DUNIA diumpamakan seperti ladang untuk mencari bekalan kehidupan di akhirat yang kekal abdi. Bekalan yang perlu dikumpulkan adalah amalan kebaikan atau pahala serta mengelak amalan buruk atau dosa.
Sesungguhnya kita tidak mengetahui bilakah masa sampainya ajal. Apabila tiba masa ajal, tidak ada siapa pun dapat menangguhnya. Kita tetap menghadap Allah biarpun bekalan kebaikan masih belum mencukupi, dosa pula belum sempat bertaubat.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan bagi setiap umat ada tempoh masanya (yang ditetapkan), maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka melambatkan walaupun sesaat, dan tidak dapat pula mereka mempercepatkannya." (Surah al-Araf, ayat 34)
Oleh itu, kita perlu sentiasa menyegerakan melakukan kebaikan. Anggaplah masa yang ada adalah peluang terakhir. Beribadatlah seperti akan mati esok, dilakukan dengan tekun dan ikhlas.
Rasulullah SAW menjelaskan supaya 'rebut' beberapa perkara sebelum tiba perkara lain. Perkataan rebut menunjukkan perkara itu perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan cepat. Perkara itu diberi perhatian memandangkan sikap manusia memang suka mempersia-siakan peluang.
Antara perkara jangan ditangguh-tangguhkan ialah melakukan taubat. Amat baik jika melakukan taubat sepanjang masa bagi memastikan perjalanan hidup sentiasa mendapat keampunan daripada Allah. Seperti kita sentiasa membersih pakaian supaya kelihatan baru.
Jika terlanjur melakukan dosa hendaklah dibersihkan segera dengan bertaubat. Itulah cara menghapuskan catatan dosa.
Taubat bermaksud kembali kepada Allah dengan melepaskan ikatan perbuatan dosa daripada diteruskan. Apa yang dilakukan dikesali dan berikrar tidak diulangi lagi. Ia dilakukan semata-mata kerana Allah dan bukan takutkan celaan orang lain.
Kehidupan kita tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kerana itu Allah menyediakan peluang membersihkan dosa dengan cara bertaubat yang boleh dilakukan segera. Tidak ada masa dan tempat khusus untuk bertaubat, ia boleh dilakukan di mana dan bila masa.
Pun, tidak dinafikan ada tempat dan masa paling sesuai untuk bertaubat. Tempat paling baik ialah di depan Kaabah dan masjid. Masa paling baik ialah malam Lailatul Qadar, tengah malam, ketika sujud dan waktu afdal disebut dalam al-Quran dan hadis.
Jika menyedari sudah melakukan dosa, teruslah beristighfar memohon keampunan Allah. Tinggalkan atau hentikan segera perbuatan itu kemudian tanamkan azam tidak mahu mengulanginya. Lahirkan dalam hati perasaan menyesal melakukannya.
Perasaan menyesal dan memandang jijik perbuatan dosa juga sebahagian daripada taubat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Menyesal itu adalah taubat." (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Sebenarnya melakukan taubat tidak hanya apabila sudah melakukan dosa. Taubat juga salah satu bentuk ibadat. Bertaubat dapat membersihkan jiwa dan menjauhkan diri daripada melakukan kemungkaran.
Bertaubat ketika tidak melakukan dosa diumpamakan seperti menyediakan antibodi mengelak diri daripada berbuat dosa. Badan dalam keadaan kesihatan optimum dan bersedia melakukan kebaikan.
Rasulullah SAW sentiasa beristighfar biarpun Baginda bersih daripada dosa. Jika begitu, mengapa kita yang sentiasa melakukan dosa tidak pula mahu bertaubat? Apakah kita tidak mahu merebut rahmat Allah yang Maha Pengampun?
Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah, wahai hamba-Ku yang pernah melakukan perbuatan melampaui batas ke atas diri mereka, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni keseluruhan dosa dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penerima taubat." (Surah az-Zumar, ayat 53)
Jangan pula kita mengambil kesempatan sifat Allah yang Maha Pengampun dengan mengatakan tidak mengapa melakukan banyak dosa, biar sebesar mana sekalipun, kerana pasti Allah tetap menerima taubat hamba-Nya. Persoalannya, dapatkah kita pastikan dapat bertaubat sebelum ajal tiba.
Biarpun pintu taubat sentiasa terbuka, namun ada batasan waktunya. Taubat hanya diterima selagi nyawa belum sempai di halkum. Rugilah sesiapa ingin bertaubat ketika masa yang sudah tertutup peluang berbuat demikian.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi nyawa belum sampai di halkum (yakni belum sakaratulmaut)." (Hadis riwayat Tirmizi)
Banyak orang menangguhkan taubat disebabkan ingin menunggu usia tua. Ketika usia muda mereka ingin melakukan segala macam perkara yang mendatangkan keseronokan dan kepuasan. Apabila tua baru ingin bertaubat dan menumpukan sepenuh masa serta tenaga untuk beribadat.
Angan-angan mereka itu semata-mata didorong oleh syaitan. Syaitan memang bijak menyesatkan manusia. Banyak individu yang sudah dalam peringkat usia tua masih terus hanyut dengan pelbagai jenis dosa. Dosa terus ditambah, sedangkan amalan kebajikan semakin kurang dilakukan.
Hakikat sebenar untuk mencari keseronokan dan kepuasan hidup bukan dengan melakukan perbuatan dosa. Semua perbuatan dosa mendatangkan keburukan dan membebankan diri. Perbuatan dosa bukan saja salah di sisi agama, bahkan undang-undang dan moral manusia juga menolaknya.
Jika ingin keseronokan dan kepuasan hidup, banyakkan melakukan perkara baik. Perbuatan itu menguntungkan diri, keluarga, negara dan agama. Hidup dilimpahi keredaan dan rahmat daripada Allah. Semakin banyak yang dilakukan, semakin tinggi keseronokan dan kepuasan hidup dinikmati.
Janganlah kita bertangguh untuk melakukan perkara kebaikan. Rebutlah setiap kesempatan masa masih hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah, melaksanakan apa disuruh dan menjauhkan apa dilarang. Kehidupan yang cemerlang lahir daripada cara hidup yang mematuhi perintah Allah.
Untuk mengelak daripada terjebak dosa mesti menjauhkan tempat yang biasa orang melakukan dosa di situ. Kita mudah terdorong melakukan perbuatan sama kerana terpengaruh dengan pujukan atau ingin mencubanya.
Perbuatan mensia-siakan peluang beribadat bermakna mensia-siakan kehidupan. Masa hayat di dunia yang singkat jika tidak dimanfaatkan sudah pasti menanggung kerugian di akhirat. Ini tidak ubah seperti haiwan yang sekadar melakukan rutin harian mencari makan dan memuaskan nafsu. Haiwan tidak kisah keadaan itu kerana tidak ada pembalasan di akhirat nanti.
Sebaik-baik Muslim ialah yang berjaya menguruskan kehidupan dengan baik. Dia beroleh kejayaan hidup di dunia dan akhirat di atas kebijaksanaan menguruskan kehidupan seharian dengan perkara takwa dan keimanan.
Saidina Umar menasihatkan seluruh umat Islam supaya mementingkan peningkatan kebaikan dalam kehidupan seharian. Kata-kata hikmah beliau: "Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esoknya lebih buruk daripada hari ini."
Monday, December 10, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment