Monday, December 10, 2007

39. Sabda Rasulullah s.a.w.

Amal bakti jadi teman

Terjemahannya: Dari Anas dari Rasulullah (s.a.w.) sabdanya tiga perkara akan mengiringi mayat ke kuburnya. Kaum keluarganya, harta bendanya, amal ibadatnya.

Kemudian pulang dua dan tinggal bersamanya satu. Yang pulang ialah keluarganya dan harta bendanya, yang tinggal menemaninya satu iaitu amalannya. (HR Bukhari Muslim)


Pengertiannya:

Rasulullah mengingatkan bahawa perkara yang disayangi dalam kehidupan menemani kita sehingga pintu kubur kemudian akan kembali meninggalkannya. Kaum keluarganya akan kembali bersuka ria dan harta bendanya akan jatuh ke tangan orang lain. Tidak ada yang tinggal bersamanya melainkan amalannya. Jika amalannya baik, ia akan menjadi teman setia dan kalau amalannya jahat akan menjadi teman yang akan menyeksakannya sampai hari kiamat.

Kesimpulannya:

Kaum keluarga dan harta kekayaan, walau bagaimana sayang orang kepadanya akhirnya akan ditinggalkan juga. Tidak ada yang kekal abadi selain amal baktinya.




DARIPADA Abi Umamah (r) katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.: Bila menggembirakan kamu oleh kebaikan dan mendukacitakan kamu oleh kejahatan maka kamu adalah orang yang beriman. (Riwayat Ahmad)

Pengertian

Dalam hadis ini, Rasulullah menerangkan ada dua sifat orang yang beriman iaitu bergembira bila mengerjakan kebaikan dan berdukacita bila melakukan kejahatan. Dia segera menginsafi dirinya dengan bertaubat dari segala kesalahan dan kembali mengerjakan amal salih untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t.

Kesimpulan

Kenali diri sendiri adakah mukmin atau sebaliknya melalui pengukuran ini.



Kebaikan Islam

DARIPADA Abdullah bin Amr (r) bahawa seorang lelaki bertanya nabi s.a.w. : Manakah lslam yang lebih baik? Sabdanya: Menjamu makanan dan mengucapkan salam kepada kenalan atau bukan kenalan (riwayat Bukhari).

Pengertian

Dalam hadis ini, nabi kita menerangkan dua perkara penting untuk menyatupadukan masyarakat dalam persatuan yang kukuh dan kuat iaitu: Menjamu makanan dan berderma kepada jalan kebaikan. Memberi salam kepada kenalan atau bukan kenalan tanpa membezakan antara satu sama lain.

Kesimpulan

Hidupkanlah kembali perasaan muhibah di kalangan masyarakat lslam dengan sifat dermawan dan ucapan salam selalu.



Pertolongan berharga

DARIPADA Qais bin Abi Hazim katanya: Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Siapa yang dapat menghilangkan daripada orang mukmin suatu penderitaan dunia ini, Allah s.w.t. akan menghilangkan daripadanya suatu bencana dan bahaya di akhirat. Siapa yang dapat membantu orang yang susah, Allah akan menolongnya di dunia dan di akhirat dan siapa yang melindungi orang Muslim, Allah akan melindunginya di dunia dan akhirat, Allah tetap akan menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu sentiasa bersedia menolong saudaranya (riwayat Muslim).

Pengertiannya,

Dalam hadis di atas Rasulullah memberi jaminan sebarang bantuan atau pertolongan yang disumbangkan masyarakat kepada anggota sesama mereka, akan ada balasannya. Pahala ganjaran tersebut sama ada berupa bentuk yang sama dengan bantuan yang telah diberi atau lebih baik lagi di dunia atau di akhirat. Bantuan Allah ini berterusan selama sumbangan hamba-Nya tidak dihentikannya.

Kesimpulanya

Sumbangan dan kerjasama antara satu sama lain dalam masyarakat hendaklah diteruskan kerana ia dapat menjamin keselamatan dan bantuan daripada Allah di dunia dan akhirat.


Kezaliman diharamkan

DARIPADA Abu Zar daripada nabi s.a.w. daripada hadis yang disampaikan daripada tuhannya bahawa Allah berfirman: Wahai hamba-ku sesungguhnya aku haramkan kezaliman atas diri-ku dan Aku jadikannya di kalangan kamu suatu yang diharamkan maka janganlah kamu melakukan kezaliman sesama sendiri (riwayat Muslim).

*Pengertian

Dalam hadis ini Rasulullah menceritakan firman Allah mengenai kezaliman yang mana Allah sendiri mengharamkannya terhadap dirinya. Ini kerana Allah tidak akan menzalimi sesiapa pun di kalangan hamba-hamba-Nya. Maka sebab itu kezaliman dilarang keras dan diharamkan ke atas makhluk-nya

*Kesimpulan

Allah tidak pernah berlaku zalim kepada hamba-Nya, maka hamba-Nya dilarang menzalimi dirinya atau saudara mereka sendiri.

DARIPADA Abu Hurairah (ra) katanya: Rasulullah (s.a.w.) bersabda: Siapa yang menyeru kepada kebaikan, ia akan beroleh pahala seperti pahala pengikutnya dengan tidak berkurangan pahala mereka sedikitpun. Siapa yang mengajak kepada kejahatan ia akan dapat dosa seperti dosa orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun (hadis riwayat Muslim).

Pengertian

Dalam hadis ini, Rasulullah menerangkan bagaimana besarnya ganjaran untuk mereka yang menyeru kepada kebaikan. Pahalanya sama dengan bilangan pahala pengikutnya tanpa berkurangan pahala mereka itu semuanya. Sebaliknya orang yang mengajak kepada kejahatan maka sudah tentu dosanya sama seperti dosa orang yang mengikutinya.

Kesimpulannya

Umat Islam hendaklah berdakwah menyeru manusia kepada kerja kebaikan dan melarang mereka daripada melakukan kemungkaran.

No comments: