lagi kerana mengikut imamnya. Tidak dikira berbilang sujudnya yang mana perbuatan itu dikira boleh membatalkan solat mereka yang munparid atau solat seorang diri. Ini kerana wajib bagi makmum yang terlupa itu mengikut imamnya kecuali kalau dia sengaja maka hukumnya adalah sunat sahaja. Malah kata ulama mengikut imam itu adalah wajib dan lebih utama dari meneruskan rukun atau fardu tersebut.

Kata mereka lagi, perbezaan antara keduanya (terlupa dan sengaja) ialah kerana yang sengaja tadi memang bertujuan baik dan ingin mendapatkan amalan solatnya yang tertinggal sedangkan yang terlupa tadi perbuatannya adalah tidak ada tujuan dan berlaku tanpa kasad dan tujuan, kerana amat keji perbuatan menyalahi imam tersebut. Sabda Nabi bermaksud: Hanya dijadikan imam itu untuk diikutinya (bukan untuk di salahi). Tetapi kalau imam itu kembali duduk pula untuk bertasyahud selepas berdiri kiam, maka tidak harus lagi makmum di belakangnya mengikutnya lagi, kerana kalau perbuatan imamnya sengaja maka batallah solatnya. Kalau terlupa, maka tidak harus juga makmum tadi mengikutnya malah hendaklah makmum itu bangun dan terus berdiri menunggu imamnya di sana dengan harapan dia (imamnya) terlupa, akan segera kembali berdiri lagi. Tetapi kalau imam meninggalkan qunut, maka makmum tersebut boleh melakukannya dengan terus berdiri dan meringkaskan bacaan qunutnya dan mendapatkan imamnya dalam sujud pertama.

Ini kerana dia (makmum) tidak mengerjakan apa-apa perbuatan yang tidak dikerjakan imamnya , tetapi dalam masalah tasyahud awal tadi lain pula hukumnya iaitu tidak diharuskan mengerjakannya, kerana kalau dikerjakan juga maka dia (makmum) melakukan perbuatan (duduk untuk bertasyahud) yang tidak dilakukan imamnya – (lihat I’anah attalibin jilid pertama muka 200). Wallahualam.


MURTAD TIDAK BOLEH MEMPUSAKAI HARTA

SOALAN:
Apakah mereka yang berlainan agama itu boleh mempusakai harta antara satu sama lain? Bagaimana kalau seorang anak yang jatuh murtad? Adakah dapat dia mempusakai harta ayahnya yang masih beragama Islam?


JAWAPAN:
Dalam masalah memperoleh pesaka ini, ada tiga sebab yang menghalangi seseorang dari dapat mempusakai harta si mati iaitu pembunuhan, contohnya, cucu membunuh datuknya untuk cepat mendapat pusaka seperti yang diceritakan dalam surah al-Baqarah (ayat 67-73), berlainan anutan agama seperti contoh yang anda berikan (murtad) dan kehambaan.

Ulama ada membahagi empat kumpulan manusia dalam bahagian pusaka ini.

Pertama: Iaitu yang dapat mempusakai dan dipusakai seperti saudara dan bapa dengan anak.

Kedua, iaitu yang dapat mempusakai dan tidak dipusakai seperti para Nabi, mereka dapat mempusakai tetapi tidak dipusakai sebagaimana sabdanya bermaksud: Kami kumpulan Nabi hanya dapat memerima pusaka tetapi tidak boleh dipusakai kerana barang peninggalan kami itu adalah sedekah.

Ketiga iaitu hamba yang dimiliki separuh sahaja kerana mereka tidak dapat mempusakai tetapi segala hartanya yang dimiliki oleh kemerdekaan yang separuh lagi itu akan dipusakai.

Keempat iaitu hamba dan murtad, mereka tidak boleh mempusakai dan dipusakai.

Begitu juga tiga sebab atau faktor yang membolehkan seseorang itu mendapat pusaka. Pertama ialah pernikahan iaitu kontrak ikatan suami isteri.

Kedua wala’ iaitu pertalian nikmat tuan kepada hambanya.

Ketiga, hubungan keturunan seperti saudara-mara bapa dan anaknya dan lain-lain. Wallahualam.

- SEBARANG kemusykilan bolehlah dialamatkan kepada Kemusykilan Anda Dijawab,
Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan .com.my. Pembaca hendaklah menyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.

No comments: